RANG UNDANG-UNDANG AKTA HASUTAN (PINDAAN) 2015 SATU ULASAN

RANG UNDANG-UNDANG AKTA HASUTAN (PINDAAN) 2015
SATU ULASAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Setelah sekian banyak diperkatakan, terutama sekali di bahagian kedua tahun 2014 yang beraklir dengan Persidangan Agung UMNO 2014 di mana YAB Perdana Menteri telah mengisytiharkan bahawa Akta Hasutan 1948 tidak akan dimansuhkan malah akan diperkemaskan, kini draf pindaannya telah dibentangkan di Parlimen.

Membaca Rang Undang-Undang Akta Hasutan (Pindaan) 2015 (RUU) sekali imbas pun, ternampak perbezaan “seperti langit dengan bumi” di antara RUU itu dengan RUU Harmoni yang digubal oleh Majlis Peguam sebelumnya. Dengan jelas ternampak kesungguhan dan tanggungjawab Kerajaan terhadap ketenteraman dan keamanan negera di samping professionalisma dalam penggubalannya.

Secara peribadi, sebelum meneliti isi kandungannya satu persatu pun, saya merasa gembira kerana teguran saya mengenai tiga “rampasan” itu telah diambilkira. Maka sekarang RUU ini disediakan oleh Kementerian Dalam Negeri, dasarnya di perigkat awal pun, ditentukan oleh Kementerian berkenaan dan gubalan dilakukan oleh Jabaan Peguam Negara. Syabas!

Antara pindaan substantive yang dilakukan ialah:

Pertama, perbuatan mana-mana orang untuk mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan tidak menjadi kesalahan lagi. Mengikut huraian yang diberi, pindaan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap Kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di Malaysia.

Kedua, memasukkan misalan untuk menjelaskan bahawa perbuatan mengapi-apikan mana-mana orang atau mana-mana kumpulan orang untuk menuntut pemisahan mana-mana Negeri dari Malaysia adalah perbuatan menghasut. Memandangkan apa yang sedang berlaku di sabah sekarang, ini memanglah wajar.

Ketiga, apa-apa perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan atau untuk membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia tidak lagi dianggap sebagai perbuatan menghasut dan oleh itu tidak akan ditangani sebagai suatu kesalahan di bawah Akta hasutan. Ini agak memeranjatkan saya. Saya tidak fikir pindaan ini perlu, terutama sekali memandangkan kepada perkembangan di akhir-akhir ini. Kritikan terhadap Hakim dan Mahkamah tidak boleh disamakan dengan kritikan terhadap ahli politik dan Kerajaan. Untuk mengeritik hakim di Parlimen pun memerlukan satu Usul yang disokong oleh tidak kurang daripada satu perempat ahli dewan (Perkara 127). Mengeritik penghakiman ada caranya. Mengutuk Hakim, Mahkamah dan Badan Perundangan tidak sepatutnya dibiarkan. Cuma saya harap selepas ini mahkamah sendiri akan tegas dalam memakai prosiding menghina mahkamah (contempt of court). Janganlah sampai hakim-hakim dilihat sebagai “cabut” apabila dikutuk oleh penjenayah.

Keempat, untuk menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan orang atas alasan agama. Mengikut huraian, ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melindungi kesucian agama yang dianuti oleh masyarakat berbilang agama di Malaysia. Perbuatan menghina dan mempermain-mainkan mana-mana agama boleh menyebabkan ketidakharmonian dan mengancam ketenteraman awam. Ini satu penambahbakan yang baik.

Kelima, untuk menggantikan hukuman sedia ada bagi kesalahan di bawah subseksyen 4(1) dengan hukuman minimum pemenjaraan selama tempoh tiga tahun sehingga tempoh maksimum tujuh tahun dan meniadakan hukuman denda. Sebagai tambahan hukuman yang lebih tinggi juga diperuntukkan bagi kesalahan jika kecederaan tubuh badan atau kerosakan harta benda telah disebabkan akibat daripada pelakuan kesalahan itu. Dalam hal sedemikian, hukuman minimum pemenjaraan selama lima tahun dan hukuman maksimum pemenjaraan selama dua puluh tahun boleh dikenakan untuk mengambil kira keseriusan kesalahan itu. Ini memang wajar.

Keenam, seksyen baru 5A memperuntukkan bahawa jika seseorang dipertuduh atas kesalahan di bawah subseksyen 4(1A) dan terdapat perakuan secara bertulis Pendakwa Raya yang menyatakan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada orang yang dipertuduh demi kepentingan awam, orang itu tidak boleh dilepaskan dengan jaminan. Peruntukan ini peting untuk mengelak tertuduh memboloskan diri.

Ketujuh, seksyen baru 5B bertujuan untuk memberi mahkamah kuasa untuk menghalang seseorang yang dipertuduh di bawah seksyen 4 yang dilepaskan dengan jaminan daripada meninggalkan Malaysia. Ini termasuklah memerintahkan orang yang dipertuduh itu menyerahkan dokumen perjalanannya. Dalam hal keadaan seseorang yang dipertuduh yang tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan, mahkamah boleh memerintahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk tidak mengeluarkan apa-apa dokumen perjalanan kepada orang itu.

Kelapan, seksyen baru 6a menyatakan bahawa seksyen 173A, 293 dan 294 Kanun Tatacara Jenayah tidak terpakai berkenaan dengan kesalahan di bawah subseksyen 4(1A). Rigkasnya, ini untuk mengelak penjenayah-penjenayah itu dilepaskan atas jaminan berkelakuan baik yang lansung tidak memberi kesan “deterrent”.

Secara keseluruhan saya mengucap tahniah kepada Kerajaan kerana telah mengambilkira pandangan orang Melayu dan rakyat Malaysia yang cintakan ketenteraman dan keamanan dan melakukan pindaan-pindaan ini. Harapan saya ialah ia akan dilaksanakan dengan tegas. Mahkamah juga perlu memain peranannya supaya undang-undang ini memberi kesan yang sepatutnya demi ketenteraman dan keamanan negara.

13 April 2015

[email protected]
www.tunabdulhamid.my

 

1,240 visits