SIAPA PATUT MEMIMPIN UMNO UNTUK MENGHADAPI PRU 15

SIAPA PATUT MEMIMPIN UMNO UNTUK MENGHADAPI PRU 15

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Sebelum PRU 14, betul atau tidak, saya berpendapat DS Najib patut berundur daripada menjadi Presiden UMNO. (Tetapi, masalahnya, siapa hendak menggantinya?) Ini semata-mata berdasarkan persepsi, bukan hakiki. Pada masa itu, saya fikir, jika beliau berbuat demikian, BN mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang.

Itu tidak berlaku. Apa yang berlaku kita semua tahu, sekarang. Ia sudah menjadi takdir dan tidak boleh dirombak semula. Suka atau tidak, kita terpaksa menerimanya. Apa yang kita boleh lakukan adalah belajar dari kesilapan dan mencari hikmah di dalam musibah.

Itulah yang saya cuba lakukan selepas PRU 14, melalui rencana-rencana saya. Saya berkata, kekalahan BN memberi peluang kepada UMNO untuk membersihkan diri daripada politik wang. Saya menyuarakan, pemimpin-pemimpin UMNO patutlah bermuhasabah diri. Mereka patut bertanya diri mereka sendiri adakah mereka menjadi liabiliti kepada UMNO? Mereka patut menjawabnya dengan jujur. Jika “Ya”, mereka patut berundur daripada memegang jawatan dalam parti.

Saya mencadangkan supaya UMNO dan PAS bekerjasama (ini saya lakukan semenjak 2014) untuk mengelak perpecahan undi Melayu/Islam yang menyebabkan kemenangan kepada PH.

Semua itu juga tidak berlaku. Apabila masa depan UMNO sudah nampak gelap, bekas-bekas pemimpin tinggi UMNO dan menteri-menteri yang telah kaya raya kerana UMNO, termasuk yang menang dalam PRU 14, melompat keluar dari UMNO sebagai transit untuk menyertai Bersatu pimpinan Tun Dr Mahathir. Pada masa itu, UMNO memang kelihatan tidak bermaya lagi.

Maka, Tun Dr Mahathir yang mulanya mahu UMNO dan BN kalah untuk menjatuhkan DS Najib, mencanang di seluruh dunia bahawa UMNO hanya menunggu saat kematiannya. Saya percaya, beliau nampak pusaka yang boleh diwarisi oleh partinya yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen dan DUN UMNO yang akan menguatkan kedudukan partinya dalam Pakatan Harapan, ahli-ahli UMNO yang akan menjadi ahli Bersatu, infratructure UMNO yang siap untuk digunakan, dan, jangan lupa, aset UMNO. Beliau telah berjaya melakukannya sekali. Mengulanginya tentu lebih mudah.

Pada masa yang sama, akaun-akaun bank UMNO dibekukan (Saya tidak kata patut atau tidak sebab saya tidak tahu faktanya). Apa lagi yang tinggal? Dalam keadaan itu, ada bekas-bekas pemimpin kanan yang masih berada dalam UMNO yang nampak sudah goyang dan menunggu masa dan peluang untuk melompat keluar. Di peringkat bawah dan akar umbi juga, penghijrahan mula berlaku. UMNO sudah tidak berkuasa dan mereka tidak boleh mengharapkan sesuatu habuan dengan terus menyokong UMNO. Maka, lebih baik mereka menyokong PH.

Tetapi, dalam keadaan tanpa harapan itu pun, ada beberapa orang pemimpin kanan yang, nampaknya, sanggup tenggelam bersama UMNO. Pada masa itu, setelah dihadapkan ke mahkamah, DS Najib telah melakukan sesuatu yang terhormat, jika dibandingkan dengan Lim Guan Eng, ia itu meletakkan jawatan Presiden UMNO. Saya menerima berita itu dengan rasa lega kerana ia akan memudahkan pemulihan UMNO. Malah, pada masa itu, untuk memulihkan UMNO, saya fikir DS Najib patut menjauhkan diri dari UMNO dan UMNO menjauhkan diri daripada DS Najib. Dalam hal ini, apa yang berlaku kemudiannya, membuktikan pandangan saya itu silap.

Pengunduran diri DS Najib itu menyebabkan DS Zahid memangku jawatan Presiden. Terus terang, juga berdasarkan persepsi, saya tidak senang dengan perkembangan itu. Tiba pemilihan pemimpin-pemimpin UMNO. Saya fikir, itu adalah satu peluang untuk menggantikan DS Zahid.

Saya mengharapkan Tengku Razaleigh akan bertanding dan seterusnya menang kerana saya nampak, beliau sahajalah yang mampu berhadapan dengan Tun Dr Mahathir, selama Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Selepas itu beliau juga patut berundur. Apabila beliau kalah, saya kecewa. UMNO tidak akan berubah. Tetapi, membaca laporan ucapan-ucapan beliau selepas itu, saya lebih suka beliau kalah.

Kemudian DS Zahid pula dihadapkan ke mahkamah. (Sekali lagi saya tidak katakan patut atau tidak kerana saya tidak tahu faktanya.) Saya berharap, demi UMNO, beliau juga akan mengundur diri, seperti DS Najib. Sekali lagi ini tidak berlaku. Saya harapkan ahli-ahli UMNO “menasihatkannya” supaya berundur. Apabila sayap pemudanya yang diketuai oleh Dato’ Dr. Asyraf Wajdi, dengan sebulat suara, meluluskam resolusi meminta DS Zahid berehat, saya gembira. Tetapi, resolusi sayap pemuda itu dikritik oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Saya kecewa lagi: UMNO tidak akan berubah, tidak akan pulih dan akan terkubur.

Apabila kemudiannya DS Zahid menyerahkan tugasnya kepada timbalannya DSU Mohamad Hasan, saya gembira semula.

Saya kurang senang apabila melihat DS Najib turut berkempen di PRK Sungai Kandis kerana saya berpendapat ia akan memberi kesan negatif. Tetapi, apa yang berlaku di PRK Cameron Highlands selepas itu, adalah berlainan. Terima kasih kepada apa yang dilakukan dan gagal dilakukan PH, orang Melayu, termasuk anak-anak muda, mula kecewa dan marah kepada PH dan kembali semula kepada UMNO, sekali gus DS Najib menjadi lebih popular daripada masa beliau menjadi Perdana Menteri.

Tsunami patah balik orang Melayu ini lebih jelas di PRK Semenyih (dan, kemudiannya, disahkan di Rantau.) Maka, pemimpin-pemimpin UMNO yang sebelumnya sudah berfikir untuk melompat keluar pun, turun berkempen semula.

UMNO telah bangkit semula. UMNO akan bersama-sama dengan PAS dalam menghadapi PH dan PRU 15. Untuk menguatkan lagi perpaduan Melayu, ahli-ahli PERKASA lebih baik menyertai atau menyokong UMNO atau PAS. Saya masih berpendapat PERKASA tidak sepatutnya menjadi sebuah parti politik. Ia hanya akan memecahkan lagi perpaduan orang Melayu dan melemahkan kuasa politik orang Melayu.

MCA yang telah meluluskan resolusi menuntut supaya BN dibubarkan, mendekati UMNO semula dan bersama-sama turun berkempen. Saya telah katakan dalam ucapan dan rencana saya semenjak 2014, bahawa pertimbangan orang (dan parti orang) Cina hanya untung-rugi. Jika mereka nampak akan menguntungkan mereka, mereka datang, jika merugikan, mereka lari. Maka parti orang Melayu perlu memperkuatkan dirinya dulu. Jika kita kuat, mereka akan datang, seperti selepas Merdeka dulu.

MIC yang sudah bercakap hendak keluar BN pun menghimpit semula. Kemana ia hendak pergi? Sepanjang sejarah calonnya menang kerana undi Melayu.

Sekarang, MCA dan MIC menumpang pentas UMNO dan PAS untuk berkempen kepada, hampir kesemuanya, orang Melayu. Itu elok untuk menunjukkan solidariti, tetapi tidak perlu untuk mendapatkan undi Melayu.

Lepas ini, seperti dulu, mereka perlu berkempen kepada masyarakat mereka masing-masing dengan menggunakan Bahasa Cina dan Tamil. Dengan cara itu baru kita tahu berapa ramai penyokong mereka sebenar.

MyPPP yang lebih awal lari, sudah tidak kedengaran langsung. Itu satu pengajaran kepada UMNO: jangan terlalu mudah menerima parti-parti opportunist seperti itu. Berapa pengundi ia boleh bawa, itu pun di kawasan bandar yang dikuasai DAP?

Demikian juga Gerakan. Setelah semua calonnya kalah, ia bercakap besar akan keluar dari BN. Sekarang ia sudah tidak kedengaran lagi, mungkin sudah tidak bergerak lagi.

Untuk menghadapi PRU 15, UMNO perlu tampil ke hadapan dengan wajah baru dan sifat-sifat baru. Ia perlu membersihkan diri daripada politik wang, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Untuk itu, pemimpin-pemimpin utamanya hendaklah orang-orang yang berintegriti.

Sekarang saya nampak tiga orang yang lebih menyerlah daripada yang lainnya. (Saya tidak kata tidak ada orang lain, cuma saya kurang tahu mereka. Bilangan mereka boleh ditambah). Mereka adalah DSU Mohamad Hasan, Dato’ Ismail Sobri dan Dato’ Asyraf Wajdi.

Bagaimana dengan DS Najib dan DS Zahid? Melainkan mereka telah dibebaskan oleh mahkamah daripada semua pertuduhan, adalah lebih baik bagi imej UMNO jika mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO.

Malah, pada pandangan saya DS Najib lebih baik tidak mencuba untuk menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri semula. Sehingga beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan, jika itu berlaku, persepsi negatif terhadapnya, betul atau tidak, adalah terlalu tebal untuk dilupai dalam sekejap masa. Juga, adalah tidak elok bagi imej Malaysia jika Perdana Menterinya berulang alik ke mahkamah, kerana menghadapi tuduhan jenayah. Jangan ikut teladan Lim Guan Eng.

Populariti DS Najib sekarang adalah kerana orang kecewa dan meluat dengan PH dan menteri-menterinya, kasihan kepadanya dan mereka merasakan bahawa kehidupan mereka lebih baik semasa DS Najib menjadi Perdana Menteri. Biar apa pun, tuduhan-tuduhan terhadapnya di mahkamah masih ada dan, integritinya dan persepsi negatif terhadapnya masih belum pulih. Lagi pula, saya percaya terdapat ramai orang yang sanggup menerima balik BN dengan syarat DS Najib bukan Perdana Menterinya.

DS Najib tidak dapat lari daripada tanggungjawab sebagai pemimpin UMNO yang menyebabkan kerajaan BN tumbang buat pertama kalinya dalam sejarah. Cara untuk memperbaiki imejnya bukanlah dengan berusaha untuk menjadi Perdana Menteri semula yang berkemungkinan menyebabkan BN kalah lagi dalam PRU 15. Malah, saya berpendapat, BN tidak akan menang, jika ia menampilkan DS Najib semula sebagai bakal Perdana Menterinya. Saya masih berpendapat, secara rasmi, UMNO perlu menjauhkan diri dari DS Najib. DS Najib tak usahlah bertanding. Beliau boleh berkempen untuk UNMO/BN atas sifat peribadinya, seperti sekarang.

Bagaimana dengan DS Zahid? Apa yang saya katakan mengenai DS Najib terpakai kepada beliau. Beliau eloklah mengikut teladan DS Najib dengan meletak jawatan sebagai Presiden UMNO. Berhentilah cakap-cakap untuk menjalankan tugas sebagai Presiden semula. Jika beliau berbuat demikian, populariti UMNO yang mula meningkat itu akan merudum semula. Sudah tiba masanya beliau berhenti dari politilk, atau hanya menjadi ahli biasa. Beliau patut bersyukur beliau telah naik setinggi itu. Beliau bukanlah material Perdana Menteri.

Perbincangan ini adalah atas asas kedua-dua mereka belum atau tidak didapati bersalah dan dihukum penjara. Jika mereka didapati bersalah dan dipenjarakan, keperluan perbincangan ini tidak timbul. Tetapi, mereka tidak bersalah sehingga mereka disabitkan.

Maka, saya memilih ketiga-tiga pemimpin itu untuk memimpin UMNO bagi menghadapi PRU 15. Jika BN bersama-sama PAS dan parti-parti lain, dapat menubuh kerajaan Persekutuan, tanpa teragak-agak, saya memilih DSU Mohamad Hasan sebagai calon Perdana Menteri. Beliau mempunyai material Perdana Menteri. Noktah,

Sebagai orang nombor dua dalam parti, saya memilih Dato’ Ismail Sobri. Beliau menunjukkan kematangan sebagai seorang ketua pembangkang.

Saya juga memilih Dato’ Asyraf Wajdi sebagai salah seorang pemimpin kanan UMNO. Dulu Dato’ Asyraf Wajdi bermasalah kerana beliau datang dari Kelantan dan kalah dalam pilihanraya Parlimen. Sekarang DS Mustapa Mohamed telah memberi laluan kepada beliau untuk bertanding di Jeli. Dengan sokongan PAS, saya tidak nampak apa-apa halangan untuk beliau menang. Mungkin DS Mustapa Mohamed menyesal.

16 April 2019

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

138 visits