HUDUD DAN PERPADUAN MELAYU/ISLAM DI MALAYSIA

HUDUD DAN PERPADUAN MELAYU/ISLAM DI MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Bahagian 1
Hudud: Perlembagaan dan Perundangan

Bidangkuasa Persekutuan dan Negeri di tetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan). Undang-undang jenayah terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan. Kuasa membuat undang-undang Persekutuan terletak kepada Parlimen Persekutuan (Parlimen). Perlembagaan juga memberikuasa kepada Badan Perundangan Negeri (BPN) untuk membuat undang-undang bagi mewujudkan kesalahan-kesalahan berkenaan suruhan agama Islam (“precepts of Islam”) khusus bagi orang-orang yang menganut agama Islam sahaja. (Penggunaan kata-kata “jenayah Islam” bagi kesalahan-ksalahan itu tidak tepat kerana terlalu luas). Parlimen tidak boleh membuat undang-undang mengenai perkara yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri dan BPN tidak boleh membuat undang-undang mengenai perkara yang terletak di bawak bidangkuasa Persekutuan. Jika dilakukan, undang-undang itu tak sah.

Selain daripada itu, bagi kesalahan-kesalahan yang terletak di bawab bidangkuasa Negeri pun, terdapat had hukuman yang boleh diperuntukkan. Ia ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan ia itu Akta Mahkamah Syari’ah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang menghadkan hukuma penjara tidak lebih daripada tiga tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000. Jika BPN menetapkan hukuman selain daripada itu atau lebih daripada itu, peruntukan itu tak sah.

Undang-undang jenayah Persekutuan terkandung di dalam Penal Code (memberi satu misalan mudah yang telah wujud semenjak 1936. Semestinya kesalahan-kesalahan yang terkandung di dalamnya adalah “undang-undang jenayah”. Jika tidak apa lagi?

Sepanjang yang saya tahu, Parlimen tidak pernah melanggar bidangkuasa Negeri. Masalah timbul sekarang kerana BPN cuba melanggar bidangkuasa Persekutuan.

BPN Kelantan telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) dan Pindaan 2015. Enakmen itu membuat undang-undang (legislate) mengenai undang-undang jenayah Persekutuan yang terdapat dalam Penal Code, mengenakan hukuman berlainan dan lebih daripada yang dibenarkan oleh Akta 355, oleh itu bercanggah dengan Perlembagaan dan Akta 355 dan, oleh itu, tak sah dan batal.

Meminta kebenaaran Parlimen kemudian dam meminda Akta 355 kemudian tidak akan menjadikannya sah, sebab pada masa BPN membuat undang-undang, ia tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.

Apakah Kerajaan Negeri Kelantan (Kelantan) boleh buat sekarang? Enakmen itu hendaklah diketepikan sahaja. Selain daripada itu, ada beberapa pilihan yang Kelantan boleh buat. (Untuk memudahkan perbincangan saya tumpukan kepada hudud sahaja) Pertama, Kelantan boleh minta Kerajaan Persekutuan (Persekutuan) untuk meminda Akta 355 untuk membolehkan BPU membuat undang-undang bagi mengenakan hukuman hudud yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri (zina, menuduh orang berzina, murtad, meminum minumam yang memabukkan). Jika Persekutuan melalui Parlimen meminda Akta 355, maka BPN bolehlah membuat semula undang-undang yang mengenakan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan tersebut. Undang-undang itu adalah undang-undang Negeri, terpakai kepada orang Islam sahaja dan ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah. Saya namakan ini sebagai Pilihan Pertama.

Pilihan Kedua yang boleh dilakukan oleh Kelantan ialah meminta Parlimen supaya membenarkan BPN membuat undang-undang (legislate) mengenai kesalahan hudud yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan (membunuh, mencuri, merompak, merogol). Jika Parlimen memberi kebenaran tersebut, maka bolehlah BPU membuat undang-undang (legislate) untuk mengenakan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan itu. Tetapi, perlu diingati bahawa kesalahan-kesalahan itu kekal sebagai undang-undang jenayah Persekutuan. Sebabnya Parlimen hanya membenarkan BPN membuat undang-undang (legislate) mengenainya. Parlimen tidak memindahkan kesalahan-kesalahan itu daripada bidangkuasa Persekutuan kepada bidangkuasa Negeri. Untuk berbuat demikian Perlembagaan perlu dipinda. Ia memerlukan undi dua pertiga. Kesalahan-kesalahan itu terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan ditadbirkan oleh Mahkamah Sivil. Adakah itu yang Kelantan mahu? Persekutuan perlu fikir tentang implikasinya:
1. Adakah orang bukan Islam di Kelantan menerima hukuman hudud bagi kesalahan-kesalahan itu?
2. Sanggupkah Persekutuan menyerahkan sebahagian daripada undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidangkuasanya kepada Kelantan untuk dipakai hukuman hudud baginya?
3. Mahukah Persekutuan melihat, bagi beberapa kesalahan yang sama, di Kelantan lain hukumannya dan di negeri-negeri lain, lain pula hukumannya?

Pilihan Ketiga ialah gabungan Pilihan Pertama dan Kedua dengan implikasi-implikasinya sekali. Paling ketara ialah di Kelantan akan ada dua set “undang-undang hudud”: satu set di bawah undang-undang Negeri, terpakai kepada orang Islam sahaja dan dibicarakan oleh Mahkamah Syari’ah manakala satu set lagi adalah undang-undang Persekutuan yang tepakai kepada orang Islam dann bukan Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Itukah yang dikehendaki?

Pilihan Keempat ialah minta Kerjaan Persekutuan meminda Penal Code an mengenakan hukuman hudud kepada kesemua kesalahan hudud yang terletak di bawah bidangkusa Persekutuan. Jika itu dilakukan, kesalahan-kesalahan hudud Persekuauan itu (bunuh, merompak, mencuri, merogol, liwat) akan kekal sebagai undang-undang jenayah Persekutuan yang terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan dibicarakan oleh Mahkama Sivil. Sanggupkah Persekutuan berbuat demikian? Adakah Kelantan mahu keadaan seperti itu? Sanggupkah orang bukan Islam menerimanya?

Pilihan Kelima ialah gabungan Pilihan Pertama dengan Pilihan Keempat dengan kesemua implikasinya.

Bahagian 2
Hudud: Hukum dan Pelaksanaan

Saya tidak menyentuh soal hukum kerana saya bukan ahli dalam bidang Syari’ah. Namun demikian, saya fikir tidaklah salah jika saya menyebut satu perkara ia itu hudud adalah hukuman maksima bukan mandatori. Ertinya, bagi kesalahan yang sama, dalam keadaan tertentu, hukuman lain yang lebih ringan boleh dikenakan. Sebagai misalan, Umar Ibn Al-Khattab menggantungkan hukuman hudud bagi mencuri di musim kelaparan. Demikian juga di Brunei, jika selepas Perintah 2013 mengenai hudud dilaksanakan sekali pun (setakat ini belum), mengikut apa yang dicadangkan, jika di peringankat penyiasatan lagi, didapati tidak ada keterangan untuk mensabitkan tertuduh dan menghukumnya dengan hukuman hudud, tertuduh akan dituduh di Mahkamah Sivil, jika ada keterangan yang cukup mengikut Akta Keterangan (Sivil).

Perbincangan utama kita ialah mengenai pelaksanaan. Misalan yang dilakukan oleh Umar Ibn Khattab juga berkenaan dengan pelaksanaan. Undang-undang hudud telah dijadikan undang-undang negara, tetapi bagi tempoh berkenaan hukuman itu digantung. Kita berada dalam scenario yang berbeza sedikit. Kita belum menjadikannya undang-undang negara. Soalnya sama ada ia patut dijadikan undang-undang negara, dalam keadaan yang kita hadapi sekarang. Adakah perbezaan itu perbezaan yang material? Pada pandangan saya tidak, kerana kesannya sama: hukuman itu tidak akan dilaksanakan. Soalan berikutnya ialah, adakah musim kelaparan satu-satunya alasan yang memungkinkan penggantungan atau ketidak pelaksanaan hukuman hudud? Seribu empat ratus tahun selepas Umar Ibn Al-Khattab melakukan ijtihadnya, tidakkah ada ruang untuk berijtihad lagi?

Dalam menimgbang sama ada hendak membuat dan melaksanakan sesuatu undang-undang, pihakberkuasa perlu menimbang berbagai-bagai faktor. Pertama, pemerintah tidak dapat mengelak hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berperlembagaan. Maka, dalam membuat sesuatu undang-undang, ia mesti dilakukan dalam lingkungan bidangkuasa masing-masing, Persekutuan dan Negeri.

Kedua, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Pandangan pengundi Islam dan bukan Islam perlu diambil kira. Terutama sekali dalam keadaan pada masa ini, di mana keduduan Kerajaan Persekutuan UMNO-BN tidak kukuh, faktor pelaksanaan hudud boleh menjadi sebab jatuhnya kerajaan itu. Soalnya, mana lebih penting di antara mengekalkan pemerintahan UMNO-BN (mungkin tambah PAS) atau melepaskan Kerajaan Persekutuan kepada pakatan pembangkang dengan DAP dan parti-parti Kristian Sabah dan Sarawak menjadi parti-parti dominan? Mana lebih merugikan Melayu dan Islam?

Ketiga, (in berkaitan dengan hujah kedua) kita mesti menyedari hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama dengan majoriti orang Islam yang kecil. Faktor ini perlu diambil kira. Dalam hal ini, keadaan di Malaysia adalah berbeza daripada keadaan di Kelantan yang majority bersarnya adalah orang Melayu, Islam dan PAS yang terpikat dengan janji pilihanraya untuk melaksanakan hudud semata-mata atas hujah hudud adalah hukum Allah dan menentangny bererti menentang hukum Allah. Bagi PAS, memanglah sukar untuk mengatakan sesuatu yang berlainan, kerana takut kehilangan undi. Sebenarnya faktor hilang undi itu tidak betul. Pada masa ini, di Malaysia, hanya PAS yang paling vocal dan konsisten pendiriannya mengenai melaksanakan hudud. Jadi, jika pelaksanaan hudud begitu penting bagi mereka, mereka akan kekal menyokong PAS, kerana, untuk tujuan itu, PASlah pilihan terbaik. Kelantan tidak akan jatuh kepada UMNO, apatah lagi kepada pakatan DAP-PKR-GHB jika PAS berlembut sedikit mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan. PAS telah melakukan perkara yang serupa semasa menyertai Pakatan Rakyat hingga ia tidak menyebut kata-kata “Negara Islam” sebaliknya menggunakan kata-kata “Negara Kebajikan”

Dalam keadaan sekarang, PAS dan Kelantan perlu memikirkan mudarat yang lebih besar yang bakal menimpa orang Melayu dan Islam jika Kerajaan Persekutuan jatuh ke tangan pembangkang. Segala projek, usaha dan perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat untuk orang Melayu dan Islam akan terbantut. Impian untuk melaksanakan hudud juga akan berkecai.

Keempat, kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kelantan perlu ingat bahawa salah satu terma rujukan yang diberi kepada Suruhanjaya Reid adalah untuk membentuk sebuah negara Persekutuan yang kukuh. Sebab itulah, antara lain, undang-undang jenayah diletakkan di bawah Persekutuan. Jika sususan ini dirombak ia mungkin akan melemahkan negara Persekutuan Malaysia dan membawa kepada perpecahan.

Kelima, masalah keperlembagaan dan perundangan yang berserabut yang tidak dihadapi oleh Brunei, Pakistan mahupun Saudi Arabia yang disebut dalam Bahagian 1, yang tidak memungkinkan satu jalan keluar yang memuaskan, perlu diambil kira.

Keenam, pelaksanaan hudud oleh negara-negara di dunia di zaman ini nampaknya tidak berjalan dengan baik:
1. Di Pakistan, setelah kesalahan rogol dijadikan kesalahan hudud selama beberapa tahun, ia telah dipindahkan semula ke Penal Code sebagai kesalahan jenayah biasa. Sebabnya kerana berlaku ketidakadilan kepada perempuan yang dirogol dan mengandung tetapi tidak berjaya mengemukakan empat orang saksi. Mereka dihukum kerana berzina.
2. Di Nigeria, beberapa Negeri melaksanakan hudud tanpa berbincang dengan Persekutuan sedangkam Polis, Penjara dan undang-undang keterangan berada dibawah Kerajaan Persekutuan. Pelaksanaannya tidak seperti yang diingini dan undang-undang hudud semakin dilupai. Mengikut satu kajian seorang penyelidik dari Universiti Abuja, Nigeria pelaksanaan hudud tidak mengurangkan kes-kes rompakan dan seumpamanya. Disebuah Negeri terdapat lebih daripada 20 orang pesalah yang menunggu pelaksanaan hukuman hudud, ada yang melebihi tujuh tahun kerana Governor di Negeri itu enggan menandatangi perintah pelaksanaan hukuman itu. Alasannya? Hakim-Hakim Mahkamah Syariah tidah mengikut prosedur dalam mensabit dan menghukum mereka. Biar apa pun, ada sesuatu yang tak kena. Kajian itu mencadangkan pelaksanaan hudud di Negeri berkenaan digantungkan.
3. Di Sudan, dalam bulan Mac 2013 Timbalan Hakim Besar, Mahkamah Agung, Sudan mengeluar amaran kepada doktor-doktor jika mereka enggan melaksanakan hukuman hudud (misalnya potong tangan) beliau akan melatih Hakim-Hakim melakukannya. Ertinya ada sesutu yang tak kena juga.
4. Di Saudi Arabia, yang dilihat sebagai negera contoh dalam pelaksanaan hudud, mengikut sember-sumber yang boleh dipercayai, kesalahan hudud tidak dikanunkan. Terserahlah kepada Hakim-Hakim untuk melaksananya atau tidak. Hakim-Hakim itu hanya melaksanakannya terhadap orang luar (pendatang). Seorang Profesor Syari’ah yang melihat hukuman potong tangan di Saudi Arabia berkata cara orang ramai bersorak dan memaki hamun pesalah bukanlah cara Islam.
5. Brunei, yang tidak mempunyai masalah keperlembagaan, perundangan dan politik seperti Malaysia masih belum menguatkuasakan hukuman hudud. Undang-undang Keterangan, prosedur yang perlu mengenai penyiasatan, pendakwaan, dan pelaksaan hukuman masih dalam berbincangan.

Ketujuh, negara-negara yang melaksanakan hudud bukan terdiri daripada negara-negara yang aman, tenteram dan selamat yang mempunyai kadar jenayah yang rendah. Keadaan yang lebih baik di Saudi Arabia bukanlah kerana pelaksanaan hudud tetapi kerana ia sebuah negara kaya. Namun demikian, tidakkah larangan perempuan memandu kereta dan keluar rumah tanpa ditemani saudara mara lelaki mempunai kaitan dengan keselamatan mereka? Negara-negara yang mempunyai kadar jenayah rendah adalah Sweden, Belgium, Norway dan Jepun.

Kelapan, sekarang kita mahu doktor melakukan hukuman hudud seperti potong tangan. Adakah kita sendiri sudah merasa ianya terlalu ngeri dan kejam untuk melakukannya seperti yang dilakukan di zaman dahulu? Bagaimana jika para doktor enggan melakukannya kerana kerja mereka adalah merawat bukan mencederakan?

Kesembilan soal iamge terhadap Islam yang diburukkan lagi oleh Taliban, ISIS dan Boko Haram yang melakukan kezaliman atas nama hendak melaksanakan Syari’ah.

Semua faktor-foktor ini perlu ditimbang oleh Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Kelantan sebelum membuat sesuatu keputusan.

Bahagian 3
Hudud: Perpaduan Melayu dan Umat Islam di Malaysia

Hari ini orang Melayu dan umat Islam di Malaysia berada dalam satu situasi yang paling mencemaskan dalam sejarah. Ia berhadapan dengan kemungkinan paling serius ia itu terlepasnya kuasa memerintah. Sebabnya bukan kerana bilangan orang Melayu dan Islam semakin kecil tetapi sebab mereka berpecah belah sedangkan orang bukan Melayu, terutamanya Cina, yang nampak peluang untuk mengambil alih kuasa, bersatu sambil memperalatkan orang Melayu yang marah atau tertarik dengan umpan yang dihulurkan.

Dalam keadaan itu, saya nampak satu-satunya jalan untuk mengelak bencana ini berlku ialah UMNO dan PAS perlulah bersatu atau bekerjasama. Untuk berbuat demikian, soal pelaksanaan hudud adalah salah satu halangan utama.

UMNO di peringkat pusat bukanlah menolak pelaksanaan hudud. Banyak ahlinya yang berfikir seperti orang PAS. Mereka tidak dapat membezakan di antara hukum dengan pelaksaan. Itulah yang berlaku apabila UMNO menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015 di Kelantan. Malah, daripada pemerhatian saya, orang Melayu Kelantan, baik dalam parti apa pun, sama sahaja pemikirannya mengenai hudud: Hudud adalah hukum Allah, sesiapa yang menentangnya menentang hukum Allah ia itu sama dengan apa yang dicanangkan oleh PAS, tanpa membezakan megenai hukum atau pelaksanaan. Kerana takut dikatakan ia menentang hukum Allahlah maka UMNO menyokong rang undang-undang itu padahal ia boleh menentang kelulusan rang undang-undang itu atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan dan oleh itu tak sah dan batal.

Biar apa pun, UMNO dan PAS perlulah berfikir mengenai isu yang lebih luas ia itu sama ada kedua-duanya masih tidak mahu bertolak ansur demi untuk menyelamatkan pemerintahan yang dikuasai oleh Melayu/Islam atau melepaskannya terus. Saya fikir UMNO bersedia. Masalahnya jika PAS mahu juga syarat bahawa UMNO measti membolehkan PAS melaksanakan hudud di negeri-negeri yang dikuasainya dan, mungkin, di perinhkat Persekutuan juga.

Saya tidak fikir UMNO akan, boleh atau patut bersetuju dengan pelaksnaan hudud di peringkat Persekutuan, atas semua alasan yang saya berikan dalam Bahagian 2.

Mengenai pelaksanaan di negeri-negeri yang dikuasai PAS, cuma Pilihan Pertama yang paling kurang bermasalah: pinda sahaja Akta 355 dan biarlah PAS melakukannya, jika ia mahu sangat.

Bagi PAS pula, ia perlu berfikir dengan mendalam apakah sebenarnya “negara Islam” yang hendak ditubuhnya (jika ia masih bertujuan sedemikian.) Adakah melaksanakan hudud sahaja ciri-cirinya? Bukankah tidak kurang, mungkin lebih “Islamnya” sebuah negara yang aman, ternteram, selamat, makmur, mempunyai standard of living yang tinggi, kemudahan kesihatan, pelajaran dan sosial yang baik? Bukankah hari ini pun Malaysia sudah berada di situ? Bukankah Malaysia sudah pun dipandang sebagai negara Islam moden contoh di zaman ini? Tidakkah ia patut dipertahankan daripada melepaskannya langsung semata-mata kerana tidak mahu berlembut mengenai pelaksanaan hudud? Fikirlah, apabila Kerajaan Persekutuan yang dikuasai oleh orang Melayu/Islam jatuh, impian PAS untuk melaksanakan hudud pun akan hancur.

Inilah masanya untuk pemimpin-pemimpin Melayu/Islam dalam UMNO dan PAS membuat keputusan sama ada sebagai negarawan atau ahli politik; membuat keputusan berdasarkan janji pilihanraya yang murah tetapi menarik penyokong dan pengundi atau berdasarkan isu yang lebih besar yang mengancam ummat Islam. Soalnya, bukan yang mana hendak diketepikan, tetapi yang mana hendak diutamakan.

7 September 2015

[email protected]
www.tunabdulhamid.my
www.tunabdulhamid.me

531 visits