PERLUKAH CALON PRESIDEN UMNO BERDEBAT?

PERLUKAH CALON PRESIDEN UMNO BERDEBAT?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Mungkin budaya perdebatan di antara calon Presiden bermula di Amerika Syarikat (AS). Sekarang, budaya itu hendak di bawa masuk pula ke Malaysia untuk perdebatan di antara calon-calon Presiden UMNO.

Saya tidak mempersoalkan kesesuaiannya dengan masyarakat di AS. Saya cuma memikirkan sama ada, pertama, ia sesuai dengan budaya Melayu, mengambil ingatan bahawa UMNO adalah sebuah parti Melayu, tidak kiralah ada orang yang hendak melabelnya sebagai “racist” atau tidak.

Kedua, adakah ia sesuai dalam keadaan UMNO pada masa ini?

Bukan semua ciri-ciri sesuatu budaya itu, termasuk budaya Melayu, baik dan sesuai sepanjang zaman. Itu saya terima. Tetapi, kita perlu berhati-hati sebelum mengambil dan meniru ciri-ciri budaya masyarakat asing kerana, paling kurang, ia mungkin nampak tidak manis dipandang.

Sebagai misalan, orang Melayu ada adat dan adab jika hendak bertanya sesuatu kepada seseorang, apatah lagi seorang pembesar. Apa sudah jadi apabila pemimpin-pemimpin kita mencontohi pemimpin-pemimpin luar negara melayan pemberita-pemberita yang berebur-rebut bertanya sambil berjalan, malah berlari?

Adab sopan sudah diketepikan, malah ada yang tidak tahu pun bahawa ada adab sopan dalam hal seperti itu. Maka, masing-masing berlari-lari, berebut untuk dapat rapat dengan pemimpin-pemimpin itu untuk mengejutkannya dengan soalan panas dan pantas dengan harapan mendapat jawapan spontan (tanpa sempat berfikir panjang) yang controvercial untuk menjadi tajuk muka hadapan esoknya, semata-mata untuk melariskan jualan akhbarnya. Bukan sahaja adab menyoal sudah hilang, tujuannya pun sudah terpesong.

Pemimpin-pemimpin itu pula, tanpa peluang berfikir dengan mendalam, mungkin berkara sesuatu yang tidak sepatutnya dikatakan. Mungkin juga beliau silap dengar soalan, atau orang menyoal, silap dengar jawapannya.

Kembali kepada debat awam. Saya tidak setuju perdebatan awam di antara calon-calon Presiden UMNO atas sebab-sebab berikut:

Pertama, calon-calon itu akan pergi dengan tujuan untuk menang. Penyokong-penyokongnya juga hadir untuk memberi sokongan (dengan bertepuk dan bersorak) atau menonton siaran televisyen dengan tujuan melihat calonnya menang.

Apakah ertinya menang? Dalam debat politik, terutama sekali di negara kita, menang ertinya ia mendapat tepukan dan sorakan yang bergemuruh. Ia boleh diperolehi dengan meninggikan suara, mengguna kata-kata kesat, meperbodohkan lawn, bukan semestinya dengan memberi hujah-hujah yang bernas dengan cara yang terhormat. (Saya percaya, ketiga-tiga orang calon itu tidak akan melakukan perkara-perkara sedemikian, tetapi, dalam kepanasan berdebat, apatah lagi dengan tepukan dan sorakan penyokong, lidah mengkin tersilap kata.)

Oleh sebab calon-calon itu mahu keluar sebagai pemenang, mereka akan pergi dengan fikiran tertutup bahawa point-point masing-masing sahajalah yang betul dan baik atau mereka, masing-masing, perlu menunjukkan bahawa point-pointnya sahajalah yang betul dan baik. Apa yang dikemukakan oleh lawannya semuanya tidak betul dan tidak baik.

Hakikat sebenarnya tidaklah demikian. Dalam pandangan dan cadangan masing-masing ada baik buruknya, kelemahan dan kekuatannya. Tetapi, apabila dua orang berdebat, mereka hanya akan mempertahankan pendapat masing-masing. Akibatnya, masing-masing tidak mempelajari sesuatu daripada lawannya. Demikian juga dengan penyokong-penyokong mereka yang pergi dengan fikiran tertutup.

Saya berpendapat adalah lebih bermanfaat jika calon-calon itu menulis rencana atau manifesto masing-masing, dengan bantuan pakar dalam berbagai-bagai bidang, dengan kajian yang mandalam dan difikirkan masak-masak. Ini akan memberi peluang kepada semua orang membacanya, memikirkannya dan membuat keputusan masing-masing siapa yang mereka hendak pilih.

Perlu diingati bahawa kita bukan hendak memilih seorang pengacara hiburan yang petah bercakap dan menyeronokkan, dua faktor yang akan mempengaruhi penonton atas pagar memilih siapa yang menang.

Kita hendak memilih seorang pemimpin parti yang bakal menjadi pemimpin negara. Untuk itu seorang yang jujur, berintegriti, mempunyai wawasan adalah lebih penting daripada seorang yang hanya pandai berbahas tetapi, apabila dia duduk kita tidak pasti sama ada dia bermaksud apa yang dikatanya

Saya juga khuatir perdebatan awan akan menyebabkan wujud Team A, B dan C seperti wujudnya Team A dan B dahulu.

Kedua, kita lihat pula kesesuaiannya dengan keadaan UMNO pada masa ini.

UMNO baru sahaja kalah teruk. Apabil kalah sahabat akan lari (ada yang telah pun lari), malah ahli sendiri akan lari (ada yang telah pun lari), termasuk untuk menyelamatkan diri dan mendapat sesuatu.

Dalam keadaan itu, ahli-ahli UMNO perlu bersatu. Maka, apa sahaja yang akan memecahbelahkan mereka mestilah dihindar.

Adalah lebih baik, pemilihan Presiden itu dilakukan dengan “cara Melayu” di mana calon tidak terlalu menonjolkan diri dan berkempen. Mereka telah menawarkan diri, semua perwakilan mengetahui dan mengenali mereka. Biarlah mereka membuat pilihan.

Tun Abdul Hamid Mohamad

24 06 2018

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

94 visits