HUKUM BEKERJA DI BANK KONVENSIONAL

HUKUM BEKERJA DI BANK KONVENSIONAL
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya merujuk kepada pendapat yang diberi oleh Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hukum bekerja di bank konvensional. Soalan-soalan berikut telah dikemukakan kepada beliau: Apakah hukum bekerja di bank konvensional? Adakah ia dibenarkan?

Ringkasan jawapan beliau adalah seperti berikut:

“Pada asasnya, jika pekerjaan itu tidak melibatkan riba, maka ia diharuskan. Walau bagaimanapun, bank konvensional merupakan institusi perbankan yang terlibat dengan riba. Oleh yang demikian, adalah baik untuk berusaha sebaik mungkin mencari pekerjaan yang lebih diyakini. Hal ini tentunya akan berbeza antara setiap individu dengan individu yang lain serta kesusahan yang dihadapi untuk mendapat pekerjaan lain.

Oleh itu, para pekerja tidak perlu tergesa-gesa berhenti daripada pekerjaan sedia ada sehinggalah mendapat pekerjaan lain yang sesuai. Di negara kita, hasil daripada sokongan dan bantuan kerajaan, perbankan Islam telah berkembang dengan pesat dan menjadi rujukan di seluruh dunia yang boleh dijadikan alternatif.”
Jawapan lengkap beliau mengandungi petikan daripada Al-Quran dan Hadith bagi menyokong pendapat beliau itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (Datuk Mohd Naim) diminta mengulas mengenai jawapan Mufti tersebut. Beliau menjawab, “Kita hormati pandangan tersebut tetapi apabila mahu keluar kenyataan perlu berhati-hati. Kedua apabila keluar sesuatu pandangan perlu habis dan jangan dibiarkan tergantung,” katanya.

Dapat diperhatikan daripada jawapan Mufti itu bahawa beliau mengelak menggunakan perkataan “haram”, malah perkataan “tidak harus” pun tidak digunanya. Beliau membiarkan kita membuat kesimpulan sendiri daripada dua premisnya:

1. Jika pekerjaan itu tidak melibatkan riba, maka ia diharuskan;

2. Walau bagaimanapun, bank konvensional merupakan institusi perbankan yang terlibat dengan riba;

Kesimpulan: tidak harus.

Jawapan ini menimbulkan beberapa persoalan: adakah oleh sebab bank konvensional terlibat dengan riba, maka setiap orang yang bekerja di situ, tidak kira apa kerja yang dilakukannya, juga terlibat dengan riba? Atau, adakah jika kerja yang dilakukannya tidak terlibat dengan riba secara terus, seperti bekerja di bahagian kejuruteraan dan tenaga manusia, dia tidak terlibat dengan riba? Bagaimana jika seorang pegawai itu melakukan kerja konvensional dan Islamik? Bagaimana jika bekerja di bahagian Islamik bank tersebut? Banyak lagi misalan yang boleh diberi.

Selepas dua ayat pertama yang merupakan jawapan mengenai hukum, beliau memberi nasihat yang diperturunkan di atas. Tidak pula diberi alasan bagi menyokong kelonggaran yang diberinya kepada pekerja-pekerja itu untuk berhenti bekerja di situ.

Cara beliau menjawab itu menunjukkan bahawa soalan itu tidak semudah dan seumum yang dikemukakan kepadanya. Saya tidak tahu sama ada beliau pernah menjadi seorang penasihat syariah sebuah bank Islam atau bank konvensional yang juga menawarkan perkhidmatan perbankan Islam atau sedalam mana pengetahuan beliau mengenai perbankan Islam.

Walau bagaimanapun, daripada jawapan beliau itu, kita dapat perhatikan bahawa beliau menyedari complexity isu itu dalam keadaan sekarang dan beliau agak lembut dengan nasihatnya kepada pekerja-pekerja itu. Namun demikian, ia meninggalkan mereka dalam keadaaan takut terus melakukan dosa, memakan wang haram dan menyara anak isteri (atau suami) dan ibu bapa, malah melakukan ibadat seperti Haji dan Umrah dengan wang dari pekerjaan yang tidak harus.

Datuk Mohd Naim pernah menjadi Penasihat Syariah bank atau terlibat dalam perbankan Islam. Beliau sedar akan complexity isu ini. Maka, beliau menasihatkan Mufti berkenaan supaya berhati-hati dan pendapatnya janganlah tergantung. Malangnya, beliau tidak menyatakan dengan jelas apa maksudnya. Mungkin kerana beliau ditanya secara lisan dan menjawab dengan spontan. Sebab itulah saya lebih suka memberi pendapat saya dengan cara bertulis kerana kita boleh berfikir dengan lebih mendalam apabila menulis.

Soalan saya, dalam menjawab soalan ini, patutkah kita hanya melihat keadaan hari ini. Tidakkah sepatutnya kita juga melihat sedikit ke belakang semasa tidak ada perbankan Islam hinggalah sekarang?

Kita tidak perlu pergi terlalu jauh. Pada tahun 1950-an, semasa saya di sekolah rendah, saya hanya memandang bank dari jauh kerana ia adalah “tempat berdosa” dan tempat orang Cina. Itu persepsi saya pada masa itu. Malah pada tahun 1960-an semasa saya seorang pelajar Tingkatan Enam di St. Xavier’s Institution, Pulau Pinang, berjalan di sepanjang kawasan perbankan di Pulau Pinang, saya tidak melihat orang Melayu/Islam bekerja di bank. Sudah tentu, selain bank sebagai “tempat berdosa”, orang Melayu tidak mempunyai kelayakan walaupun untuk menjadi kerani kerana mereka tidak berpendidikan Inggeris sebab mereka tinggal di kawasan luar bandar di mana tidak ada sekolah Inggeris.

Pada tahun 1969, apabila saya menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan terpaksa membuka akaun bank untuk menerima gaji, saya pergi ke bank yang ada dan terdekat, sebuah bank konvensional. Kerana keperluan dan tanpa sebarang alternatif, saya membuka akaun di bank konvensional itu. Sepanjang saya mendapat perkhidmatan daripadanya, saya hampir lupa isu riba.

Apabila saya hendak membeli kereta dan rumah, kerana tiada pilihan, saya mengambil pinjaman kerajaan yang berasaskan riba.

Biar apa pun hukumnya, saya dapat memiliki sebuah kereta untuk pergi kerja dan sebuah rumah untuk keluarga saya tinggal. Ayah saya, seorang yang warak dan abang-abang saya yang mengaji pondok tidak bertanya sama ada saya terlibat dengan riba.

Bandingkan dengan seorang penyewa rumah saya yang menyewa rumah saya itu lebih kurang dua puluh tahun kemudian. Beliau sangat berterima kasih kepada saya kerana sudi menyewa rumah lima bilik tidur itu kepada beliau dengan sewaan yang beliau mampu. Orang lain tidak mahu menyewa kepadanya kerana beliau ramai anak, sembilan orang kesemuanya. Rumah kecil tidak boleh mengisi semua ahli keluarganya. Beliau seorang pegawai kerajaan. Saya bertanya mengapa beliau tidak membeli rumah dengan pinjaman kerajaan. Beliau menjawab beliau tidak mahu terlibat dengan riba.

Saya terfikir jika kesemua orang Melayu/Islam di Malaysia ini berfikiran seperti beliau, maka hampir semua rumah di Malaysia ini akan dimiliki orang bukan Islam dan orang Islam hanya akan menjadi penyewa. Mereka tidak akan berupaya membeli rumah kerana harga rumah dan sewaan yang dibayarnya semakin naik. Saya katakan, menyedari keadaan itu, tuan-tuan rumah bukan Islam itu akan terus menaikkan sewaan supaya orang Islam tidak berupaya membeli rumah dan terus menjadi penyewa mereka. Apa solution yang dicadangkan oleh ulama-ulama kita untuk mengatasi masalah itu? (Ini belum lagi menyebut, tanpa pinjaman beriba, orang Islam akan (malah sudah pun) ketinggalan dalam bidang ekonomi.)

Kemudian Kerajaan mula memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu/Islam untuk mempelajari mata pelajaran perakaunan, ekonomi dan seumpamanya. Pelajar-pelajar kita menyambutnya dengan gembira. Peliknya, pelajar-pelajar itu mahupun ibu bapa mereka, walaupun mereka sangat konservatif dalam pandangan agama mereka, tidak pernah membantah. Saya juga tidak mendengar sesiapa yang mempersoalkan di mana pelajar-pelajar tersebut akan bekerja selepas tamat pengajian mereka. Mungkin, kebanyakan mereka tidak mengetahui subjek yang dipelajari oleh anak-anak mereka dan di mana anak-anak mereka akan bekerja kelak. Yang tahu pun terlalu gembira anak-anak mereka diterima masuk ke universiti, apa lagi di luar negara!

Jadi, apabila pelajar-pelajar tersebut, termasuk pelajar-pelajar undang-undang tamat pengajian mereka, ada yang mendapat pekerjaan di jabatan dan instutusi Kerajaan. Yang lainnya menyertai bank-bank dan syarikat-syarikat swasta. Pada masa itu kesemuanya, termasuk jabatan dan institusi Kerajaan, terlibat dalam riba.

Setakat yang saya tahu, tiada sesiapa yang membangkitkan isu mengenai hukum mereka bekerja di tempat-tempat itu. Itu mungkin satu rahmat.

Menjelang tahun 1970-an, sudah ada sebilangan orang Melayu/Islam di Bank Negara dan bank swasta dan pada tahun 1980-an ada yang sudah mengumpul pengalaman yang cukup dan agak senior. Jadi, apabila apa yang dipanggil “kebangkitan Islam” bermula pada tahun 1970-an dan isu mengadakan perbankan Islam timbul, kita sudah mempunyai orang yang mempunyai pengalaman praktikal yang mencukupi dalam perbankan konvensional untuk membantu menghasilkan produk Islamik. Saya ulangi apa yang saya katakan di Forum Perundangan Industri Perkhidmatan Kewangan Islam pada tahun 2009:

“………tanpa mereka (pegawai-pegawai yang bekerja di Bank Negara dan bank-bank konvensional yang berpengalaman dalam perbankan konvensional), besar kemungkinan, sehingga hari ini kita masih tidak mempunyai bank Islam. Ayat-ayat al-Quran tentang riba itu mungkin akan terus dilagukan dengan merdu oleh qari dan qariah atau dibaca oleh para ulama berserta hadith-hadith tentang gharar, riba dan lain-lain dalam kelas dan kuliah agama. Itu sahaja.”

Dalam tahun 1983, Bank Islam ditubuhkan. Bank-bank konvensional terus beoperasi. Saya nampak kebijaksanaan dalam mengadakan dua sistem yang parallel ini.  Pertama, ia adalah cara bijak untuk membangunkan dan mengembangkan perbankan Islam. Kita tidak secara tiba-tiba menghapuskan sistem (konvensional) yang sedia ada dan menggantikannya dengan “sistem Islam”. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya kita berbuat demikian. Ia bererti kita menghapuskan sistem sedia ada dan menggantikannya dengan sistem baharu yang berada pada usia bayi. Sehingga kini kita masih belum mempunyai sistem perbankan  Islam yang lengkap. Kita masih membangunkannya sedikit demi sedikit. Dalam keadaan itu, paling tidak yang akan berlaku ialah krisis ekonomi.

Kedua, dengan kedua-dua sistem berjalan seiring, sistem perbankan Islam perlu bersaing untuk terus hidup. Sistem perbankan Islam tidak boleh berdaya saing jika ia tidak lebih baik daripada atau, sekurang-kurangnya, sama baik dengan perbankan konvensional.

Ketiga, untuk kekal berdaya saing, sistem perbankan Islam perlu terus bertambah baik. Ini bermakna kita perlu memastikan bahawa produk kita patuh Syariah dan berdaya saing.

Kemudian, bank-bank konvensional itu mula memperkenalkan “jendela Islamik” mereka memberi pilihan kepada pelanggan untuk memilih perkhidmatan Islamik atau konvensional. Ini satu lagi keputusan yang bijak yang kita lakukan, kerana, pertama, bank konvensional tidak perlu tutup untuk memberi perkhidmatan perbankan Islam.

Kedua, buat permulaan infrastructure dan kakitangan yang sedia ada boleh digunakan untuk memberi perkhidmatan Islamik.

Kedua-dua faktor ini menjimatkan kos.

Ketiga, dari segi penggunaan pegawa-pegawai perbankan konvensional untuk memberi perkhidmatan Islamik, ia menguntungkan kedua belah pihak. Perbankan konvensional untung kerana pegawainya dapat mempelajri perbankan Islam. Perbankan Islam untung kerana ia tidak perlu mengambi pegawai-pegawai baru dan mengajar mereka dari permulaan.

Perbankan Islam lahir pada tahun 1970-an di persekitaran konvensional yang sudah wujud dan berkembang selama beratus-ratus tahun. Ulama-ulama kita mengajar mengenai haramnya riba tetapi tidak pula mengemukakan cara mengatasinya untuk keperluan perniagaan dan pembangunan ekonomi masa ini. Mereka masih berfikir di zaman perniagaan dijalankan melalui jual beli di pasar terbuka di mana penjual, pembeli  dan barangan semuanya ada semasa dan setempat dan bayaran dibuat dengan tunai, dan pinjaman adalah untuk membeli makanan dan keperluan harian.

Bagaimana kita menangani pembelian berbilion ringgit dari benua lain yang bayarannya dibuat online? Siapa akan memberi pinjaman berbilion ringgit untuk membina sistem kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura tanpa sebarang faedah atau keuntungan? Tiada siapa dapat mengemukakan cara menangani masalah-masalah itu. Maka ketinggalanlah kita.

Apabila kita tersentak, kita tidak boleh bermula dari awal semula, mencipta roda semula. Untuk menjadi relevan dan berdaya saing, perbankan Islam perlu memberi perkhidmatan yang pelanggan perlukan pada masa ini. Dalam ucapan saya di Persidangan Undang-undang Malaysia 2010, saya memberi contoh seorang Muslim yang warak yang ingin menceburi perniagaan pengangkutan. Adakah dia akan menjual kuda, unta dan keldai kerana itu adalah alat pengangkutan yang dijual oleh pedagang Islam dalam sejarah Islam? Sudah tentu tidak. Sebaliknya dia terpaksa menjual kereta, bas dan lori kerana itu adalah pengangkutan yang akan dibeli oleh pelanggan sekarang. Apa yang penting ialah produk tersebut mestilah patuh Syariah dan tujuan asal kewangan Islam, ekonomi Islam dan maqasid Syariah itu sendiri tercapai.

Jadi, kita perlu tahu perbankan konvensional untuk dapat menghasilkan dan melaksanakan produk perbankan Islam.

Kali pertama saya bertemu Antonio Usama DeLorenzo, anak kepada Profesor Yusuf Talal DeLorenzo, pakar perbankan Islam di Amerika Syarikat, beliau menceritakan kepada saya bahawa apabila beliau memberitahu bapanya bahawa beliau berminat belajar perbankan Islam, bapanya berkata kepadanya “Pergi belajar perbankan konvensional dahulu.”

Saya menjadi ahli penasihat syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti selama lebih kurang 12 tahun. Saya perhatikan beberapa orang Mufti yang duduk dalam  lembaga itu tidak dapat berbincang masalah hukum mengenai sesuatu produk itu kerana mereka tidak memahami structure produk itu. Ini diakui sendiri kepada saya oleh seorang Mufti dan juga hafiz yang duduk di sebelah saya dalam satu persidangan perbankan Islam. Katanya, “Zaman kita sudah lepas. Ini zaman orang-orang muda ini,” sambil menunjuk kepada ahli-ahli akademik dan pegawai-pegawai Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang berada di situ.

Saya juga ada kalanya  tidak faham. Tetapi, oleh sebab saya bukan seorang ulama, saya tidak mengambil bahagian dalam penetapan hukum. Saya cuma beri perhatian kepada isu-isu undang-undang yang timbul. Oleh itu, ulama juga perlu memahami structure perbankan kewangan konvensional untuk dapat mengetahui di mana terdapat isu-isu Syariah dalam mengadakan produk perbankan dan kewangan Islam yang serupa.

Saya hormati seorang Mufti yang dilantik menjadi Ahli Lembaga Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Selepas menghadiri mesyuarat pertamanya beliau terus meletak jawatan atas alasan beliau tidak dapat mengikuti perbincangan dalam mesyuarat itu. Usaha memujuknya juga gagal.

Kepakaran dalam kedua-dua bidang itu diisi oleh pegawai-pegawai Syariah dan konvensional Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti dan ahli-ahli akademik yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Arab dan faham structure produk konvensional.

Hingga ke hari ini, hanya ada satu bank Islam di Malaysia. Lainnya adalah bank konvensional. Di kebanyakan cawangan  pegawai-pegawai  yang sama melakukan kedua-dua tugas, konvensional dan Islamik. Saya katakan, pegawai-pegawai itu memain peranan besar mengembangkan perbankan Islam.

Dari pengalaman saya sendiri, kerana keperluan, saya membuka akaun konvensional kerana, pada masa itu, belum ada perbankan Islam. Apabila telah ada perbankan Islam, pegawai seperti itulah yang mencadangkan saya menukarnya kepada perbankan Islam.

Apabila saya bersetuju, beliau terus melakukannya. Mungkinkah seorang pegawai berbangsa Cina bukan  beragama Islam akan mencadangkan seperti itu? Bayangkan jika bank tersebut tidak memberi perkhidmatan perbankan Islam, mungkinkah pegawai itu mencadangkan saya menukar kepada perbankan Islam? Jika saya hendak menukarnya kepada perbankan Islam pun, saya perlu menutup akaun di bank konvensional dan pergi ke Bank Islam untuk membuka akaun perbankan Islam. Itu hanya satu misalan kecil. Banyak lagi yang boleh diberi.

Saya juga difahamkan bahawa kebanyakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbankan Islam di Malaysia hari ini bermula sebagai pegawai-pegawai perbankan konvensional.

Jadi, dalam pembangunan perbankan Islam, sumbangan mereka yang terlatih dalam perbankan konvensional dan bekerja di bank-bank konvensional juga perlu diiktiraf.

Soalan: tidakkah sumbangan mereka itu dan reality perbankan Islam di dunia perbankan juga patut diambil kira dalam menjawab soalan-soalan itu?[i]

26 01 2024[ii]

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

[i]  Oleh sebab soalan yang dikemukakan kepada dan jawapan yang diberi oleh Mufti berkenaan hanya mengenai hukum orang Islam bekerja di bank konvensional, saya tidak menyebut mengenai kewangan Islam, takaful dan lain-lain yang berkenaan. Tetapi, hujah-hujah yang disebut ini ada yang berkenaan.

[ii] Dipinda pada 29 01 2029

3 visits