CADANGAN PINDAAN AKTA 355: SATU ULASAN

CADANGAN PNDAAN AKTA 355: SATU ULASAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:

1. Undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

2. Kesalahan mengenai “precepts of Islam” terletak di bawah bidang kuasa Negeri kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Undang-undang Persekutuan (Akta 355) menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah, pada masa ini, penjara tidak lebih daripada 3 tahun, denda tidak lebih daripada RM5,000 dan rotan tidak lebih daripada 6 kali.

Perlu diambil perhatian:
1. Senarai Negeri, Jadual Kesembilan. Perlembagaan memberi kuasa kepada (atau membolehkan) DUN untuk membuat undang-undang:

(a) mewujudkan kesalahan-kesalahan mengenai “precepts of Islam” dan memperuntukkan hukuman yang tidak melebihi apa yang ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan (Akta 355). Sebelum sesuatu kesalahan itu boleh dilaksanakan, ia perlu dijadikan undang-undang terlebih dahulu.

(b) Memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan kesalahan-kesalahan itu dan menjatuhkan hukuman seperti yang diperuntukkan. Ertinya, undang-undang perlu dibuat terlebih dahulu sebelum Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa dalam sesuatu perkara.

Sekarang, ada cadangan untuk meminda Akta 355 untuk membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman “yang dibenarkan oleh hukum syarak selain daripada hukuman mati.”

Sekali lagi, perlu diingati bahawa:

(a) Pindaan itu tidak tidak secara otomatik menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah. DUN perlu membuat undang-undang menambahkan bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman tambahan itu.

(b) Pindaan itu tidak secara otomatik mewujudkan kesalahan-kesalan dengan hukuman-hukuman baru itu. DUN perlu membuat undang untuk memperuntukkannya.

(c) Pindaan itu tidak akan mengesahkan (validate) Enakmen Kanun Jenayah Syari’ah (II) 1993 (Kelantan) kebelakang (retrospectively). Malah jika ia dibawa semula ke DUN dan diluluskan semula pun, ia tetap tidak keperlembagaan (unconstitutional) dan tak sah sebab ia mengandungi kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Apakah kesalahan-kesalahan yang boleh dibuat oleh DUN untuk dikenakan hukuman tambahan itu? Saya tidak mengatakan kesalahan-kesalahan baharu tidak boleh diwujudkan langsung. Tetapi, ia mestilah kesalahan mengenai “precepts of Islam” dan bukan undang-undang jenayah.

Apakah hukuman baru yang boleh dibuat? Tertakluk kepada peruntukan pindaan Akta 355, sekali pandang, jawabnya, apa sahaja hukuman selain daripada hukuman mati. Ertinya termasuk qisas.

Tetapi, sekali lagi perlu diingati, qisas adalah hukuman kepada kesalahan menyebabkan kecedraan (causing hurt). Kesalahan-kesalahan itu adalah undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Dalam kata-kata lain, DUN tidak boleh membuat undang-undang untuk mengenakan hukuman qisas kepada kesalahan-kesalahan itu.

Apa yang boleh dilakukan? Jawabnya, mengenakan hukuman-hukuman hudud bagi kesalahan-kesalahan hudud yang sedia ada dalam Enakmen Negeri, yang bukan kesalahan jenayah. Misalan kesalahan-kesalahan hudud itu ialah zina, menuduh perempuan berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad.

Dalam hal ini dua perkara perlu diambil perhatian:

1. Kesalahan liwat adalah undang-undang jenayah. Kesalahan itu sudah ada dalam Penal Code semenjak 1936. Dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan, saya telah mengatakan ia bercanggah dengan perlembagaan (unconstitutional). Kesalahan yang sama tidak boleh wujud dalam undang-undang Persekutuan dan juga dalam Enakmen Negeri. Kesalahan liwat dalam Enakmen Negeri sepatutnya dimansuhkan.

2. Kesalahan murtad tidak akan boleh dilaksanakan kerana, apabila kita katakan seorang itu telah murtad, dia bukan lagi seorang yang beragama Islam. Oleh itu. pertama, kesalahan itu tidak terpakai kepadanya lagi. Kedua, Mahkamah Syariah tidak ada bidang kuasa untuk membicarakannya. (Kita berlainan daripada Brunei di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa terhadap orang Islam dan bukan Islam.) Ketiga, kesalahan itu boleh dihujahkan sebagai bercanggah dengan Perkara 11 (Kebebasan beragama) walaupun saya relah mengemukakan hujah sebaliknya.

Maka kesalahan murtad hendaklan digantikan dengan berbuat sesuatu yang boleh merosakkn akidah atau sebagainya. Kita hanya menghukum seseorang itu kerana dia melakukan satu perkara yang kita nampak dan boleh buktikan. Soal sama ada dia masih Islam atau tidak kita tinggalkan kepada Allah s.w.t. untuk menentukannya dan menghukumnya. Wallahu a’lam.

Kesimpulannya, saya syurkan, jika UMNO dan PAS sama-sama ingin menjayakan pindaan itu, eloklah mereka mengambil pendekatan:

1. Seperti yang dicadangkan oleh PAS, kesalahan-kesalahan yang mebawa hukuman mati hendaklah dikecualikan.

2. Selepas pindaan kepada Akta 355 dibuat, jika DUN hendak menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah, undang-undang hendaklah dibuat dan undang-undang itu hendaklah mengecualikan hukuman mati.

3. Selepas pindaan kepada Akta 355 dibuat, jika DUN hendak memakai hukuman hudud, undang-undang hendaklah dibuat untuknya. Kesalahan-kesalahan yang akan dikenakan hukuman hudud itu hendaklah terhad kepada kesalahan-kesalahan hudud yang terletak di bawah Senarai Negeri seperti zina, menuduh perempuan berzina, meminum minuman yang memabukkan dan berbuat sesuatu yang boleh merosakkan aqidah.

Jika ia dilakukan di dalam lingkungan itu, ia tidak akan menimbulkan apa-apa masalah keperlembagaan atau undang-undang. Orang bukan Islam juga tidak boleh membantah kerana, jika, selepas pindaan dibuat kepada Akta 355, hukuman hudud dijadikan undang-undang bagi kesalahan yang tertentu itu pun, ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Bagi saya, persetujuan kedua belah pihak untuk berkerjasama meluluskan RUU ini adalah penting dari segi, saya harap, ia akan membuka jalan bagi kerjasama yang lebih penting, malah critical selepas itu, iaitu menyelamatkan kerajaan Persekukuan yang sedia ada dalam PRU 14 yang akan datang demi untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu/Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Selepas itu, kedua pihak eloklah menumpukan perhatian kepada isu-isu kenegaraan yang lebih besar dan berkerjasama untuk menjadikan Malaysia model sebuah negara moden, demokratik dengan undang-undang dan amalan yang patuh Syariah yang sesuai dengan keadaan sekarang dan pencapaian maqasid al-Syariah yang paling tinggi di abad ke 21 ini.

28 10 2016

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me