BADAN KEHAKIMAN DI MALAYSIA – SEMINAR PERSATUAN JAKSA PENDAMAI PULAU PINANG

SEMINAR PERSATUAN JAKSA PENDAMAI PULAU PINANG
13 Ogos 1994
BADAN KEHAKIMAN DI MALAYSIA
(JUDICIARY IN MALAYSIA)

Oleh

Y.A. DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED
HAKIM, MAHKAMAH TINGGI (1)
PULAU PINANG

 

PENDAHULUAN

Ini adalah kali ketiga saya berucap dalam Seminar Jaksa Pendamai, dua kali di Pulau Pinang dan sekali di Ipoh, Perak. Saya harap ini tidak akan menjadikan ucapan saya ini “cheap matinee”.

Banyak seminar telah diadakan oleh tuan-tuan. Banyak pandangan telah dikemukakan. Banyak janji pula telah diberi. Tetapi “pi mai pi mai tang tu” juga.

Dalam kertas ini saya tidak akan memberi janji-janji manis, yang besar kemungkinan tidak dapat ditunaikan. Saya akan beri pandangan saya yang tulus ikhlas dan dengan terus terang. Mungkin tuan-tuan tidak senang mendengarnya. Tetapi bagi saya, adalah lebih baik berterus terang dan memberi pandangan yang ikhlas, walaupun tidak digemari, daripada berkata sesuatu yang suka didengar tetapi tidak ikhlas dan tidak mungkin dilaksanakan.

BADAN KEHAKIMAN
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tiga badan kerajaan, Eksekutif (Executive), Badan Perundangan (Legislature) dan Badan Kehakiman (Judiciary).

Secara mudah, Badan Perundangan membuat undang-undang. Eksekutif melaksanakannya. Badan Kehakiman mentafsirkan dan memutuskan perbalahan yang berbangkit dalam pelaksanaan undang-undang itu. Sebagai satu misalan yang mudah, Badan Perundangan membuat undang-undang membolehkan seseorang ditahan selama dua tahun tanpa perbicaraan seperti di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. Menteri Dalam Negeri (Eksekutif) membuat Perintah Tahanan. Orang Tahanan itu mencabar penahanannya sebagai taksah. Badan Kehakiman (mahkamah) memutuskan sama ada penahanan itu sah atau tidak, tegasnya, sama ada penahanan itu dibuat mengikut yang diperuntukkan oleh undang-undang itu atau tidak. Kalau sah, penahanan itu diisytiharkan sah. Jika tidak ia diisytiharkan taksah. Dalam membuat keputusan itu mahkamah cuma memandang sama ada apa dilakukan oleh pihak Eksekutif itu selaras dengan apa yang diperuntukkan oleh undang-undang atau tidak. Mahkamah tidak boleh mengatakan penahanan tanpa bicara itu taksah semata-mata kerana Hakim berkenaan tidak bersetuju dengan adanya kuasa penahanan tanpa perbicaraan. Itu bukan dalam bidangkuasa mahkamah. Sama ada undang-undang seperti itu hendak diadakan atau tidak terletak dalam bidangkuasa Badan Perundangan.

Memanglah mahkamah boleh mengisytiharkan sesuatu undang-undang itu taksah dan batal. Ini berlaku apabila undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan, kerana Perlembagaan adalah undang-undang utama di negara kita.

MAHKAMAH-MAHKAMAH DI MALAYSIA
Secara ringkas, selepas Merdeka dan penubuhan Malaysia dan Singapura keluar dari Malaysia, mahkamah-mahkamah di Malaysia dari yang paling tinggi kepada yang paling rendah ialah:

Jawatankuasa Privi (Privy Council)
Mahkamah Persekutuan
Mahkamah Tinggi Malaya/Borneo
Mahkamah Sesyen
Mahkamah Majistret
Mahkamah Penghulu
(Mahkamah Kanak-Kanak {Juvenile Court} diperuntukkan oleh satu undang-undang lain iaitu The Juvenile Courts Act 1947 dan bolehlah dikatakan sebagai sebahagian daripada Mahkamah Sesyen).

Setiap mahkamah mempunyai bidangkuasa masing-masing. Rayuan {appeal} daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret pergi ke Mahkamah Tinggi, dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan dan dari Mahkamah Persekutuan di Privy Council. Memanglah adalah syarat-syaratnya tetapi tidaklah perlu disebut di sini.

Pada 1 Januari 1978 rayuan kes-kes jenayah dan perlembagaan ke Privy Council dihapuskan. Ertinya dalam kes-kes itu rayuan cuma boleh dibuat, paling tinggi, ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 1.1.85 semua rayuan ke Privy Council dihapuskan. Mahkamah Agung {Supreme Court} ditubuh bagi menggantikan Mahkamah Persekutuan. Kesannya seorang yang tidak puashati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi cuma boleh merayu sekali, iaitu ke Mahkamah Agung.

Baru-baru ini pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan Malaysia, Akta Mahkamah Keadilan 1964 dan Akta Mahkamah Rendah 1948. pindaan ini mula berkuatakuasa pada 24 Jun 1994.

Melalui pindaan ini Mahkamah Agung ditukarkan namanya kepada Mahkamah Persekutuan semula. Di antara Mahkamah Persekutuan baru itu dan Mahkamah Tinggi ditubuhkan satu mahkamah lagi, iaitu Mahkamah Rayuan. Kesannya ialah seseorang boleh merayu dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan dan selepas itu ke Mahkamah Persekutuan. Ertinya ada dua peluang rayuan, seperti semasa ada rayuan ke Privy Council. Sayugia diingati dikebanyakan negara terdapat sistem dua kali rayuan seperti ini.

[Sekali lagi, ada syarat-syaratnya tetapi tidaklah perlu disebut untuk tujuan kita hari ini].

BIDANGKUASA DAN KUASA
Terdapat perbezaan antara bidangkuasa {jurisdiction} dengan kuasa {power} mahkamah. Bidangkuasa adalah perihal kes-kes yang boleh dibicarakan oleh mahkamah. Kuasa adalah perihal hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah itu. Sebagai misalan, Mahkamah Majistret Kelas Satu mempunyai bidangkuasa membicarakan kes-kes jenayah yang hukuman maksimanya tidak melebihi 10 tahun penjara. Tetapi mahkamah itu cuma boleh menjatuhkan hukuman tidak melebihi 5 tahun penjara.

Bidangkuasa dan kuasa mahkamah-mahkamah, dari yang paling rendah ke atas adalah seperti berikut:-

MAHKAMAH PENGHULU:-
Bidangkuasa :
(a) (a) Jenayah – Kesalahan-kesalahan yang disebut dalam surat Kuasa yang sesuai dihukum denda tidak melebihi RM25.00

(b) Sivil – Tuntutan yang tidak melebihi RM50.00
Mahkamah Penghulu cuma mempunyai bidangkuasa terhadap orang-orang yang berbangsa Asia. [Ini satu peninggalan penjajah yang tidak sepatutnya dibiar berkekalan dalam undang-undang kita 37 tahun selepas Merdeka.]

Kuasa (Jenayah)

Denda tidak melebihi RM25.00.

MAJISTRET KELAS DUA:-

Bidangkuasa:

(a) Jenayah – Kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum tidak lebih daripada 12 bulan penjara atau dengan denda sahaja.

(b) Sivil – Tuntutan yang tidak melebihi RM3,000.00.
Kuasa (Jenayah):
– Penjara tidak melebihi 6 bulan.
Denda tidak melebihi RM1,000.00
Kedua-duanya sekali.

MAJISTRET KELAS SATU:-
Bidangkuasa:
(a) Jenayah – Kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sahaja.

(b) Sivil – Tuntutan yang tidak melebihi RM25,000.00.

Kuasa (Jenayah):
– Semua hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang melainkan hukuman mati.

MAHKAMAH TINGGI :-
Bidangkuasa :
Sivil dan jenayah – tidak terhad.
Kuasa :
– Tidak terhad, ertinya semua hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang.

– Mendengar rayuan jenayah dan sivil daripada Mahkamah Sesyen dan Majistret

– Membuat penyemakan semula {revision}
terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan Majistret.

MAHKAMAH RAYUAN :-
Bidangkuasa :
Mulai 24.6.94 mendengar rayuan dari Mahkamah Tinggi
Kuasa :
Kuasanya tidak terhad.
MAHKAMAH PERSEKUTUAN :-
Bidangkuasa :
Secara ringkasnya, mulai 24.6.94, mendengar rayuan dari Mahkamah Rayuan.

Kuasa :
Kuasanya juga tidak terhad.
PERLANTIKAN
Penghulu :
Tidak ada peruntukan dibuat dalam Akta Mahkamah Rendah 1948.

Saya percaya mereka dilantik oleh Pihakberkuasa Negeri.

Majistret Kelas Satu :
Di negeri-negeri dilantik Pihakberkuasa Negeri atas syor (recommendation) Hakim Besar. Di Wilayah Persekutuan, oleh Yang DiPertuan Agong atas syor Hakim Besar. Dia mestilah seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan ertinya yang berkelulusan undang-undang. Perlantikan dibuat bagi sesebuah Negeri sahaja.

Majistret Kelas Dua :
Sama seperti Majistret Kelas Satu. Tetapi tidak disyaratkan dia mesti seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Sesiapa sahaja yang “fit and proper” boleh dilantik.

Hakim Mahkamah Sesyen:
Dulu jawatan ini dipanggil Yang Di Pertua, Mahkamah Sesyen. Sekarang dipanggil Hakim Mahkamah Sesyen.

Dia mestilah seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Perlantikan dibuat oleh Yang DiPertuan Agung, bagi seluruh Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi
Perlantikan dibuat oleh Yang DiPertuan Agung atas nasihat Perdana Menteri setelah meminta pendapat (consulting) Majlis Raja-Raja. Perdana Menteri juga dikehendaki meminta pendapat Hakim Besar. Untuk layak dilantik seseorang itu mestilah rakyat Malaysia dan mempunyai pengalaman tidak kurang daripada sepuluh tahun sebagai peguam atau dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Pada masa ini, semua yang dilantik mempunyai pengalaman lebih daripada dua puluh tahun.

Pesuruhjaya Kehakiman:
Banyak orang tidak faham perbezaan di antara Pesuruhjaya Kehakiman dengan Hakim Mahkamah Tinggi.

Kedua-duanya mempunyai bidangkuasa dan kuasa yang serupa. Cuma tempoh perlantikannaya yang berlainan. Seorang Hakim apabila dilantik akan berkhidmat (kalau tidak ditribunal) sehingga dia bersara pada umur 65 tahun. Seorang Pesuruhjaya Kehakiman dilantik untuk tempoh tertentu biasanya dua tahun. Ia dilantik oleh Yang DiPertuan Agung atas nasihat Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan. Tetapi mengikut pindaan yang baru diluluskan oleh Parlimen (belum berkuatakuasa) ia dilantik oleh Yang DiPertuan Agung atas nasihat Perdana Menteri selepas meminta pendapat Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan. Kelayakan untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman adalah sama seperti kelayakan untuk menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Gajinya kurang sedikit daripada gaji Hakim Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan :-
Kelayakan, perlantikan Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan adalah sama seperti kelayakan dan perlantikan Hakim Mahkamah Tinggi. Biasanya Hakim Mahkamah Tinggi dilantik menjadi Hakim Mahkamah Agung (sebelum pindaan).

Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi :-
Pada masa ini kita mempunyai dua Hakim Besar – seorang bagi Malaya dan seorang bagi Sabah dan Sarawak. Mereka masing-masing adalah Ketua bagi Mahkamah Tinggi Malaya dan Sabah dan Sarawak.

Presiden Mahkamah Rayuan :-
Beliau adalah Ketua Mahkamah Rayuan.
Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan :-
Ini adalah jawatan hakim yang tertinggi di Malaysia. Dia mengetuai Mahkamah Persekutuan dan menjadi Ketua Badan Kehakiman.

KEBEBASAN KEHAKIMAN
Kita selalu dengar ungkapan “Kebebasan Kehakiman”. Secara mudah ertinya, seseorang hakim itu mestilah diberi kebebasan membuat keputusan mengikut keterangan yang dikemukakan di mahkamahnya dan mengikut undang-undang yang berkuatkuasa pada masa itu. Tidak harus ada tekanan, arahan atau sebagainya dari mana-mana pihak termasuk Badan Perundangan, Eksekutif, malah oleh “bossnya” sendiri iaitu Hakim Besar atau Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan.

Untuk tujuan itu Perlembagaan kita memperuntukkan bahawa apabila seseorang hakim itu dilantik dia akan memegang jawatan sehingga umur 65 tahun. {He shall hold office until he attains the age of 65 years}. Bukan “during the pleasure of the Yang DiPertuan Agung” seperti pegawai awam {public servants}. Untuk tujuan itu gaji hakim “shall be charged on the Consolidated Fund”. Untuk tujuan itu juga Perlembagaan menetapkan bahawa gaji hakim tidak boleh dikurangkan.

Sebaliknya, jangan lupa, hakim boleh “ditribunalkan”.

Peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang saya sebut ini tidak dipakai bagi Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret. Mereka adalah pegawai awam seperti PTD, tertakluk kepada Bab D, Perintah Am.

Tetapi ini tidak bererti mereka itu boleh diarah untuk membuat sesuatau keputusan kes yang mereka bicarakan, walau pun keputusan mereka itu boleh “diterbalikkan” {overruled} dalam rayuan atau penyemakan semula. Dalam hal pentadbiran mereka boleh diarahkan, misalnya supaya menulis alasan penghakiman dengan segera.

JAKSA PENDAMAI
Setelah begitu lama tuan-tuan menunggu, sekarang saya baru tiba kepada tuan-tuan.

Perlantikan dan kuasa tuan-tuan telah banyak kali disebut, di setiap seminar. Saya tidak akan mengulanginya.

Di setiap seminar, di setiap majlis makan malam, ada disebut mengenai hasrat Jaksa Pendamai untuk membicara kes-kes sebagai Majistret Kelas Dua. Banyak janji telah diberi. Tidak satu pun yang ditepati. Dalam hal ini saya akan beri pandangan yang terus terang tetapi ikhlas, yang seperti yang saya katakan awal-awal tadi, mungkin tidak senang didengar.

PERANAN SEBAGAI MAJISTRET KELAS DUA
Seksyen 99(1) Akta Mahkamah Rendah 1948 memperuntukkan bahawa Jaksa Pendamai di Malaysia Barat “shall have and may exercise… such powers not exceeding the powers of a Second Class Magistrate as may be conferred upon them by any written law.”

Perlu diambil perhatian di sini bahawa hakikat bahawa seseorang itu dilantik menjadi Jaksa Pendamai tidak bererti secara automatik dia boleh menjalankan semua kuasa Majistret Kelas Dua. Kuasa itu mestilah diberi kepada mereka (Jaksa Pendamai) oleh mana-mana undang-undang bertulis. Jadi mesti ada undang-undang bertulis yang memberi kuasa kepada Jaksa Pendamai untuk menjalankan kuasa-kuasa yang tidak melebihi kuasa Majistret Kelas Dua.
Sepanjang yang saya nampak Akta Mahkamah Rendah 1948 yang ada hari ini tidak memberi kuasa itu. Jadi kuasa untuk membicarakan kes-kes sehingga hari ini tidak ada.

Malah, sepanjang yang saya tahu semenjak pemerintah British mewujudkan institusi Jaksa Pendamai hingga hari ini Jaksa Pendamai tidak pernah membicarakan kes-kes sebagai Majistret Kelas Dua. Jadi kalau kuasa itu hendak diberi kepada Jaksa Pendamai, kenalah sama ada :

(a) meminda Akta Mahkamah Rendah 1948 memberi kuasa itu kepada mereka; atau

(b) melantik mereka sebagai Majistret Kelas Dua mengikut seksyen 79.

Kerapkali dihujahkan bahawa Jaksa Pendamai hendaklah dilantik sebagai Majistret Kelas Dua untuk menolong mengurang “backlog” kes-kes di mahkamah.

Maka soalan pertama yang perlu dijawab ialah benarkah terdapat “backlog” kes-kes termasuk di bawah bidangkuasa Majistret Kelas Dua?

Kita ambil kes sivil dulu. Di Georgetown sepanjang tahun 1993 cuma terdapat sebanyak 20 kes yang termasuk di bawah bidangkuasa Majistret Kelas Dua berbanding dengan 3665 kes yang didaftarkan di Mahkamah Majistret Georgetown.

Adalah tidak munasabah melantik Majistret Kelas Dua khas untuk mendengar kes-kes itu, yang mana masa yang diperlukan untuk membicarakan atau menyelesaikan kesemuanya, hanya beberapa hari sahaja.

Ambil pula kes-kes jenayah. Saya tidak ada statistik berkenaan bilangan kes-kes yang termasuk di bawah bidangkuasa Majistret Kelas Dua yang didaftarkan di Georgetown. Tetapi, memandangkan kepada bidangkuasa Majistret Kelas Dua, kes curi ayam pun (sekarang hampir tidak ada lagi kes-kes curi ayam) terletak di luar bidangkuasa Majistret Kelas Dua. Yang tinggal hanyalah kes-kes trafik, seperti langgar “No Entry” dan kesalahan meletak kereta.

Kes-kes seperti itu banyak yang tidak sampai ke mahkamah kerana dikompound. Bagi yang sampai ke mahkamah pula, sebilangan besar orang yang disaman itu tidak hadir. Mahkamah mengeluarkan waran tangkap. Tugas melaksanakan waran tangkap terletak kepada pihak Polis. Saya difahamkan oleh majistret yang membicarakan kes-kes itu bahawa lebih kurang daripada 10% sahaja waran tangkap yang dilaksanakan. Yang lainnya “cari tak jumpa”. Selepas beberapa kali “tak jumpa” mahkamah membatalkan waran tangkap itu. Yang hadir, sama ada kerana mematuhi notis atau waran tangkap, akan mengaku salah. Kes selesai dalam beberapa minit.

Di satu mahkamah majistret yang membicarakan kes-kes trafik polis antara 100 – 150 saman ditetapkan sehari. (Pada hari Isnin lebih kurang 200). Ini termasuk kes-kes yang di luar bidangkuasa Majistret Kelas Dua.

Juga kita dapat lihat bahawa masalahnya bukan tidak cukup majistret untuk membicarakan kes-kes. Masalahnya ialah apabila disaman orang tidak hadir dan apabila waran tangkap dikeluarkan pihak polis tidak dapat melaksakannya.

Bagi kes-kes sivil, masalah penyampaian saman tidak timbul kerana saman sivil disampaikan oleh Penghantar Saman Mahkamah dan firma peguam sendiri, malah sekarang ini, boleh dihantar melalui pos. Lagi pula setelah tiga kali tidak dapat disampaikan, pihak Plaintif boleh mendapat perintah mahkamah untuk membuat penyerahan ganti.

Perlu diterangkan bahawa “backlog” yang saya maksud di sini adalah berkenaan keupayaan mahkamah memberi tarikh perbicaraan apabila Tertuduh meminta dibicarakan. Umumnya mahkamah majistret di Pulau Pinang dan Seberang Perai boleh memberi tarikh bicara dalam masa enam bulan selepas kes itu mula-mula disebut.

Kalau sesuatu kes itu mengambil masa yang bertahun-tahun untuk dibicarakan (kes-kes seperti ini boleh dikatakan kesemuanya diluar bidangkuasa Majistret Kelas Dua dan diwakili peguam), itu kerana sebab-sebab lain. Daripada kajian saya sebab utama adalah peguam-peguam dan pihak-pihak berkenaan. Kerapkali peguam berkenaan terlibat di mahkamah lain, sakit dan lain-lain, saksi-saksi tidak dapat dicari atau tidak dapat hadir, dan kadang-kadang kerana majistret cuti sakit atau tidak cukup masa hari itu. Jadi kes itu ditangguh ke hari lain. Kerapkali juga berlaku, dalam kes sivil, satu pihak membuat permohonan interlocutory. Setelah dibuat keputusan oleh majistret dia merayu ke Mahkamah Tinggi. Banyak lagi sebab-sebabnya.

Kesimpulannya, mahkamah tidak mempunyai masalah bagi kes-kes yang termasuk dibawah bidangkuasa Majistret Kelas Dua, yang tuan-tuan mungkin boleh tolong. Perkara yang bermasalah ialah yang terletak di luar bidangkuasa Majistret Kelas Dua.

Kedua, jika Jaksa Pendamai hendak bersidang sebagai Majistret Kelas Dua maka perlulah diadakan bangunan mahkamah tambahan dan kakitangan tambahan. Kalau mereka cuma sekadar hendak menumpang bilik dan kakitangan mahkamah yang sedia ada, ia hanya akan mengganggu persidangan Majistret Kelas Satu yang tidak boleh bersidang apabila Majistret Kelas Dua bersidang. Itu akan membazir masa Majistret Kelas Satu. Jika hendak diadakan bilik mahkamah khas dan diberi kakitangan khas kita telah lihat tadi bahawa di Georgetown pun tak cukup kerja untuk seorang Jaksa Pendamai. Saya tidak fikir Jabatan Perkhidmatan Awam, MAMPU dan Perbendaharaan akan meluluskannya. Kalau dilulus pun nyata ianya membazir.

Ketiga adalah tidak betul jika dikatakan bahawa tidak cukup siswazah undang-undang untuk menjadi Majistret Kelas Satu. Beratus-ratus orang lulus setiap tahun. Banyak yang ingin memasuki Perkhidmatan kehakiman dan Perundangan tetapi tidak berjaya.

Demikian juga bilangan majistret bukanlah “tidak mencukupi” seperti yang kerap dikatakan. Di Georgetown ini terdapat empat jawatan, tetapi cuma ada dua bilik perbicaraan bagi Mahkamah Majistret. Oleh itu seorang majistret yang sepatutnya ditempatkan di Georgetown telah ditempatkan di Butterworth. Sekarang ini tiga orang Majistret menggunakan dua bilik bicara.

Keempat, orang kerap melihat ke England dan menghujahkan bahawa Jaksa Pendamai kita juga patut bertugas sebagai majistret seperti di England.

Kita mesti ingat apa yang berlaku di England itu bukanlah sesuatu yang dirancangkan tetapi akibat dari kesan sejarah. Kalau dirancang, masakan mereka akan menghendakki sekurang-kurangnya empat orang (tiga Jaksa Pendamai dan seorang kerani mahkamah yang berkelulusan undang-undang) untuk membicarakan kes salah letak kereta, manakala seorang hakim sahaja membicarakan kes bunuh? Mengapa orang-orang yang tidak berkelulusan undang-undang menjadi majistret dan yang berkelulusan undang-undang menjadi “kerani mahkamah” untuk menasihatkan majistret-majistret itu berkenaan isu undang-undang? Mengapa kerja yang boleh dibuat oleh seorang hendak dibuat oleh empat orang?

Kelima, kes-kes yang perlu dibicarakan biasanya diwakili oleh peguam. Mereka semestinya akan membangkitkan berbagai-bagai bantahan dan hujah undang-undang. Ini semestinya akan memberi masalah kepada majistret-majistret yang tidak berkelulusan undang-undang apatah lagi yang berkerja sambilan. Ini akan melambatkan lagi penyelesaian kes-kes itu. Sebab itulah di England seorang kerani mahkamah yang berkelulusan undang-undang dikehendaki membantu Jaksa Pendamai apabila mereka bersidang sebagai majistret.

Keenam, dunia sekarang telah lebih sophisticated. Demikian juga dengan kes-kes. Sebab itu untuk menjadi Che Gu atau polis konstable pun kelulusan darjah enam tidak memadai lagi. Sebab itu hari ini tekanan diberi kepada professionalism. Membicara dan memutuskan kes-kes juga memerlukan professionalism. Apatah lagi di mana orang awam telah lebih terpelajar dan berada. Mereka mampu dan sanggup mendapatkan khidmat peguam untuk mewakili mereka. Kebanyakan kes yang perlu dibicarakan diwakili peguam. Dari pengalaman kita di masa lepas majistret-majistret yang tidak berkelulusan undang-undang mendapati masalah mengendalikan kes-kes itu. Di akhir kes, mungkin ada rayuan yang memerlukan alasan penghakiman ditulis. Ini juga memerlukan professionalism.

Ketujuh, seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan lebih mudah didisiplinkan jika dia tidak membuat kerja yang sepatutnya dilakukan kerana dia tertakluk kepada Bab D Perintah Am.

Kesimpulannya, atas alasan-alasan yang saya berikan itu, saya tidak dapat menyokong syor supaya Jaksa Pendamai bersidang sebagai Majistret Kelas Dua.

Semenjak institusi ini dibawa masuk oleh British dulu pun, Jaksa Pendamai tidak pernah menjalankan tugas itu. Peruntukan mengenainya tinggal dalam Akta tahun 1948 itu bersama-sama dengan peruntukan Mahkamah Penghulu yang juga sudah tidak berfungsi. Kedua-dua institusi ini sebagai sebahagian daripada Badan Kehakiman nampaknya sudah ketinggalan zaman.

Kalau mengikut tajuk yang diberikan kepada saya, saya sudah boleh berhenti di sini. Tetapi kalau saya berhenti di sini akan ternampak seolah-olah tidak ada apa-apa tugas yang boleh dibuat oleh Jaksa Pendamai . Oleh itu saya akan sambung.
KUASA MENANGKAP, MEMERIKSA DAN MENGGELEDAH
Beberapa undang-undang seperti Kanun Acara Jenayah, Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Dadah Berbahaya memberi kuasa dalam keadaan tertentu kepada Jaksa Pendamai untuk membuat tangkapan, memeriksa, memasuki dan menggeledah. Sama ada kuasa ini mampu dilaksanakan oleh tuan-tuan atau tidak, saya serahkan kepada tuan-tuan menimbangnya.

Pada pandangan saya, tugas itu adalah terlalu merbahaya kepada tuan-tuan yang kebanyakannya sudah berumur dan mungkin uzur. Hari ini polis pun, setakat seorang dua, walau pun masih muda, tegap, terlatih dan bersenjata tidak berani menyerbu tak tentu arah. Saya rasa tugas ini pun tidak praktikal lagi.

TUGAS DI BAWAH SEKSYEN 5 AKTA KANAK-KANAK DAN
ORANG MUDA, [1947]

Mengikut seksyen 5, seorang Jaksa Pendamai boleh memberikuasa kepada seseorang untuk membawa seseorang kanak-kanak ke tempat selamat yang terhadapnya satu kesalahan di bawah Akta itu telah dilakukan. Mengikut seksyen 32, Jaksa Pendamai boleh juga membuat aduan kepada Majistret berkenaan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta itu.

Saya berpendapat ada banyak ruang yang boleh dilakukan oleh Jaksa Pendamai berhubung dengan penganiayaan terhadap kanak-kanak. Penganiayaan terhadap kanak-kanak sentiasa berlaku baik dulu atau sekarang. Cuma bezanya sekarang Menteri selalu bercakap mengenainya, media massa banyak mencerita mengenainya. Oleh itu orang ramai pun lebih banyak bercakap mengenainya. Masalahnya siapa yang akan buat laporan. Kanak-kanak itu tidak boleh buat laporan. Jiran-jiran takut atau tak ambil kesah. Polis biasanya akan menyiasat apabila ada laporan. Pegawai Kebajikan Masyarakat juga besar kemungkinan tidak tahu kejadian-kejadian itu.

Dalam hal ini, saya berpendapat tuan-tuan boleh memain peranan penting. Tuan-tuan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat. Saya percaya tuan-tuan boleh menjadi orang perantaraan dengan pihak Polis dan Pegawai-Pegawai Kebajikan Masyarakat dalam hal ini. Mungkin orang ramai patut diberitahu bahawa, jika mereka tahu penganiayaan seperti itu, mereka boleh secara senyap-senyap dan tidak rasmi melaporkan kepada tuan-tuan. Saya percaya mereka akan lebih bersedia memberi maklumat seperti itu daripada membuat laporan polis.

Dalam hal ini saya syorkan supaya perbincangan dilakukan di antara wakil-wakil Jemaah Jaksa Pendamai, pihak Polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tentang cara mana Jaksa-Jaksa Pendamai boleh memberi kerjasama dan tindakan-tindakan susulan yang akan diambil.
TUGAS-TUGAS LAIN
Tugas-tugas lain termasuklah melawat penjara, mengesahkan “promissory notes” dan surat kuasa wakil. Rasanya tugas-tugas itu memang senentiasa tuan-tuan jalankan. Tidak perlulah saya menyentuhnya dengan lebih panjang.
AKHIR KATA
Jaksa Pendamai adalah satu warisan sejarah dari England yang dibawa masuk ke Malaysia. Di Malaysia undang-undang yang memberi kuasa kepada Jaksa Pendamai adalah undang-undang sebelum Merdeka. Tidak boleh dinafikan bahawa ini adalah akibat perubahan zaman dan keadaan. Dunia makin hari semakin canggih. Oleh sebab itu Kerajaan terpaksa mengadakan Jabatan-Jabatan yang khusus dengan pegawai-pegawai yang mempunyai latihan khusus untuk menjalankan sesuatu tugas. Mungkin sebab itulah undang-undang negara kita yang baru tidak menambahkan kuasa-kuasa Jaksa Pendamai. Malah kuasa yang telah diberi pun, banyak yang tinggal sebagai kuasa sahaja.
Oleh itu, saya berpendapat bahawa institusi Jaksa Pendamai pun harus berubah mengikut peredaran zaman dan perubahan keadaan.
Saya berpendapat, di samping bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkenaan untuk melaksanakan undang-undang yang Jaksa Pendamai mempunyai kuasa melakukannya, Jaksa Pendamai boleh memberi tumpuan kepada menyedari masyarakat supaya mematuhi undang-undang.
Negara kita tidak kekurangan undang-undang. Yang kurang ialah pelaksanaan undang-undang dan pematuhan undang-undang. Kekurangan mematuhi undang-undang lebih ketara di bandar-bandar, terutama sekali di Georgetown ini.
Saya sendiri tidak dapat memikirkan apakah cara bertindak yang tuan-tuan boleh buat dalam hal ini. Mungkin tuan-tuan boleh bersama-sama memikirkannya. Walau bagaimanapun, memandangkan bahawa tuan-tuan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat, tuan-tuan boleh menggunakan kedudukan dan pengaruh tuan-tuan untuk memimpin anggota-anggota masyarakat supaya lebih menghormati dan mematuhi undang-undang dan juga supaya bersikap lebih bertimbang rasa dalam tingkah laku mereka yang melibatkan anggota-anggota masyarakat lain.

BERTARIKH: 23 Julai 1994.

973 visits