WAJARKAH RUKUN NEGARA DIJADIKAN MUQADIMAH (PREAMBLE) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN?

PERSIDANGAN MEJA BULAT PERKASA
WAJARKAH RUKUN NEGARA DIJADIKAN MUQADIMAH (PREAMBLE) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN?
5 Mac 2017
Perutusan Khas
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Yang Di Pertua PERKASA, Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’. Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Walaupun saya tidak dapat menghadiri persidangan meja bulat ini, saya berterima kasih kerana diberi peluang untuk memberi pandangan saya mengenai cadangan menjadikan Rukun Negara sebagai preamble (mukadimah) Perlembagaan Persekutuan.

Kita perlu faham kesan cadangan ini di sisi perundangan. Saya minta maaf, tetapi hari ini saya terpaksa berkata bahawa saya bercakap dari pengalaman sebagai seorang hakim yang biasa duduk di mahkamah paling tinggi di Malaysia dan menulis penghakiman-penghakiman mahkamah itu yang melibatkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Preamble atau muqadimah adalah satu kenyataan pengenalan ringkas mengenai tujuan asas perlembagaan dan prinsip panduan (guiding principles). Ia menyatakan secara umum niat pengasas mengenai tujuan Perlembagaan dan apa yang mereka harap akan dicapai oleh Perlembagaan itu. Oleh sebab itu ia biasanya digubal pada masa yang sama, malah sebagai permulaan gubalan sesuatu perlembagaan, bukan 60 tahun kemudian.

Mukadimah digubal oleh pakar perundangan dengan tujuan untuk menjadikannya mukadimah kepada Perlembagaan. Rukun Negara tidak semestinya digubal oleh pakar perundangan dan ia digubal untuk tujuan politik negara. Bagaimana Rukun Negara hendak dijadikan muqadimah?

Saya khuatir apabila Rukun Negara telah dijadikan muqadimah yang mempunyai kuatkuasa undang-undang dan hakim-hakim dikehendaki menggunakannya dalam mentafsir Perlembagaan, akan terbitlah penghakiman-penghakiman yang mungkin bercanggah atau tidak selaras dengan tujuan peruntukan-peruntukan yang sedia ada, walaupun peruntukan yang khusus.

Mari kita lihat bagaimana kemungkinan perkara ini berlaku. Saya hanya akan memberi tiga contoh.

Pertama, Rukun Negara menyatakan, antara tujuannya ialah, untuk “mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat”; Kita masih ingat bahawa lebih kurang dua tahun dahulu, cubaan telah dibuat melalui apa yang dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perpaduan Negara (RUU Perpaduan) kononnya untuk menyatupadukan rakyrat. Apakah yang diperuntukkan? Peruntukan-peruntukan yang menekankan kesaksamaan dan untuk menghapuskan diskriminasi.

Bagaimana jika selepas Rukun Negara dijadikan muqadimah Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai kuat kuasa sebagai undang-undang utama (supreme law) Persekutuan (bukan sekadar undang-undang biasa) dan ada pihak yang menghujahkan di Mahkamah bahawa penerimaan pelajar bumiputera sahaja di UiTM adalah satu diskriminasi yang menghalang tercapainya perpaduan bertentangan dengan Klausa Pertama, muqadimah Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu tak berperlembagaan dan tidak sah?

Perhatikan peruntukan berkenaan adalah peruntukan Perlembagaan yang mengatasi semua undang-undang. Dalam kata-kata lain semua undang-undang, semua peraturan, semua arahan dan semua tindakan eksekutif yang memeberi keutamaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dalam segala bidang, akan menjadi tidak berpelembagaan dan tidak sah, mulai tarikh muqadimah diadakan.

Kedua, Rukun Negara menyatakan bahawa antara tujuannya ialah untuk “mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;” Apa bezanya peruntukan ini dengan peruntukan RUU Perpaduan dahulu? Klausa ini lebih direct yang boleh digunakan bagi menyokong hujah seperti yang terdapat dalam misalan pertama tadi. Malah, klausa ini boleh digunakan untuk mencabar Perkara 153. Mereka boleh menghujahkan bahawa muqadimah dimasukkan kemudian daripada Perkara 153; bahawa ia mengatasi peruntukan-peruntukan yang telah wujud lebih awal; bahawa itulah niat Parliament sebab, jika tidak, untuk apa ia dimasukkan?

Ketiga, perkataan “Islam” sekali pun tidak disebut dalam Rukun Negara. Mengenai cara hidup, hanya “cara hidup demokratik” yang disebut. Prinsip pertama pula hanya menyebut “Kepercayaan kepada Tuhan”. Perkataan “Tuhan” (tanpa diikuti dengan kata-kata “Yang Maha Esa”), mengikut undang-undang boleh jadi “singular” (satu) dan boleh jadi “plural” (lebih daripada satu). Oleh itu agama tidak terhad kepada Islam.

Oleh itu apabila Rukun Negara telah dijadikan muqadimah yang mempunyai kuatkuasa undang-undang, hujah boleh dikemukakan bahawa niat Parliment yang memasukkannya ialah untuk menyamakan kedudukan semua agama di Malaysia. Mereka boleh menggunakan hujah yang sama dengan yang saya sebut di bawah contoh kedua di atas.

Kumpulan yang membuat cadangan ini menghujahkan bahawa tiga keadaan telah wujud kerana ketiadaan muqadimah. Pertama, polarisasi antara kaum. Kedua, cubaan sekumpulan orang Islam untuk melaksanakan hukum syarak sebagai undang-undang negara. Ketiga, cubaan sekumpulan orang bukan Islam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara liberal.

Jawapan ringkas saya kepada mereka ialah, semua itu, jika ada pun, bukanlah kerana tidak ada muqadimah. Jika ada muqadimah pun, tidak bererti ia tidak akan berlaku.

Kita tidak boleh menyamakan Rukun Negara dengan Panca Sila di Indonesia yang dikatakan menjadi faktor yang menyatupadukan rakyat Indonesia. Di Indonesai, dari awal-awal lagi, Presiden Soekarno telah memperkenalkan Panca Sila kepada rakyatnya. Kebanyakan rakyat Indonesia tidak tahu pun adanya Perlembagaan atau apa peranannya. Di sini, dari awal lagi kita mengenalkan Perlembagaan sebagai undang-undang utama negara. Rukun Negara diadakan kemudian, itu pun bukan sebagai undang-undang.

Adalah juga tidak betul jika dikatakan Panca Sila telah menyatupadukan rakyat Indonesia. Komposisi rakyat Indonesia berlainan daripada komposisi rakyat Malaysia. Rakyat Indonesia hampir kesemuanya terdiri daripada “rumpun Melayu” yang berasal dari Gugusan Kepulauan Melayu, yang disatukan (tanpa niat) oleh penjajahan Belanda selama 500 tahun, perjuangan menuntut kemerdekan, dan Soekarno. Jika ada peranan Panca Sila pun, ia tiba kemudian dan sangat sedikit.
Saya tidak menentang jika semasa Suruhanjaya Reid menggubal Perlembagaan Persekutuan dahulu, ia diminta mengadakan mukadimah bagi Perlembagaan Persekutuan. Apa yang saya tentang ialah cubaan untuk mengambil Rukun Negera, yang digubal untuk tujuan lain untuk dijadikan mukadimah Perlembagaan Persekutuan selepas 60 tahun Perlembagaan itu berkuat kuasa. Saya percaya ia akan disalahgunakan untuk menghakis hak dan kepentingan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan agama Islam manakala ia tidak akan mengatasi masalah yang kononnya disebabkan oleh ketiadaan muqadimah itu.

Biarlah Perlembagaan kekal sebagai Perlembagaan dan Rukun Negara kekal sebagai Rukun Negara. Yang penting ialah semua rakyat Malaysia menumpukan taat setia mereka kepada Malaysia dan menghormati peruntukan-peruntukan Perlembagaan dan hak-hak yang telah dipersetujui dan termaktub di dalamnya. Itu sahaja yang perlu dilakukan. Jika semua rakyat dari berbagai kaum berbuat demikian, Malaysia akan terus aman, makmur, tenteram dengan rakyatnya bebas menjalani kehidupan mereka mengikut agama dan budaya masing-masing di samping bangga menjadi rakyat Malaysia.

Akhir kata, tidak ada masalah, jangan cari masalah yang berkemungkinan merugikan diri sendiri.

(Jika ingin mengetahui dengan lebih mendalam, sila baca artikel saya yang telah diedarkan dan juga boleh didapati dalam laman web saya.)

Sekian. Terima kasih.

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me