RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN PAS: APA TUJUANNYA?

RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN PAS: APA TUJUANNYA?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Saya tidak kisah mengenai aspek politik berkaitan dengan rang undang-undang persendirian PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dibentangkan oleh Presidennya di Parlimen. Ahli-ahli politik mempunyai agenda mereka sendiri dalam mencadangkan, menyokong atau menentang sesuatu rang undang-undang yang mungkin wajar di sisi undang-undang, atau tidak. Apa yang penting bagi saya ialah bahawa ahli-ahli politik dan juga orang ramai, perlu tahu mengenainya dan kesannya dengan betul, jika diluluskan. Jika tidak, ahli-ahli politik akan membuat keputusan sama ada untuk mencadangkan, menyokong atau menentangnya berdasarkan persepsi yang salah dan seterusnya akan mengelirukan orang ramai.

Mari kita mula dari titik permulaan: Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan memperuntukkan bahawa undang-undang jenayah adalah perkara persekutuan, yang bererti bahawa ia terletak dalam bidang kuasa Parlimen persekutuan untuk membuat undang-undang mengenainya. Apakah “undang-undang jenayah” tidak ditakrifkan. Walau bagaimanapun, untuk memudahkan perbincangan dalam artikel ringkas ini, kesalahan yang terkandung dalam Kanun Keseksaan semestinyalah “undang-undang jenayah”. Jika tidak, apa lagi? Perhatikan bahawa Kanun Keseksaan telah wujud sejak tahun 1936 dan berkuat kuasa pada masa Perlembagaan digubal. Oleh itu kesalahan bunuh, rogol, liwat dengan apa jua nama ia dipanggil, mencuri, merompak, menyebabkan kecederaan, malah segala kesalahan yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan dan undang-undang persekutuan yang lain, adalah “undang-undang jenayah”. Undang-undang itu terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam, jika tidak, ia adalah tidak keperlembagaan (unconstitutional) atas alasan diskriminasi kerana bertentangan dengan Perkara 8. Undang-undang jenayah ditadbir oleh mahkamah sivil. Hanya Parlimen persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenainya.

Perlembagaan juga membuat peruntukan yang memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang berkenaan dengan:

“……pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;…..”

Perhatikan syarat yang dinyatakan:

1. Kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam,

2. Terhadap perintah agama itu

3. Kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Terdapat satu syarat lagi: ia tidak boleh bertentangan dengan peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang menghadkan jenis dan had hukuman yang undang-undang Negeri boleh membuatnya.

Jadi, Dewan Undangan Negeri hanya boleh membuat undang-undang yang memenuhi semua empat syarat itu. Jika tidak, ia adalah tidak keperlembagaan.

Mari kita merujuk kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan). Adalah naif untuk tidak mengambil perhatian bahawa selama beberapa dekad PAS telah memainkan isu pelaksanaan hudud sebagai objektif utama, jika bukan satu-satunya objektifnya.

Seawal tahun 1993, Kerajaan PAS Negeri Kelantan telah cuba melaksanakan hudud dengan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan). Saya telah berkata dengan tegas bahawa undang-undang itu tidak keperlembagaan kerana ia melanggar syarat yang dinyatakan di atas. PAS seolah-olah menerima pandangan saya dan mula bercakap mengenai mengemukakan rang undang-undang persendirian di Parlimen persekutuan di bawah Perkara 76A(1). Kia menyangka bahawa tujuan PAS ialah untuk mendapatkan kebenaran daripada Parlimen persekutuan bagi Dewan Undangan Negeri Kelantan membuat undang-undang mengenai perkara-perkara (kesalahan) yang terletak di bawah Senarai Persekutuan. Tetapi, rupa-rupanya tidak.

Sebaliknya, PAS sedang berusaha untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk meningkatkan hukuman yang Dewan Undangan Negeri boleh peruntukkan dalam undang-undang Negeri yang diuatnya.

Sekarang, mari kita lihat pindaan yang dicadangkan itu. Malangnya saya tidak berjaya mendapatkan rang undang-undang yang dicadangkan itu. Apa yang saya berjaya dapat daripada Hansard adalah usul pindaan yang dicadangkan itu. Pindaan itu bertujuan untuk menggantikan seksyen 2 Akta berkenaan dengan seksyen 2 dan 2A baru.

Seksyen 2 baru memperuntukkan:

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.”

Seksyen 2A baru memperuntukkan:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”

Jelas sekali bahawa seksyen 2 baru itu tidak memperuntukkan apa-apa perkara baru. Ia hanya mengulangi undang-undang yang sedia ada. Walau bagaimanapun, bagi Menteri-Menteri dan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengatakan bahawa rang undang-undang itu hanya untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak ada kena mengena dengan agenda hudud PAS, biarlah saya mengingatkan mereka bahawa mereka akan membuat satu kesilapan besar lagi. Pemimpin-pemimpin UMNO telah tersilap menyokong Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan kerana takut dituduh “kafir” kerana “menentang hukum Allah”. Sekiranya mereka membaca karya-karya saya yang telah saya naikmuatkan di laman web saya, mereka boleh hanya berkata, “Kami tidak dapat menyokong Rang Undang-Undang itu (bukan menentang hudud atau hukum Allah) kerana ia (Rang Undang-Undang itu) bercabggah dengan perlembagaan (tidak keperlembagaan).”

Yang anihnya ialah kedua-dua PAS dan UMNO sama-sama telah salah dinasihatkan (wrongly advised) mengenai undang-undang. PAS telah membuat satu kesilapan yang berlangsung selama 20 tahun (dan berterusan). Kemudian pemimpin-pemimpinnya tersedar selepas ahli Parlimen PAS menghadiri ceramah saya mengenai hudud. Mereka nampak kesilapan mereka dan cuba mengatasinya. Mereka hampir melakukannya dengan betul tetapi tersilap lagi. Kini mereka cuba meneruskan perjalanan mereka, tanpa berkata demikian, dan pemimpin-pemimpin UMNO seolah-olah berminat untuk menyertai kafilah mereka!

Jangan salah faham, saya tidak kisah jika pemimpin-pemimpin UMNO, menyedari apa yang mereka lakukan, berkata: “UMNO tidak membantah usaha PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan” atau “UMNO akan menyokong langkah PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan.” Itu adalah prerogatif UMNO. Tetapi, saya tidak suka melihat pemimpin UMNO membuat kesilapan lagi, sama ada kerana mereka tidak memahami isu ini atau kerana mereka telah salah dinasihatkan.

Kita lihat pula seksyen 2A baru yang dicadangkan itu. Perbezaan yang paling ketara antara pindaan yang dicadangkan dengan seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa undang-undang yang ada sekarang mengandungi proviso (syarat) seperti berikut:

“Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”
Dalam erti kata lain, kesan memansuhkan proviso dalam seksyen 2 yang ada sekarang adalah bahawa tidak ada lagi sekatan mengenai jenis dan had hukuman yang Dewan Undangan Negeri boleh peruntukkan kepada Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah boleh diberi kuasa untuk mengenakan semua hukuman yang diperuntukkan oleh Syariah (dan fiqh) termasuk hukuman hudud dan qisas kecuali hukuman mati. Itulah kesannya. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu faham sebelum membuat keputusan mereka untuk menyokong pindaan yang dicadangkan itu, atau sebaliknya.

Memanglah, selepas pindaan itu berkuat kuasa pun, Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan hukuman-hukuman itu bagi kesalahan-kesalahan di bawah Senarai Negeri. Ini kerana, kesalahan-kesalahan yang tidak terletak di bawah Senarai Negeri adalah perkara-perkara persekutuan dan Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang mengenainya dan kes-kes itu tidak akan dibawa ke Mahkamah Syariah.

Demikianlah undang-undannya. Tetapi, adakah Kerajaan PAS Kelantan akan menghormati bidang kuasa persekutuan? Dewan Undangan Negeri Kelantan, sama ada kerana kejahilan, salah dinasihatkan atau tidak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan, telah memilih untuk tidak mengendahkannya dua kali, sekali pada tahun 1993 apabila ia meluluskan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dan sekali lagi pada 2015. Adakah ia akan melakukannya sekali lagi? Jika ia melakukannya, ia berbuat demikian atas risiko sendiri: undang-undang itu tidak keperlembagaan. Tetapi ahli-ahli UMNO di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan akan mengulangi kesilapan yang sama yang mereka telah lakukan dalam tahun 2015 jika mereka menyokong percubaan baru PAS untuk meluluskan undang-undang yang sama sekali lagi, setelah dua kali sebelumnya tidak mengikut perlembagaan.

Katakanlah PAS berjaya mendapat rang undang-undang persendirian itu diluluskan oleh Parlimen, adakah PAS bebas untuk melaksanakan Enakment Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015? Jawapannya ialah “Tidak”. Undang-undang itu tidak keperlembagaan apabila ia dibuat dan ia kekal tidak keperlembagaan selama-lamanya. Seorang bayi yang mati semasa dilahirkan tidak boleh dihidupkan semula.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) dan 2015 tidak keperlembagaan atas sebab-sebab berikut:

1. Dewan Undangan Negeri Kelantan telah menceroboh ke dalam bidang kuasa Parlimen persekutuan dengan membuat undang-undang berkenaan “udang-undang jenayah” yang berada di bawah bidang kuasa parlimen Persekutuan.

2. Enakmen itu melanggar peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Rang undang-undang persendirian itu bertujuan untuk membuang sekatan kedua. Namun begitu, ia tidak boleh dilakukan secara retrospektif untuk mengesahkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 Kelantan kerana, pada masa Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang itu, ia tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Di satu ceramah saya kepada peserta-peserta yang berpendidikan Syariah, termasuk dari Kelantan, saya mengajukan soalan berikut kepada mereka:

Menurut mazhab Shafie, seorang wanita hanya boleh berkahwin dengan persetujuan wali. Katakanlah seorang Qadhi mengahwinkan seorang perempuan tanpa mendapat persetujuan walinya terlebih dahulu dan kemudian mencari wali untuk mendapatkan persetujuannya, adakah perkahwinan itu sah apabila wali (kemudiannya) memberikan persetujuannya? Kesemua mereka ketawa. Mereka memahaminya.
Sekatan yang lebih serius, yang lebih sukar untuk diatasi dan tiada usaha dibuat untuk mengatasinya ialah sekatan keperlembagaan yang tersebut di atas.

Jadi, jika rang undang-undang pindaan yang dicadangkan itu diluluskan oleh Parlimen persekutuan, apa yang PAS boleh lakukan adalah untuk mendapatkan Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan undang-undang baru yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang bukan “undang-undang jenayah” (yang terletak di bawah bidang kuasa Parlimen persekutuan untuk membuat undang-undang), sebagai contoh, zina, menuduh seorang wanita berzina, murtad, meminum minuman yang memabukkan dan sebagainya. Kesalahan lain yang mana terdapat peruntukan di dalam undang-undang persekutuan adalah perkara persekutuan dan di luar bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang mengenainya.

Jadi, PAS harus ingat bahawa walaupun rang undang-undang persendirian itu diluluskan, Dewan Undangan Negeri Kelantan hanya boleh membuat undang-undang (yang baru) berkenaan dengan beberapa kesalahan yang dinyatakan di atas dan memperuntukkan hukuman hudud baginya, selain daripada hukuman mati. Jadi, hukuman rejam dan salib tidak boleh diperuntukkan. Kita tertanya-tanya mengapa PAS bersedia untuk membuat pengecualian berkenaan dengan dua hukuman itu. Adakah mereka juga merasakan bahawa hukuman-hukuman itu sudah “tidak sesuai” lagi?

Semua peruntukan lain dalam Enakmen Kanun Jenayah Syari’ah (II) (1993) 2015 mengenai hudud, qisas dan ta’zir berada di luar bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang. Kesalahan-kesalahan itu adalah “undang-undang jenayah”, perkara persekutuan.

Undang-undang baru yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, jika dibuat, akan terpakai hanya kepada orang-orang Islam di Kelantan dan akan ditadbir oleh Mahkamah Syariah.

Pemimpin-pemimpin UMNO perlu memahami semua ini. Jika tidak, mereka mungkin akan membuat kesilapan lagi.

Bagaimana pula dengan bantahan yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin bukan Islam daripada parti-parti komponen Barisan Nasional? Sekali lagi, saya tidak kisah mengenai politik mereka. Jika mereka berfikir untuk kepentingan politik parti mereka untuk membantah, terserahlah kepada mereka untuk membantah. Tetapi, apabila mereka mula memberikan sebab kerana “ia akan menguntungkan orang Islam”, saya perlu mejawab. Pertama, sekali lagi, mereka memikirkan soal “untung rugi” atau “takut rugi/kalah” (kiasu). Mereka takut bahawa orang Islam akan mendapat manfaat (untung) dan oleh itu, mereka akan rugi. Tetapi bagaimana? Undang-undang itu, jika berkuat kuasa sekalipun, hanya akan terpakai kepada orang Islam. Jadi, jika seorang bukan Islam melakukan zina dengan seorang Islam, orang Islam itu akan dihukum mengikut undang-undang itu dan orang bukan Islam bebas. Siapa yang “untung”?

(Untuk mengetahui lebiht lanjut, sila lihat kertas / ceramah saya mengenai hudud, terutamanya saya keynote address “Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam (hudud, qisas, ta’zir) di Malaysia – Prospek dan Cabaran disampaikan di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 1 April 2015 yang boleh didapati di laman web saya.)

2 June 2016

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me