PERPADUAN UMMAH: PATUTKAH RAJA-RAJA DILIBATKAN?

PERPADUAN UMMAH: PATUTKAH RAJA-RAJA DILIBATKAN?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Semata-mata memandang dari sudut konsep raja keperlembagaan (constitutional monarchy) model British, tidak dapat hendak difikirkan satu alasan bagi menyokong penglibatan raja dalam usaha untuk menyatupadukan sekumpulan rakyat berasaskan bangsa dan agama. Bayangkan sekumpulan rakyat British keturunan Inggeris beragama Kristian gereja England menghadap Queen England meminta jasa baik baginda untuk ‘menasihatkan’ pemimpin-pemimpin Parti Konservatif, Parti Boroh dan Parti Liberal supaya bergabung atau berkerjasama dalam pilihanraya umum (PRU) yang akan datang untuk mengelak kemungkinan rakyat British yang bukan berkulit putih dan bukan pengikut gereja England daripada mengambil alih Kerajaan Great Britain.

Sekurang-kurangnya pada masa ini, hal seperti itu tidak dapat dibayangkan berkemungkinan akan berlaku di England, kerana “ancamannya” masih belum nampak.

Maka ahli politik, pakar undang-undang, ahli sejarah dan cendikiawan akan berhujah bahawa cubaan berbuat demikian adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima. Saya dapat bayangkan hujah mereka adalah bahawa rakyat British berjuang dan berperang beratus-ratus tahun untuk memisahkan kuasa politik daridapa raja, untuk memberi kuasa memerintah mengikut kehendak majoriti (demokrasi) kepada rakyat melalui pilihanraya dan parlimen, bagaimana sekarang mereka hendak berpatah balik pula?

Mereka akan berhujah bahawa rakyat adalah bebas menubuh parti politik dan pertubuhan seperti yang dikehendaki mereka dengan tujuan yang dikehendaki oleh mereka. Jika akibatnya, rakyat daripada sesuatu kumpulan akan berpecah belah, malah kehilangan kuasa politik itu adalah masalah politik, hak rakyat menentukannya, bukan hak raja untuk campur tangan dan menentukannya. Dengan campur tangan, raja melakukan sesuatu yang berlawanan dengan peranannya sebagai raja keperlembagaan, malah melanggar prinsip demokrasi.

Mereka akan merujuk kepada perjanjian-perjanjian, akta-akta parlimen dan conventions mengenainya. Mereka akan merujuk kepada konvensyen-konvensyen hak asasi manusia (human rights) yang menjamin kebebasan bercakap, berorganisasi dan lain-lain.

Saya tidak hairan jika, di Malaysia pun, terdapat orang-orang, terutama sekali jika mereka mempunyai kepentingan diri, yang akan berhujah demkian. Mereka akan berkata kita telah menerima prinsip raja keperlembagaan model British, maka kita kenalah mengamalkannya seperti yang dilakukan di Britain. Noktah.

Dalam kertas ringkas ini, saya akan menghujahkan bahawa keadaan di Malaysia (khususnya mengenai hubungan orang Melayu dengan Raja-Raja Melayu) adalah berbeza daripada keadaan di Britain dan hal keadaan tempatan itu mestilah diambil kira dalam menentukan corak raja keperlembagaan kita. Sebagai misalah, corak raja keperlembagaan Thailand juga berlainan: raja memain peranan politik yang lebih aktif, dan nampaknya itu sahaja caranya untuk ‘mematangkan” ahli-ahli politik di negara itu. Kita tidak boleh mengatakan bahawa sistem Thailand tidak betul. Itulah yang diperlukan di Thailand.

Kembali ke negara kita, pertama, sepanjang sejarah pemerintahan raja-raja Melayu, raja adalah “payung” atau pelindung rakyatnya yang memberi ta’at setia kepadanya. Raja adalah tempat rakyat mengadu dan titah raja dijunjung.

Kedua, walaupun British menjajah Semenanjung Tanah Melayu, mereka tidak mengubah bentuk hubungan raja-raja Melayu dengan “rakyatnya” (the Rulers and their subjects). Kuasa Raja-Raja Melayu sebagai pelindung hak-hak rakyatnya dan kedudukan agama Islam tidak disentuh. Perjanjian penubuhan Federation of Malaya pun mempunyai peruntukan seperti itu

Ketiga, Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peruntukan-peruntukan sedemikian. Secara sepintas lalu:

(a) Selepas menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, Perkara 3(2) mengisytiharkan bahawa “kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat;….” Di negeri-negeri tanpa raja, Yang Di Pertuan Agong adalah ketua agamanya.

(b) Perkara 153 (1) memperuntukkan bahawa adalah “menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

(c) Perkara 153 (2) mengulangi bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalanakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam…..biasiswa……..”

(d) Perkara 153 (3) menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa…….memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya ……atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa………dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.”

Perhatikan, Perkara 3 melibatkan raja-raja dalam hal agama Islam. Kita mesti faham bahawa tugas raja sebagai ketua agama Islam bukanlah seperti seorang Khalifah Al-Rasyidin yang mempunayi kuasa sebagai hakim, mufti dan apa sahaja yang berkaitan dengan agama Islam. Tugas-tugas itu telah diberi kepada badan-badan tertentu. Tetapi, sebagai ketua agama Islam, raja-raja semestinya, secara umum, mempunyai peranan bagi menjaga kepentingan umat Islam dan kedudukan agama Islam. Jika tidak tidak ada maknanya raja-raja dijadikan ketua agama Islam.

Perkara 153 bukan sekadar mengatakan bahawa keistimewaan hendaklah diberi kepada orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dalam perkara-perkara tertentu. Ia menjadikan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa mereka. Kalusa (2) dan (3) pula menyatakan apa yang baginda patut lakukan dalam melaksanakan tanggungjawab keperlembagaan itu.

Maka, Yang di-Pertuan Agong bukanlah seorang raja yang “berkecuali” sehingga tidak perlu mengambil berat tentang hal agama dan umat Islam dan kedudukan orang Melayu. Baginda dipertanggungjawabkan oleh Perlembagaan untuk melindunginya. “Melindungi” samalah dengan menjaga supaya kedudukan itu tidak tergugat. Maka, jika timbul sesuatu keadaan yang menggugat hak dan kedudukan orang Melayu, umat Islam dan agama Islam, semestilah tidak ada salahnya bagi orang Melayu dan umat Islam untuk menghadap baginda untuk mempersembahkan hal keadaan itu kepada baginda, dan tidak ada salahnya bagi baginda, sama ada secara bersendirian atau melalui Majlis Raja-Raja, menyatakan pandangan baginda kepada pihak-pihak berkenaan, malah “menasihati” mereka untuk mengatasi masalah itu. (Hujah ini terpakai juga kepada raja-raja Melayu di negeri masing-masing.)

Sekarang kita lihat resolusi Multaqa Perpaduan Ummah bertarikh 18 Mai 2016. Perlu diambil perhatian bahawa raja-raja adalah salah satu institusi yang akan ditemui oleh wakil-wakil Multaqa itu. Yang lainnya termasuklah tokoh-tokoh utama parti politik Islam, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Mengenai raja-raja, resolusi itu menyebut:

“a. Menghadap Duli-Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk memohon Baginda-baginda semua campur tangan atas sifat sebagai payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.”

Dua perkara perlu di ambil perhatian. Pertama, ia meminta raja-raja “campur tangan”. Kedua, asasnya ialah sebagai “payung bagi agama Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.” Ertinya, Multaqa itu bersandar kepada hubungan tradisional antara raja-raja Melayu dan rakyatnya yang saya sebut di awal kertas ini.

Jika itulah hasratnya, saya tidak nampak apa salahnya. Bagaimana raja-raja akan “campur tangan”, jika mereka bersetuju berbuat demikian, mengikut hemat saya, adalah seperti yang saya sebut di atas, ia itu dengan menyatakan pandangan mereka atau menasihati secara bersendirian atau melalui Majlis Raja-Raja. Sama ada ia akan berkesan atau tidak untuk mencapai hasrat yang dikehendaki terserahlah, terutama sekali kepada tokoh-tokoh utama parti politik Islam.

Ini membawa kita kepada soalan yang saya kemukakan di Multaqa itu: Adakah mereka (tokoh-tokoh utama parti politik Islam) sanggup mengorbankan kepentingan diri, jika perlu, untuk mengelak mala petaka yang lebih besar itu?

24 Mei 2016

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me