TANGGUNGJAWAB UTAMA UMNO, PAS DAN BERSATU KEPADA BANGSA MELAYU ADALAH MENGHALANG PH MENANG DALAM PRU 15

TANGGUNGJAWAB UTAMA UMNO, PAS DAN BERSATU KEPADA BANGSA MELAYU ADALAH MENGHALANG PH MENANG DALAM PRU 15

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya menyebut UMNO, Pas dan Bersatu dan tidak menggunakan kata-kata “parti-parti Melayu” kerana saya menujukan rencana ini kepada tiga buah parti Melayu/Islam itu. Saya tidak memasukkan PKR, Amanah dan Pejuang kerana mereka bergantung kepada DAP dan tidak akan melakukan sesuatu, walaupun mempertahankan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam tanpa persetujuan DAP. Saya tidak mengharapkan sesuatu daripada ketiga-tiga buah parti itu untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Malah, jika DS Ahmad Zahid (mungkin bersama-sama DS Najib) dan penyokong-penyokong mereka berjaya membawa UMNO menyertai PKR, Amanah, Pejuang dan DAP, baik apa nama pun gabungan itu diberi, saya tetap mengeluarkan UMNO daripada kumpulan parti Melayu yang saya tujukan dalam rencana ini.

Saya juga menggunakan kata-kata “orang Melayu, bangsa Melayu dan parti Melayu” kerana itu adalah deskripsi yang tepat dalam rencana ini. Kita bukan seperti orang Yahudi (Jew) yang tidak mahu orang memanggilnya Yahudi (Jew), tetapi  sifat rasisnya melebihi mana-mana bangsa di dunia ini. Di Malaysia ini pun, kerap kali perkataan “Malaysian” digunakan untuk melindungi deskripsi nama kaum-kaum bukan Melayu apabila mereka mencabar hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Saya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam dan di antara ketiga-tiga parti itu, Saya cuma boleh mengagak berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin parti-parti itu dan apa yang saya baca di media massa dan menghujahkan sebab, implikasi dan kesannya.

Tujuan rencana ini adalah untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin Melayu supaya tidak mengulangi kesilapan mereka dalam PRU 14 demi mempertahankan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak lebih dari itu.

Rencana ini ditumpukan kepada kedudukan politik Melayu di Semenanjung Tanah Melayu kerana kedudukan di Sabah dan Sarawak berbeza. Tetapi, kepentingan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak adalah lebih rapat dengan kepentingan orang Melayu kerana di mana hak-hak orang Melayu disebut dalam Perlembagaan, ia termasuk hak-hak anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Maka, sesuatu keadaan yang menguntungkan atau merugikan orang Melayu juga melibatkan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu mereka patut sedar supaya mereka tidak terikut dengan politik Pakatan Harapan, terutama sekali DAP, semata-mata kerana isu penggunaan nama Allah yang dijadikan isu untuk memecahbelahkan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Saya tidak kisah walaupun saya dikatakan rasis kerana saya melihat isu ini dari sudut kepentingan Melayu/Islam kerana itulah tujuan rencana ini. Siapa kata kaum-kaum lain tidak melihat sesuatu isu, termasuklah yang paling kecil seperti pengajaran dan penggunaan huruf Jawi  itu, dari sudut kepentingan kaumnya?

Tanggungjawab utama UMNO, Pas dan Bersatu dari sekarang hingga dan termasuk dalam PRU 15 adalah untuk menghalang Pakatan Harapan berkuasa semula. Yang lainnya adalah sampingan. Pemimpin-pemimpin ketiga-tiga buah parti itu perlu peka kepada hakikat ini dan mengenepikan semua kepentingan diri (yang disebut “kepentingan parti”) lain jika mereka tidak mahu akibat PRU 14 berulang yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.

Adakah kedudukan hubungan ketiga-tiga parti itu pada masa ini memungkinkan hal itu berulang? Jawapan saya ialah “besar kemungkinan” jika tidak dibaiki. Jika itu berlaku, ia bukanlah kerana Pakatan Harapan popular, tetapi kerana perpecahan orang Melayu sekali lagi yang disebabkan oleh sifat angkuh, tamak, mementingkan diri, tidak berfikir jauh dan mengutamakan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia, yang ada pada pemimpin-pemimpin Melayu itu.

Bagi saya, kedudukan sekarang amatlah merisaukan. UMNO nampaknya tidak bersetuju untuk bersama-sama Bersatu dan Pas dalam menentang Pakatan Harapan. Saya tidak tahu sebab yang sebenarnya. Saya cuma boleh mengagaknya.

Pertama, UMNO masih merasakan bahawa ia masih parti Melayu terbesar sama seperti dalam dekad-dekad1960 hingga ke 2010 dan, oleh itu, ia boleh bertanding sebagai Barisan Nasional di dekad-dekad tersebut dan menang.

Kedua, UMNO tidak sanggup menyerahkan kawasan-kawasan pilihan raya yang ditandinginya kepada Bersatu yang tidak mempunyai penyokong akar umbi mahupun jentera pilihan raya, apatah lagi kawasan-kawasan yang dimenangi oleh calon-calon UMNO yang kemudiannya melompat kepada Bersatu

Ketiga, DS Ahmad Zahid (mungkin juga DS Najib) marahkan TS Muhyiddin kerana tidak menarik balik pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadap mereka di mahkamah.

Keempat, pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak mendapat tempat dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional atau GLC tidak puas hati dan hendak menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Kelima, UMNO mungkin tidak senang dengan sikap Pas yang membelakangkan UMNO setelah pemimpin-pemimpin Pas menganggotai kabinet kerajaan Perikatan Nasional.

Keenam, UMNO pernah menimbulkan isu ketidak kejujuran Bersatu atau Bersatu dan Pas, saya kurang pasti, dalam hubungan di antara mereka.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin UMNO yang mendapat jawatan dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional atau GLC nampak selesa dengan kedudukan mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional dan tidak mahu menjatuhkan TS Muhyiddin.

Kita bincang dahulu alasan-alasan ini. Mengenai alasan pertama, atas kertas, UMNO mungkin masih parti terbesar Melayu, tetapi ia tidak lagi berpengaruh seperti dalam dekad-dekad yang disebut itu. Kedudukannya sekarang lemah disebabkan pemimpin-pemimpinnya yang tidak disenangi. Saya telah mengatakan dan saya ulangi bahawa UMNO tidak akan dapat dipulihkan selagi DS Najib, DS Zahid dan pemimpin-pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tidak berundur sepenuhnya.

Maka adalah diharapkan bahawa mereka akan mengenepikan kepentingan diri demi kepentingan UMNO, Melayu dan Islam di Malaysia pada masa ini. Kita tidak mengatakan mereka tidak berbuat sesuatu untuk orang Melayu dan agama Islam. Kita cuma mengatakan jika DS Zahid masih menerajui UMNO dan jika DS Najib masih terlibat dalam UMNO dalam PRU 15 ini, pengundi akan menolak UMNO/Barisan Nasional yang memungkinkan kemenangan kepada Pakatan Harapan seperti dalam PRU 14, terutama sekali di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu.

Jika mereka enggan berbuat demikian, pemimpin-pemimpin UMNO hendaklah bertindak menyingkir mereka daripada memegang jawatan dalam UMNO sehingga mereka membersihkan diri mereka daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap mereka itu. Mengatakan ia “selective prosecution” tidak membantu. Soalnya ialah sama ada mahkamah mendapati mereka bersalah atas pertuduhan-pertuduhan itu atau tidak, bukan sama ada orang lain juga melakukannya atau tidak. Ini soal integriti parti yang akan mempengaruhi pengundi menolak calon-calon UMNO.

Saya difahamkan bahawa kebanyakan Ketua Bahagian adalah orang-orang yang diletak oleh Presiden parti dan terhutang budi kepadanya dan, oleh itu, tentu sekali akan terus menyokongnya demi kepentingan diri masing-masing. Jika apa yang dikatakan itu betul, maka akan hancurlah UMNO dan bangsa Melayu bersama-samanya. Kita sudah melihatnya mula berlaku sekarang.

Saya juga difahamkan bahawa Presiden parti mempunyai kuasa penentu siapa yang akan bertanding sebagai calon Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen. Tanpa tandatangan Presiden, seseorang itu tidak boleh bertanding sebagai calon parti. Maka, tidak hairanlah jika mereka seperti tikus jika ada Presiden berdekatan. Saya pernah duduk di sebelah seorang Menteri (agama) manakala Perdana Menteri duduk di sebelah lagi dalam suatu majlis jamuan. Tidak pernah terbayang di fikiran saya bahawa sampai begitu sekali takutnya Menteri kepada Perdana Menteri dan sampai begitu sekali Menteri membodek Perdana Menteri.

Pemberian kuasa seperti itu kepada Presiden parti tidak semestinya tidak baik jika ia digunakan untuk mendapat orang yang paling berkelayakan, sesuai dan popular menjadi calon. Tetapi, adalah suatu penyalahgunaan kuasa jika ia digunakan untuk memastikan seseorang calon itu adalah orang yang setia kepadanya, tidak kira apa yang dilakukannya. Daripada apa yang dilihat dan didengar, nampaknya kuasa itu digunakan untuk tujuan kedua. Maka, akan jahanamlah parti dan bangsa Melayu bersamanya.

Jika pemimpin-pemimpin UMNO tidak berani bertindak demikian kerana terhutang budi, kepentingan diri atau lain-lainnya, maka ahli-ahli UMNO hendaklah bersatu untuk menolak pemimpin-peminpin mereka dan menggantikan mereka dengan pemimpin-pemimpin baharu.

Jika itu pun tidak berlaku, maka pengundi-pengundi di kawasan mereka bertanding, jika mereka masih boleh dan bertanding, hendaklah menolak mereka dalam PRU 15.

Sama ada apa yang disebut ini akan berlaku atau tidak, saya tidak tahu. Saya cuma menyebut apa yang patut dilakukan dan mengharapkan masih ada pemimpin dan ahli UMNO yang masih berani memecah belenggu budaya ini. UMNO tidak ada pilihan lain melainkan mengenepikan DS Zahid dan DS Najib dan pemimpin-pemimpin yang akan merosakkan imej UMNO, dalam PRU 15.

Alasan kedua adalah wajar. UMNO mempunyai hujah yang mantap. Bersatu hanya mempunyai seorang Perdana Menteri, itu pun atas sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO termasuk yang melompat daripada UMNO kepadanya di era Tun Dr. Mahathir. Bersatu tidak mempunyai sokongan akar umbi dan jentera pilihan raya. Ia juga tidak lagi mempunyai dua faktor yang memberi kemenangan kepadanya dalam PRU 15, iaitu undi orang Melayu yang marah kepada DS Najib dan undi orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, yang memberi sokongan sebulat suara kepada DAP dan Pakatan Harapan.

Maka, mengapa UMNO perlu menyerahkan kawasan yang dimenangi oleh Bersatu kepadanya, apatah lagi kawasan-kawasan yang dimenangi oleh calon-calon UMNO yang kemudiannya melompat kepada Bersatu dan Pakatan Harapan?

Mengenai alasan ketiga, saya percaya itu adalah satu daripada sebabnya. Saya hormat TS Muhyiddin jika beliau mengambil pendirian tidak campur tangan dalam prosiding kes-kes itu, dalam pertimbangan Pendakwa Raya untuk menuduh seseorang atau tidak dan untuk tidak meneruskan pendakwaan atau sebaliknya. Itu adalah pendirian yang sepatutnya diambil oleh seorang Perdana Menteri.

Jika DS Najib dan DS Zahid mengharapkan TS Muhyiddin  berbuat demikian, ia amatlah mendukacitakan. Itu menunjukan bahawa kedua-dua bekas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu langsung tidak faham atau tidak menghormati pembahagian kuasa di antara Eksekutif dan Kehakiman. Sama seperti pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, mereka seolah-olah berpendirian bahawa kuasa itu mengatasi segala-galanya. Mereka juga mahu TS Muhyidddin mengikuti Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan yang, apabila sahaja Pakatan Harapan menang, terus menghadap DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong untuk meminta pengampunan kepada DS Anwar Ibrahim.

Ia juga bererti mereka mahu TS Idrus Harun, Peguam Negara / Pendakwa Raya, sama ada atas tekanan atau tidak, melakukan apa yang dilakukan oleh TS Tommy Thomas dalam kes Lim Guan Eng dan lain-lain penyokong Pakatan Harapan. Semua itu bukankanlah contoh yang patut diikuti.

Saya percaya alasan keempat juga benar. Ia menunjukkan bahawa penyertaan dalam politik adalah untuk mencari makan, bukan untuk mencapai sesuatu idealisma atau menyelesaikan masalah-masalah negara lagi. Yang penting ialah mendapat jawatan dan habuan yang boleh diperolehi daripadanya: politik untuk mengisi perut dan melepaskan tengkuk. Itu sahaja pertimbangannya. Bangsa, agama, keadilan, persamaan, demokrasi, rule of law, negara Islam, hak asasi manusia dan lain-lain hanyalah retorik untuk mencapainya.

Mengenai alasan kelima,  semasa hendak mengadakan Muafakat Nasional, Pas nampak bersungguh-sungguh hendak menjayakannya. Secara peribadi, saya menyambut peristiwa itu dengan gembira kerana selama berdekad saya menunggunya kerana kewujudan dan persaingan kedua parti itu hanya merugikan orang Melayu sedangkan tidak ada apa-apa perbezaan ideologi dan tujuan di antara keduanya. Tetapi, tidak lama selepas itu, Pas telah mendekati Bersatu (yang masih berada dalam Pakatan Harapan) dengan memberi pengakuan bahawa ia akan menyokong Tun Dr. Mahathir sehingga PRU 15. Besar kemungkinan mereka bermesra dengan Tun Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri pada masa itu untuk mendapat wang ihsan petroleum bagi Kelantan dan Terengganu.

Apabila timbul cadangan mengadakan Kongres Maruah Melayu (23 10 2013) yang dianjurkan oleh DS Hamzah Zainuddin, Ahli Parlimen UMNO yang melompat masuk Bersatu, yang pada masa itu masih dalam Pakatan Harapan, Pas awal-awal lagi menyatakan penyertaannya, menyebabkan UMNO serba salah. Akhirnnya UMNO menghantar Setiausaha Agungnya, TS Anuar Musa. DS Zahid, Presiden UMNO, entah mengapa, tidak hadir, manakala Pengerusi Bersatu dan Presiden Pas hadir.

Mengenai alasan keenam, saya tidak tahu apakah fakta yang menyebabkan UMNO membangkitkan isu ketidakjujuran Bersatu atau Bersatu dan Pas itu. Berkenaan Bersatu, adakah kerana Bersatu cuba “mencuri” ahli-ahli Parlimennya?

Sekarang telah nyata bahawa UMNO yang dipengaruhi DS Zahid telah menyatakan bahawa ia tidak pernah menyertai Perikatan Nasional; bahawa ia tidak akan menyertai Perikatan Nasional  dalam PRU 15 dan sokongan terhadap TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri oleh ahli-ahli Parlimen UMNO adalah dibuat secara peribadi. Walaupun dengan keputusan itu sepatutnya ahli-ahli UMNO yang menjadi Menteri dan Timbalan Menteri meletak jawatan, mereka masih enggan berbuat demikian. Tidakkah mereka  melanggar dasar parti? Jika ya, mengapa tindakan tidak diambil terhadap mereka? Adakah DS Zahid sudah kehilangan pengaruhnya? Walaupun seorang dua Ahli Parlimen menyatakan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional, yang lainnya tidak turut berbuat demikian. Mungkinkah mereka mahu mengekalkan TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sehingga PRU 15 kerana kepentingan diri: sekurang-kurangnya dapat terus memegang jawatan mereka sehingga PRU 15?

Logik kenyataan UMNO-Zahid bahawa UMNO tidak menyokong kerajaan Perikatan Harapan dan sokongan hanya diberi oleh Ahli-Ahli Parlimen UMNO secara individu, adalah meleset. Apabila tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan Perikatan Nasional hendak ditubuhkan dengan TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, bukankah UMNO yang menghantar nama-nama pemimpin-pemimpinnya untuk dipilih dan dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri? Hanya selepas DS Zahid dan beberapa pemimpin UMNO lain tidak terpilih dan bilangan jawatan kabinet yang diberi kepada UMNO tidak seperti yang diharapkan, barulah mula timbul rungutan yang membawa kepada pendirian UMNO sekarang. Jika Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu menyokong TS Muhyiddin secara individu sedangkan UMNO tidak menyokong beliau dan kerajaannya, mengapa UMNO tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka?

Kita lihat pula gelagat Pas dalam tempoh yang sama. Pada masa menandatangani Muafakat Nasional, Pas bersungguh-sungguh hendak bekerjasama dengan UMNO. Ia mula merenggangkan diri daripada UMNO selepas itu sehingga menyertai Bersatu untuk mendaftarkan Perikatan Nasional sebagai sebuah parti politik, dengan itu membelakangkan muafakatnya dengan UMNO. Dalam hal ini saya fikir UMNO wajar merasa terkilan dan mempersoalkan kejujuran Bersatu dan Pas.

Bahawa Pas sanggup berbuat demikian tidak sukar difahami. Tujuannya samalah dengan mengisytiharkan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir yang disebut lebih awal: untuk mendapat wang ihsan petroleum. Pada masa itu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, sekarang TS Muhyiddin adalah Perdana Menteri, tidak kiralah kerajaan Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional. Sebaliknya UMNO tidak ada seorang Perdana Menteri untuk memberi apa yang dikehendakinya. Adakah itu politik Islam?

Pas lupa bahawa sepanjang pemerintahannya di Kelantan, kerajaan Persekutuan yang diterajui UMNO dan diperintah oleh “Taghut” dan “Maha Firaun” itu tidak pernah menganaktirikan Kelantan atau anak Kelantan. Pembangunan di Kelantan dilakukan sama seperti di negeri-negeri lain. Anak-anak Kelantan tidak didiskriminasikan dalam pemberian biasiswa dan peluang mendapat pekerjaan dalam kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan. Pergilah ke universiti, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan, kita akan temui anak-anak Kelantan dengan banyaknya dan memegang jawatan-jawatan tertinggi dan utama. Pergilah ke hospital, kita akan dapati berapa banyak jururawat yang berasal dari Kelantan. Saya difahamkan, pada suatu masa, keutamaan diberikan kepada pemohon daripada Kelantan dan Terengganu walaupun kelayakan mereka lebih rendah, semata-mata untuk memberi pekerjaan kepada mereka, hingga mengakibatkan penurunan standard kejururawatan. Semua itu dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO. Tanpa disedari, UMNO-lah yang mempertahankan kerajaan Pas di Kelantan begitu lama. Pas patut berterima kasih kepada UMNO.

Sampai kepada Bersatu-Muhyiddin. Saya ulangi apa yang saya sebut di atas, modalnya hanyalah seorang Perdana Menteri, itu pun kerana sokongan UMNO.

Apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang, kita berpendapat bahawa itu adalah satu peluang untuk menubuh sebuah kerajaan perpaduan Melayu termasuk ahli-ahli parti-parti anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan parti-parti bukan Melayu yang menyokong kerajaan baru itu. Malangnya itu tidak berlaku atau dilakukan oleh TS Muhyiddin. Beliau lebih mengutamakan usaha menguatkan kedudukan beliau sebagai Perdan Menteri dan parti beliau.

Untuk itu, antara lain, beliau tidak mengadakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, meletak ahli-ahli partinya di kementerian-kementerian penting dan melantik pemimpin-pemimpin parti sekutu, termasuk UMNO, sebagai pengerusi-pengerusi GLC dan ke jawatan-jawatan kerajaan.

Satu pelantikan yang ketara ialah pelantikan DS Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf Menteri. Pelantikan Itu bermotifkan politik semata-mata, tidak ada faedahnya dan hanya merugikan wang pembayar cukai. Apakah sumbangan yang boleh diberi oleh beliau yang tidak boleh dilakukan oleh duta-duta dan pegawai-pegawai profesional Kementerian Luar Negeri Malaysia ke negara-negara itu? Sebaliknya, mereka akan menghabiskan masa mereka memberi taklimat demi taklimat mengenai sesuatu isu, kepada beliau. Bahawa beliau seorang ulamak dan boleh berbahasa Arab bukanlah faktor yang boleh memperbaiki hubungan antara negara-negara itu dengan Malaysia. Dalam perhubungan antara bangsa, duta-duta dan pegawai-pegawai negara-negara Arab juga menggunakan Bahasa Inggeris. Bagaimana jika mereka bercakap Inggeris dengan beliau? Hubungan sesama nagara-negara Arab yang berbahasa Arab adalah lebih buruk daripada hubungan mereka dengan negara-negara bukan Arab yang tidak berbahasa Arab, seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Negara-negara Arab pun tidak melantik seorang ulamak berbahasa Melayu untuk menjadi duta khas ke Asia Tenggara.

Setelah lebih kurang satu tahun, tunjukkan  satu perkara yang tidak boleh dilakukan oleh duta-duta dan pegawai-pegawai professional kita ke negara-negara itu, yang beliau telah lakukan untuk justify gaji dan elaun yang dibayar kepada beliau. Pelantikan itu juga adalah satu penyalahgunaan kuasa.

Terbaru, lihat reaksi YB Tajuddin Abdul Rahman, ahli Parlimen yang dilantik menjadi Pengerusi Prasarana berkaitan pertembungan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Klana Jaya. Memang patut perkhidmatannya ditamatkan serta merta. Malah, perkhidmatan kesemua pelantikan politik seperti itu hendaklah ditamatkan serta merta. Dari awal lagi pelantikan-pelantikan itu tidak sepatutnya dibuat. Tidak ada sumbangan yang mereka boleh berikan. Pelantikan dibuat semata-mata supaya mereka terhutang budi kepada TS Muhyiddin dan menyokong beliau jika berlaku undi tidak percaya terhadapnya. Itulah kelayakan mereka. Dalam hal ini, TS Muhyiddin melakukan kesilapan yang lebih besar daripada DS Najib sebelum beliau digulingkan.

Dari sini kita juga dapat melihat bahawa sifat pemimpin-pemimpin ketiga-tiga buah parti itu adalah sama iaitu mereka mementingkan diri dan parti tanpa mengira kepentingan Melayu/Islam akibat perbuatan mereka. Itulah satu keistimewaan orang Melayu dalam menjahanamkan bangsanya sendiri.

Biar apa pun, dalam menghadapi PRU 15, kita tiada pilihan selain daripada menerima hakikat keadaan sekarang dan mengesyorkan tindakan terbaik yang patut diambil demi untuk kepentingan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Dalam keadaan sekarang, mahu tidak mahu, suka tidak suka, adalah lebih baik ketiga-tiga parti itu bekerjasama. Dalam PRU 15, mereka perlu mengenepikan keangkuhan, tamak, kepentingan diri dan parti dan mengutamakan tujuan asas pada masa ini iaitu menghalang Pakatan Harapan berkuasa semula. Saya percaya, gabungan ketiga-tiga parti itu akan dapat memenangi sejumlah kerusi terbanyak yang akan menarik parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk menyertainya.

Setelah berjaya membentuk kerajaan Persekutuan baru yang lebih kuat, dan hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam lebih selamat, pergeseran antara mereka dalam pembahagian jawatan dalam kabinet, diharapkan boleh dilakukan dengan lebih adil dan dalam suasana muafakat dan bertolak ansur. Pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu ingat cerita “Anjing dengan bayang-bayangnya” dalam buku darjah tiga di sekolah Melayu sebelum Merdeka dahulu: kerana tamakkan bayang-bayang tulang yang disangkannya digonggong oleh seekor anjing lain, tulang yang digonggongnya jatuh ke dalam sungai. Dalam kes ini, yang mungkin terlepas bukan sahaja hak pemimpin-pemimpin itu sendiri tetapi hak keseluruhan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia. Kita telah melihatnya selama 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan memerintah. Mahukah kita ia berulang?

Jika ketiga-tiga parti itu tidak dapat bekerjasama, pilihan yang lebih baik adalah bagi UMNO dan Pas kembali semula kepada Muafakat Nasional. Kerjasama dan muafakat antara keduanya akan membolehkan keduanya memenangi bilangan kerusi Parlimen yang cukup untuk menghalang kemenangan Pakatan Harapan. Bersatu, bertanding sendiri, mungkin akan terpinggir, jika tidak terkubur pun. Calon-calonnya yang berjaya eloklah menyertai gabungan UMNO-Pas.

Tetapi, saya tidak fikir  kerjasama UMNO-Pas itu akan berlaku, disebabkan keangkuhan UMNO-Zahid dan pandangan Pas bahawa menyertai Bersatu lebih menguntungkannya. Maka, kemungkinan berulangnya keputusan PRU 14 tidak boleh ditolak dan bersama-samanya nasib bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Bagaimana jika UMNO, bertanding sebagai Barisan Nasional, berjaya memenangi lebih banyak kerusi dapada Perikatan Nasional (Bersatu-Pas) dan, pada masa yang sama, dapat menghalang Pakatan Harapan daripada berkuasa? Itu membuktikan bahawa kepercayaan UMNO   bahawa ia adalah masih merupakan parti Melayu terbesar di Malaysia dan Barisan Nasional adalah gabungan terbesar parti-parti di Malaysia, adalah berasas. Ia bererti keadaan seperti sebelum PRU 14 masih kekal. Jika itu berlaku, Pas dan Bersatu eloklah menyertai kerajaan yang dibentuk oleh UMNO/Barisan Nasional itu dan Perikatan Nasional hendaklah dibubarkan.

Kita hanya boleh menunggu dan melihat apakah yang akan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu itu. Bolehkah mereka memandang lebih jauh daripada kepentingan diri dan melakukan sesuatu yang akan menyelamatkan kepentingan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia, atau sebaliknya. Nasib dan masa depan orang Melayu terletak kepada keputusan yang mereka ambil dalam PRU 15. Jika mereka sanggup mengutamakan kepentingan orang Melayu lebih daripada kepentingan diri, saya percaya, Pakatan Harapan akan dapat dikalahkan dan hak dan kepentingan orang Melayu   seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dapat dipertahankan manakala hak dan kepentingan orang bukan Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan itu akan terpelihara.

Saya tidak mengatakan kerajaan yang diterajui UMNO, Pas dan Bersatu atau UMNO dan Pas atau Barisan Nasional  itu semestinya sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti, adil dan akan membawa pembangunan kepada negara. Sekurang-kurangnya, bagi orang Melayu, sebaik sahaja memerintah, ia tidak menumpukan usahanya untuk menghakis segala-gala yang memberi faedah kepada orang Melayu seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan dahulu. Kita harap, pemimpin-pemimpin baru dalam kerajaan ini akan mengambil pengajaran daripada kesilapan-pemimpin UMNO sebelum PRU 14 dan bertekad untuk melahirkan sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti, adil dan akan membawa pembangunan kepada negara. Jika, setelah melalui peristiwa pahit selepas PRU 14 itu pun mereka masih tidak mengambil pengajaran daripadanya, apa lagi yang hendak dikatakan?

Biar apa pun, TS Muhyiddin, selain daripada bersyukur kepada Allah SWT, patut berterima kasih kepada kuman Covid-19 yang telah membantunya mengekalkan kedudukannya dan kerajaannya  selama sudah lebih daripada satu tahun, dan tidak tahu berapa lama lagi, mungkin lebih lama daripada tempoh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. Silap Tun Dr. Mahathir ialah meletak jawatan sedikit awal dan, walaupun seorang doktor, tidak terfikir untuk menggunakan kuman Covid-19 untuk membantu politiknya.

28 05 2021

[email protected]

 http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

80 visits