MELAYU DAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN DAN POLITIK MALAYSIA

UNIVERSITI ISLAM MALAYSIA
Halaqah Bicara Intelek


Saya dilahirkan seorang Melayu dan Islam. Itu bukan pilihan saya. Itu taqdir Allah s.w.t. terhadap saya. Saya akan mati sebagai seorang Melayu. Saya juga tiada pilihan mengenainya. Walau pun saya ada pilihan dalam hal agama, saya mahu hidup dan mati sebagai seorang Islam. Itu pilihan saya, dengan izin dan rahmat Allah s.w.t. Maka salahkah jika saya katakan “Saya Melayu dan Islam”? Salahkah jika saya katakan saya akan melihat isu ini dari perspektif seorang Melayu dan Islam? Siapa kata DAP, MCA, Gerakan dan COMANGO tidak melihat sesuatu isu itu dari perspektif kepentingan orang Cina?

Semenanjung Tanah Melayu tetah dijajah oleh British daripada orang Melayu. Sebab itulah, yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja Lela, Dol Said atau Tok Janggut adalah orang Melayu. Sebab itulah yang menentang Malayan Union adalah orang Melayu. Sebab itulah yang berkorban nyawa menentang pengganas kominis semasa darurat adalah orang Melayu. Sebab itulah orang Melayu menuntut “kemerdekaan tanah airnya”. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka melihat ianya akan menjadi kenyataan, untuk menjaga kepentingan mereka.

Logiknya, saya ulagi, logiknya Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu, seperti Brunei. Tetapi tidak, orang Melayu sanggup berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh penjajah British. Pengorbanan yang paling besar yang dilakukan oleh orang Melayu ialah bersetuju memberikan kerakyatan kepada orang-orang bukan Melayu yang mula-mulanya datang untuk mencari rezeki dan pulang semula ke negara mereka, tetapi kemudiannya memilih untuk menetap di sini.

Akibatnya, pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos 1957, warganegara Persekutuan Tanah Melayu bertambah sekali ganda akibat pemberian kerakyatan oleh Perlembagaan Kemerdekaan itu. Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah sebanyak 84.2%, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun selepas Merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1%.

Sebagai ganti, orang Melayu menuntut beberapa perkara. Saya akan menyebutnya mengikut susunan chronological dalam susunan peruntukan Perlembagaan:

  1. Perkara 3, Islam sebagai agama Persekutuan.
  2. Perkara 8(4)(f), menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu.
  3. Perkara 89, Tanah Simpanan Melayu.
  4. Perkara 152, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
  5. Perkara 153, Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
  6. Perkara 181, jaminan terhadap kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja.

(Selain daripada apa yang disebutkan itu, perlembagaan treat semua warganegara, Malaysia, tidak kira keturunan, agama, bahasa dan kebudayaan sama sahaja.)

Sekarang, mari kita lihat satu persatu peruntukan-peruntukan itu. Kita mula dengan Perkara 3.

Islam agama bagi Perekutuan

Islam mempunyai hubungan yang sangat rapat denagn orang Melayu. Malah, mengikut Perlembagaan, seorang yang bukan beragama Islam itu bukanlah seorang Melayu. Maka tidak hairanlah, atas tuntutan UMNO Melayu semasa memperjuangkan kemerdekaan, agama Islam dijadikan agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu dijadikan Ketua Agama Islam bagi negeri masing-asing dan yang di-Pertuan Agong Ketua Agama bagi negeri-negeri tanpa Raja.

(Mungkin ada di ntara tuan-tuan dan puan-puan yang tidak tahu. Pada masa itu, Raja-Raja Melayu tidak bersetuju Islam dijadikan agama bagi Persekutuan. Mungkin mereka telah disalah nasihat menyebabkan mereka menyangka jika Islam menjadi agama bagi Perrsekutuan, kuasa mereka sebagai Ketua Agama di negeri masing-masing akan terhakis.)

Perkara 3 memperuntukkan:

“3 (1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”.

Perhatikan, dalam ayat pertama pun, kata-kata “Islam ialah agama bagi Persekutuan” terus dituruti dengan klausa “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Seolah-olah tidak cukup dengan jaminan itu, perenggan (4) kepada Perkara 3, menambah:

“(4) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini.”

Pada amalannya, semenjak Merdeka, pernahkan orang bukan Islam dilarang membina rumah ibadat mereka sama ada kuil, tokong, gereja, gurdwara dan lain-lain? Malah berapa banyak kuil-kuil dibina di atas tanah kerajaan, rizab jalan dan taman perumahan tanpa kebenaran dan tanpa sebarang tindakan. Bukan itu sahaja, pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam juga mendapat bantuan kewangan Kerajaan dan apabila bangunan-bangunan yang dibina tanpa kebenaran itu hendak diroboh kerana sesuatu projek, Kerajaan menggantikan pula dengan tapak yang baru. Tunjuk kepada saya sebuah negara yang berbuat demikian? Bandingkah dengan halangan-halangan yang dihadapi oleh orang Islam apabila hendak membina masjid di negara-negara majoriti bukan Islam, termasuk negara-negara maju yang kononnya mengamalkan kebebasan beragama.

Dari segi mengamalkan agama mereka, adakah kita pernah melarangnya? Hinggakan Thaipusam yang disifatkan sebagai ajaran sesat di India, dijadikan cuti awam di beberapa Negeri di Malaysia. Tunjukkan saya negara mana dalam dunia ini yang berbuat demikian.

Perkara 11, menguatkan lagi jaminan kebebasan beragama. Ia memperuntukkan:

“11(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
………
(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Perhatikan, Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Malangnya, peruntukan yang begitu jelas tidak dimanfaatkan. Hanya beberapa buah Negeri sahaja yang membuat undang-undang seperti itu. Yang buat teraga-agak untuk melaksanakan. Yang cuba melaksana, terbantut pula. Itulah masalah kita: ada kuasa tak tahu atau takut melaksanakannya. Maka, pihak lain menekan dan menekan, daripada isu penggunaan kalimah “Allah” hinggalah kepada bantahan terhadap khotbah Jumaat. Pernahkah kita bantah mereka membakar kereta kertas, duit neraka dan lain-lain dan pernahkah kita bantah mereka mencucuk pipi dengan besi dan lain-lain. Itu amalan agama mereka, buatlah. Malangnya, dalam isu penggunaan kalimah “Allah” pun ada pula kumpulan-kempulan orang yang beragama Islam, termasuk “ulama’” yang menyokong. Tidakkah mereka, apatah lagi “ulama’-ulama” itu, boleh nampak muslihat Gereja Katholik itu? (Sila baca rencana/ucapan saya mengenainya dalam laman web saya).

Tidak cukup dengan itu, ada pula NGO-NGO yang memburuk-burukkan Syari’ah dan pelaksanaannya dan meminta badan-badan antarabangsa campur tangan mengenainya.

Bandingkan dengan Singapura, bagaimana ia melaksanakan undang-undangnya. Sebagai misalan, sepasang suami isteri Cina beragama Kristian dihukum penjara 4 minggu masing-maing kerana mengedar bahan cetak yang menghasut (distributing seditious publications) kepada dua orang perempuan Islam.

Seorang lagi dituduh kerana membuat kenyataan yang mengandungi kata-kata yang lucah dan menghina (insulting) terhadap orang Melayu dan agama Islam. Dia dikenakan sebulan penjara. Semasa menjatuhkan hukuman bagi kedua-dua kes itu, pada 7 Oktober 2005, Hakim Kanan Mahkamah Daerah Richard Magnus berkata adalah penting untuk menjatuhkan hukuman yang mencegah (deterrent) supaya perbuatan yang menyakitkan hati (offending) itu boleh ditangani dari awal dan dikawal. Beliau mengingatkan peristiwa rusuhan kaum dalam tahun 1964 di Singapura dan bahawa kenyataan yang tak bertanggungjawab mengenai bangsa dan agama boleh menggugat ketenteraman awam.

Tindakan itu diambil walau pun Perlembagaan Republik Singapura tidak mempunyai peruntukan bahawa Islam adalah agama Republik itu dan juga tidak ada peruntukan yang membolehkan undang-undang dibuat untuk melarang penyebaran doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam, termasuk menyebar agama bukan Islam kepada orang Islam. Tindakan itu diambil atas alasan ia boleh menggugat ketenteraman awam. Kita patut belajar daripada Singapura.

Perkara 11(4) membolehkan Kerajaan Negeri membuat undang-undang untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.” Mengapa mereka menentang undang-undang yang dibuat di bawah peruntukan itu? Bagi saya, hanya ada satu sebab: mereka hendak melakukan apa yang dilarang itu. Perlu juga diambil perhatain bahawa Perkara 11(4) bukan sahaja ditujukan kepada orang bukan Islam. Orang Islam pun boleh dilarang daripada mengembang apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Di bawah peruntukan ini, Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang melarang penyebaran fahaman Qadyani, Shi’ah, Anti-Hadith, ajaran Ayah Pin dan lain-lain.

Kerap berlaku perbahasan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau negara sekular. Orang akademik suka berbahas kerana “keintelktualannya” manakala pemimpin-pemimpin PAS gemarkan perkataan sekular kerana ia modal politik yang mudah dan murah. Saya telah menulis beberapa kertas kerja mengenai perkara ini. Semuanya boleh didapati dalam laman web saya.

Bagi saya, perbahasan sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam hanya menghabiskan masa. Kita patut sudah lama berhenti berbahas mengenainya, sebab ia hanya perbahasan mengenai definisi atau nama yang lebih sesuai untuk bilik tutorial.

Tiga belas tahun dahulu (2002), di “Seminar Memahami Malaysia Sebagai Sebuah Negara Islam” yang diadakan di Shah Alam, antara lain, saya berkata: “Sebelum penyatuan semula Jerman, nama rasmi Jerman Timur adalah “The German Democratic Republic” sedangkan nama Jerman Barat ialah “The Federal Republic of Germany.” “Nama rasmi Korea Utara pula ialah “The Democratic People’s Republic of Korea” manakala nama rasmi Korea Selatan hanya “Republic of Korea”. Adakah Jerman Timur lebih demokratik daripada Jerman Barat? Adakah Korea Utara lebih demokratik daripada Korea Selatan?” Demikian juga, adakah seorang yang bernama “Soleh” semestinya lebih “soleh” daripada seorang yang bernama “Awang Kechik”?”

Perlembagaan Pakistan, selain daripada mempunyai “preamble” (muqaddimah) yang panjang mengenai Islam, menyatakan bahawa nama negara Pakistan ialah “Islamic Republic of Pakistan” dan mengisytiharkan Islam sebagai Agama Negara (“State Religion”) Pakistan. Perlembagaan Iran menyatakan bahawa nama rasmi Iran ialah “Islamic Republic of Iran” dan bentuk kerajaannya ialah “Islamic Republic” (Perkara 2). Adakah dengan adanya peristiharan dan peruntukan-peruntukan seperti itu telah menjadikan Pakistan dan Iran “negara Islam” tidak kira bagaimana ia diperintah dan tidak kira tahap pencapaian maqasid Shari’ahnya?

Sebaliknya Perlembagaan India mempunyai “preamble” yang menyatakan bahawa India adalah sebuah negara “secular” dan, dalam Perlembagaan India, tidak terdapat peruntukan mengenai agama negara itu. Perlembagaan Turki memperuntukkan bahawa Turki adalah sebuah negara “secular” (Perkara 2).

India dibawah pemerintahan Congress Party mungkin lebih sekular. Tetapi, bagaimana India di bawah pemerintahan Bharatiya Janata Party (BJP)? Sedangkan peruntukan Perlembagaan sama sahaja.

Begitu juga dengan Turki. Peruntukan Perlembagaan tidak berubah. Tetapi, bolehkah kita samakan secularism di Turki di bawah pemerintahan Mustafa Kemal Atatürk dengan secularism di bawah pemerintahan pemerintahan Recep Tayyip Erdoğan? Tuan-tuan tentu ingat, di bawah pemerintahan Mustafa Kemal Atatürk azan pun hanya boleh dilaungkan dalam bahasa Turki.

Satu jawatankuasa yang ahli-ahlinya terdiri daripada dua belas orang cendikiawan Islam dari empat benua menghabiskan beberapa tahun cuba mentakrifkan “negara Islam” untuk mengadakan satu formula untuk mengukur kenegara-Islaman sesebuah negara. (Saya tahu sebab saya juga turut terlibat walau pun saya bukan seorang cendikiawan.) Akhirnya mereka meninggalkan usaha itu dan, sebagai ganti, cuba mengukur pencapaian maqasid Syari’ah di sesebuah negara. Anihnya, negara-negara yang menduduki tempat tertinggi adalah negara-negara seperti Sweden, Norway, Belgium dan Jepun. Di kalangan negara-negara OIC, Malaysia adalah salah sebuah negara yang terletak di kedudukan yang paling tinggi.

Itu hanyalah cubaan untuk mengukur. Ia bukan “exact science.” Tetapi, pandangan kasar pun menjurus ke arah itu, tertakluk kepada faktor-faktor yang kita beri perhatian. Demikian juga apabila Sheikh Muhammad Abduh pulang ke Mesir dari lawatannya ke Eropah, bliau berkata, “Di sana saya lihat Islam tanpa Muslim. Di sini saya lihat Muslim tanpa Islam”. Pandangannya itu juga tertakluk kepada faktor-faktor yang menjadi asas ukurannya. Jika beliau menumpukan perhatian kepada orang-orang perempuan yang berpakaian tidak menutup urat, kepada banyaknya kedai-kedai yang menjual arak dan orang yang meminumnya dan kepada bilangan masjid yang sediki atau tiada, tentulah beliau tidak akan berkata demikian. Tetapi, adalah jelas bahawa beliau memberi tumpuan kepada keadaan negara yang aman, tenteram dan selamat, perkhidmatan awam seperti pelajaran, kesihatan, pengangkutan yang baik, taraf kehidupan dan “civic mindedness” yang lebih tinggi, tentulah Eropah (pada masa itu) “lebih Islam” daripada Mesir.

Walau bagaimana pun, itu tidak bererti bahawa peruntukan-peruntukan dalam Perlembagan Persekutuan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan, mengenai larangan penyibaran agama lain di kalangan orang Islam; pemberian kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai pemakaian hukum syarak itu peruntukan yang sesia. Beri peluang kepada orang-orang bukan Islam, perkara pertama yang mereka akan lakukan ialah memansuhkan peruntukan-peruntukan itu dan menggantikannya dengan satu ayat: “Malaysia adalah sebuah negara sekular.” Selepas itu lihatlah apa yang akan berlaku. (Untuk perbincangan selanjutnya sila layari kertas kerja saya bertajuk “Islam dan Tafsiran Keperlembagaan oleh Mahkamah di Malaysia” (19 Februari 2013) dan “Perpaduan Melayu Teras Pebinaan Negara Islam” (16 Disember 2014) kedua-duanya dibentangkan di IKIM dan boleh didapati dalam laman web saya.

Apa yang perlu di ambil perhatian ialah bahawa Perlembagaan Malaysia tidak mengguna perkataan “secular” walau sekali pun. Sebaliknya Perkara 3(1) memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuan; Perkara 3(2) mengesahkan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama di Negeri masing-masing; Perkara 3(3) menjadikan Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di negeri-negeri tak beraja; Perkara 11(4) membolehkan undang-undang dibuat bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam dan Jadual Kesembilan, Senarai II memperuntukkan perkara-perkara yang Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang mengenai agama Islam, termasuk menubuhkan Mahkamah Syariah. Hanya dengan melihat kepada peruntukan Perlembagaan sahaja pun, adakah ia lebih bersesuaian (“consistent”) dengan sebuah negara “beragama” (Islam”) atau sebuah negara “tak beragama”?

Lihat pula apa yang dilakukan. Kerajaan mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan dan perkembangan perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful; untuk melakukan aktiviti-aktiviti keislaman dengan menggunakan dana awam, termasuklah membina Universiti-Universiti dan Kolej Islam (termasuk UIM), menubuh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, mengadakan tilawah Al-Qur’an, Majlis Agama Islam, Masjid-masjid, sekolah-sekolah agama Islam, rancangan agama dalam radio dan tevelisyen milik kerajaan, hinggalah kepada majlis-majlis tahlil dan ceramah agama dalam waktu pejabat, di bangunan pejabat (termasuk Halaqah ini). Semua itu dilakukan atas dasar bahawa “Islam adalah agama bagi Malaysia.”

Dukacita soal “negara Islam” dan “negara sekular” ini telah dimanipulasi sebagitu teruk hinggakan baru-baru ini seorang pemuda Melayu yang berumur 20an yang pergi menyertai ISIS, semasa disoal oleh wartawan, berkata “Saya tidak mahu balik ke Malaysia sebab Malaysia bukan sebuah negara Islam. Tetapi, saya akan balik jika Pembangkang menang Pilihanraya Umum yang akan datang.” Ertinya, jika Pembangkang menang, Malaysia akan menjadi sebuah “negara Islam”! Begitu mudah sekali. Pernahkah dia berfikir, jika Pembangkang menang pilihanraya yang akan datang, adakah PAS, PKR atau DAP yang akan menjadi parti teras seperti UMNO dalam Barisan Nasional semenjak Merdeka? Apakah yang dimaksudkan dengan “negara Islam” itu?

Bagi saya “ustaz-ustaz” yang mempengaruhi pemikiran pemuda-pemuda seperti itu untuk kepetingan diri atau politik parti mereka telah melakukan satu kezaliman kepada pemuda-pemuda itu, umat Islam dan juga Islam.

Regimen Askar Melayu

Perkara 8(4)(f) menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu. Askar Melayu telah ditubuh semenjak tahun 1933, berjuang bermati-matian menentang tentera Jepun di Pasir Panjang, Bukit Chandu dan menentang pengganas Kominis. Semestinya, ia patut dikekalkan.

Tanah Simpanan Melayu

Perkara 89 melindungi Tanah Simpanan Melayu yang mula diwujudkan oleh Pemerintah British dalam tahun 1913 untuk menjaga kepentingan orang Melayu. Orang bukan Melayu tidak dihalang daripada memiliki dan berurusan tanah yang bukan diwartakan sebagai Tanah Simpanan Melayu.

Bahasa Kebangsaan

Perkara 152(1) memperuntukkan:

“(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:

Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan
(selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar,
apa-apa bahasa lain; dan”

Sekali lagi, perhatikan selepas sahaja mengatakan “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu” ia disambung “Degan syarat bahawa…..tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan….. atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan”

Bagaimana realitinya? Realitinya, bukan sahaja Kerajaan tidak menghalang sesiapa daripada mengguna, mengajar atau belajar bahasa lain, Kerajaan membina dan membiayai sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, mengadakan atau membenarkan program-program di televisyen dan radio, dan penggunaan bahasa-bahasa lain seluas-luasnya. Tunjuk kepada saya, sebuah negara yang melakukan semua ini? Di Singapura pun tidak ada sekolah Cina.

Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak

Kita sampai ke Perkara 153 yang kerapkali dirujuk sebagai “Hak keistimewaan orang Melayu”. Tajuknya yang sebenar ialah: Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

“153. (1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) …….Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya ….untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

Untuk maklumat tuan-tuan dan puan-puan, perkataan “dan anak negeri mana-mana Negeri Borneo” dimasukkan selepas perkataan “orang Melayu” oleh Akta A30, seksyen 6, berkuat kuasa dari 10.03.1971, dan perkataan “Negeri-Negeri Borneo” digantikan dengan “Negeri Sabah dan Sarawak” oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27.08.1976. Dalam kata-kata lain, anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak juga mendapat faedah daripada peristiwa 13 Mei.

Perlu diambil perhatian bahawa peruntukan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu telah wujud dalam perjanjian asal dengan Negeri-Negeri Melayu dan diiktiraf dari semasa ke semasa. Pengiktirafan ini telah diteruskan oleh peruntukan fasal 19(1)(d) Perjanjian Persekutuan, 1948 yang menjadikan Pesuruhjaya Tinggi (British) bertanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Perkara 181, jaminan terhadap kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja.

Perkara 181 menjamin kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja. Tetapi, satu kelainan di antara Raja-Raja dengan Raja England dan lain-lain ialah Raja-Raja kita tidak kebal (immune) daripada kuatkuasa undang-undang. Mereka boleh dihadapkan ke Mahamah Khas yang ditubuh di bawah Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai Ketua Hakim Negera, saya pernah mengetuai perbicaraan kes pertama yang berjalan sepenuhnya dan memberi penghakimannya. (Lihat penghakiman nombor satu dalam laman web saya) . Penghakiman itu, yang memerintahkan Raja berkenaan membayar US1 juta kepada sebuah bank dipatuhi sepenuhnya oleh Raja itu dan baginda membayarnya. Ini satu misalan yang boleh dibangga oleh Malaysia: Bekas Raja bagi seluruh Malaysia dan Raja yang sedang bertakhta di sebuah negeri boleh dibicarakan oleh Mahkamah dan baginda mematuhi perintah mahkamah itu. Kes itu adalah misalan terbaik untuk kebebasan mahkamah dan rule of law.

Penutup

Orang mungkin berkata mengapa kita mengugkit-ungkit perkara ini sedangkan kerajaan sedang berusaha untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dan mewujudkan 1Malaysia.

Semenjak Merdeka kita terima apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan kita itu. Kita tidak pernah mengungkit-ungkit berkenaan kerakyatan. Tetapi, dalam tempoh lebih kurang 10 tahun di kebelakangan itu, keadaan telah berubah. Berbangkit daripada perpecahan orang Melayu, orang-orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, telah bersatu di belakang DAP dan, bersama-sama NGOnya telah membuat tuntutan yang bukan-bukan. Sila baca rencana dan ucapan saya, antara lain Bersama-sama Mempertahankan Perlembagaan Malaysia (14 Mac 2014), Perpecahan Melayu Punca Tuntutan Melampau Bukan Melayu (22 April 2014), Mempertahan Perlembagaan Sebagai Asas Perpaduan Negara (21 Julai 2014), Demi Agama, Bangsa dan Negara Melayu Perlu Bersatu (23 November 2014), Mengapa UMNO dan PAS Patut berkerjasama (15 Februari 2015) dan lain-lain, semuanya boleh didapati dalam laman web saya.

Memanglah saya telah dituduh “rasis”, “extremists” dan sebagainya oleh DAP, MCA, Gerakan dan lain-lain. Tetapi, sila baca rencana Reply to MCA’s Criticism of Tun Hamid oleh Helen Ang, seorang yang saya tidak kenali. Juga, saya dimaklumkan dua peristiwa. Pertama, seorang Cina yang membaca rencana saya Perpecahan Melayu Punca Tuntutan Melampau Bukan Melayu (22 April 2014), berkata kepada seorang kawan saya, “Sebenarnya apa yang Tun cakap itu betul”.  Seorang lagi berkata kepada seorang kawan saya yang lain, “Kita berani sebab PAS sokong kita. Kalau PAS tak sokong kita pun tak berani.”. Fikirlah.

Kita mesti sedar bahawa 1Malaysia telah diputarbelitkan menjadi “Malaysian Malaysia” yang diutarakan oleh Lee Kuan Yu dalam tahun 1964-65 yang berakhir dengan Singapura keluar daipada Malaysia dan DAP ditubuh untuk mengganti PAP di Malaysia. Bagi mereka, jika hendak wujudkan perpaduan, mestilah ada kesamarataan dan tidak ada diskriminisi dalam semua hal. Dalam kata-kata lain hapuskan peruntukan-peruntukan yang memihak kepada orang Melayu tetapi kekalkan peruntukan yang memihak kepada mereka!

Cubaan ini telah dibuat melalui Rang Undang-Undang Harmoni baru-baru ini. Nasib baik orang Melayu sempat sedar dan bangun menentangnya hingga dapat mempengaruhi Persidangan Agung UMNO 2004. Orang Melayu dalam pakatan pembangkang masih khayal dengan angan-angan menawan Putrajaya tanpa memikirkan akibat bersekongkol dengan DAP.

Kita kata, jangan jadikan perpaduan sebagai helah untuk mengambil hak orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak atas nama kesamarataan. Kita kata, mari kita hormati hak masing-masing yang telah sama-sama di persetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan. Kita kata, mari kita bina perpaduan dan Malaysia atas asas itu seperti yang telah kita lakukan semenjak Merdeka. Rasiskah kita?

Sekian. Terima kasih.