MUZAKARAH ANTARA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN DAN MAJLIS-MAJLIS PENASIHAT SYARIAH MENGENAI URUSAN MUAMALAT, PERBANKAN DAN KEWANGAN ISLAM

MUZAKARAH ANTARA MAJLIS FATWA KEBANGSAAN DAN MAJLIS-MAJLIS PENASIHAT SYARIAH MENGENAI URUSAN MUAMALAT, PERBANKAN DAN KEWANGAN ISLAM

31 Disember 2004

NOTA

 

TUJUAN UTAMA:

Tujuan utama mengadakan muzakarah adalah:
(I) membincangkan interaksi bidang kuasa serta fungsi Majlis Fatwa Negeri sebagai badan yang diberi kuasa di bawah perundangan negeri bagi penentuan hukum-hukum Syarak, dan kaitan fungsi Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung penentuan hukum Syarak bagi produk kewangan dan perbankan Islam;
(II) serta mengenal pasti bentuk kerjasama yang dapat diterima antara Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara mengemukakan pandangan seperti yang berikut:

“INTERAKSI BIDANG KUASA: PENENTUAN HUKUM SYARAK, PERUNDANGAN KOMERSIL DAN PERBANKAN ISLAM”

LATAR BELAKANG:

 Kewangan Islam telah berkembang pesat. Pada mulanya perbankan Islam lebih kepada penawaran alternatif secara asas kepada akaun-akaun dan pinjaman-pinjaman konvensional yang berasaskan faedah. Kini, penawaran perkhidmatan kewangan Islam adalah lebih kompleks dengan peluasan aktiviti-aktiviti kepada penawaran pembiayaan modal, pelaburan harta tanah (REIT), dana ekuiti, kad kredit dan takaful.
 Seiring dengan pembangunan perkhidmatan kewangan Islam pada masa kini, Malaysia telah dinobatkan sebagai negara yang paling maju dalam penerokaan dan pembangunan sistem kewangan Islam yang komprehensif meliputi sektor perbankan Islam, takaful, pasaran modal Islam dan pasaran kewangan Islam.

 Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) bagi tujuan mempromosikan amalan takaful di negara-negara Islam. Langkah ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemajuan perkhidmatan kewangan Islam di kalangan negara-negara Islam.

 Pelbagai inisiatif telah diambil oleh Malaysia dalam membangunkan perkhidmatan kewangan Islam di peringkat domestik dan antarabangsa. Inisiatif Malaysia dalam bidang perkhidmatan kewangan Islam telah mendapat pengiktirafan daripada negara-negara Islam dan bukan Islam.

Di peringkat domestik, antara perundangan Persekutuan mengenai urusan perkhidmatan kewangan Islam ialah Akta Bank Islam 1983 [Akta 276], Akta Takaful 1984 [Akta 312], Seksyen16B Akta Bank Negara 1958 [Akta 519] dan Seksyen 124 Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) [Akta 372].
Kewangan dan Perbankan (Islam): pembahagian bidang kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan

Struktur pembahagian bidang kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan ialah-
a) Kewangan, menurut Butiran 7 Senarai I, termasuklah perbankan, perdagangan, pajak gadai, takaful, pasaran wang adalah perkara yang disenaraikan di bawah Senarai Persekutuan;

b) Penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak pula adalah di bawah Senarai Negeri di mana Dewan Undangan yang boleh membuat undang-undang mengenainya.

a) Bidang kuasa persekutuan : peruntukan berkaitan hukum syarak menurut Perlembagaan Persekutuan

Senarai I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan
 Petikan Butiran 4(e)

“(e) Tertakluk kepada perenggan (ii), perkara yang berikut-
(i) Kontrak; perkongsian, agensi dan kontrak khas yang lain; majikan dan perkhidmat; rumah inapan dan tuan rumah inapan; perbuatan salah boleh dakwa; harta dan pindah hakmiliknya serta hipotekasinya, kecuali tanah; bona vacantia; ekuiti dan amanah; perkahwinan, perceraian dan kesahtarafan; harta dan taraf perempuan bersuami; pentafsiran undang-undang persekutuan; surat cara boleh niaga; akuan berkanun; timbang tara; undang-undang persaudagaran; pendaftaran perniagaan dan nama perniagaan; umur dewasa; budak-budak dan orang belum dewasa; pengangkutan; pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat; probet dan surat kuasa mentadbir; kebankrapan dan ketidakmampuan bayar; sumpah dan ikrar; batasan; penguatkuasaan bersaling penghakiman dan perintah; undang-undang keterangan;

(ii) perkara yang disebut dalam perenggan (i) tidak termasuk undang-undang diri Islam yang berhubungan dengan
perkahwinan, perceraian, penjagaan, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, undang-undang keluarga, alang atau pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat;”

Penjelasan:
 Perkara-perkara yang disenaraikan dalam Butiran 4(e)(i) adalah bersifat umum iaitu tidak dihadkan kepada undang-undang sivil sahaja tetapi termasuk juga elemen penentuan Hukum Syarak dan undang-undang Islam
– sebagai contoh, undang-undang kontrak, daripada peruntukan umum yang disebutkan di atas, Kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang sama ada undang-undang sivil ataupun undang-undang Islam yang berkaitan dengan kontrak

 Ini adalah kerana Butiran 4(e)(ii) tidak mengecualikan undang-undang kontrak Islam, hanya mengecualikan perkara-perkara tertentu berkaitan dengan undang-undang diri Islam sahaja

 Skop bidang kuasa terhadap undang-undang diri Islam berkaitan perkahwinan, perceraian, nafkah dan sebagainya telah jelas disenaraikan di bawah Butiran 1 Senarai Negeri.

 Kesimpulannya, perundangan komersil seperti undang-undang kontrak Islam dan undang-undang perdagangan Islam contohnya, merupakan perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan

 Petikan Butiran 4(k)
“(k) Penentuan hukum Syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang persekutuan”
Penjelasan :
 Peruntukan ini kelihatannya membuka ruang kepada Kerajaan Persekutuan membuat penentuan mengenai Hukum Syarak bagi maksud undang-undang Persekutuan. Oleh itu, apabila dibaca peruntukan di bawah Butiran 4(e) dan (k) bersama-sama, ia membawa maksud bahawa bagi penentuan Hukum Syarak berkaitan undang-undang kontrak, perdagangan dan perbankan, bagi maksud undang-undang Persekutuan, adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan.
 Petikan Butiran 7
“7. Kewangan, termasuk-
(j) Perbankan; pemberian pinjaman wang; pemegang pajak gadai; kawalan kredit;

(k) Bil pertukaran, cek, nota janji hutang dan surat cara lain yang seumpamanya;

(l) Pertukaran asing; dan

(m) Terbitan modal; bursa saham dan bursa komoditi”

Penjelasan:
 Apa-apa transaksi kewangan adalah dalam bidang kuasa Persekutuan .Berdasarkan Butiran 4(e) dan (k) tersebut di atas, undang-undang Persekutuan boleh digubal bagi mengawal selia transasi kewangan dan perbankan Islam

 Bagi Butiran 7(j) agensi yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti perbankan, pemberian pinjaman wang, pemegang pajak gadai dan kawalan kredit ialah Bank Negara Malaysia. Bagi tujuan menjalankan aktiviti perbankan secara Islam pula Seksyen 16B Akta Bank Negara Malaysia 1958 [Akta 519] memperuntukkan bahawa Majlis Penasihat Syariah harus menjadi otoriti dalam penentuan hukum Syarak bagi tujuan perniagaan perbankan Islam, perniagaan takaful, perniagaan kewangan Islam, perniagaan pembangunan kewangan Islam atau apa-apa perniagaan yang berlandaskan prinsip-prinsip Syariah. Melalui peruntukan ini jelas bahawa Bank Negara Malaysia mempertanggungjawabkan Majlis Penasihat Syariah bagi mengawal segala aktiviti yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam.

 Bagi Butiran 7(m) agensi yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti terbitan modal, bursa saham dan bursa komoditi ialah Suruhanjaya Sekuriti dan bagi tujuan pengawalan aktiviti-aktiviti tersebut secara Islam Majlis Penasihat Syariah telah diberi mandat untuk memikul tanggungjawab tersebut.

b) Bidang kuasa negeri: peruntukan mengenai hukum syarak menurut Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negeri

1) Perlembagaan Persekutuan

Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan
Petikan Butiran 1
“1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan denga pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan, mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.”

2) Perundangan Negeri

(I) Majlis Fatwa Negeri

Petikan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
“Fatwa yang disiarkan dalam Warta adalah mengikat
(1) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan peribadi.

(2) Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah di dalam negeri Selangor tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya.”

Petikan Seksyen 53 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003

“Meminta pendapat daripada Jawatankuasa Fatwa

Jika dalam mana-mana Mahkamah selain Mahkamah Syariah,apa-apa persoalan Hukum Syarak perlu diputuskan, Mahkamah itu boleh meminta pendapat Jawatankuasa Fatwa tentang persoalan itu, dan Mufti boleh memperakukan pendapat Jawatankuasa Fatwa itu kepada Mahkamah yang membuat permintaan itu.”

(II) Mahkamah Syariah.

Petikan Seksyen 46(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)1993 [Akta 505]

“(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang sedang berkuatkuasa, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan baginya;
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan-
(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan diantara suami isteri;

(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;

(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang orang Islam;

(vii) wakaf atau nazr;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;

(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya orang-orang itu masing-masing berhak; atau
(x) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.”
Penjelasan:
 Senarai perkara-perkara di bawah Butiran 1, Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan ini meliputi undang-undang diri Islam (Islamic personal laws) sahaja.

 Kerajaan Negeri mempunyai kuasa perundangan dalam penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak.

 Makamah Syariah diberikan bidang kuasa ke atas orang yang menganut agama Islam sahaja.

 Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dan telah diterbitkan di dalam Warta adalah mengikat setiap orang Islam yang berada di dalam negeri berkenaan

Interaksi bidang kuasa

 Peruntukan dalam Senarai Negeri meletakkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai bidang kuasa dalam perkara-perkara berkaitan dengan undang-undang diri Islam. Selain daripada itu, bagi tujuan penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak, perkara tersebut juga terletak di bawah bidang kuasa negeri dan sekiranya penentuan mengenai hukum-hukum tersebut masih belum terdapat dalam mana-mana Enakmen negeri, Majlis Fatwa Negeri akan dirujuk bagi penentuan sesuatu hukum tersebut.

 Senarai Persekutuan pada masa yang sama memperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan juga mempunyai bidang kuasa dalam perkara kontrak; perkongsian dan agensi sama ada dari sudut undang-undang sivil mahupun undang-undang Islam. Selain daripada itu, perkara mengenai kewangan termasuk perundangan komersil Islam dan perbankan Islam dan sebagainya juga terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Badan yang dipertanggungjawabkan mengawal aktiviti perbankan Islam ialah Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan aktiviti pasaran modal dan kewangan Islam pula di bawah seliaan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

 Setelah diteliti kedua-dua peruntukan di bawah Senarai Negeri dan Senarai Persekutuan, kemungkinan berlaku pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam penentuan Hukum Syarak khususnya mengenai perundangan komersil, kewangan dan perbankan Islam.

 Walaupun demikian, peruntukan mengenai perundangan komersil, kewangan dan perbankan termasuklah yang dilaksanakan secara Islam, adalah lebih jelas berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan atas pertimbangan berikut:-
i) Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang yang menganut agama Islam (Butiran 1 Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 46(2) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] sedangkan undang-undang berkenaan perundangan komersil, kewangan dan perbankan secara Islam adalah meliputi semua pihak yang memilih menjalankan transaksi muamalat tersebut, sama ada Islam atau bukan Islam. Sekiranya salah satu daripada pihak dalam sesuatu pertikaian merupakan orang bukan Islam maka jelaslah Mahkamah Syariah tidak boleh mendengar kes tersebut.
ii) Dalam kes-kes yang melibatkan perundangan komersil dan perbankan Islam ini juga, pihak bank selalunya merupakan salah satu daripada pihak dalam pertikaian tersebut. Bank merupakan ‘orang buatan’ (artificial person). Dalam masa yang sama, bank, walaupun merupakan Bank Islam atau bank yang menawarkan produk-produk Islam, bank tersebut tidak dianggap sebagai orang yang menganut agama Islam kerana syarat asas seorang itu dianggap Muslim ialah aqidah atau pengakuan iman. Pengakuan iman ini hanya boleh dilakukan oleh individu.
iii) Senarai yang agak panjang yang terkandung dalam Butiran 1 Senarai Negeri hanya memperuntukkan perkara-perkara mengenai undang-undang diri Islam. Tambahan pula Butiran 4(e)(i) dan (ii) Senarai Persekutuan dengan jelas menyenaraikan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan mengecualikan perkara-perkara yang berkaitan dengan undang-undang diri Islam. Undang-undang kontrak, perkongsian dan agensi merupakan salah satu daripada cabang perundangan komersil dan perbankan. Oleh kerana perkara tersebut tidak dikecualikan di bawah sub-butiran (ii), maka dapat difahami bahawa undang-undang kontrak, perkongsian dan agensi yang melaksanakan prinsip muamalat secara Islam adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
iv) Butiran 7(j-m) Senarai Persekutuan juga dengan jelas menyenaraikan aktiviti-aktiviti perundangan komersil dan perbankan. Perkara-perkara tersebut disenaraikan dalam bentuk umum tanpa mengecualikan perundangan komersil dan perbankan yang dilaksanakan menurut prinsip muamalat Islam. Maka, dapat difahami bahawa perundangan Islam dan perbankan Islam juga termasuk di bawah bidang kuasa Persekutuan.
v) Dalam keadaan sekarang, pertikaian yang berbangkit daripada transaksi muamalat berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil dan akan didengar oleh hakim-hakim Sivil yang dilatih menurut sistem Common Law Inggeris yang ternyata tidak mempunyai kepakaran dalam undang-undang Syariah. Oleh yang demikian, untuk mengatasi kekurangan ini diusulkan supaya mengadakan Syariah bench untuk mendengar kes-kes muamalat di mana hakim-hakim hendaklah daripada kalangan yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran bukan sahaja dalam undang-undang komersil sivil malah juga prinsip-prinsip muamalat. Dengan itu, keputusan yang akan dibuat akan mempunyai kredibiliti di kalangan industri kewangan Islam di peringkat domestik dan antarabangsa.

Kemungkinan berlaku interaksi dan pertindihan bidang kuasa adalah sebagaimana hipotesis berikut:
Hipotesis:
 Bank C merupakan bank negara asing (foreign bank) yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk beroperasi di Malaysia. Bank C menjalankan operasinya berlandaskan prinsip-prinsip syariah dan mempunyai badan penasihat Syariahnya sendiri.
 Bank C telah mendapat kelulusan Majlis Penasihat Syariah BNM bagi kelulusan produk Islam yang ingin ditawarkannya. Pelanggan berpotensi iaitu A membuat permohonan mendapatkan produk pembiayaan secara Islam yang ditawarkan oleh Bank C.
 Transaksi pembiayaan melibatkan hartanah yang dimiliki oleh bapa A iaitu B. Lokasi hartanah ialah di Shah Alam, Selangor. Bagi membolehkan A menyewakan hartanah kepada Bank C, B menghibahkan hartanah tersebut kepada A.
 Instrumen pelaburan dalam projek ialah berdasarkan prinsip sewa dan dengan janji untuk sewaan kembali (lease and lease back) hartanah tersebut. Pemakaian prinsip ‘lease and lease back’ menyerupai transaksi bai’ al-‘inah.
 Bagi instrumen sewaan kepada Bank C, pihak yang terlibat ialah A dan Bank C. Bank C sebagai ’pemegang sewa’ hartanah membuat bayaran sewaan secara tunai. Sejurus selepas menandatangani perjanjian sewa antara A dan Bank C, Bank C menyewakan kembali hartanah yang sama kepada A tetapi dengan syarat A membayar sejumlah sewa (pengiraan jumlah sewa dibayar oleh A adalah jumlah biaya + untung), secara beransur dan dalam tempoh tertentu.
 Dalam instrumen hibah, pelaksana ialah B dan penerima ialah A. Dalam perjanjian sewa, pihak Bank C ialah penerima sewa dengan notis bahawa A adalah penerima hibah umra’ dan dokumen hibah umra’ ini dikemukakan kepada Bank C sebelum perjanjian sewa dibuat.
 Kemudian berlaku kematian B yang menyebabkan waris-waris B (adik beradik A) mempertikaikan kesahihan dokumen hibah. Waris-waris B membawa pertikaian kepada Mahkamah Syariah. Permohonan di Mahkamah Syariah memerlukan pemutusan fakta dan undang-undang sama ada dokumen hibah adalah sah. Mahkamah Syariah dalam bidang kuasa malnya memutuskan dokumen hibah adalah batal dan tidak menepati syarak.
 Waris-waris B juga memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mencelah dalam tindakan sivil oleh Bank C terhadap A, mencabar kesahihan perjanjian sewaan balik oleh Bank C sebagai ’pemegang sewa’ atas hartanah tersebut.
 Mahkamah Tinggi boleh, menurut peruntukan Seksyen 53 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, merujukkan penentuan perkara mengenai hibah seorang Islam kepada Majlis Fatwa Negeri (kerana perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, Butiran II Senarai Negeri).
 Pihak waris-waris B, dalam hujahan membawa ke pengetahuan Mahkamah tentang keputusan fatwa mengenai dokumen hibah dan memohon Mahkamah merujuk kepada Majlis Fatwa Negeri bagi menentukan kesahihan transaksi perjanjian sewa serta perjanjian sewaan balik dalam kes ini. Berikutan pemutusan fatwa bahawa hibah dalam kes ini tidak menurut syarak, maka transaksi sewa dan sewaan kembali adalah batal.
 Pihak Bank C, berdasarkan kelulusan Majlis Penasihat Syariah BNM bagi pengeluaran produk Islam yang ingin ditawarkannya, menghujahkan bahawa transaksi adalah teratur dan Mahkamah wajar menerima dapatan oleh Majlis Penasihat Syariah BNM dalam kes ini.
 Kesan :
o sekiranya Majlis Fatwa Negeri memutuskan instrumen hibah Umra’ batal kerana tidak memenuhi hukum syarak, ini bermakna A tidak cukup syarat mengikut syarak untuk menyewakan hartanah kepada Bank C. Maka perjanjian sewa antara Bank C dan A batal sejak mula dan tidak boleh dikuat kuasa. Seterusnya Bank C tidak boleh menyewakan kembali hartanah kepada A untuk mendapatkan hasil sewaan.
o Bank C mengalami kerugian walaupun pada awalnya telah mendapat kelulusan Majlis Penasihat Syariah BNM bagi pengeluaran produk Islam yang ingin ditawarkannya

Isu:-
Dalam keadaan tersebut, kelulusan yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah adalah berkaitan produk pembiayaan secara Islam tetapi melibatkan pelaksanaan hibah.
1. Adakah instrumen hibah dalam pelaksanaan produk perbankan adalah di luar lingkungan bidang kuasa penentuan hukum syarak/ fatwa oleh Majlis Fatwa Negeri ?
2. Sama ada Majlis Fatwa Negeri mempunyai bidang kuasa mengeluarkan fatwa berkaitan dengan pemakaian prinsip hibah sebagaimana yang digunakan dalam transaksi perbankan Islam?
3. Bagaimanakah cara untuk mempastikan bahawa tidak berlaku kecelaruan dalam pelaksanaan produk perbankan Islam dan terdapat keseragaman kaedah-kaedah yang digunapakai dalam mencapai sesuatu ijtihad. dalam penentuan Hukum Syarak berkaitan dengan perundangan komersil dan perbankan Islam?

Usul :
 Bagi mengatasi isu-isu dan permasalahan yang bakal timbul berdasarkan hipotesi kes di atas, perlu ditentukan satu badan tunggal dalam penentuan Hukum Syarak berkaitan dengan perundangan komersil dan perbankan Islam.
 Tujuan lain penetapan satu Majlis tunggal ialah keseragaman dalam penentuan hukum-hukum Syarak dan pengawal seliaan segala aktiviti komersial dan perbankan berkonsepkan Islam bagi seluruh Malaysia agar tidak berlaku pertindihan pendapat dan percanggahan kaedah-kaedah yang digunapakai dalam mencapai sesuatu ijtihad.
 Mekanisma penetapan satu Majlis tunggal inilah yang perlu dibincangkan bersama-sama oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Majlis Fatwa Kebangsaan supaya terdapat keseragaman penentuan hokum Syarak dalam mempergiatkan perkhidmatan kewangan Islam.
 Halatuju : Selaras dengan matlamat Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam Antarabangsa, Majlis penasihat kewangan ini nanti adalah Majlis yang merupakan penyatuan kesemua kepakaran penasihat-penasihat perkhidmatan kewangan yang pakar dalam fiqh-muamalat Islam dan perjalanan serta keperluan perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam. Majlis ini juga diharapkan dapat menangani setiap isu yang dirujuk dan sekaligus setiap keputusan yang dibuat adalah seragam dan akan diterima pakai oleh semua institusi-institusi yang terlibat.
31 Disember 2004 (tarikh diberi)

849 visits