PENCAPAIAN UMAT ISLAM PASCA-MERDEKA: POLITIK DAN PEMERINTAHAN

INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSA (IKIM)
SEMINAR PENCAPAIAN UMAT ISLAM PASCA-MERDEKA: PENGAJARAN DAN LANGKAH KE HADAPAN
21 – 22 Februari 2012

PENCAPAIAN UMAT ISLAM PASCA-MERDEKA: POLITIK DAN PEMERINTAHAN
Ulasan oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad


Saya dilahirkan seorang Melayu dan Islam. Saya pernah menjadi Ketua Hakim Negara. Tetapi, sekarang saya telah bersara. Ertinya saya bukan lagi Ketua Hakim Negara tetapi saya masih Melayu dan Islam. Maka saya akan bercakap sebagai seorang Melayu dan Islam.

Berbanding dengan semasa Merdeka, kedudukan orang Melayu selepas Merdeka, di segi politik, sebenarnya semakin menurun. (Saya menggunakan perkataan “Melayu” kerana, dalam perbincangan ini, saya fikir, ia lebih tepat.) Dulu undi orang Melayu menjadi penentu. Sekarang undi orang bukan Melayu, apatah lagi, daripada kumpulan-kumpulan minority yang kecil, menjadi penentu. Ini berlaku bukan kerana bilangan orang Melayu semakin kecil, tetapi kerana orang Melayu semakin berpecah. Manakala kumpulan-kumpulan lain membuat perkiraan apa yang menguntungkan mereka dan bersepadu untuk mencapainya, orang Melayu, yang berpecah dan naïve, sambil bertakbir, membantu mereka mencapai matlamat mereka.

Maka, apabila saya memandang ke hadapan, saya amat bimbang. Saya bimbang, jika dulu ada cerita “Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai”, akan datang, akan ada pula cerita “Haji Kadok, menang takbir negeri tergadai.”

Saya tidak fikir ada satu bangsa dalam dunia ini yang, dengan sukarela, sangup menyerahkan hak mereka kepada orang lain, selain daripada orang Melayu. Bangsa lain berperang untuk mempertahankan hak mereka, malah untuk merampas hak orang lain.

British manjajah Semenanjung Tanah Melayu daripada orang Melayu. Semasa menyerahnya kembali, orang Melayu bersetuju ianya diserahkan kepada semua penduduk yang ada. Hak kerakyatan, bahasa, agama, pelajaran dalam bahasa mereka dan lain-lain diberikan kepada mereka. Yang tinggal kepada orang Melayu hanyalah “hak keistimewaan orang Melayu”. Sekarang itu pun dituntut juga. Dan ada pula pemimpin-pemimpin Melayu yang bersetuju untuk menyerahkannya. Orang Melayu yang naïve dan tak sedar diri pun terikut-ikut.

Mengapa tuntutan dan penyerahan hanya menguntungkan satu pihak sahaja? Kalau hendak runding semula, rundinglah semuanya, termasuk kerakyatan dan lain-lain.

Saya tidak hairan sangat jika pemimpin-pemimpin Melayu dalam Keadilan yang sanggup berbuat demikian kerana mereka hanya ada satu prinsip: berkuasa dengan apa cara juga.

Tetapi yang saya hairan ialah pemimpin-pemimpin PAS. Saya masih ingat ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin PAS dalam tahun lima puluhan dan enam puluhan dan rencana-rencana yang tertulis dalam Suara Islam mengeritik Perlembagaan Persekutuan yang disifatkan merugikan orang Melayu dan Islam, menentang penubuhan Malaysia atas alasan yang sama, dan lain-lain. Malah, selepas itu, pemimpin-pemimpin PAS yang masih ada sekarang sanggup mengkafirkan orang Melayu dan Islam dalam UMNO, dan menghukum mereka “Tidak akan masuk syurga” seolah-olah merekalah yang menentukannya, kononnya kerana berfahaman “sekular” dan “kebangsaan”, mengikut tafsiran mereka. Dalam kata-kata lain, seolah-olah, dalam dunia ini, kumpulan mereka sahajalah yang Islam dan akan masuk syurga.

Apa sudah jadi sekarang?

Sebelum Merdeka, golongan ulamak memperjuangkan Kemerdekaan. Hari ini golongan yang diberi gelaran ulamak dan ustaz itu sanggup manggadaikan agama, bangsa dan negara hanya untuk menang pilihan raya, tanpa mengira siapa yang sebenarnya akan berkuasa. Sebenarnya, mereka sedang melakukan kesilapan yang sama dengan apa yang telah dilakukan oleh parti-parti kiri Melayu selepas Perang Dunia Kedua, yang telah diperalatkan oleh Partai Kominis Malaya. Dulu, umat Islam bernasib baik kerana Parti Kominis Malaya tidak berjaya. Bagaimana kali ini?

UMNO juga perlu waspada. Pada masa ini, UMNO berada di atas landasan yang betul. Tetapi yang merosakkan UMNO adalah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri melalui sikap mementingkan diri yang membawa kepada rasuah, penyalahgunaan kuasa dan perebutan kuasa sesama sendiri. (Pemimpin-pemimpin dalam parti-parti lain juga sama, apabila berkuasa. Sekarang pun kita sudah mula nampak). Jika mereka (pemimpin-pemimpin UMNO) tidak waspada, orang Melayu akan marah kepada UMNO kerana mereka. Apabila orang Melayu marah, mreka akan hilang pertimbangan. Mereka akan “mengamok”, yakni bertindak tanpa berfikir yang hanya akan membinasakan diri sendiri. Adakah kita akan membiarkan hal itu berlaku? Fikirlah. Dan saya harap orang Melayu akan mula menggunakan perkataan “fikir” sebagai kata kerja bukan “rasa”, dan “ingat”.

Sekian. Terima kasih.

64 visits