KEDUDUKAN DS NAJIB: JANGAN SELEWENG RENCANA SAYA UNTUK MENYOKONG KEHENDAK SENDIRI

KEDUDUKAN DS NAJIB: JANGAN SELEWENG RENCANA SAYA UNTUK MENYOKONG KEHENDAK SENDIRI

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Beberapa orang sahabat saya telah menunjukkan kepada saya beberapa rencana dan infografik yang memetik rencana saya bertajuk “Pengampunan dan Pembatalan Kehilangan Kelayakan Untuk Menjadi Ahli Parlimen” (07 10 2018) untuk menyokong pendapat mereka dalam isu DS Najib. Saya tidak melarang sesiapa memetik rencana saya asalkan ia dibuat dengan jujur dan maksud penulisan saya itu tidak diseleweng semata-mata untuk menyokong kehendak sendiri.

Di sini, saya cuma hendak memperturunkan satu infograikf berkenaan, menarik perhatian kepada tafsiran yang diberi kepada kata-kata saya dan menurunkan rencana saya yang berkenaan, apa yang saya kata dalam rencana itu dan apa yang penulis itu berkata saya kata itu.

Saya tidak akan menjawab satu per satu apa yang ditulis oleh penulis itu. Saya serahkan kepada pembaca untuk membaca, berfikir dan memutuskan sendiriri sama ada apa yang dikatanya itu betul atau tidak kerana saya percaya pembaca-pembaca penulisan saya sanggup dan boleh membaca, berfikir dan membuat keputusan sendiri dengan adil.

Walau bagaimana pun, beberapa berkara perlu dijelaskan;

1. Infografik itu bukan dibuat dengan persetujuan saya.

2. Sila beri perhatian kepada kata-kata “Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48…” Malangnya klausa ini telah dikecilkan hurufnya daripada ayat-ayat berikutnya yang juga diwarnakan. Ia diikuti pula dengan apa yang ditulis oleh penulis itu sendiri yang berbunyi, “Mantan Ketua Hakim Negara: DS Najib Masih Boleh Menghadiri Sidang Parlimen, Malah Menjadi Perdana Menteri Sekiranya BN Menang Dalam PRU 15.”

Di sini saya perturunkan apa yang saya tulis dalam rencana saya itu: “Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3). Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli Parlimen walau pun dia terus menjalani hukuman penjara. Malah, dia boleh menjadi Perdana Menteri jika partinya menang majoriti!”

Ringkasnya, saya berkata “Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48…” Penulis itu tidak menyebut syarat itu. Penulis itu terus mengatakan saya berkata “DS Najib Masih Boleh Menghadiri Sidang Parlimen, Malah Menjadi Perdana Menteri Sekiranya BN Menang Dalam PRU 15.” Ertinya DS Najib boleh berbuat semua itu tanpa mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48. Adakah keduanya sama?

Di bawah ini saya perturunkan apa yang ditulis oleh penulis itu dan apa yang saya tulis dalam rencana saya untuk perbandingan.

Saya nasihatkan pembaca-pembaca yang membaca rencana-rencana lain yang berkaitan supaya merujuk juga kepada rencana asal saya itu untuk menentukan kesahihan apa yang mereka katakan.

28 08 2022

 

INI APA YANG DITULIS OLEH PENULIS ITU:

“Home/EKSKLUSIF/Mantan Ketua Hakim Negara: DS Najib Masih Boleh Menghadiri Sidang Parlimen, Malah Menjadi Perdana Menteri Sekiranya BN Menang Dalam PRU 15

Mantan Ketua Hakim Negara: DS Najib Masih Boleh Menghadiri Sidang Parlimen, Malah Menjadi Perdana Menteri Sekiranya BN Menang Dalam PRU 15

August 26, 2022 Last Updated: August 26, 2022

 

Facebook Twitter

Mantan Ketua Hakim Negara: DS Najib Masih Boleh Menghadiri Sidang Parlimen, Malah Menjadi Perdana Menteri Sekiranya BN Menang Dalam PRU 15

 Pasti terkejut apabila membaca tajuk yang diberi, tetapi itulah hakikatnya dari sudut perlembagaan.

 Bukan Edisi Siasat merekayasa perkara yang mengarut, tetapi itulah yang dikatakan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

 Edisi Siasat siarkan semula apa yang pernah ditulis oleh Tun Abdul Hamid:

 “Jika seseorang itu diberi pengampunan dan dibebaskan serta merta, maka ertinya, dari saat keputusan itu dibuat, dia tidak perlu lagi menjalani hukuman penjara itu. Kata-kata “pengampunan penuh” tidak digunakan dalam Perlembagaan. Jika Lembaga Pengampunan memberi “pengampunan penuh dan pembebasan serta merta”, makna yang boleh diberi ialah bahawa pesalah itu diampunkan kesalahannya. Dan dia dibebaskan daripada menjalani hukuman yang sedang dijalaninya dengan serta merta.

Pengampunan itu tidak boleh disamakan dengan perintah mahkamah to set aside (mengenepikan), quash (membatalkan), atau deklarasi null and void (tak sah dan batal).

 Hanya mahkamah yang boleh membuat perintah-perintah itu.

 Perkara 42 tidak menyebut langsung hubungan pengampunan di bawah perkara itu dengan kelayakan atau pembatalan kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen.

 Baca di sini:

http://www.jpapencen.gov.my/CAT289562/Published/perkara42-Ma.Html.

Tetapi, ia dikaitkan oleh Perkara 48(1)(e).

Perkara 48(1) memperuntukkan:

Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika:

Perkara 48(1)(e):

Dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Wilayah-wilayah Persekutuan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Perkara 48(3):

Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 48 (1)(e) menyebut apa yang menyebabkan seorang itu hilang kelayakan.

Ia juga menyebut pengecualiannya iaitu jika orang itu mendapat pengampunan bebas.”

Baca di sini:

http://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara48-Ma.Html

 

BERIKUT ADALAH RENCANA SAYA YANG BERKENAAN:

“PENGAMPUNAN DAN PEMBATALAN KEHILANGAN KELAYAKAN UNTUK MENJADI AHLI PARLIMEN

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

Perkara 42(1) Perlembagaan, antara lain, memperuntukkan:

42. (1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan …yang dilakukan di  dalam  Wilayah  Persekutuan…”.

 

Dalam Bahasa Inggeris, bahasa rasmi Perlembagaan, kata-kata ampun, tunda hukum dan lega hukum itu adalah “pardons, reprieves and respites”. Oleh sebab bahasa rasmi Perlembagaan adalah bahasa Inggeris, eloklah kita lihat makna perkatan-perkataan “pardon, reprieve dan respite” itu.

Cambridge English Dictionary menjelaskan makna “pardon” seperti berikut: “If someone who has committed a crime is pardoned, that person is officially forgiven and their punishment is stopped.”  (Jika seseorang telah melakukan satu kesalahan jenayah diampunkan, orang itu dengan rasminya dimaafkan dan hukuman ke atasnya dihentikan.)

“Reprieve” bererti “to stop or delay the punishment, especially by death, of a prisoner.” (“Repreive” bererti menghentikan atau melambatkan hukuman, terutama sekali hukuman mati, seorang pesalah).

“Respite” bererti “to postpone a sentence, etc” (“Respite” bererti menangguhkan hukuman dan sebagainya.)

 

Dapat diperhatikan bahawa ketiga-tiga perkataan itu mempunyai makna yang bertindih. Juga dapat diperhatikan bagaimana penterjemah Perlembagaan menghadapi masalah menterjemahnya.

Bagi tujuan kita, memadailah jika dikatakan bahawa di bawah Perkara 42 itu, berbagai-bagai jenis “pengampunan” boleh diberi. Misalnya, jika seseorang yang belum menjalani hukuman penjara “diampunkan”, dia tidak perlu menjalani hukuman itu. Jika dia telah menjalani sebahagian daripada hukuman penjara yang di kenakan ke atasnya, dia tidak perlu menjalani baki hukumannya. Hukuman yang dijatuhkan ke atas seseorang pesalah boleh ditangguh, seperti hukuman mati. Atau hukuman ke atasnya boleh digantikan dengan hukuman yang lebih ringan. Hukuman penjara juga boleh dipendekkan.

Jika seseorang itu diberi pengampunan dan dibebaskan serta merta, maka ertinya, dari saat keputusan itu dibuat, dia tidak perlu lagi menjalani hukuman penjara itu.

Kata-kata “pengampunan penuh” tidak digunakan dalam Perlembagaan. Jika Lembaga Pengampunan memberi “pengampunan penuh dan pembebasan serta merta”, makna yang boleh diberi ialah bahawa pesalah itu diampunkan kesalahannya dan dia dibebaskan daripada menjalani hukuman yang sedang dijalaninya dengan serta merta.

Pemberian pardon, reprieve dan respite itu tidak bererti sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah itu di mansuhkan daripada rekod mahkamah. Peritah itu kekal, cuma pesalah itu diampunkan atau dimaafkan daripada menjalani hukumannya.

Pengampunan itu tidak boleh disamakan dengan perintah mahkamah to set aside (mengenepikan), quash (membatalkan), atau deklarasi null and void (tak sah dan batal). Hanya mahkamah yang boleh membuat perintah-perintah itu.

Walau bagaimanapun, sama ada pengampunan itu memansuhkan sabitan dan hukuman atau tidak, adalah tidak penting berkaitan dengan kehilangan kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 48(1)(e). Apa yang penting ialah sama ada “pengampunan bebas” diberikan atau tidak. Jika pengampunan bebas diberikan, dia layak. Jika tidak, dia tidak layak.[1]

Perhatikan bahawa Perkara 42 tidak menyebut langsung mengenai hubungan pengampunan di bawah perkara itu dengan kelayakan atau pembatalan  kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen. Tetapi, ia dikaitkan oleh Perkara 48(1)(e).

Perkara 48(1) memperuntukkan:

48. (1) Tertakluk  kepada  peruntukan  Perkara  ini,  seseorang hilang  kelayakan  untuk  menjadi  ahli  mana-mana  satu  Majlis Parlimen jika—

…..

(e). dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Wilayah-wilayah Persekutuan ….  dan  dihukum  dengan  pemenjaraan selama tempoh  tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau

……….

(3)  Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan…. (e)  Fasal  (1)  boleh  dibatalkan  oleh  Yang  di-Pertuan Agong…”

Perkara 48 (1)(e) menyebut apa yang menyebabkan seorang itu hilang kelayakan. Ia juga menyebut pengecualiannya iaitu  jika orang itu mendapat pengampunan bebas. (free pardon). Anehnya, perkataan “pengampunan bebas” tidak digunakan dalam Perkara 42.

Kesan kedua-dua peruntukan itu, apabila dibaca bersaama, ialah:

1.     Seseorang itu hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum  dengan  pemenjaraan selama tempoh  tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit. (Perkara 48(1)(e)).

2.     Jika dia mendapat pengampunan bebas, dia tidak hilang kelayakan itu. (Pekara 48(1)(e)).

3.     Jika dia tidak mendapat pengampunan bebas, kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong. (Perkara 48(3)).

Apakah ertinya “pengampunan bebas”? Ini tidak ditafsirkan. Bolehkah ia disamakan dengan “pengampunan penuh”? Ini adalah tugas mahkamah untuk mentefsirkannya.”

Di bawah Perkara 42, Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan. Adakah dalam membatalkan kehilangan kelayakan juga, baginda dikehendaki melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan?

Lembaga Pengampunan ditubuh di bawah Perkara 42 untuk tujuan perkara tersebut sahaja.  Tidak disebut sama ada dalam Perkara 42 atau 48 bahawa ia terpakai bagi Perkara 48. Lagi pula pembatalan kehilangan kelayakan bukanlah satu pengampunan yang dimaksudkan oleh Perkara 42. Oleh itu, saya berpendapat, baginda tidak perlu melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan. Sama ada  baginda perlu melakukannya atas nasihat Perdana Menteri adalah satu perkara lain.

Maka, seorang  yang kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3).

 

Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli Parlimen walau pun dia terus menjalani hukuman penjara. Malah, dia boleh menjadi Perdana Menteri jika partinya menang majoriti!

Bagaimana dia akan menghadiri persidangan Parlimen adalah perkara lain. Penguasa Penjara patut memberi kemudahan kepadanya.

Bagaimana dia akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri jika dia menjadi Perdana Menteri? Kita tidak perlu memikirkan pilihan-pihan lain. Jika seorang banduan boleh diberi “pengampunan penuh” hanya untuk bertanding untuk menjadi ahli Parlimen, dan selepas itu (mungkin) menjadi Perdana Menteri, seorang banduan yang partinya telah menang majoriti (jika itu berlaku) dan dipersetujui oleh partinya untuk menjadi Perdana Menteri tentulah berada di kedudukan yang lebih kuat untuk diberi pengampunan bebas! Berdasarkan precedent  yang ada, apakah alasan untuk menolaknya? Sama ada orang ramai mahukan seorang yang disabitkan kesalahan menjadi Perdana Menteri adalah perkara lain.

07 10 2018

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

[email protected]

UNTUK MEMBACA RENCANA INI SEPENUHNYA SILA BACA DI http://www.tunabdulhamid.my

 

 

[1] Ditambah pada 09 10 2018

 

10 visits