TSUNAMI DI ACEH BANJIR DI KELANTAN: ADA PENGAJARANNYA? (BAHAGIAN 1)

TSUNAMI DI ACEH BANJIR DI KELANTAN: ADA PENGAJARANNYA?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Aceh di Indonesia mempunyai banyak persamaan dengan Kelantan di Malaysia. Kedua-duanya adalah pusat perkembangan Islam di negara masing-masing. Penduduk di kedua-dua negeri atau provinsi itu menganggap negeri atau provinsi mereka, malah diri mereka, “lebih Islam” daripada negeri, provinsi atau penduduk di bahagian lain di negara masing-masing. Kedua-duanya hendak melaksanakan hudud. Semenjak Indonesia merdeka, Aceh berjuang untuk keluar daripada Indonesia untuk “menubuhkan sebuah negara Islam”. Semasa Semenanjung Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, ada kumpulan di Kelantan yang mahu Kelantan keluar dari Semenanjung Tanah Tanah Melayu “untuk menjaga kedudukan Kelantan sebagai sebuah negeri Melayu dan Islam”. Lebih dua pertiga daripada tempoh selepas merdeka, Kelantan di perintah oleh parti pembangkang berjenama “Islam”. Sekarang, ada satu persamaan lagi. Sepuluh tahun dahulu, Aceh dilanda tsunami yang menyebaban korban jiwa dan kemusnahan harta benda yang tidak terhingga. Sekarang, Kelantan pula dilanda banjir, walau pun kesannya tidak seteruk tsunami di Aceh, mungkin yang paling teruk dalam sejarahnya.

Akibat tsunami di Aceh, Kerajaan Indonesia dan Pemberontak Aceh bersetuju untuk berdamai. Bagaimana dengan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Kelantan, khususnya UMNO dan PAS? Tidakkah ada sesuatu pengajaran yang boleh diambil daripada Aceh? Tidakkah malapetaka itu sepatunya memberi keinsafan untuk memikirkan perkara yang lebih besar dan utama yang melibatkan agama, bangsa dan negara daripada kepentingan diri dan parti?

Dalam ucapan-ucapan dan rencana-recana saya sebelum ini saya telah menghujahkan mengapa, dalam keadaan politik di Malaysia sekarang, UMNO dan PAS pertu berkerjasama. Ringkasnya, disebabkan oleh perpecahan orang Melayu orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, telah nampak peluang, jika tidak untuk merampas kuasa politik pun, sekurang-kurangnya untuk meperkuatkan kedudukan politik mereka, dengan memperalatkan PKR dan PAS. Tanpa kerjasama PAS, cita-cita mereka tidak akan berjaya.

Seterusnya saya menghujahkan, jika rancangan mereka berjaya, hak-hak orang Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan agama Islam akan tergugat. Maka, demi untuk mengelaknya berlaku dan demi untuk mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Perkutuan, Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang merstilah dipertahanan. Satu-satunya jalan untuk berbuat demikian ialah dengan orang Melayu bersatu semula, khususnya UMNO dan PAS hendaklah berkerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan.

Daripada pemerhatian saya, UMNO lebih bersedia untuk “berkerjasama” dangan PAS. Saya fikir, dari segi prinsipnya UMNO boleh bersetuju. Yang menjadi persoalannya hanya caranyanya dan, kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong mereka, untung-rugi mereka, secara peribadi.

Tetapi, pada masa ini, PAS lebih keras tidak mahu berkerjasama dengan UMNO. Biar apa pun, antara sebab-sebabnya, satu sebab yang menjadi penghalang utama, ia itu “PAS Islam UMNO kafir” sudah tidak ada. PAS sudah tidak berkata “UMNO kafir” lagi malah ia tidak suka diperingatkan bahawa ia pernah berkata demikian. Tanpa “sebab akidah” itu, sebab-sebab lain yang tinggal hanyalah “sebab-sebab keduniaan” yang tidak berbeza daripada apa yang ditakuti oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong-penyokong mereka.

Mari kita lihat antara sebab-sebab mengapa PAS kurang cenderung (atau tidak bersedia) berkerjasama dengan UMNO. Pertama, PAS “serik” dengan apa yang pernah berlaku dahulu. Biar apa pun yang pernah berlaku (saya tidak berkata siapa benar siapa tidak dalam hal itu) soalannya, adakah kerana “serik” PAS tidak mahu berfikir lagi apa yang akan terjadi kepada kedudukan agama Islam dan orang Melayu yang di peringkat awal perjuangannya manjadi dua asas yang paling penting? Adakah kerana marah kepada UMNO, PAS tidak peduli lagi apa yang akan terjadi kepada kedudukan agama Islam dan orang Melayu di Malaysia?

Kedua, dalam PAS sekarang terdapat kumpuan “bukan ulamak”. Kumpulan ini mengagung-agungkan pemimpin-pemimpin dan Parti Kominis Malaya; menyokong Gereja Katholik dalam isu kalimah Allah dan nampaknya menyokong apa sahaja yang dicadangkan oleh DAP, semata-mata untuk mendapat undi orang bukan Melayu untuk terus menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Golongan ini jelah telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal PAS. PAS lebih baik menyingkir mereka. PAS tidak sepatutnya takut kehilngan penyokong-penyokong Melayu/Islam. Mereka menyertai PAS kerana “ulamak” yang memimpin PAS, bukan kerana kumpulan itu.

Jika PAS dapat mengatasi dua faktor itu, saya fikir alasan yang tinggal hanyalah sama dengan alasan yang dikhuatiri oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong-penyokong mereka. Soalan kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS ialah, apakah yang mereka perjuangkan? Kepentingan agama, bangsa dan negara atau kepentingan diri? Fikirlah.

30 Disember 2014

[email protected]
www.tunabdulhamid.my

203 visits