UCAPAN PENGERUSI LPPR DI KONVENSYEN SPRM

KONVENSYEN SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
UCAPAN PENGERUSI LEMBAGA PENASIHAT PENCEGAHAN RASUAH 


Apabila saya bersara, saya sangka saya tidak perlu lagi mengejar masa tetapi boleh menikmati baki masa yang masih ada yang dikurniakan Allah s.a.w kepada saya. Tetapi, nampaknya, saya tidak boleh berbuat demikian sepenuhnya. Walau bagaimana pun saya amat bersyukur dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh Kerajaan, lebih-lebih lagi oleh SPRM. Bagi saya, pelantikan saya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) itu adalah satu penghormatan yang menyebabkan saya tertanya diri saya sendiri: mungkinkah ini satu petanda bahawa saya telah berbuat perkara yang betul sepanjang 40 tahun kerjaya saya, daripada seorang Majistret kepada Ketua Hakim Negara?

HAMKA pernah berkata “Mati adalah permulaan harga hidup”. Dalam ucapan pesaraan saya, saya berkata “Pesaraan adalah saat penilaian keseluruhan kerjaya kita.”

Saya menceritakan semua ini bukan kerana tuan-tuan dan puan-puan akan bersara dalam masa yang terdekat, tetapi kerana setiap orang akan bersara suatu hari, insya Allah. Pada hari itu, bukan sahaja orang ramai yang mengetahui kita, tetapi kita sendiri juga, akan menilai diri kita. Harapan saya ialah bahawa kita senentiasa mengingati saat penilaian itu selain daripada “Hari Penghakiman Terakhir.” Jika kita mengingati kedua-dua ini, kita tidak akan tergelincir.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Di kebelakangan ini, kita kerap mendengar orang menggunakan perkataan “ketelusan” atau “transparency.” Sesebuah organisasi perlu telus. Ia akan mengurangkan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Tetapi di peringkat individu, seseorang itu perlu jujur. “Telus” adalah pandangan orang dari luar. “Jujur” adalah suatu sifat dalaman kita yang kita sendiri tahu di samping Allah s.a.w. Kedua-duanya adalah perlu: individu perlu jujur dan organisasi perlu telus.

Kita biasa dengar orang-orang yang merasa kecewa berkata: Kejujuran tidak akan membawa kita ke mana-mana. Orang yang pandai bodeklah yang akan naik pangkat, kata mereka. Daripada pengalaman saya, saya tidak bersetuju. Mungkin pada sesuatu masa yang tertentu, apa yang berlaku nampaknya menyokong pandangan itu. Tetapi, perhatilah di penghujungnya. Di sini saya ingin ulangi apa yang saya katakan dalam ucapan pelantikan saya sebagai Ketua Hakim Nagara: Percayalah, bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kejujuran akan mengatasi segala-galanya. Percayalah bahawa dalam hidup ini, akhirnya, kebenaran akan terserlah juga.

Maka, saya menyarankan kepada setiap pegawai dan kakitangan SPRM supaya mereka menjadikan kejujuran sebagai amalan hidup mereka dan kepada SPRM sebagai satu organisasi supaya telus dalam segala tindakan dan keputusannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Parlimen telah membuat undang-undang menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malysia (SPRM). Bersama-samanya ditubuhkan juga Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JK) dan Jawatankuasa Aduan (JA). Di samping itu, sebuah Panel Penilaian Operasi juga telah ditubuhkan secara pentadbiran. Reaksi saya yang pertama ialah terdapat terlalu banyak jawatankuasa sehinggakan masing-masing tidak jelas apakah bidangkuasa masing-masing. Tetapi, bukanlah untuk saya menyoalnya. Saya harap pengalaman akan membantu kita mengenai peranan masing-masing.

Sebagai Pengerusi LPPR, saya hanya akan menyentuh mengenai fungsi LPPR. Ini diperuntukkan oleh seksyen 13:

“(5) Lembaga Penasihat hendaklah mempunyai fungsi yang berikut:

  1. Untuk menasihati Suruhanjaya tentang apa-apa aspek rasuah di Malaysia;
  2. Untuk menasihati Suruhanjaya tentang dasar dan strategi Suruhanjaya dalam usahanya untuk membenteras rasuah;
  3. Untuk menerima, meneliti dan mengendorskan cadangan daripada Suruhanjaya ke arah penjalanan cekap dan berkesan Suruhanjaya;
  4. Untuk meneliti dan mengendorskan keperluan sumber Suruhanjaya untuk memastikan keberksanannya;
  5. Untuk meneliti laporan tahunan Sruhanjaya sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah;
  6. Untuk mengemukakan ulasannya tentang penjalanan oleh Suruhanjaya akan fungsinya di bawah Akta ini kepada Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah.”

Maka, nampaknya, secara ringkas, fungsi LPPR boleh dibahagi kepada tiga:

  1. Menasihat SPRM mengenai apa-apa aspek rasuah di Malaysia dan mengenai dasar dan stategi untuk membenteras rasuah;
  2. Meneliti cadangan, keperluan dan laporan tahunan;
  3. Mengemukakan ulasannya mengenai penjalanan Suruhanjaya.

Ertinya, fungsi LPPR adalah fungsi umum berkaitan dengan SPRM bukan untuk campur tangan dalam penyiasatan atau pendakwaan sesuatu kes. Sebagai misalan, LPPR tidak boleh mengarahkan SPRM supaya menyiasat atau tidak menyiasat sesuatu kes atau mendakwa atau tidak mendakwa seseorang. Yang pertama terletak dalam bidangkuasa pegawai-pegawai SPRM dan yang kedua terletak dalam bidangkuasa Pendakwa Raya. Juga, perlu disebut bahawa penasihat undang-undang SPRM adalah Jabatan Peguam Negara, bukan LPPR ataupun saya. LPPR bukanlah SPRM. Ia adalah Lembaga Penasihat SPRM. LPPR tidak mempunyai kuasa menyiasat mahupun mendakwa. Kuasanya adalah seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang yang saya sebutkan tadi. Jika seseorang atau sesuatu pihakberkuasa yang melakukan sesuatu perkara di luar bidangkuasanya dikatakan “menyalahgunakan kuasa”, demikian juga dengan SPRM dan LPPR. Maka, masing-masing hendaklah melaksanakan tugas masing-masing dalam lingkungan bidangkuasa masing-masing. Masing-masing tidak boleh membuat undang-undang sendiri untuk memberi lebih kuasa kepada masing-masing. Tidak ada sesiapa yang boleh mengarah atau menekannya untuk berbuat sesuatu di luar bidangkuasa masing-masing. Itulah pendirian saya mengenai LPPR dan itu jugalah harapan saya terhadap SPRM: Bertindaklah mengikut undang-undang dalam lingkungan bidangkuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang. Jika kita berbuat demikian, tidak ada sesiapa yang boleh menyalahkan kita walaupun mereka tidak berpuashati dengan tindakan atau keputusan kita.

Pegawai-pegawai SPRM, sama seperti Hakim-Hakim, tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Setiap tindakan atau keputusan yang dibuat akan menyebabkan satu pihak tidak puas hati. Ada kalanya, kedua-dua pihak tidak puas hati. Maka apa yang penting ialah bukan kita berbuat sesuatu untuk memuaskan hati sesiapa, tetapi membuat sesuatu yang kita, dengan jujur, fikir adalah betul, mengikut undang-undang.

Perlu juga dijelaskan bahawa LPPR bukanlah satu tribunal rayuan atau sebuah mahkamah yang mempunyai bidangkuasa penyemakan semula kehakiman (judicial review powers) untuk mendengar rayuan atau permohonan seseorang yang tidak puas hati dengan sesuatu keputusan yang di buat oleh SPRM baik dalam siasatan atau pendakwaan dalam sesuatu kes tertentu. Bukanlah tugas LPPR untuk mengambil alih arahan mengenai penyiasatan atau pendakwaan. Yang pertama adalah tugas SPRM dan yang kedua adalah tugas Pendakwa Raya. Tetapi, jika sesuatu keputusan atau tindakan SPRM atau Pendakwa Raya dalam kes-kes tertentu dalam bidangkuasa SPRM yang mempunyai implikasi yang serius terhadap kewibawaan SPRM secara umum dan LPPR mendapati ada sebab-sebab yang munasabah ia patut dipertimbangkan semula, maka, pada pandangan saya, tidaklah salah jika LPPR meminta SPRM mahupun Pendakwa Raya untuk mengakaji dan mempertimbangkannya semula. Itulah pandangan saya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Di mesyuarat pertama LPPR, saya bertanya Dato’ Abu Kassim apakah masalah yang paling besar yang dihadapi oleh SPRM pada masa ini. Jawabnya: “Persepsi”. Semua anggota LPPR bersetuju dengannya. Mungkin nasib saya, saya tidak tahu baik atau tidak, itu jugalah masalah paling besar Badan Kehakiman apabila saya dilantik menjadi Ketua Hakim Negara.

Persepsi tidak terbentuk dalam masa satu hari atau daripada satu peristiwa. Ia mengambil masa yang agak panjang dan berdasarkan keseluruhan peristiwa, ada yang benar, ada yang separuh benar malah ada yang tidak benar. Untuk membetulkan persepsi adalah lebik sukar dan akan mengambil masa yang lebih lama.

Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, salah seorang ahli LPPR, dalam satu kertas untuk perbincangan LPPR menyebut bahawa antara sebab-sebab mengapa berlakunya persepsi sedemikian ialah (saya memetik sebahagian daripada inti-patinya):

  1. Rasuah dalam parti memerintah, seperti politik wang, patronage dan pemberian kontrak yang diakui sendiri oleh pemimpin-pemimpinnya.
  2. Terdapat aduan-aduan kes-kes rasuah berprofail tinggi yang orang ramai merasai kurang diambil tindakan.
  3. Pendedahan mengenai rasuah oleh media massa dan blog lebih daripada sebelumnya. Ini memberi gambaran bahawa rasuah telah meningkat. (Mengikut “ranking” yang dibuat oleh Transparency International, jumlah mata yang diperolehi Malaysia ialah 4.9 bagi tahun 2001 dan 5.1 dalam tahun 2007 dan 2008. Ertinya tidak banyak perubahan. Tetapi, negara-negara lain telah memberbaiki kedudukan mereka menyebabkan kedudukan Malayisa jatuh daripada nombor 43 kepada 47 daripada 180 buah Negara. Walau bagaimana pun kedudukan Malaysia di rantau ini ini ialah nombor dua terbaik, selepas Singapura.)
  4. Ekspliotasi oleh parti-parti pembangkang dan pengktitik-pengkritik Kerajaan.
  5. Kumunikasi yang kurang baik oleh Kerajaan dan Badan Pencegah Rasuah (dahulu) mengenai tindakan yang telah diambilnya dan mengapa tindakan tidak diambil dalam kes-kes lain.
  6. Badan Pencegah Rasuah (dahulu) di anggap tidak bebas dan tertakluk kepada kawalan Eksekutif dan politik.
  7. Kurangnya ketelusan dalam pemerolehan (“procurement”), keputusan dan transaksi Kerajaan.
  8. Kurangny kepercayaan dan keyakinan terhadap institusi-institusi kerajaan dan kebangsaan seperti Badan Kehakiman, Badan Perundangan, Eksekutif, Pendakwa Raya, Badan Pencegah Rasuah dan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis, Imigresen, Kastam dan Puspakom, hingga ada kalanya sampai ke tahap yang tidak rasional.

Bagaimana cara mengatasinya? Sekali lagi saya menyedut inti-pati daripada kertas Tan Sri Mohamed Jawhar sambil menokok tambah di mana sasuai:

  1. Perlunya ada “political will” untuk mengelak dan membasmi rasuah. Pemimpin-pemimpin Kerajaan, Persekutuan dan Negerai, pemimpin-pemimpin politik, pegawai-pegawai tinggi Kerajaaan dan sebagainya, mestilah menunjukkan komitment yang bersungguh-sungguh untuk mengelak daripada terlibat dalam amalan rasuah dan berusaha membasminya di kalangan pegawai-pegawai bawahan mereka. Kepimpinan melalui teladan mestilah diamalkan, bukan sekadar menjadi cogankata.
  2. emastikan bahawa unit-unit perhubungan awam diberi peruntukan yang cukup dan mempunyai pegawai-pegawai professional dan terlatih, misalannya dalam bidang komunikasi.
  3. Merangka dasar komunikasi awam yang merangkumi prinsip, wawancara akhbar, kenyataan akhbar, publications dan lain-lain.
  4. Menyediakan kenyataan-kenyataan dasar, publisiti mengenai perkara-perkara yang menarik minat orang awam dengan teliti. Membuat respons dengan segera terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh media massa dan internet.
  5. Berusaha menjadikan SPRM sebagai badan yang bebas, tidak bertolak ansur dan cekap dalam membasmi rasuah.
  6. Mempertingkatkan dan mempercepatkan penyiasatan dan pendakwaan kes-kes rasuah yang berprofail tinggi.
  7. Menguatkuasakan undang-undang tanpa takut dan pilih kasih.
  8. Menetapkan sasaran (target) dan KPI untuk pembasmian rasuah di SPRM dan di semua agensi penguatkuasaan.
  9. Menambah kemampuan risikan, penyiasatan dan pendakwaan SPRM bukan sahaja dari segi tanaga manusia dan peruntukan kewangan tetapi juga latihan dan kepakaran yang berkaitan.
  10. Menjadikan rasuh suatu yang jijik dan dibenci masyarakat melalui program-program di sekolah, media massa, parti politik dan jabatan-jabatan kerajaan.
  11. Memberi penekanan khusus supaya membenci rasuah dalam kursus-kursus latihan dan penetapan nilai (‘value setting’) di agensi-agensi penguatkuasaan.
  12. Menjadikan perkhidmatan dan transaksi di jabatan kerajaan lebih telus dan “accountable”.
  13. Mempercepatkan penyelaisan kes-kes rasuah di mahkamah. Hakim-hakim di semua peringkat hendaklah memandang kesalahan-kesalahan rasuah sebagai kesalahan-kesalahan yang serius dan tidak teragak-agak untuk menjatuhkan dan mengesahkan hukuman-hukuman yang berat.
  14. Mengurangkan “bureaucracy” dan lapisan pemberi kelulusan sesuatu permohonan tanpa mengurangkan kecekapan dan keperluan “minimum check and balance”.
  15. Mewujudkan lebih banyak perkhidmatan kerajaan secara “on-line” supaya peluang rasuah akan berkurang.
  16. Mengurangkan “human factor”, memilih dan meletakkan hanya pegawai-pegawai yang betul-betul berwibawa di kedudukan berisiko tinggi. Ini hendaklah diperuntukkan oleh proses pemilihan.
  17. Mengamalkan pertukaran pegawai-pegawai di jawatan-jawatan di agensi-agensi berisiko tinggi melainkan pegawai-pegawi yang terbukti kewibawaannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya akui semua ini lebih mudah disebut daripada dilaksanakan. Saya akui bahawa idea-idea ini bukan muktamad. Ia perlu di bahaskan satu persatu terutama sekali dalam pelaksanaannya. Mungkin ada factor-faktor lain yang perlu diambil kira dalam setiap cadangan ini semasa melaksanakannya. Saya akui semua ini tidak boleh dilakukan oleh pegawai-pegawai SPRM sahaja, walau pun jika bilangannya ditambah sekali ganda dan semuanya cekap dan berwibawa. Tetapi, kita tidak patut takut untuk perfikir, mencari jalan dan memcuba idea-idea baru (mahupun lama) hanya kerana ianya pada pandangan kasar nampaknya seperti “mustahil” boleh dilaksanakan. Dalam sejarah manusia, perkara-perkara yang nampak “mustahil” pada permulaannya itulah yang, apabila dilaksanakan, akan membawa kepada perubahan besar. Kita cuba, setiap jabatan perlu cuba, pemimpin-pemimpin politik perlu cuba dan setiap orang termasuk orang awam perlu memberi sokongan. Perkara yang dianggap “mustahil” boleh berlaku, jika tidak sepenuhnya, mungkin separuh atau sebahagian. Menolaknya dari awal hanya bererti ia pasti tidak akan berlaku. Sama-samalah kita berusaha.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam setiap kajadian rasuah semestinya ada pemberi dan penerima. Dalam rasuah yang besar, biasanya pemberi adalah “lebih besar” daripada penerima. Merekalah yang membuat keuntungan besar sedangkan penerima mendapat sedikit habuan. Tetapi, biasanya penerima itulah yang yang akan menjadi sasaran penyiasatan dan pendakwaan dan yang kerap menerima hukuman. Saya tidak sekali-sekali mengatakan bahwa kita patut memberi perhatian dan mengambil tindakan yang berkurangan terhadap penerima-penerima. Setiap seorang yang menerima rasuah, kecil atau besar, mesti diburu berhabis-habisan. Mereka mesti disedarkan bahawa “crime does not pay”. Tetapi, di samping itu, kita mestilah mencari jalan bagaimana hendak memburu dan membawa pemberi-pemberi rasuah ke muka pengadilan. Saya tahu ianya susah. Saya sendiri tidak dapat memikirkan satu cara yang berkesan untuk menangani masalah ini. Marilah sama-sama kita memikirkannya.

Dan, apabila kita mendapat satu kes seperti itu, kita buru berhabis-habisan, kita tugaskan penyiasat-penyiasat yang paling cekap, berdedikasi dan berpengalaman untuk menyiasat, kita tugaskan pendakwa-pendakwa yang paling cekap dan perpengalaman untuk mendakwanya dan, jika terbukti kesalahannya, kita harap mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang berat, untuk menjadi pengajaran kepada semua.

Mengapa Singapura lebih berjaya dalam menangani masalah rasuh dan jenayah amnya? Satu daripada sebabnya ialah mahkamahnya memberi pandangan yang serius dalam menjatuhkan hukuman, apabila kesalahan terbukti. Malah Hakim Besarnya akan turun mendengar rayuan-rayuan jenayah sendiri di Mahkamah Tinggi. Beliau boleh berbuat demikian kerana Mahkamah Tinggi Singapura terletak hanya di satu tempat, iaitu di bangunan yang sama dengan pejabat Hakim Besar itu. Tetapi, apa yang boleh dilakukan di Malaysia, terutama sekali bagi kes-kes rasauh yang besar, ialah bahawa Presiden Mahkamah Rayuan sendiri akan mengetuai persidangan-persidang mahkamah itu dan menetapkan haluan “sentencing” bagi kes-kes rasuah. Jika tidak pun, saya harap Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan akan melakukannya. Saya menyebut Mahkamah Ruyuan adalah kerana kes-kes rasuah yang bermula di Mahkamah Sesyen berakhir di Mahkamah Rayuan. Bagi kes-kes yang bermula di Mahkmah Tinggi dan samapai ke Mahkamah Persekutuan, saya harap Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan akan mengambil alih tugas itu. Semestinya penghakiman Mahkamah Persekutuan akan diikuti oleh Hakim-Hakim di mahkamahmahkamah di bawahnya.

Akhir sekali, dalam memerangi rasuah, saya menyeru orang awam, malah setiap warga Negara Malaysia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan dan pendakwaan kes-kes itu. Janganlah hanya sekadar melempar tuduhan-tuduhan liar, tetapi tidak mahu berkerjasama dengan pegawai-pegawai SPRM apabila dipanggil untuk ditemuduga. Pertuduhan tidak dapat dibuktikan tanpa saksi. Tertuduh tidak dapat disabitkan tanpa bukti.

Sekian. Terima kasih.

84 visits