TIDAK SESUAI MELETAKKAN JAKIM DI BAWAH MAJLIS RAJA-RAJA

TIDAK SESUAI MELETAKKAN JAKIM DI BAWAH MAJLIS RAJA-RAJA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya terkejut membaca berita bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini diletakkan di bawah kuasa dan seliaan Majlis Raja-Raja Melayu (MRR). Saya membacanya dalam Sinar Harian pada 11 Februari 2022. Ia memetik berita yang disiarkan dalam laman web The Star bertarikh 10 Februari 2022. Pada 12 Februari 2022, saya dapati Sinar Harian telah menarik balik berita itu. Semasa mencari berita asal dalam The Star itu saya bertemu dengan berita yang sama dalam The Malay Mail bertarikh 10 Februari 2022. Ia juga memetik The Star.

Di penghujung berita itu terdapat kenyataan bahawa The Star telah pun menarik balik berita itu. Pada hari yang sama, saya menerima maklumat bahawa Pemegang Mohor Raja-Raja telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa berita yang disiarkan oleh The Star itu “boleh mengelirukan.” Rencana ini ditulis berdasarkan berita asal itu dan kenyataan Pemegang Mohor Raja-Raja itu.

Berita dalam Sinar Harian yang memetik The Star itu telah menyatakan lima perkara. Pertama, bahawa Jakim diletakkan di bawah kuasa dan seliaan Majlis Raja-Raja Melayu.

Kedua, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Pengerusi Majlis Agama Nasional dan akan mengetuainya untuk tempoh dua tahun.

Ketiga, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula akan menjadi timbalan pengerusi.

Kempat, ia mengatakan sumber istana memberitahu, keputusan itu mengesahkan kuasa Raja-Raja dalam hal berkaitan agama Islam. Ia akan membantu membersihkan sebarang keraguan dan kekeliruan mengenai bidang kuasa dan kuasa Jakim.

Kelima, ia menjelaskan bahawa sebelum ini, Jakim diletakkan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Perdana Menteri.

Tajuk kenyataan Pemegang Mohor Raja-Raja itu ialah “Penjelasan Mengenai Siaran Berita/Media Mengenai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).”

Kenyataan itu mengatakan bahawa laporan yang disiar oleh The Star dan dipetik oleh beberapa akhbar itu yang mengatakan Jakim “…kini diletakkan di bawah Bidang Kuasa Majlis Raja-raja susulan daripada ketetapan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-258 pada 9 dan 10 Mac 2022” itu “…kurang tepat dan dianggap boleh mengelirukan”.

Selepas itu kenyataan itu terus mengatakan bahawa Pengerusi MKI, semenjak penubuhan MKI oleh MRR dalam tahun 1986 sememangnya dibuat oleh MRR. Bermula dengan Tengku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri dilantik menjadi Pengerusi MKI. Tetapi, dalam mesyuarat MRR yang ke-258, MRR melantik Sultan Selangor sebagai pengerusi seperti yang diperakukan olah Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dipengerusikan oleh Allah Yarham Tun Ahmad Sarji.

Itu sahaja isi penting kenyataan itu.

Perhatikan bahawa kenyataan itu mengatakan laporan itu boleh mengelirukan tetapi ia tidak pula mengatakan apa yang mengelirukan. Ia tidak mengatakan apa yang dilaporkan itu tidak benar. Malah ia mangesahkan laporan bahawa Sultan Selangor dilantik sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun. Selepas itu ia manjelaskan mengenai pelantikan Pengerusi semenjak MKI ditubuh dan mengapa seorang Sultan dilantik kali ini. Semua itu tidak disebut oleh laporan itu dan tentu sekali laporan itu tidak mengelirukan berkenaan pelantikan itu.

Paling penting bagi perbincangan dalam rencana ini ialah bahawa kenyataan itu tidak menafikan bahawa mesyuarat MRR ke-258 membuat keputusan meletakkan Jakim di bawah MRR. Maka, saya anggap keputusan itu dibuat. Jika keputusan seperti ltu tidak dibuat sekalipun, hujah-hujah dalam rencana ini adalah berguna sebagai alasan mengapa ia tidak patut dilakukan di masa hadapan.

Kita perlu faham apakah MRR, untuk apa ia diwujudkan dan apakah Jakim dan untuk apa ia ditubuh.

MRR ditubuhkan oleh Perkara 38 Perlembagaan Persekuan dan diberikan fungsi-fungsi berikut.

“Majlis Raja-Raja

38. (1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan mengikut Jadual Kelima.

(2) Majlis Raja-Raja hendaklah menjalankan fungsinya bagi—

(a) memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Jadual Ketiga;

(b) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;

(c) memperkenankan atau tidak memperkenankan apa-apa undang-undang dan membuat atau memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang di bawah Perlembagaan ini dikehendaki diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja atau dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;

(d) melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;

(e) memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,

dan boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut.
………”

Jadual Kelima tidak berkenaan dengan isu yang dibincang ini.

Perkara 39 pula memperuntukkan berkenaan kuasa eksekutif.

“Kuasa eksekutif Persekutuan

39. Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.”

Merujuk kepada Perkara 38, fungsi MRR adalah seperti yang diperuntukkan oleh Fasal (2) Perkara 38 yang diperturunkan di atas. Perhatikan bahawa tidak ada kuasa eksekutif yang diperuntukkan baginya.

Kuasa eksekutif diperuntukkan oleh Perkara 39. Ia tidak langsung menyebut mengenai MRR. Untuk mengetahui lebih lanjut sila baca ucaptama saya bertajuk “Majlis Raja-Raja: Fungsinya Menurut Perlembagaan Persekutuan” (19 September 2017) yang boleh didapati dalam laman web saya.

Merujuk kepada Jakim, Jakim adalah satu jabatan kerajaan/pentadbiran yang ditubuh oleh Kabinet sebagai satu jabatan di Jabatan Perdana Menteri. Maka memang betullah ia dipertanggungjawabkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kepada Perdana Menteri sendiri. Jika penubuhan Jakim dicadangkan oleh MRR sekalipun, bukanlah bererti ia satu jabatan di bawah MRR kerana MRR bukanlah satu kementerian atau jabatan eksekutif.

MRR boleh mencadangkan satu jabatan eksekutif diadakan, tetapi terserahlah kepada Kabinet untuk menubuhnya dan meletakkannya di bawah kementerian mana ia hendak diletakkan. MRR bukanlah salah satu pilihan kerana ia bukan eksekutif.

Bukanlah tugas MRR untuk terlibat dalam pentadbiran sesuatu jabatan eksekutif/pentadbiran. Itu tugas Menteri berkenaan dan Perdana Menteri. Jika MRR ingin tahu mengenai sesuatu perkara berkenaan dengannya, ia bolehlah meminta Perdana Menteri memberi penjelasan mengenainya. Perdana Menteri boleh meminta Menteri berkenaan melakukannya bagi pihaknya. MRR boleh “menimbang teliti” dan memberi apa-apa syor dan cadangan untuk dilaksanakan oleh pegawai-pegawai eksekutif di jabatan itu, bukan melaksanakan sendiri atau bertanggungjawab mengenai pelaksanaannya. Kedudukan MRR tidak sepatutnya diturunkan ke tingkat Menteri atau pegawai awam.

Apabila Jakim diletakkan di bawah MRR, jika berlaku sesuatu kesilapan, pelanggaran undang-undang atau penyalahgunaan kuasa atau rasuah di jabatan itu, mahukah MRR dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan?

MKI pula tidak boleh disamakan dengan Majlis Agama Islam di Negeri-Negeri. MKI bukanlah ditubuh oleh mana-mana undang-undang. Ia juga sama seperti Jakim dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.) Ia tidak mempunyai apa-apa kuatkuasa undang-undang. Ia berlainan daripada Majlis Agama Islam di Negeri-Negeri yang ditubuh oleh undang-undang.

Tidak diketahui sama ada Jakim diletak di bawah MKI dan answerable terus kepada Baginda Sultan sebagai Pengerusi MKI? Jika demikian, diharap tidak, Baginda telah diturunkan ke tingkat Pengerusi sebuah syarikat, yang tidak sepatutnya berlaku. Itu bukan tugas Raja Berperlembagaan. Itu tugas Menteri atau pegawai awam. Berbuat demikian akan melibatkan Baginda dengan sesuatu yang tidak baik yang mungkin berlaku dalam Jakim. Raja sepatutnya berada di atas semua itu. Tengku Abdul Rahman Putra, putra Sultan yang tinggal lama di England dan seorang Barrister-at-Law, England lebih memahami kedudukan dan peranan Raja Berperlembagaan ala-British.

MKI tidak diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan seperti Majlis Agama Islam Negeri-Negeri diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri masing-masing dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam di setiap Negeri. Sebagai misalan Perkara XLXIII, Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959, antara lain, memperuntukkan “….Duli Yang Maha Mulia boleh menyebabkan diperbuat undang-undang…bagi penubuhan satu Majlis Agama Islam…” Ini diikuti oleh peruntukan yang detail dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Kita perlu ingat bahawa Jakim pada masa ini telah mengembangkan sayapnya sehingga termasuklah pengeluaran Sijil Halal yang sepatutnya terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). (Sila baca rencana saya bertajuk “Pembangunan Industri Halal di Malaysia Daripada Sudut Perundangan” (29 Julai 2015) yang boleh didapati dalam laman web saya.

Mengikut berita itu, memetik sumber istana, keputusan meletakkan Jakim di bawah MRR “mengesahkan (reaffirms) kuasa Raja-raja dalam hal berkaitan agama Islam.”

Dalam kata-kata lain, dengan mengambil alih tugas penyeliaan Jakim, kuasa Raja-Raja dalam hal berkaitan agama Islam disahkan. Pertama sekali, Jakim bukanlah terletak di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja. Meletakkan JAKIM di bawah bidang kuasa MRR bukanlah ibarat membetulkan satu kesilapan. Sah tidaknya kuasa Raja-Raja dalam sesuatu perkara tertakluk kepada apa yang diberikan oleh Perlembagaan dan undang-undang kepadanya.

Satu alasan lagi yang diberi ialah “Ia akan membantu membersihkan sebarang keraguan dan kekeliruan mengenai bidang kuasa dan kuasa Jakim,”

Kita sedia maklum bahawa dalam tempoh 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan, pelampau-pelampau bukan Islam mempersoalkan peruntukan yang besar kepada Jakim yang, mengikut mereka, hanya menguntungkan orang Islam.

Malah, mereka mempersoalkan keperlembagaan penubuhan Jakim dan menuntut supaya Jakim ditutup. Yang menyedihkan ada pula NGO yang mempunyai 25 orang ahli yang kebanyakannya orang Islam dan bekas pegawai awam berjawatan tinggi juga turut melaungkan perkara yang sama dan menuntut Jakim ditutup.

Saya telah menulis satu rencana bertajuk “Adakah Jakim Menyalahi Perlembagaan? (Is Jakim Unconstitutional)” (18 Januari 2020). Untuk mengetahui lebih lanjut sila baca rencana saya itu yang boleh didapati dalam laman web saya.

Mengapa takut kritikan peruntukan yang besar kapada Jakim? Soalnya adakah ia dibuat dengan cara yang betul untuk tujuan yang berfaedah dan ia dibelanjakan dengan betul, tanpa membazir dan salahguna? Jika semuanya dilakukan dengan betul, tidak ada apa yang hendak ditakuti. Jika sebaliknya, meletakkan Jakim di bawah MRR pun tidak akan menjadikannya sah dan betul. Malah, ia akan memberi nama yang tidak baik kepada Raja-Raja.

Saya tidak nampak bagaimana meletakkan Jakim di bawah MRR boleh membersihkan keraguan dan kekeliruan mengenai bidang kuasa dan kuasa Jakim, jika ada. Bidang kuasa dan kuasanya adalah seperti yang diberi oleh Kabinet kepadanya. Sesiapa yang mengatakan ia bercanggah dengan Perlembagaan boleh membawa isu itu ke mahkamah untuk diputuskan.

Meletakkan Jakim di bawah MRR akan lebih mengelirukan lagi kerana MRR bukanlah satu kementerian atau jabatan kerajaan. MRR diwujudkan dengan tujuan dan kuasanya ditetapkan oleh Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

Adakah keputusan itu dibuat kerana orang politik cuba mengelak daripada dikritik? Jika itulah alasannya, Raja-Raja perlulah berwaspada.

Adakah Kerajaan berfikir dengan meletakkan Jakim di bawah MRR, Jakim tidak akan dikritik dan soalan mengenainya tidak akan dikemukakan di Parlimen? MRR akan dikritik dan soalan-soalan akan dikemukakan terhadap MRR. Adakah Raja-Raja suka perkara seperti itu berlaku?

Adakah ia dilakukan kerana Raja-Raja berfikir bahawa mereka lebih cekap menguruskan satu jabatan kerajaan? Jika itulah sebabnya pun, bukanlah tugas MRR atau Raja Berperlembagaan mengurus satu jabatan kerajaan.

Adakah terdapat satu kumpulan yang cuba hendak mewujudkan sebuah kerajaan-dalam-kerajaan tanpa disedari oleh Perdana Menteri? Saya harap tidak.

Akhir kata, adakah pendapat Peguam Negara diperolehi sebelum keputusan itu dibuat?

18 03 2022

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

36 visits