PERPADUAN MELAYU TERAS PEMBINAAN NEGARA ISLAM

INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
MUZAKARAH PAKAR “KEDUDUKAN MALAYSIA SEBAGAI SEBUAH NEGARA ISLAM: SATU PERBAHASAN”
16 Disember 2014
PERPADUAN MELAYU TERAS PEMBINAAN NEGARA ISLAM
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad


Bagi saya, perbahasan sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam hanya menghabiskan masa. Kita patut sudah lama berhenti berbahas mengenainya, sebab ia hanya perbahasan mengenai definisi atau nama yang lebih sesuai untuk bilik tutorial.

Dalam tahun 2002, di “Seminar Memahami Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam” yang diadakan di Shah Alam, antara lain, saya berkata: “Sebelum penyatuan semula Jerman, nama rasmi Jerman Timur adalah “The German Democratic Republic” sedangkan nama Jerman Barat ialah “The Federal Republic of Germany.” “Nama rasmi Korea Utara pula ialah “The Democratic People’s Republic of Korea” manakala nama rasmi Korea Selatan hanya “Republic of Korea”. Adakah Jerman Timur lebih demokratik daripada Jerman Barat? Adakah Korea Utara lebih demokratik daripada Korea Selatan?” Demikian juga, adakah seorang yang bernama “Soleh” semestinya lebih “soleh” daripada seorang yang bernama “Awang Kechik”?”

Dalam tahun 2013, di “Muzakarah Pakar IKIM mengenai Malaysia: Kemelut Negara Islam Negara Sekular” saya telah menghuraikan dengan panjang lebar penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Che Omar Bin Che Soh v. Public Prosecutor (1988) 2 MLJ 55 yang menjadi sandaran mereka-mereka yang megatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Saya tidak akan mengulaginya. Semua ini oleh didapati dalam laman web saya.

Kita sepatutnya memandang ke hadapan dan bergerak ke hadapan, bukan berlegar di dalam gelanggang sambil mendongak ke langit, dan akhirnya berada di tempat yang sama dengan kepala yang pening. Dengan bergerak ke hadapan, saya bermaksud berusaha mengisi negara kita dengan perkara-perkara yang sesuai dengan kehendak Islam untuk mencapai maqasid Syari’ah setinggi-tingginya.

Untuk tujuan pembentangan saya hari ini, saya terima Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai agama iaitu Islam dan bukan sebuah negara tanpa agama. Tetapi, saya tidak akan mencuba memberi takrifan apakah “negara Islam” kerana, bagi saya adalah lebih mudah mengenali seekor lembu apabila kita melihatnya daripada cuba memberi takrifan perkataan “lembu”.

Satu jawatankuasa yang ahli-ahlinya terdiri daripada dua belas orang cendikiawan Islam dari empat benua menghbiskan beberapa tahun cuba mentakrifkan “negara Islam” untuk mengadakan satu formula untuk mengukur kenegara-Islaman sesebuah negara. (Saya tahu sebab saya juga turut terlibat walau pun saya bukan seorang cendikiawan. Seperti biasa, saya selalu berada di tempat yang salah tetapi baik, untuk belajar). Akhirnya mereka meninggalkan usaha itu dan, sebagai ganti, cuba mengukur pencapaian maqasid Syari’ah di sesebuah negara. Anihnya, negara-negara yang menduduki tempat tertinggi adalah negara-negara seperti Sweden, Norway, Belgium dan Jepun. Di kalangan negara-negara OIC, Malaysia adalah salah sebuah negara yang terletak di kedudukan yang paling tinggi.

Itu hanyalah cubaan untuk mengukur. Ia bukan “exact science.” Tetapi, pandangan kasar pun menjurus ke arah itu, tertakluk kepada faktor-faktor yang kita beri perhatian. Demikian juga apabila Sheikh Muhammad Abduh pulang ke Mesir dari lawatannya ke Eropah, beliau berkata, “Di sana saya lihat Islam tanpa Muslim. Di sini saya lihat Muslim tanpa Islam”. Pandangannya itu juga tertakluk kepada faktor-faktor yang menjadi asas ukurannya. Jika beliau menumpukan perhatian kepada orang-orang perempuan yang berpakaian tidak menutup urat, kepada banyaknya kedai-kedai yang menjual arak dan orang yang meminumnya dan kepada bilangan masjid, tentulah beliau tidak akan berkata demikian. Tetapi, adalah jelas bahawa beliau memberi tumpuan kepada keadaan negara yang aman, tenteram dan selamat, perkhidmatan awam seperti pelajaran, kesihatan, pengangkutan yang baik, taraf kehidupan yang tinggi, tentulah Eropah (pada masa itu) “lebih Islam” daripada Mesir.

Apa yang saya sebut di permulaan kertas saya ini tidak bererti bahawa peruntukan-peruntukan dalam Perlembagan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan, mengenai larangan penyibaran agama lain di kalangan orang Islam, pemberian kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai pemakaian hukum syarak itu peruntukan yang sesia. Beri peluang kepada orang-orang bukan Islam, perkara pertama yang mereka akan lakukan ialah memansuhkan peruntukan-peruntukan itu dan menggantikannya dengan satu ayat: “Malaysia adalah sebuah negara sekular.” Selepas itu lihatlah apa yang akan berlaku.

Dengan adanya peruntukan itu kita dikenali dunia sebagai sebuah “negara Islam”. Hari ini pun, di peringkat antarabangsa, Malaysia dikenali sebagai sebuah “negara Islam” dan mengaitkan Islam dengan Malaysia, sama ada mengenai perkara yang baik atau tidak baik. Malaysia dianggapkan sebagai contoh sebuah negara Islam maju di zaman ini. Kerajaan mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan dan perkembangan perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful sehingga kita berada di hadapan dalam bidang itu. Dalam negera, kita boleh melakukan aktiviti-aktiviti keislaman dengan menggunakan dana awam, termasuklah membina Universiti-Universiti dan Kolej Islam, menubuh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, mengadakan tilawah Al-Qur’an, Majlis Agama Islam, Masjid-masjid, sekolah-sekolah agama Islam, rancangan agama dalam radio dan tevelisyen milik kerajaan, hinggalah kepada majlis-majlis tahlil dan ceremah agama dalam waktu pejabat, di bangunan pejabat. IKIM pun ditubuh dan Muzakarah ini pun dibuat dengan dana awam. Semua itu dilakukan atas dasar bahawa “Islam adalah agama bagi Malaysia.”

Bayangkanlah jika tidak ada perutukan-peruntukan itu. Bolehkah semua itu dilakukan dengan mamakai dana awam, waktu pejabat, bangunan pejabat dan kakitangan kerajaan tanpa menimbulkan masalah? Bagaimana jika penganut agama-agama lain juga mahukan perkara yang serupa? Kita bina masjid, surau dan bilik solat dalam kapus universiti dan asrama pelajar. Bagaimana jika mereka menuntut dibina tokong, gereja dan gurdwara di kampus-kampus university awam kerana mereka juga mempunyai hak mengamalkan agama mereka mengikut cara mereka?

Lebih penting lagi adalah peruntukan yang menghalang penyibaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam dan mengenai pemakaian Hukum Syarak seperti yang tersebut dalam Jadual Kesembilan Senarai II. Jika tindakan tidak diambil terhadap mereka, itu salah pelaksanaan, bukan salah undang-undang. Perlembagaan memperuntukkannya dan udang-undang telah pun dibuat mengenainya.

Di Singapura tidak ada peruntukan Perlembagaan yang serupa, malah tidak ada pun peruntukan bahawa Islam atau mana-mana agama adalah agama Republik itu. Menyebut satu kes sahaja, mereka menggunakan Akta Hasutan untuk menuduh dua orang Kristian keturunan Cina kerana menyibar risalah agama Kristian kepada dua orang perempuan Islam. Hakim Mahkamah Daerah, Richard Magnus, seorang Kristian, menjatuhkan hukuman penjara empat minggu seorang. Kita patut belajar dari Singapura.

Sebenarnya, semenjak Merdeka, kita banyak mengambil faedah daripada peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu dan mengisinya dengan perkara-perkara yang berbentuk keislaman. Perhatilah sekeliling dan bandinglah dengan apa yang telah dilakukan oleh negara-negara lain. Masalahnya kita mencari sesuatu yang berbentuk Arab sebagai Islam dan kita lebih kagum dengan apa yang kita nampak dari jauh daripada apa yang ada di sekeliling kita, sama seperti orang melihat bulan di malam purnama yang tenang.

Selama lebih kurang empat dekad selepas Merdeka, kita boleh lakukan semua itu kerana kita kuat. Kita kuat kerana sebilangan besar orang Melayu masih bersatu.

Di Malaysia, hubungan antara “Islam” dan “Melayu” sangat rapat, malah seperti tidak boleh dipisahkan. Hinggakan takrif “Melayu” dalam Perlembagaan Persekutuan pun mensyaratkan bahawa seseorang itu mestilah beragama Islam sebelum ia tertergolong dalam takrifan “Melayu”. Dalam kata-kata lain, jika seseorang itu tidak beragama Islam, maka dia bukan Melayu. Saya tidak pernah temui peruntukan seperti ini dalam Perlembagaan negara-negara lain.

Maka, adalah amat dikesali apabila ada pihak, semata-mata kerana kepentingan politik, sanggup memberi gambaran seolah-olah perkataan “Melayu” dan “bangsa Melayu” itu menyalahi ajaran Islam.

Saya dilahirkan seorang Melayu dan Islam. Itu bukan pilihan saya. Itu takdir Allah s.w.t. terhadap saya. Saya akan mati sebagai seorang Melayu. Saya juga tiada pilihan mengenainya. Saya ada pilihan mengenai agama, tetapi saya memilih Islam sebagai agama saya, dengan izin Allah s.w.t. Berdosakah jika saya kata “Saya Melayu dan Islam?” berdosakah jika saya kata “Saya hendak mempertahankan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan kita?”

Kita mesti ingat bahawa, dalam konteks Malaysia sesuatu yang merugikan orang Melayu ia akan merugikan umat Islam dan sesuatu yang merugikan umat Islam, merugikan orang Melay. Jika orang Melayu berpecah belah, umat Islam berpecahbelah. Jika umat Islam berpecahblah, orang Melayu berpecah belah. Yang untung ialah orang bukan Melayu dan bukan Islam. Itu sudah pun terjadi. Masihkah kita tidak boleh nampak?

Kemuncak kekuatan dan perpaduan orang Melayu selepas Merdeka adalah selepas peristiwa 13 Mei. Berbagai program untuk membangunkan orang Melayu dan Islam telah dilaksanakan. Malah, untuk memperkuatkan lagi bententeng pertahanan orang Melayu dan Islam Akta Hasutan telah dipinda untuk memasukkan seksyen 3(1)(f).

Hal ini sudah berubah, terutama sekali dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini. Akibatnya, perhatilah apa yang dilakukan oleh orang bukan Islam terhadap agama Islam di kebelakangan ini. Perkara-perkara yang tidak pernah terbayang di fikiran kita akan berlaku telah dilakukan sewenang-wenangnya. Kerana mereka tahu kita sudah lemah. Mengapa kita lemah? Sebab kita berpecah.

Pertama sekali saya menyentuh perkara in dalam ucapan saya di Mesyuarat Pertama NGO-NGO Melayu yang saya pengerusikan pada 14 Mac 2014. Saya telah membicangnya secara spesifik dalam rencana bertajuk “Perpecahan Melayu Punca Tuntutan Melampau Bukan Melayu” (22 April 2014) yang disiar sepenuhnya oleh Utusan Malaysia atas tajuk “Perpecahan Cetus Tuntutan Melampau” pada 24 April 2014. Rencana itu ditulis di Wad 28 Hosital Kuala Lumpur. Pada masa itu saya hidup dengan susu yang diberi melalui hidung. Di luar dugaan, ia telah menjadi viral dan tersibar luas. Selepas itu saya bercakap mengenainya sebanyak tujuh kali lagi berakhir dengan ucapan saya di Konvensyen Perpaduan Nasional anjuran NGO-NGO Melayu pada 23 November 2014. Tuan-tuan dan puan-puan boleh mengikutinya dalam laman web saya.

Syukurlah, kali ini, NGO-NGO dan individu-individu Melayu/Islam berjaya mempengaruhi Persidangan Agung UMNO hingga YAB Perdana Menteri mengisytiharkan bahawa Akta Hasutan akan dikekalkan dan diperkukuhkan lagi. Malangnya, Timbalan Yang Di Pertua PAS pula mengisytihakan bahawa PAS akan menentang pengekalan Akta Hasutan berhabis-habisan sebab ia akan menyebabkan kerja yang telah dibuat oleh YB Dr Mujahid Yusuf Rawa menjadi sesia. Saya ingin bertanya: Siapa yang menggubal Rang Undang-Undang Harmoni itu? YB Dr Mujahid atau Encik Lim Chee Wee dan Majlis Peguam?

Tak cukup dengan itu, mengikut laporan Utusan Malaysia pada 4 Disember 2014, ADUN PAS Selangor (semua Melayu/Islam) dan ADUN PKR Selangor (kebanyakanya Melayu/Islam) bersama-sama ADUN DAP meluluskan usul untuk menghapukan Akta Hasutan. Kepentingan siapa yang mereka perjuangkan? Sampai perkara yang terletak dalam bidangkuasa Perekutuan pun Dewan Undangan Negeri hendak campur tangan! Mereka ini jugalah yang mahu sejarah tanahair ditulis semula untuk mengiktiraf pemimpin-pemimpin Parti Kominis Malaya sebagai wira kemerdekaan. Saya ingian bertanya: Jika Parti Kominis Malaya berjaya, apakah bentuk kerajaan yang akan ditubuh mereka? Jawabya, sebuah negara Kominis ala-China. Itukah yang mereka mahu? Takkanlah itu pun tak boleh nampak?

Kita bukan hanya menuntut Akta Hasutan diekalkan. Kita juga tuntut supaya Perkara 3 (agama Islam sebagai agama Persekutuan) juga dimasukkan ke dalam seksyen 3(1)(f) dan ia telah dipersetujui oleh UMNO. Orang Melayu patut sama-sama menyokong UMNO dalam hal ini. Tetapi, dalam hal ini pun orang Melayu/Islam berpecah. Sudahlah dalam menghadapi isu kalimah “Allah” pun merka berpecah. Apa lagi hendak dikatakan?

Saya katakan, dalam konteks Malaysia, untuk dapat mengisi negara kita dengan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam orang Melayu dan umat Islam sendiri perlu bersatu dan sekata. UMNO dan PAS perlulah berfikir untuk bercantum, bergabung atau bekerjasama, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada PKR dan DAP. Untuk perbincangan lanjut, sila layari lama web saya.

Tetapi, bersatu sahaja tanpa tahu apa yang hendak dilakukan dan tanpa melakukanya tidak memberi apa-apa makna. Rhetorik dan seminar sahaja tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kita perlukan pakar dan pengamal dalam berbagai bidang untuk duduk bersama, berfikir, mengenalpasti apa yang tak Islamnya institusi, dasar, undang-undang dan lainnya dan kemukan cadangan yang concrete bagaimana ia perlu diganti kepada pihak yang berkuasa untuk melaksanakannya. Semua pihak perlulah berkerjasama, barulah semua itu boleh dilakukan.

Saya minta setiap institusi Islam di negara ini berhenti sejenak dan bertanya: Apa perubahan yang ia telah buat? (What change has it made?).

Sekian. Terima kasih.