PENJELASAN DAN TAMBAHAN

PENJELASAN DAN TAMBAHAN

 

Setelah membaca komen-komen pembaca, saya telah membaca semula rencana berkenaan dengan teliti. Perlu diingati bahawa ia adalah rencana ilmiah undang-undang. Ujian terhadapnya ialah sama ada ia betul atau tidak di sisi undang-undang, bukan sama ada ia disukai atau tidak. Setakat ini belum ditunjukkan di mana pandangan dan hujah-hujah kami yang tidak betul. Pendirian saya adalah, jika ditunjukkan di mana pandangan kami yang tidak betul, disertai dengan hujah-hujah yang lebih baik, saya akan menerimanya dan membuat pembetulan.

Setelah menelitinya semula, saya dapati satu klausa telah tertinggal di perenggan akhir, walaupun ia diulangkan sebanyak dua kali sebelumnya. Klausa itu ialah “melainkan dalam perkara-perkara yang dikecualikan oleh Perlembagaan” seperti yang terdapat dalam halaman 1, perenggan 7 atau “yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan” yang terdapat dalam halaman 2, perenggan 2.

Ketertinggalan klausa tersebut mungkin telah menyebabkan pembaca-pembaca yang hanya membaca perenggan terakhir (rencana sepatutnya dibaca keseluruhannya) menanggap bahawa mengikut rencana itu Yang di-Pertuan Agong mesti menurut nasihat Perdana Menteri dalam semua perkara.

Maka, untuk mengelak anggapan sedemikian, dengan ini dimasukkan klausa “dalam perkara yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan” ke dalam ayat yang bermula dengan kata-kata “Dalam kata lain…..”  menjadikan ayat itu berbunyi begini:

“Dalam kata lain, adalah lebih tepat untuk baginda menurut nasihat Perdana Menteri dalam perkara yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan dan nasihat Peguam Negara yang berkuasa pada masa ini. Pada ketika-ketika tertentu baginda boleh menyampaikan pandangan baginda  kepada Kerajaan.”

Diharapkan dengan memasukkan klausa itu akan dapat mengelak salah faham terhadap maksud sebenar rencana itu.

Saya juga ingin menarik perhatian pembaca bahawa dalam rencana tersebut kami tidak memberi pandangan sama ada, untuk memanggil persidangan Parlimen menurut seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Yang di-Pertuan Agong perlu melakukannya atas nasihat Perdana Menteri atau tidak.

Sekian, Terima kasih.

 

Tun Abdul Hamid Mohamad

24 06 2021

 

 

92 visits