BERI KUASA MENDAKWA KEPADA SPRM?

BERI KUASA MENDAKWA KEPADA SPRM?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Semasa saya menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM dahulu (2009 – 2010), sebahagian daripada ahli-ali lembaga tersebut yang terdiri daripada ahli akademik, aktivis, ahli perniagaan dan bekas pegawai kerajaan yang pro-pembangkang, mahu kuasa mendakwa diberikan kepada SPRM.

Saya berkata kepada mereka, antara lain, “Sekarang, oleh sebab tuan-tuan tidak sukakan Peguam Negara, sebaliknya tuan-tuan sukakan Tan Sri Abu Kassim, maka tuan-tuan hendak memberi kuasa menyiasat dan mendakwa kepada Tan Sri Abu Kassim. Bagaimana jika, selepas itu,  beliau bertukar menjadi “monster”?”

Kemudian, saya menceritakan kisah seorang pengawal revolusi Iran yang masuk ke dalam lokap di sebuah balai Polis. Dia menjerit, “Sayalah penyiasat, sayalah pendakwa dan sayalah hakim” dan terus melepaskan tembakan kepada tahanan-tahanan di dalam lokap itu.

Itu adalah misalan yang ekstrim. Tetapi, itulah bayangan kesan ekstrim jika semua kuasa itu diberi kepada satu orang atau satu jabatan.

Minggu lepas, seorang kawan menghantar satu rencana yang disiar oleh Bebas News pada 01 12 2020 bertajuk “Rasuah dosa besar” manakala editor Bebas News pula memberikan tajuk “Beri SPRM kuasa mendakwa?” Rencana itu ditulis oleh seorang  Pensyarah Kanan dalam program kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di sebuah universiti tempatan.

Saya menulis rencana ini bukan untuk berbahas dengannya tetapi hanya sekadar memberi hujah-hujah mengapa kuasa mendakwa tidak sepatutnya diberi kepada SPRM berdasarkan, antara lain, pengalaman saya sebagai bekas Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM dan menyerahkan kepada pembaca untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Sekarang, mari kita lihat terlebih dahulu alasan-alasan yang diberi oleh penulis rencana itu. Saya meneliti rencana itu dan mendapati alasannya hanya terdapat dalam satu ayat berikut:

“Situasi ini yang selalu mendatangkan persoalan di kalangan rakyat, adakah SPRM tidak mempunyai taring atau had tugas yang dimiliki SPRM ini punca yang membawa kepada sukarnya untuk membendung rasuah khususnya yang berlaku di kalangan jabatan kerajaan dan penjawat awam.”

Daripada ayat ini dua perkara mungkin merupakan alasan beliau mengapa kuasa mendakwa patut diberi kepada SPRM iaitu, pertama, SPRM tidak mempunyai taring dan, kedua, had tugas SPRM adalah punca sukarnya untuk membendung rasuah khususnya yang berlaku di kalangan jabatan kerajaan dan penjawat awam. Tetapi, beliau tidak berkata itulah sebabnya. Sebaliknya, beliau berkata itu adalah situasi yang “mendatangkan persoalan di kalangan rakyat”.

Soalan: Jika itulah alasannya, mengapa beliau tidak berkata itulah alasannya? Mengapa berselindung di belakang “rakyat”? Bagaimana beliau tahu rakyat membangkitkan alasan-alasan itu? Apakah alasan rakyat berpendapat demikian?

Walau bagaimana pun, mari kita lihat kepada alasan-alasan itu. Pertama, sama ada SPRM mempunyai taring atau tidak. Adakah jika SPRM mempunyai kuasa mendakwa, SPRM boleh menakutkan orang bahawa ia boleh mendakwa mereka? Bagaimana, jika disebabkan oleh keterangan yang tidak mencukupi pada pandangan mahkamah atau kerana kesilapan dalam pendakwaan, pertuduhan itu ditolak (acquitted) oleh mahkamah, adakah untuk memanjangkan taringnya lagi, maka kuasa membicaran kes-kes rasuah juga hendaklah diberi kepada SPRM?

Perkara kedua yang dikatakan dibangkitkan oleh rakyat ialah “had tugas yang dimiliki SPRM ini punca yang membawa kepada sukarnya untuk membendung rasuah khususnya yang berlaku di kalangan jabatan kerajaan dan penjawat awam.”

Soalan-soalan di atas juga terpakai di sini. Selain dari itu, bagaimana ketiadaan kuasa mendakwa menjadi “punca yang membawa kepada sukarnya untuk membendung rasuah”? Itu tidak disebut. Adakah kerana “Setiap siasatan yang telah lengkap akan dibawa ke pejabat Peguam Negara dan jika peguam negara “berpuas hati” maka pendakwaan akan dilakukan” ?

Apa yang dimaksudkan dengan “Setiap siasatan yang telah lengkap” itu semestinyalah mengikut pandangan pegawai penyiasat SPRM. Pegawai penyiasat tidak berpengalaman mendakwa. Tugas menyiasat adalah berbeza daripada tugas mendakwa.

Maka, apa yang mungkin difikirkan lengkap oleh penyiasat mungkin difikirkan tidak lengkap oleh pendakwa, malah apa yang difikirkan lengkap oleh kedua-duanya mungkin difikirkan tidak lengkap oleh hakim-hakim mahkamah paling tinggi.

Sebab itulah jika sesuatu kertas siasatan yang telah difikirkan lengkap oleh penyiasat itu dibawa kepada pendakwa untuk dikaji olehnya (mereka) untuk melihat dari kaca mata pendakwa sama ada semua ingredient pertuduhan berkenaan dapat dibuktikan atau tidak.

Jika Peguam Negara/Pendakwa Raya berpendapat ada bahagian yang keterangan untuk membuktikan sesuatu ingredient itu lemah, Peguam Negara/Pendakwa Raya mungkin akan mengarahkan atau akan memanggil pegawai penyiasat SPRM, berbincang dengannya dan mengarahkannya melakukan siasatan lanjut untuk mendapat keterangan tambahan di bahagian-bahagian berkenaan. Hanya jika ia tidak dapat dibaiki lagi barulah Peguam Negara/Pendakwa Raya membuat keputusannya.

Perlu diingati bahawa SPRM dan Peguam Negara/Pendakwa Raya sentiasa berhubung antara satu sama lain dalam usaha memperbaiki sesuatu kertas siasatan sebelum Peguam Negara/Pendakwa Raya membuat keputusan menuduh atau tidak.

Itu adalah amalan yang dilakukan oleh Peguam-Peguam Negara/ Pendakwa-Pendakwa Raya yang dilantik daripada Pertkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang saya tahu. Saya tidak tahu amalan pelantikan politik, TS Tommy Thomas.

Saya akui Peguam Negara/Pendakwa Raya mempunyai budibicara untuk tidak membuat pertuduhan atas alasan kepentingan awam. Alasan ini lebih mudah disalahgunakan. Tetapi, jika kuasa mendakwa diberi kepada SPRM, ia juga akan mempunyai budibicara yang sama. Ini menjadikan keadaan lebih buruk kerana, di samping budibicara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM juga mempunyai kuasa menyiasat.

Tidak ada satu kuasa yang tidak boleh disalahgunakan. Ia terserah kepada orang yang melaksakannya. Kita hanya boleh mengadakan sistem yang menyusahkan ia dilakukan. Jika ada penyalahgunaan, tidak bererti sistem itu yang patut diubah. Biasanya masalahnya adalah orang bukan sistem. Maka orang itulah yang patut diganti.

Dalam hal ini tidak ditunjukkan di manakah kelemahan sistem yang sedia ada dan bagaimana sistem yang dicadangkan itu akan menambahkan kecekapan dan mengurangkan penyalagunaan kuasa. Maka, tidak ada alasan untuk menggantikannya.

Jika setiap kes yang siasatannya oleh SPRM mestilah disusuli dengan pertuduhan tatapi ia ditolak (acquitted) pula oleh mahkamah maka mengikut hujah penulis itu,  mahkamah pulalah yang menjadi “punca yang membawa kepada sukarnya untuk membendung rasuah”. Dalam keadaan itu, adakah beliau mahu kuasa membicarakan kes-kes rasuah diberikan juga kepada SPRM? Ingat kembali kisah pengawal revolusi Iran di awal rencana ini.

Ungkapan sama ada Peguam Negara “berpuas hati” atau tidak sama ada sesuatu kertas siasatan itu lengkap adalah tidak tepat. Ujian yang betul ialah sama ada keterangan yang dirakamkan oleh penyiasat itu mencukupi, paling kurang, untuk membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan yang hendak dibuat itu.

Bagaimana pula jika SPRM tidak mempunyai kuasa mendakwa ia menjadi sukar untuk “membendung rasuah khususnya yang berlaku di kalangan jabatan kerajaan dan penjawat awam”? Pendapat itu juga tidak disokong dengan apa-apa alasan.

Pengasingan tugas menyiasat daripada tugas mendakwa dan tugas membicarakan kes-kes itu bukanlah suatu keanehan yang terdapat dalam sistem perundangan dan kehakiman Malaysia sahaja. Saya tidak pernah temui sebuah negara yang meletakkan kesemua tugas-tugas itu atau dua daripadanya kepada satu jabatan. Sesiapa yang mengetahui tolong maklumkan.

Sebenarnya, ada sebabnya mengapa ketiga-tiga tugas itu diasingkan. Ia adalah akibat perkembangan (development) yang mengambil masa beratuts-ratus tahun. Tujuannya ialah untuk megelak penyalahgunaan kuasa oleh sesuatu jabatan dengan membahagi-bahagikan tiga kuasa tersebut kepada tiga jabatan berlainan supaya ada check and balance antara satu sama lain.

Pembahagian tugas itu juga akan melahirkan pegawai-pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Ini diperlukan di mana bilangan kes, complexity dan besarnya kes-kes itu semakin bertambah dari hari ke hari.

Ambil ingatan, pada masa ini, jawatan Peguam Negara/Pendakwa Raya dipegang oleh satu orang. Jawatan-jawatan itu telah mula difikirkan untuk diasingkan atas alasan beban kerja yang terlalu berat dan mengelak pelantikan politik menjadi Pendakwa Raya. Bayangkan apa yang boleh terjadi jika Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa adalah seorang lantikan politik. Jabatan Polis pun tidak diberikan kedua-dua tugas itu.

10 12 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

 

109 visits