PINDAAN AKTA 355: SOALAN-SOALAN LAZIM

PINDAAN AKTA 355: SOALAN-SOALAN LAZIM

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

S: Tolong beritahu secara ringkas latar belakang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355):

J: Akta ini telah digubal pada tahun 1965. Akta itu menghadkan bidang kuasa mahkamah syariah tidak melebihi 6 bulan penjara, denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Akta tersebut dipinda pada tahun 1984 oleh Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 (Akta A612). Pindaan itu meningkatkan bidang kuasa mahkamah kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000, enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

Pindaan itu tidak menjadi satu isu. Kebanyakan orang tidak tahu mengenainya. Orang bukan Islam tidak peduli mengenainya kerana ia tidak melibatkan mereka. Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) daripada semua parti komponen bersama-sama mengundi menyokongnya.

Sekarang, terdapat satu cadangan untuk meminda Akta 355. Cadangan itu telah menjadi satu isu politik yang telah menimbulkan berbagai reaksi yang mengancam untuk memecah-belahkankan orang Islam dengan orang bukan Islam, di Malaysia.

Walaupun saya belum melihat RUU itu, saya menganggap bahawa RUU itu akan dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara dan ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan. Mengenai isinya, saya akan bergantung (rely) kepada usul yang dikemukakan oleh PAS dalam Parlimen persekutuan iaitu untuk meningkatan bidang kuasa mahkamah syariah untuk menjatuhkan semua hukuman yang dibenarkan oleh syariah melainkan hukuman mati terhadap kesalahan-kesalahan di bawah Senarai Negeri. Artikel ini ditulis berdasarkan andaian itu.

S: Apakah yang menjadikannya berbeza kali ini?

Dalam satu perkataan, jawapannya adalah “politik”. Pertama, pencadangnya adalah sebuah parti politik pembangkang, PAS. PAS telah menjadikan hudud matlamat perjuangannya. Hudud adalah aset yang terbaik bagi PAS. Ia tidak memerlukan apa-apa perbelanjaan oleh PAS. Ia membawa undi. PAS tahu bahawa ia tidak akan dapat melaksanakan hudud kerana kekangan keperlembagaan dan undang-undang. Tetapi, untuk itu ia boleh menyalahkan kerajaan pusat, khususnya UMNO, lawan utamanya.

Pada tahun 1993, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan SLA, telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Kelantan), yang mengandungi, antara lain, kesalahan undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa persekutuan. Enakmen itu tidak keperlembagaan dan tidak sah atas sebab itu, selain melanggar Akta 355.

Enakment itu terbengkalai selama dua puluh tahun. Kemudian Brunei mewartakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 dengan tujuan, antara lain, untuk melaksanakan hukuman hudud dan qisas di negara itu. (Sehingga hari ini, bahagian mengenai hudud belum dikuatkuasakan lagi.) Peristiwa itu berita baik bagi PAS. PAS menggali semula enakmen lamanya itu dan mula memikirkan bagaimana hendak melaksanakannya. Untuk memendekkan cerita, PAS mengambil keputusan untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk meminda Akta 355.

DAP, untuk menarik pengundi bukan Melayu/Islam, khususnya orang Cina, membantah. MCA dan Gerakan, tidak mahu ketinggalan ikut serta. (Perlu diingati bahawa pada tahun 1984, kedua-dua MCA dan Gerakan telah mengundi menyokong pindaan yang serupa). UMNO berada dalam dialema. Jika ia tidak menyokong RUU itu, pengundi Melayu/Islam, terutamanya di Semenanjung Malaysia, akan mengundi PAS. Sebaliknya, jika ia menyokong RUU itu, parti-parti komponen bukan Islam dalam BN, termasuk di Sabah dan Sarawak, mungkin menarik diri daripada BN, sesuatu yang UMNO tidak mampu untuk membiarnya berlaku. Walau bagaimanapun, sekarang nampaknya UMNO cenderung untuk menyokong cadangan itu dan, pada masa yang sama, cuba memujuk rakan-rakan bukan Islamnya dalam BN.

S: Mengetepikan emosi dan pertimbangan politik, apakah kesan daripada pindaan itu yang sebenarnya?

J: Pindaan itu akan membolehkan Dewan Undangan Negeri (SLA) membuat undang-undang untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah di negeri masing-masing, jika kerajaan negeri mahu melakukannya. Kerajaan negeri boleh membuat keputusan untuk tidak meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dan bidang kuasa yang sedia ada itu akan kekal. Terpulanglah kepada kerajaan negeri sama ada hendak mengambil kesempatan daripada pindaan itu, atau tidak. Jadi, jika pindaan itu diluluskan oleh Parlimen pun, Kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP itu boleh tidak berbuat apa-apa dan bidang kuasa mahkamah syariah di negeri itu akan kekal seperti sedia ada.

S: Bolehkah negeri melaksanakan hudud selepas pindaan Akta 355?

J: Berdasarkan cadangan itu, hukuman-hukuman hudud terhad boleh di adakan, misalnya, 100 sebatan bagi kesalahan zina dan 40 hingga 80 sebatan bagi kesalahan meminum minuman yang memabukkan. Hukuman juga boleh ditambah bagi kesalahan “pemujaan salah”, tidak termasuk hukuman mati. Saya berhujah bahawa kesalan “murtad” tidak boleh dijadikan kesalahan yang akan dibicarakan oleh mahkamah syariah. Ini kerana, apabila sahaja kita katakan seorang itu “murtad”, dia sudah terkeluar daripada bidang kuasa mahkamah syariah.

Kesalahan-kesalahan ini adalah kesalahan-kesalahan di bawah Perenggan 1, Senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Malah kesalahan-kesalahan itu sudah pun wujud dalam undang-undang negeri. Apa yang negeri perlu lakukan hanyalah untuk SLA meminda undang-undang yang sedia ada itu untuk meletakkan hukuman hudud kepadanya, tertakluk kepada had yang ditetapkan oleh Akta 355 yang dipinda itu.

Perlu diingati bahawa kesalahan dan hukuman tersebut hanya terpakai kepada orang Islam sahaja. Dalam erti kata lain, orang bukan Islam tidak boleh didakwa keraka melakukan kesalahan-kesalahan itu.

S: Mungkinkah akan berlaku pertindihan bidang kuasa di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil?

J: Tidak, tidak akan berlaku pertindihan bidang kuasa di antara dua mahkamah itu. Ini adalah kerana Perlembagaan telah dengan jelas membahagikan apa yang terletak di bawah bidang kuasa persekutuan (mahkamah sivil) dan apa yang terletak di bawah bidang kuasa negeri (mahkamah syariah). Undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa persekutuan (mahkamah sivil). Kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah bidang kuasa negeri (mahkamah syariah) adalah kesalahan-kesalahan terhadap perintah agama Islam (precepts of Islam) “kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;”

Katakanlah SLA sebuah negeri menjadikan kesalahan mencuri (kesalahan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code)) satu kesalahan dalam undang-undang negeri dan meletakkan hukuman hudud kepadanya. Peruntukan itu adalah tidak keperlembagaan (unconstitutional) dan tak sah kerana kesalahan itu adalah undang-undang jenayah yang terletak dalam bidang kuasa persekutuan (mahkamah sivil).

S: Jika undang-undang seperti itu dibuat oleh SLA, mahkamah manakah yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sama ada ia sah di sisi perlembagaan atau tidak?

J: Mahkamah sivil. Ini diperuntukkan oleh Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan. Lihat Sulaiman Takrib v Kerajaan Negeri Terengganu.; Kerajaan Malaysia (pencelah) (2009] 2 CLJ 54 FC dan Fathul Bari Mat Jahaya & Anor v. Majlis Agama Islam Negeri Sembilaan & Ors (2012) 1 CLJ (Sya).

S: Ada orang mengatakan bahawa “pindaan kepada Akta 355 akan mewujudkan keadaan yang tidak adil kerana akan ada dua set undang-undang yang seseorang itu tertakluk kepadanya”?

J: Ini adalah apa yang saya panggil “takutkan benda yang disalah anggap”. Anda membuat anggapan yang silap mengenai sesuatu benda dan anda takutkan benda ia. Orang bukan Islam tidak tertakluk kepada kesalahan di bawah Senarai Negeri. Jadi, mereka tidak boleh dikatakan tertakluk kepada dua set undang-undang. Keadaan seperti itu hanya berlaku kepada orang Islam. Tetapi, ia bukan disebabkan oleh pindaan kepada Akta 355. Ia adalah kerana mereka tertakluk kepada kesalahan di bawah Senarai Negeri, sama ada Akta 355 dipinda atau tidak.

S: Bolehkah Parlimen mengadakan hukuman hudud?

J: Ya, Parlimen boleh meletakkan hukuman hudud sepenuhnya bagi kesalahan-kesalahan undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa persekutuan seperti membunuh, merogol, mencuri dan merompak. Ia hanya memerlukan majoriti mudah, dan undang-undang itu terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan undang-undang itu adalah undang-undang jenayah yang ditadbir oleh mahkamah sivil.

Terkejut? Biarlah saya jelaskan. Undang-undang jenayah adalah perkara persekutuan. Parlimen mempunyai kuasa untuk mewujudkan kesalahan undang-undang jenayah. Kesalahan-kesalahan hudud utama seperti membunuh, merogol, mencuri, dan merompak itu adalah kesalahan undang-undang jenayah dalam Kanun Keseksaan. Parlimen mempunyai kuasa untuk meletakkan apa-apa hukuman, termasuk hukuman yang sama seperti hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan itu. Parlimen hanya perlu meminda Kanun Keseksaan untuk berbuat demikian, melalui majoriti mudah. Akta 355 tidak boleh menghalang Parlimen daripada berbuat demikian. Satu akta Parlimen tidak boleh menghalang akta Parlimen lain diluluskan. Jika tidak, apabila kita membuat sesuatu undang-undang, kita tidak boleh memindanya. Walau bagaimana pun, Akta 355 hanya terpakai kepada mahkamah syariah.

Tetapi, kita perlu ingat jika Parlimen membuat undang-undang seperti itu, undang-undang itu akan terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam. Dalam erti kata lain, orang bukan Islam juga akan tertakluk kepada hukuman itu kerana kesalahan itu adalah kesalahan undang-undang jenayah, tidak kira apa hukumannya.

Jadi, jika orang bukan Islam tidak mahukan hukuman hudud, mereka sepatutnya memerhatikan apa yang dilakukan oleh Parlimen, sama ada ia akan mewujudkan Akta Hudud seperti di Pakistan atau meminda Kanun Keseksaan untuk memperuntukkan hukuman yang sama dengan hukuman hudud, tanpa menyebut perkataan hudud. Ini adalah apa yang orang bukan Islam perlu perhati jika mereka tidak mahukan hukuman hudud, bukan kepada pindaan kepada Akta 355.

S: Bolehkah Parlimen mewujudkan kesalahan dengan hukuman hudud yang terpakai kepada orang Islam sahaja?

J: Tidak. Undang-undang jenayah adalah undang-undang umum yang terpakai kepada semua, orang Islam dan bukan Islam. Parlimen tidak boleh membuat kesalahan undang-undang jenayah yang terpakai kepada orang Islam sahaja kerana ia akan menjadi diskriminasi hanya atas alasan agama, bertentangan dengan Perkara 8.

Kesalahan di bawah Senarai Negeri adalah berbeza. Perlembagaan menyatakan dengan khusus bahawa kesalahan itu akan dikenakan kepada orang Islam sahaja. Dalam erti kata lain, ia adalah pengecualian kepada peraturan umum dan Perkara 8 tidak terpakai berkenaan dengan kesalahan itu.

S: Adakah pindaan Akta 355 melibatkan orang bukan Islam?

J: Tidak. Pindaan itu hanya untuk meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.