PEMILIHAN CALON-CALON HAKIM OLEH PARLIMEN: SATU ULASAN

PEMILIHAN CALON-CALON HAKIM OLEH PARLIMEN: SATU ULASAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya merujuk kepada ucapan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh media internet pada 10 Oktober 2018. Oleh sebab laporan-laporan itu berbeza, melalui seorang sahabat, saya memperolehi teks verbatim dalam Bahasa Melayu.

Saya percaya ucapan itu tidak ditulis terlebihh dahulu, sebab itu ia tidak tersusun dengan rapi. Saya akan perturunkan bahagian yang saya hendak ulas dan cuba memahami apa yang sebenarnya dimaksudkan.

Antara lain, dalam ucapan itu, beliau berkata:

“Pihak hakim tidak perlu takut apabila menjalankan tugas secara adil. Yang diutamakan keadilan bukan kerana takut dan tidak naik pangkat oleh pihak tertentu. Sebab itu sekarang ini pemilihan hakim akan diberi kepada parlimen. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat semua. Mereka yang akan menentukan baik atau tidaknya calon dikemukakan.

Kalau dahulu tidak ada pemeriksaan oleh Parliamentary Committee, sekarang ini kita perkenalkan Parliamentary Committee akan tapis segala calon untuk jawatan tertentu. Selepas itu, baru boleh dikemukakan nama kepada Agong. Itulah cara kita.”

Apa yang saya fahami ialah, untuk membolehkan hakim-hakim menjalankan tugas mereka dengan adil, tanpa takut dan tidak perlu takut (tidak akan naik pangkat) kepada pihat tertentu, pemilihan hakim akan dibuat oleh Parlimen. Parlimen akan menentukan kesesuaian calon-calon itu. Untuk tujuan itu satu jawatankuasa parliemen ditubuhkan untuk memilih calon-calon itu sebelum nama-nama yang diperakui dan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mereka.

Saya percaya “pihak tertentu” yang dimaksudkan itu adalah Perdana Menteri, sebab Perdana Menterilah yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pelantikan hakim.

Adalah tidak jelas sama ada nama-nama itu akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong selepas dipilih oleh jawatankuasa parlimen atau nama-nama itu perlu diluluskan oleh Parlimen (Dewan Rakyat) selepas dipilih oleh jawatankuasa itu.

Juga tidak jelas sama ada cadangan itu hanya bagi memilih calon-calon bagi pelantikan pertama (Pesuruhjaya Kehakiman) atau juga meliputi kenaikan pangkat mislanya daripda Pesuruhjaya Kehakiman kepada Hakim Mahkamah Tinggi; daripada Hakim Mahkamah Tinggi kepada Hakim Mahkamah Rayuan hinggalah kepada Ketua Hakim Negara. Tetapi, oleh sebab semuanya melibatkan pelantikan baharu, saya akan bincang mengenai kenaikan pangkat juga.

Secara ringkas, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, memperuntukkan:

“….Hakim-hakim… hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

(2) Sebelum memberikan nasihatnya di bawah Fasal (1) tentang pelantikan seseorang Hakim,…Perdana Menteri hendaklah berunding dengan Ketua Hakim Negara.”

Peruntukan itu kekal sehingga sekarang. Cuma dalam tahun 2009, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman telah ditubuh untuk mencadangkan nama-nama calon hakim itu kepada Perdana Menteri

Selama 51 tahun, sehingga penubuhan suruhanjaya itu, Malaysia mempunyai lima orang Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussain Onn, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perbincangan mengenai hubungan Eksekutif dan Kehakiman boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah semasa Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussain Onn menjadi Perdana Menteri. Bahagin kedua ialah semasa Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Kebetulan ketiga-tiga Perdana Menteri pertama itu adalah peguam yang sama-sama belajar undang-undang di England dengan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim lain, malah ada pada masa yang sama dan mengenali antara satu sama lain sebagai pelajar.

Perdana-Perdana Menteri itu juga mempunyai latar belakang yang hampir sama. Ini mungkin mempengaruhi tindakan atau reaksi mereka dalam sesuatu perkara.

Sepanjang tempoh itu, hubungan Eksekutif dan Kehakiman adalah hormat menghormati. Memanglah bilangan hakim pun sedikit. Dalam tahun 1970an, bilangan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hanya sebanyak empat orang berbanding dengan 29 orang hari ini. Jika berlaku keperluan, Ketua Hakim Negara akan mengemukakan nama calon hakim kepada Perdana Menteri dan dia dilantik.

Antara yang dilantik pada masa itu, selain daripada pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman (seperti Dato’ Wan Yahya Pawanteh, Tan Sri Gan Chit Tuan dan Encik Abdul Razak Abu Samah) dan peguam (seperti Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Chang Min Tat dan Dato’ Fred Arulanandum), terdapat juga bekas ahli politik BN (seperti Tun Mohd Zahir Ismail dan Tan Sri Wan Adnan Ismail) dan pembangkang (seperti Datuk Seri George Seah (SUPP – jika tidak silap saya) dan Dato’ Mustapha Husain (Gerakan dan kemudian KITA yang mengikutnya, tidak berapa lama kemudian, “KITA tinggal SAYA” !).

(Cerita beliau ditawarkan jawatan Pesuruhjaya Kehakiman sangat anih. Mengikutnya, suatu petang, selapas kerjaya politiknya tamat, beliau berjogging di Gurney Drive, Pulau Pinang. Sebuah kereka yang membawa Y.M. Raja Azlan Shah (yang ke Pulau Pinang untuk persidangan Mahkamah Persekutuan) berhenti di sisinya. Y.M. Raja Azlan Shah memanggilnya dan bertanya, “Kamu mahukah menjadi Pesuruhjaya Kehakiman?” “Tentulah, Engku”, jawabnya. Maka, jadilah beliau Pesuruhjaya Kehakiman dan, selapas itu, beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi.)

Saya mesti sebut bahawa sistem tersebut pun ada kelemahannya. Saya biasa melihat seorang peguam datang berjumpa Tun Suffian beberapa kali. Lepas itu beliau dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman. Tidak lama kemudian, beliau dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan jenayah pecah amanah. Beliau didapati bersalah dan dihukum penjara. Nyata, beliau menyangka beliau akan selamat apabila dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman. Beliau tidak jujur kepada Tun Suffian yang mempercayainya.

Dalam tahun-tahun 2000, beberapa orang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada sebuah negeri yang Sultannya rapat dengan Ketua Hakim Negera telah dilantik menjadi pesuruhjaya kehakiman walau penguasaan bahasa Inggeris mereka lemah. Ini menunjukkan kelemahan meletakkan kuasa mencadangkan nama-nama calon-calon hakim itu kepada seseorang, walau pun Ketua Hakim Negara.

Sepanjang tempoh tiga orang Perdana Menteri yang pertama itu, setakat yang diketahui, mereka tidak pernah campur tangan dalam kenaikan pangkat hakim-hakim.

Daripada cadangan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir itu, kita dapat lihat apa yang tersirat. Oleh sebab pemilihan dibuat oleh jawatankuasa parlimen, maka hakim-hakim tidak perlu takut kepada Perdana Menteri lagi.

Sebenarnya, jika ada Perdana Menteri yang paling ditakuti oleh hakim-hakim (yang penakut) beliaulah orangnya. Seorang hakim kanan yang kebetulan baru pulang daripada menemui Tun Dr. Mahathir semasa saya masuk ke kamarnya menceritakan bahawa beliau baru pulang daripada menemui Perdana Menteri; beliau gementar semasa hendak pergi dan membawa surah Ya-sin dalan poket kemejanya. Beliau terus mengeluarkannya dan menunjukkannya kepada saya.

Tan Sri Mohd Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Harun Hashim dilangkau dalam kenaikan pangkat dari Hakim Mahkamah Tinggi kepada Hakim Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan). Mereka diberi kenaikan pangkat itu kemudian dan bersara sebagai Hakim Mahkamah Agung. “Dosa” Tan Sri Mohd Azmi adalah Dato’ Harun Idris adalah bapa saudaranya. “Dosa” Tan Sri Harun Hashim adalah beliau Hakim di Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan, oleh itu, beliau kerap kali mengeluarkan perintah terhadap menteri, kerajaan dan tribunal kerajaan.

Sebelum itu, Tan Sri Harun Hashim pernah diturunkan kedudukannya kepada Presiden, Mahkamah Perusahan. Ertinya, perintah yang dibuatnya boleh dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi. Saya percaya Tan Sri Harun Hashim tidak menyedari motif beliau ditawarkan jawatan itu, dengan gaji dan perks seorang Hakim Mahkamah Tinggi. Beliau pecaya bahawa seorang hakim diperlukan untuk mengetuai Mahkamah Perusahaan. Memanglah mahkamah itu menjadi terkenal semasa beliau menjadi presidennya sama seperi Badan Penceah Rasuah menjadi terkenal semasa beliau menjadi ketua pengarahnya, sebelum beliau dilantik menjadi seorang hakim. Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata kepada saya, “I am making him a magistrate”. (Saya menjadikannya sorang majistret.”)

Semasa saya menjadi ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman selepas persaraan saya, beberapa orang hakim juga dilangkau semasa kami mencadangkan nama untuk kenaikan pangkat. Tetapi, kami melakukannya atas alasan yang berbeza. Kami berbuat demikian kerana bilangan kes yang dilupuskan oleh hakim-hakim itu adalah sangat rendah (kami mempunyai statistik di hadapan kami); penghakiman bertulis mereka tidak memuaskan (kami membaca penghakiman mereka); mereka tidak mempunyai sikap yang sesuai seperti yang diharapkan bagi seorang hakim; integriti mereka tidak memuaskan dan sebagainya.

Ada di antara hakim-hakim itu yang diletak di landasan laju (fast track) dari hari mereka dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman. Satu contoh ialah pegawai di Jabatan Peguam Negara yang prestasinya cemerlang dalam bidang undang-undang tertentu. Oleh sebab itu beliau tidak dapat dilepaskan oleh Peguam Negara. Akibatnya, pegawai yang lebih junior yang mungkin tidak begitu baik prestasinya telah dilepaskan dan menjadi pesuruhjaya Kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi dan mungkin Hakim Mahkamah Rayuan ketika pegawai tersebut dilepaskan.

Kami tidak akan terus melantiknya sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Sebaliknya, adalah tidak adil kepadanya untuk beratur di belakang barisan berdasarkan tarikh pelantikan sebagai pesuruhjaya kehakiman atau hakim. Maka, beliau akan bermula dari bawah tetapi kami meletakkannya di landasan laju. Jika beliau membuktikan dirinya sebagai seorang hakim yang baik, beliau akan mendapat kenaikan pangkat dengan lebih cepat daripada rakan sejawatnya supaya beliau boleh mendapat kembali kekanannya. Jika tidak, beliau seperti dihukum kerana beliau seorang pegawai yang cemerlang.

Kami tidak melantiknya terus sebagai Hakim Mahkamah Rayuan atas tiga sebab. Pertama, beliau mesti mempunyai pengalaman sebagai seorang hakim perbicaraan untuk menjadi hakim rayuan. Mahkamah Tinggi adalah mahkamah perbicaraan, yang bererti bahawa hakim perlu mendengar dan merakam keterangan saksi-saksi dan menjalankan prosiding sendiri dari awal hingga ke akhir kes. Sama ada dalam kes sivil atau jenayah, di mahkamah perbicaraanlah peraturan prosedur dan undang-undang kesaksian lebih diperlukan.

Kedua, kami mahu melihat sama ada beliau mempunyai sifat yang sesuai sebagai seorang hakim. Seseorang itu mungkin banyak pengetahuannya mengenai undang-undang tetapi tidak mempunyai sifat yang sesuai sebagai seorang hakim. Orang seperti itu tidak sesuai dijadikan hakim.

Ketiga, kami ingin melihat sama ada beliau boleh membuat kerja seorang hakim. Seorang pesuruhjaya kehakiman yang mempunyai ijazah Doktor Falsafah tidak disahkan sebagai hakim kerana, walaupun diberi lanjutan, productivity beliau sangat rendah. Kami tahu jenis kes, masa yang biasanya diperlukan untuk melupuskan kes-kes itu dan jumlah yang biasanya seorang seorang hakim boleh melupuskan bagi sebulan kerana kami mempunyai pengalaman menjalankan kerja yang sama dan juga dengan membandingkan jumlahnya dengan apa yang diputuskan oleh hakim-hakim lain.

Seorang pesuruhjaya kehakiman, bekas Presiden Majlis Peguam, enggan dipertimbangkan untuk menjadi hakim apabila kontraknya sebagai pesuruhjaya kehakiman tamat (dan beliau mengundur diri) kerana beliau mengakui beliau tidak dapat membuat keputusan. Sebagai seorang peguam, beliau hanya melihat sesuatu itu bagi pihak anakguamnya. Saya hormati kejujurannya.

Itulah sebabnya saya lebih suka seorang itu dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman, dengan kontrak dua tahun, terlebih dahulu dan tidak terus dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, apatah lagi Hakim Mahkamah Rayuan.

Tun Dr. Mahathir juga yang telah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong melantik seorang peguam terus menjadi Hakim Mahkamah Rayuan sedangkan pegawai-pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang lebih lama berkhidmat, pada hari yang sama, hanya dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan selepas sepuluh tahun baru dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan. Apakah keistimewaan beliau? Beliau adalah peguam Dr. Mahathir dalam kes berkaitan pemilihannya sebagai Presiden UMNO di mana beliau mengalahkan Tengku Rzaleigh Hamzah dengan hanya 20 undi.

Mungkinkah semua itulah yang menghantui Tun Dr. Mahathir untuk menyerah peranan memilih hakim kepada Parliman supaya Perdana Menteri tidak boleh dipersalahkan?

Ada hakim-hakim yang untung akibat apa yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir itu, misalnya, Tun Eusoff Chin, Tan Sri Lamin dan Tan Sri Anuar Zainal Abidin.

Tan Sri Anuar yang pernah dilangkau kerana persepsi terhadap integritinya kurang baik, terkejut besar apabila ditawarkan jawatan Hakim Besar (Malaya).

Kita boleh membaca percaturan Tun Dr. Mahathir: beliau menjangka Tan Sri Anuar akan merasa terhutang budi kepadanya. Tetapi, Tan Sri Anuar adalah seorang pemain catur. Beliau tahu beliau sudah berada di kemuncak kerjayanya. Baliau tidak ada apa-apa lagi untuk rugi. Tetapi, penghakiman-penghakimannya tidak menunjukkan seolah-olah beliau terhutang budi.

Berikutnya kita bincangkan kesesuaian cadangan ini. Kita bincang mengenai pelantikan pertama, ia itu sebagai pesuruhjaya kehakiman, terlebih dahulu.

Saya berpendapat adalah tidak sesuai bagi ahli-ahli Parlimen memilih calon-calon hakim. Pertama, ia terang-terang melanggar doktrin pembahagian kuasa (separation of powers). Bagaimana jika sebelum seseorang itu dibenarkan menjadi calon ahli Parlimen, menteri atau Perdana Menteri, dia dikehendaki dipilih oleh para hakim?

Kedua, tidak ada kelayakan akademik diperlukan untuk menjadi ahli Parlimen. Orang yang tidak tahu membaca pun layak menjadi calon. Bagaimana mereka akan mengadili calon-calon hakim dari segi pengetahuan mereka mengenai undang-undang.

Dikatakan, satu jawatankuasa parlimen akan ditubuhkan untuk tujuan itu dan tentulah ahli-ahli Parlimen yang difikirkan layak akan dilantik menjadi ahli-ahlinya. Namun demikian, katakanlah calon hakim itu seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, bagaimana mereka akan tahu prestasinya. Jika beliau seorang Timbalan Pendakwa Raya, mungkin mereka terbaca namanya dalam akhbar. Itu tidak cukup untuk mengetahui kedalaman ilmu undang-undangnya dan prestasinya. Jika beliau seorang yang ditempatkan di bahagian penggubal undang-undang, bahagian nasihat, bahagian undang-undang dan perdagangan antarabangsa, sebagai misalan, namanya mungkin tidak pernah didengar.

Jika calon hakim itu berkhidmat di mahkamah, jika beliau seorang Hakim Mahkamah Sesyen, mungkin namanya pernah tersiar dalam akhbar. Itu tidak cukup untuk menentukan kelayakannya.

Jika calon hakim itu seorang peguam, jika beliau seorang peguam kes-kes jenayah, besar kemungkinan namanya diketahui umum. Itu juga tidak cukup untuk menentukan kelayakannya. Tetapi jika beliau bukan seorang peguam litigasi, namanya pun tidak pernah didengari.

Akibatnya, ahli-ahli Parlimen itu tidak akan dapat menilai ilmu undang-undang calon-calon itu. Maka, mereka mungkin mengikut contoh ahli-ahli Senate Judiciary Committee, Amerika Syarikat yang menyoal berkenaan pendirian calon-calon itu mengenai perkahwinan sejenis, pemilikan sentaja, pengguguran (abortion) dan sebagainya.

Di Malaysia, kita dapat bayangkan, ahli-ahli Parlimen DAP akan bertanya mengenai pendiriannya mengenai syariah, LBGT, Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan sebagainya manakala ahli-ahli Parlimen PAS akan bertanya sama ada calon itu mengamalkan rukun-rukun Islam, minum arak, ada melakukan dosa-dosa besar, pendiriannya mengenai pelaksanaan hudud, LBGT, perkahwinan sejenis dan sebagainya.

Sebenarnya, soalan-soalan itu tidak kena pada tempatnya. Mereka adalah calon hakim. Tugas hakim adalah, mentafsir dan melaksanakan undang-undang. Yang membuat undang-undang adalah Parlimen. Jika Parlimen membuat sesuatu undang-undang, suka atau tidak, hakim perlu memakainya (apply) dalam memutuskan sesuatu kes. Jika Parlimen membuat undang-undang dengan baik, peluang untuk mentafsir sangat terhad.

Dalam mentafsir undang-undang pun ada peraturannya, bukan boleh dibuat sesuka hati. Jika Mahkamah Persekutuan mentafsir sesuatu undang-undang hingga membawa makna yang bukan dimaksudkan oleh Parlimen, Parlimen boleh meminda undang-undang itu untuk mengembalikan makna yang dimaksudkan olehnya. Itulah cara pembahagian kuasa sepatutnya berjalan, bukan dengan ahli Parlimen memilih calon-calon hakim yang difikirkannya akan membuat tafsiran seperti yang dikehendakinya.

Berkenaan kelayakan syar’ie untuk menjadi hakim, kita bukan memilih calon qadi, tetapi calon hakim mahkamah sivil. Jika seorang Islam yang melakukan dosa tidak layak, seorang bukan Islam yang tidak beriman dengan Allah s.w.t. tentu lebih tidak layak.

Akhirnya ahli-ahli Parlimen itu mengundi mengikut parti, bangsa, agama dan daerah.

Saya juga khuatir ada anggota jawatankuasa parlimen itu yang akan besar kepala kerana kuasa yang diberikan kepadanya.

Selain dari itu, akan timbul satu dilemma. Untuk melantik ahli-ahli yang sesuai ke jawatankuasa itu, mungkin Parlimen akan melantik ahli-ahli yang berlatarbelakangkan undang-undang. Jika mereka pengamal undang mereka atau peguam-peguam daripada firma mereka akan mempunyai kes di hadapan hakim-hakim itu.

Ini paling kurang akan menimbulkan persepsi berat sebelah kepada pihak lawan. Saya tidak hairan jika ada ahli-ahli seperti itu yang akan menjual kedudukannya untuk melariskan firmanya.

Kita bincang pula mengenai pemilihan untuk kenaikan pangkat. Apa yang dimaksudkan di sini ialah pelantikan yang lebih tinggi daripada yang disandang, misalnya daripada Pesuruhjaya Kehakiman kepada Hakim Mahkamah Tinggi, daripada Hakim Mahkamah Tinggi kepada Hakim Mahkamah Rayuan hinggalah kepada Ketua Hakim Negara.

Bagi kenaikan pangkat hakim-hakim juga, ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk membuat pemilihan. Selain daripada apa yang disebut sebelum ini, berapa orangkah di antara mereka yang membaca penghakiman penuh hakim-hakim itu?

Hakim-hakim yang menyedari kelemahan prestasi mereka mungkin akan menggunakan cara lain supaya dilihat dan diketahui oleh ahli-ahli jawatankuasa, menteri-menteri dan Perdana Menteri dan dengan cara terbuka akan menunjukkan sokongan mereka kepada parti pemerintah dan kerajaan untuk medapat sokongan mereka.

Semua pemerhatian saya yang dibuat dalam perbincangan terdahulu mengenai pemilihan calon untuk pelantikan pertama, terpakai di sini.

Perlu diingati, sepanjang masa Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussain Onn dan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Mentari, peruntukan Perlembagaan mengenai pelantikan hakim adalah sama.

Yang berbeza adalah orang yang menjadi Perdana Menteri. Maka, masalahnya bukanlah undang-undang, tetapi orang.

Semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri berlaku percubaan untuk campur tangan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara. Ia melibatkan saya sendiri.

Oleh sebab saya (bersama-sama Tengku Baharuddin Shah) membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwatnya yang pertama, kerajaan Barisan Nasional, pada masa, itu tidak mahu saya menjadi Ketua Hakim Negara walau pun sayala hakim yang paling kanan pada masa itu. Ahli-ahli politik tidak memperdulikan alasan penghakiman saya. Mereka tidak pun membacanya. Bagi mereke jika kamu bebaskan Anwar, kamu orang Anwar. Oleh itu, kamu musuh kami. Itu cara berfikir ahli-ahli politik, tidak kira dari parti mana.

Tatapi, apabila Allah Ta’ala menghendaki sesuatu perkara itu berlaku, maka berlakulah ia. Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri pada masa itu, mengalah kepada bantahan DYMM Sultan Azlan Shah dan saya dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan dan sebulan kemudian, Ketua Hakim Negara. Walau bagaimana pun, Tun Dr. Mahathir tidak puas hati. Tun Abdullah Badawi tidak sepatutnya mengalah, katanya.

Pada masa itu, didesak oleh Majlis Peguam melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio undang-undang, Dato’ Zaid Ibrahim, penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dicadangkan.

Sebagai Ketua Hakim Negara, saya menentangnya kerana majoriti ahli-ahlinya adalah peguam-peguam yang masih aktif mengamal profesyen undang-undang. Mereka hadir di hadapan hakim-hakim, mewakili anakguam (clients) mereka dan, pada masa yang sama, merekalah yang akan menentukan sama ada hakim-hakim itu akan dinaikkan pangkat.

Ia akan mewujudkan persepsi bahawa, besar kemungkinan, hakim-hakim akan menyebelahinya. Mungkin juga ada yang akan menggunakan kedudukan mereka untuk menggambarkan bahawa hakim-hakim akan menyebelahi mereka kerana takut kepada mereka. Ini akan memberi kelebihan yang tidak adil kepada mereka di samping mengurangkan integrity mahkamah. “Hakim akan melutut kepada peguam”, saya menulis dalam ulasan saya kepada cadangan itu.

Dalam pertemuan saya dengan Tun Abdullah Badawi untuk membincangkan penubuhan suruhanjaya itu, saya bertanya beliau, “Why are you surrendering your prerogative to the Bar Council?” (“Mengapa anda hendak menyerak hak anda kepada Majlis Peguam?”) Saya tegaskan bahawa undang-undang itu telah wujud semenjak Merdeka. Ia tidak memberi masalah. Masalah timbul apabila Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan beliau mempurak-perandakan kenaikan pangkat hakim-hakim. Kita tidak perlu mengubah sistem kerana ia bukan masalah sistem. Ia masalah manusia.

Perlembagaan memberikan Perdana Menteri hak untuk memilih, jika ia dilaksanakan dengan adil dan bijaksana, bukan hanya mengikut kepentingan politik, ia akan berjalan dengan baik seperti di era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussain Onn.

Walau bagaimana pun, undang-undang itu dibuat juga. Suruhanjaya itu ditubuh juga tetapi keahliannya dipinda.

Seksyen 5 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 memperuntukkan:

“5. (1) Suruhanjaya hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut:

(a) Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang hendaklah menjadi Pengerusi;

(b) Presiden Mahkamah Rayuan;

(c) Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya;

(d) Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak;

(e) seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang hendaklah dilantik oleh Perdana Menteri; dan

(f) empat orang yang terkemuka, yang bukan merupakan anggota eksekutif atau perkhidmatan awam lain, yang dilantik oleh Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak, Peguam Negara Persekutuan, Peguam Besar perkhidmatan perundangan Negeri atau mana-mana badan berkaitan yang lain.”

Perhatikan, khususnya perenggan (f) mengenai rundingan dengan Majlis Peguam dan persatuan-persatuan peguam Sabah dah Sarawak dan juga Peguam Negara berkenaan pelantikan empat orang yang terkemuka untuk menjadi ahli itu.

Jika itulah yang terkandung dalam draf yang diberikan kepada saya, mungkin saya tidak menentangnya. Tetapi, mungkinkah ia dipinda jika saya tidak menentangnya?

Saya akui, disebabkan perubahan masa dan keadaan, cara pelantikan lama itu sudah kurang sesuai. Mahkamah memerlukan kepakaran dalam berbagai bidang undang-undang. Sistem lama itu tidak membolehkan calon-calon dalam berbagai bidang undang-undang dilantik menjadi hakim. Lagi pula ia kurang telus. Maka, penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk membantu Ketua Hakim Negara dan Perdana Menteri mendapatkan calon-calon yang sesuai itu memanglah baik.

Ia berjalan dengan baik selepas penubuhannya sepanjang tempoh Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan di peringkat awal Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri. Untuk pelantikan pertama (sebagai pesuruhjaya kehakiman), sesiapa yang berkelayakan boleh memohon secara online. Ketua Hakim Negara akan menyemak permohonan-permohonan itu, mendapatkan maklumat yang diperlukan dan membentangkan semua maklumat itu kepada Suruhanjaya. Ahli suruhanjaya boleh juga mencadangankan nama-nama calon yang difikirkannya layak dan sesuai. Mereka juga akan memberikan input mereka mengenai calon-calon itu. Majlis Peguam juga dirunding jika calon-calon itu peguam.

Untuk kenaikan pangkat, kami diberikan senarai penuh hakim-hakim mahkamah berkenaan mengikut kekananan mereka; nama-nama yang disyorkan oleh Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar (mana-mana yang berkenaan) supaya kita tahu siapa yang akan dilangkau. Kami juga diberi contoh penghakiman mereka, statistik menunjukkan bilangan dan jenis kes yang dilupuskan mengikut tahun dan alasan mengapa mereka layak dinaikkan pangkat, atau sebaliknya. Perbincangan adalah menyeluruh dan terbuka. Undian dibuat melalui undi rahsia.

Saya boleh bercakap mengenai tempoh dua penggal saya menjadi ahli. Walaupun pelantikan beberapa calon yang disyorkan oleh kami telah ditangguhkan, setakat yang saya ingat, tiada yang ditolak terus oleh Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, saya tidak berlaku jujur jika saya mengatakan bahawa kedua-dua Perdana Menteri itu mengetepikan sepenuhnya kepentingan politik dalam membuat pilihan mereka. Jika tidak, mereka bukan ahli politik. Oleh sebab itulah berlaku penangguhan dan kelewatan pelantikan beberapa orang calon. Walau bagaimanapun, setakat yang saya ingat, tiada yang ditolak terus.

Dalam tempoh itu, bekas Presiden Majlis Peguam dan calon Pas yang kalah dalam pilihanraya bukan hanya dilantik tetapi diletahhan di landasan laju.

Apa yang berlaku kemudiannya adalah dikesali. Era Tun Dr. Mahathir yang pertama seolah-olah berulang semula. Pertama, Dato’ Seri Najib menyalahgunakan peruntukan Perlembagaan dengan melantik Tun Md Raus Sharif, Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin, Yang di-Pertua Mahkamah Rayuan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Tambahan dan terus memegang jawatan hakim nombor satu dan nombor dua masing-masing selepas perkhidmatan telah dilanjutkan selama enam bulan setelah mencapai umur persaraan mandatori 66 tahun. Kesannya adalah untuk menyambung perkhidmatan mereka sebagai hakim nombor satu dan nombor dua selepas mencapai umur 66 tahun dan enam bulan selama tiga dan dua tahun, masing-masing.

Saya mengkritik perlantikan itu atas alasan bahawa ia adalah tidak berperlembagaan. Itu adalah percubaan untuk menyambung perkhidmatan hakim-hakim paling kanan yang dianggap lebih mesra dengan kerajaan BN dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) yang akan datang.

Selepas PRU 14 dan pertukaran kerajaan, kerajaan Pakatan Harapan pula yang melanggar amalan pembahagian kuasa. Tun Dr. Mahathir, seperti mengulangi peristiwa yang melibatkan Tun Salleh Abas, memanggil kedua-dua hakim itu dan mendesak mereka meletak jawatan. Selepas itu, Tun Daim Zainuddin, sebagai Pengerusi Council of Elders pula berbuat demikian.

Ini menunjukkan bahawa jika jawatankuasa parlimen ditubuhkan pun, ia tidak boleh menyekat perkara seperti itu berlaku. Ia terletak kepada orang yang menjadi Perdana Menteri.

Jika jawatankuasa parlimen itu diwujudkan, adakah Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman akan dimansuhkan? Jika tidak di mana ia akan diletak: selepas calon-calon itu dikenal pasti oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman?

Saya pecaya ada orang yang tertarik dengan sistem yang diamalkan di Amerika Syarikat walau pun mereka sendiri tidak mengetahuinya secara detail dan how it works. Kita tidak patut senentiasa menyangka bahawa sistem di negara-negara lain itu semuanya baik dan sesuai dengan keadaan di negara kita.

Setakat yang saya tahu, untuk pelantikan Hakim Mahkamah Agung, seorang calon itu perlu hadir untuk diperiksa oleh Senate Judicial Committee. Selepas itu nama mereka perlu diluluskan oleh Senate. Daripada apa yang kita baca, calon-calon itu disoal mengenai pendirian mereka terhadap pengguguran, perkahwinan sejenis dan pemilikan senjata api, yang saya telah ulas di atas. Saya tidak tahu baik buruknya sistem itu.

Dalam lawatan saya ke Mahkamah Rayuan di California, kami diberi taklimat oleh seorang Hakim Mahkamah Rayuan Persekuruan. Sampai kepada isu rasuah, saya bertanya mana lebih banyak, antara hakim-hakim yang terlibat dalam rasuah itu, hakim-hakim yang dilantik atau yang dipilih melalui pilihanraya? Jawabnya, “Hampir kesemuanya adalah hakim-hakim yang dipilih melalui pilihanraya.”

Di akhir taklimat itu saya bertanya beliau, “Suppose you are given a chance to rewrite the U.S. Constitution, would you recommend that all judges be elected?” (“Jika anda diberi peluang menulis semula Perlembagaan Amerika Syarikat, adakah anda akan mencadangkan semua hakim dipilih melalui pilihanraya?””No way,” (“Tidak sekali-kali,” jawab beliau.

Mungkin juga ada aktivis yang mahukan aktivis-aktivis dilantik menjadi hakim. Jawapannya, seorang aktivis apa pun tidak layak menjadi hakim. Dia ada agenda. Dia hanya akan melihat sesuatu kes itu dari sudut perjuangannya. Dia tidak akan dapat melihatnya secara neutral. Dia tidak akan boleh berlaku adil.

Seorang hakim Australia yang saya temui di satu persidangan antarabangsa berkata kepada saya mereka telah membuat satu kesilapan besar melantik aktivis sosial menjadi hakim. Keputusan-keputusan mereka memihak sebelah.

Kesimpulannya, sistem apa pun boleh disalahgunakan oleh orang yang mengendalikannya. Sistem pelantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim yang ada sekarang sudah cukup baik. Apa yang perlu ialah adanya hormat menghormati antara Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara, antara Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong dan kesemuanya hendaklah mematuhi Perlembagaan dan kovensyennya. Hakim-hakim pula perlulah mematuhi etika kehakiman.

Pelantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim janganlah dilakukan semata-mata atas asas kepentingan politik parti yang memerintah. Perdana menteri hendaklah jangan mengulangi kesilapan-kesilapan seperi yang telah berlaku dalam sejarah perundangan negara kita bermula dengan era Tun Dr. Mahathir yang pertama. Diharapkan beliau tidak akan mengulanginya dan Perdana-Perdana Menteri selepasnya tidak akan mengulangi kesilapan-kesilapan itu.

Kerajaan Pakatan Harapan baru membuat perubahan yang baik, iaitu ahli-ahli politik tidak lagi akan dilantik menjadi chief executive oficers badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat milik kerajaan dan juga untuk menjadi duta. Janganlah selepas itu dibuat kesilapan yang lebih besar dengan memberikan mereka kuasa memilih calon-calon hakim.

21 10 2018

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

141 visits