MAHKAMAH KELUARGA: SATU PANDANGAN

MAHKAMAH KELUARGA: SATU PANDANGAN
Oleh
Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad
Hakim, Mahkamah Rayuan, Malaysia.


Pandangan ini adalah pandangan peribadi saya, bukan pandangan Badan Kehakiman. Saya tidak mengetahui secara detailnya apakah bentuk Mahkamah Keluarga yang dicadangkan itu, bidangkuasanya, susunannya dan lain-lain. Maka, pandangan ini dibuat atas beberapa anggapan fakta yang munkin tidak betul. Jika anggapan fakta itu tidak betul, maka pandangan mengenainya mungkin tidak betul atau tidak relevan.

Soalan pertama ialah apakah masalah-masalah yang dihadapi pada masa ini yang hendak diatasi dengan menubuhkan Mahkamah Keluarga itu?

Rungutan yang kerap saya dengar ialah, pertama, kelewatan penyelesaian kes-kes keluarga. Soalannya di mahkamah mana? Mahkamah Syariah atau Mahkamah sivil atau kedua-duanya? Saya cuma boleh bercakap mengenai Mahkamah Sivil, itu pun cuma daripada pengalaman saya di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang selama sembilan setengah tahun.

Mahkamah Tinggi membicarakan kes-kes perceraian dan pembahagian harta perkahwinan. Petisyen bersama, yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak biasanya diberi tarikh, didengar dan diselesaikan dalam masa dua atau tiga bulan. Kerapkali pihak-pihak meminta penangguhan kerana mereka belum bersedia. Petisyen perceraian yang dipertikaikan (contested petitions), yang tidak lebih daripada tiga kes setahun bagi seoang Hakim (di Pulau Pinang pada masa itu terdapat empat orang Hakim) biasanya boleh dibicarakan dalam masa satu tahun daripada tarikh pemfailan. Itu tanpa memberi keutamaan kepada kes-kes itu. Jika ia tidak boleh bermula atau tidak boleh selesai, biasanya kerana penangguhan atas permintaan salah satu pihak kerana berbagai-bagai sebab.

Bagi kes-kes nafkah di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, saya tidak fikir ada masalah kelewatan mendengarnya. Bilanganya amat kecil berbanding dengan kes-kes sivil lain.

Semua masalah yang disebut setakat ini boleh di atasi hanya dengan arahan pentadbiran supaya mahkamah memberi keutamaan kepada kes-kes itu, tetapi kesemua pihak mestilah bersedia dan tidak meminta penangguhan atas berbagai-bagai sebab.

Di Kuala Lumpur, saya pernah dengar rungutan bahawa Mahkamah Tinggi Bahagian Keluarga mempunyai terlalu banyak kes menyebabkan kelambatan penyelesaian kes-kes itu. Jika aduan itu betul, apa yang perlu dilakukan hanyalah menambah bilangan Hakim.

Rungutan kedua yang saya pernah dengar ialah bahawa Hakim-Hakim lelaki bersikap diskriminasi terhadap perempuan. Rungutan ini ditujukan kepada Hakim-Hakim Mahkamah Syariah. Saya belum dengar rungutan yang serupa mengenai Haikm-Hakim Mahkamah Sivil. Biar apa pun, sebahagian besar, mungkin majority, Majistret dan Hakim Mahkamah Sesyen adalah perempuan. Hakim Mahkamah Tinggi yang ditugaskan di Bahagia Keluarga di Kuala Lumpur adalah perempuan. (Saya tidak mahu berhujah sama ada betul atau tidak Hakim-Hakim lelaki mendiskriminasikan perempuan atau orang perempuan terlalu emosional atau, jika semua Hakim-Hakim yang membicarakan kes-kes keluarga adalah Haim-Hakim perempuan, lelaki pula akan didiskriminasikan.)

Soalan kedua, adakah Mahkamah keluarga itu akan mengambil alih bidangkuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mengenai kes-kes keluarga?

Jika jawapannya “tidak”, iaitu Mahkamah Keluarga hanya akan mengambil alih bidangkuasa Mahkamah Sivil sahaja mengenai kes-kes keluarga, soalan-soalan berikut perlu dijawab:

Pertama, adakah masalah mengenai kes-kes keluarga cuma terdapat di Mahkamah Sivil sahaja?

Kedua, jika benar Mahkamah Keluarga akan mengatasi semua masalah mengenai kes-kes keluarga, mengapa orang-orang bukan Islam sahaja yang akan menekmatinya? Kes-kes keluarga orang Islam akan terus didengar oleh Mahkamah Syariah.

Jika jawapannya “ya”, iaitu Mahkamah Keluarga akan mengambil alih bidangkuasa mengenai kes-kes keluarga daripada kedua-dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, soalan-soalan yang lebih serius akan timbul.

Bidangkuasa Mahkamah Syariah yang akan diambil alih itu adalah perkara-perkara yang kuasa membuat undang-undang megenainya terletak dalam dalam bidangkuasa Badan Perundangan Negeri. Sebaliknya, bidangkuasa yang hendak diambil alih daripada Mahkamah Sivil itu adalah perkara-perkara yang terletak dalam bidangkuasa Parlimen membuat undang-undang. Mahkamah Keluarga yang hendak ditubuh itu mahkamah negeri atau mahkamah persekutuan? Jika ia mahkamah persekutuan, ia tidak boleh diberi bidangkuasa mengenai perkara-perkara dalam Senarai Negeri (Senarai Kedua, Jadual Kesembilan). Jika ia mahkmah negeri, ia tidak boleh diberi bidangkuasa mengenai perkara-perkara dalam Senarai Persekutuan (Senarai Pertama, Jadual Kesembilan).

Jika Mahkamah Keluarga itu mahkamah persekutuan, untuk membolehkan Parlimen memberi bidangkuasa kepadanya membicarakan kes-kes keluarga itu, perkara-perkara itu perlulah dipindahkan melalui pindaan perlembagaan daripada Senarai Negri kepada Senarai Persekutuan. Mungkinkah negeri-negeri bersetuju? Apa yang akan tinggal kepada Mahkamah Syariah? Pada hakikatnya, Mahkamah Syariah adalah Mahkamah Keluarga untuk orang-orang Islam.

Soalan ketiga ialah di manakah mahkamah itu akan diadakan? Di Kuala Lumpur sahaja? Di setiap ibu negeri sahaja? Atau, di setiap daerah seperti Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah?

Jika ia hanya akan diadakan di Kuala Lumpur sahaja, jika penubuhn Mahkamah Keluarga itu akan menagatasi semua masalah yang dihadapi di seluruh negara pada masa ini kerana ketiadan Mahkamah keluarga, maka soalannya, mengapa orang-orang di luar Kuala Lumur didiskriminasikan?

Jika ia akan diadakan di setiap ibu negeri sahaja, pertama, di kebanyakan negeri tidak akan terdapat kes yang mencukupi walaupun untuk seorang Hakim. Kedua, ia akan menyusahkan penduduk luar bandar yang umumnya lebih miskin. Hari ini, seorang isteri yang hendak menuntut nafkah diri atau anak boleh pergi ke Mahkamah Majistret atau Mahkamah Syariah dalam daerah di mana dia tinggal. Jika Mahkmah Keluarga diadakan di ibu-ibu negeri sahaja, dia akan terpaksa pergi, berulang-ulang kali, ke ibu negeri di negeri dia tinggal. Belanjanya mungkin melebihi nafkah yang diperolehi, jika diperolehi.

Untuk mengatasi masalah yang baru disebut ini, mungkin dicadangkan Hakim itu di tempatkan di ibu negeri tetapi beliau akan pergi “on circuit’ ke daerah-daerah pada hari-hari tertentu. Pada pandangan saya peraturan seperti itu tidak baik. Lebih daripada dua puluh tahun dahulu, Mahkamah Sivil mengambil tindakan meletakkan sekurang-kurangnya seorang Majistret di hampir setiap Mahkamah Majistret (melainkan di tempat-tempat yang bilangan kesnya terlalu kecil) kerana kajian menunjukkan bahawa “circuit system” banyak manghabiskan masa, wang, tidak banyak kerja dapat dilakukan dan kawalan terhadap kakitangan yang ditempatkan di mahkamah-mahkamah tanpa “resident Magistrate” itu sukar dilakukan. Kita tidak patut mengulangi “kesilapan” lama yang sudah pun diperbaiki itu.

Cawangan Mahkamah Keluarga perlu diadakan di setiap daerah walau pun tiada hakim ditempatkan. Setiap cawangan itu perlu ada kakitangannya. Ini akan membazirkan wang negara kerana bilngan kes-kes yang akan didaftarkan di setiap mahkamah itu terlalu kecil. Sebaliknya, jika Mahkamah Keluarga tidak mempunyai bangunannya sendiri, ia akan menumpang bangunan Mahkamah Sivil, mengganggu persidangan Mahkamah Sivil. Jika Mahkamah Keluarga tidak mempunyai kakitangannya sendiri di setiap daerah, sama ada ia mempunyai bangunan sendiri atau tidak, orang ramai yang hendak mendaftarkan kesnya atau berurusan dengannya, akan terpaksa pergi ke ibu negeri. Sekali lagi penduduk luar bandar yang rugi.

Soalan keempat, siapakah yang akan mengaggotai Mahkamah Keluarga itu? Katakan Mahkamah Keluarga itu hanya akan mengambil alih bidangkuasa Mahkamah Sivil, maka Hakimnya semestinyalah datang daripada Hakim-Hakim Mahkamah Sivil atau orang-orang yang sama kelayakannya. Jika sikap mereka itu yang dipersoalkan sekarang, adakah dengan dilantik menjadi Hakim Mahkamah Keluarga, sikap mereka akan berubah? Adakah perkhidmatan mereka akan dijadikan satu perkhidmatan tertutup? Jika tertutup, peluang kenaikan pangkat amat kurang. Maka orang-orang yang akan menyertainya besar kemungkinan adalah orang-orang yang tidak berjaya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi. Jika tidak tertutup, maka Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi yang sama jugalah yang akan “dipinjamkan” ke Mahkamah Keluarga. Besar kemungkinan Mahkamah Keluarga akan menjadi “tempat buangan” atau mereka hanya akan ditempatkan di Mahkamah Keluarga untuk suatu tempoh yang singkat kerana, demi kerjaya mereka, mereka tentu tidak mahu hanya berpengalaman mendengar kes-kes perceraian, nafkah dan sebagainya.

Hal yang serupa akan berlaku jika bidangkuasa Mahkamah Syariah juga diambil alih. Orang-orang yang akan menjadi Hakim Mahkamah Keluarga untuk kes-kes orang Islam adalah orang-orang yang sama atau serupa dengan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah pada hari ini. Perkara-perkara yang saya sebut dalam perenggan sebelum perenggan ini juga terpakai. Malah, di setiap Mahkamah Keluarga perlu ada dua orang Hakim, seorang Hakim Sivil dan seorang Hakim Syariah. Siapa yang akan menjadi ketua?

Masalah perkhidmatan yang serupa juga akan timbul mengenai kakitangan.

Saya tidak menyokong atau menentang cadangn itu. Saya cuma membangkitkan masalah-masalah yang perlu diatasi kiranya Mahkamah Keluarga hendak ditubuhkan, supaya jangan kerana hendak mengatasi masalah yang ada, kita akan menimbulkan masalah-masalah yang lebih besar.

Ini hanyalah pandangan saya. Saya tidak kata ianya betul. Saya serahkan untuk dipertimbangkan, jika didapati berkenaan.

Sekian. Terima kasih.

126 visits