PENGUATKUASAAN DAN PELAKSANAAN PERINTAH DI MAHKAMAH SIVIL

PERSIDANGAN TAHUNAN PEGAWAI SYARIAH SE MALAYSIA 2000
28-30 OGOS, 2000

PENGUATKUASAAN DAN PELAKSANAAN PERINTAH DI MAHKAMAH SIVIL

Oleh

Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad

 

BAHAGIAN PERTAMA

Pendahuluan

Tuan-tuan amat bertuah. Setiap tahun ada seminar untuk membincang bagaimana hendak buat kerja. Tahun ini mengenai penguatkuasaan dan pelaksanaan.

Apabila saya dilantik menjadi Majistret dulu, saya terus dihantar ke Kangar Perlis, tanpa sebarang latihan. Di negeri Perlis, pada masa itu, saya seorang sahaja pegawai kehakiman dan perundangan. Tiada siapa untuk berguru. Tak pernah ada seminar. Terpaksa belajar sendiri. Tetapi, ada dua perkara yang membantu. Pertama, buku. Kedua, kakitangan. Buku, termasuklah Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah, Malayan Law Journal yang melaporkan penghakiman-penghakiman Mahkamah yang lebih tinggi dan buku-buku teks. Kakitangan, termasuklah jurubahasa, kerani, bailif yang berpengalaman. Untuk membuat keputusan saya membaca buku. Setelah keputusan dibuat, kakitangan itu tahu apa yang hendak dibuat. Kerja berjalan juga.

Mungkin dua perkara itulah yang masih kekurangan di Mahkamah Syariah. Enakman atau Akta Tatacara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah pun baru. Precedent belum ada, atau belum banyak. Kakitangan yang berpengalaman pun mungkin belum ada atau belum cukup. Saya tidak tahu sama ada semua negeri telah mempunyai Enakman Tatacara Mal. Kalau itu pun belum ada, saya tak tahu apa nak kata.

Seminar ada faedahnya. Tetapi seminar bukanlah tempat untuk belajar undang-undang “substantive” atau “procedural”. Bagi diri saya, saya betul-betul belajar undang-undang semasa menulis alasan penghakiman. Masa itulah kita membaca sesuatu peruntukan undang-undang dan penghakiman-penghakiman terdahulu dengan mendalam. Kita juga telah mendengar hujah kedua belah pihak. Fakta kes juga sudah ada di hadapan kita. Dan, bila menulis, kita lebih ingat.

Saya dan tuan-tuan adalah orang yang “buat kerja”. Kursus ini adalah suatu “latihan” untuk buat kerja dan bukan suatu kursus akademik. Maka, pendekatan saya adalah satu pendekatan yang praktikal, bukan akademik.

Satu perkara lagi, Hakim bukan Parlimen atau Dewan Perundangan Negeri atau Jawatankuasa Kaedah. Hakim tidak membuat undang-undang. Dia cuma memutuskan perbalahan di hadapannya mengikut undang-undang yang berkuatkuasa pada masa itu yang dia diberi kuasa mengenainya.

Maka, dalam menjalankan tugasnya, seorang Hakim perlulah memakai undang-undang yang terpakai di Mahkamahnya, mengikut tafsiran yang telah dibuat oleh Mahkamah yang lebih tinggi. Bagi tuan-tuan undang-undang itu adalah Akta atau Enakman Tatacara Mal dan lain-lain yang berkenaan dan keputusan Mahkamah Rayuan Syariah.

Di sini, tuan-tuan menghadapi satu lagi kekurangan. Setiap negeri mempunyai Mahkamah Rayuan Syariahnya sendiri. Saya tidak tahu, di negeri Perlis, misalnya, berapa banyak rayuan ke Mahkamah Rayuan setahun. Tentu amat kecil bilangannya. Saya juga tidak tahu sama ada terdapat rayuan-rayuan yang melibatkan tatacara mal. Jadi, peluang untuk Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengenai soal tatacara yang akan menjadi panduan kepada Mahkamah-Mahkamah yang lebih rendah, amat sedikit. Ini berlainan dengan di Mahkamah Sivil. Setiap tahun beratus-ratus alasan penghakiman dilaporkan yang melibatkan persoalan-persoalan tatacara mal. Jadi, panduan boleh dikatakan dalam segenap aspek, telah ada. Tak cukup, boleh semak penghakiman-penghakiman Mahkamah di England atau Singapura yang kebanyakan peruntukannya serupa. Yang perlu dilakukan oleh Hakim ialah cari, baca, analisa dan pakai mana yang sesuai. Kerap kali Hakim tidak perlu cari sendiri. Peguam-peguam melakukannya.

Dalam keadaan yang saya sebutkan itu, pada pendapat saya, pertama Hakim-Hakim Mahkamah Syariah, tidak kira di negeri mana, patutlah memakai penghakiman-penghakiman Mahkamah Rayuan Syariah dari negeri-negeri lain di Malaysia, dengan syarat peruntukan undang-undang berkenaan adalah sama.

Kedua, oleh sebab banyak peruntukan yang terdapat dalam Akta/Enakman Tatacara Mal yang dipakai di Mahkamah Syariah yang serupa dengan, malah diubahsuai daripada, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 (KMR 1980), maka keputusan-keputusan Mahkamah Sivil mengenai peruntukan-peruntukan yang serupa, bolehlah dipakai sebagai panduan. Hakim-hakim Mahkamah Syariah tidak terikat dengannya. Tetapi, pada pandangan saya, tidaklah salah, malah elok digunakan sebagai panduan. Selain daripada itu, tuan-tuan “ijtihadlah” sendiri.

Ada satu perkara yang menarik mengenai persamaan ini. Saya pernah dengar satu ceramah di mana penceramah itu memanggil Mahkamah Syariah sebagai “Mahkamah Islam” dan Mahkamah Sivil sebagai “Mahkamah Kafir”. Saya merasa seram mendengarnya.

Kemudian saya imbas kembali, semakin sehari semakin banyak undang-undang yang dipakai di Mahkamah Sivil diubahsuai untuk dipakai, dan dipakai, di Mahkamah Syariah. Bagaimana pula?

Dalam satu seminar di IKIM, seorang Professor Madya di Jabatan Syariah di sebuah Universiti tempatan memaklumkan saya bahawa undang-undang prosedur yang dipakai di negara-negara di Eropah, banyak yang diambil daripada fatwa dan pendapat salah satu Mazhab yang empat itu, saya terlupa Mazhab mana. Baru-baru ini saya terbaca dalam pendahuluan yang ditulis oleh David Musa Pidcock kepada buku “Napoleon dan Islam” yang menyatakan 96% Code Napoleon [yang menjadi asas perundangan di Peranchis (France)] adalah berasal daripada fatwa dan pendapat Iman Malik.

Memanglah Code Napoleon bukanlah menjadi asas Common Law of England yang menjadi asas undang-undang Malaysia. Tetapi, dari segi prinsip terdapat banyak persamaan. Malah prinsip-prinsip “Common Law” pun banyak yang serupa dengan prinsip-prinsip Hukum Syarak. Lagi banyak saya baca lagi banyak persamaan yang saya temui.

Ini menyebabkan saya tertanya diri sendiri, katakanlah esok Malaysia diisytiharkan sebuah negara Islam yang memakai undang-undang Islam seluruhnya, berapa peratuskah daripada undang-undang yang dipakai sekarang yang perlu dipinda? Misalnya perlukah dan berapa banyakkah peruntukan-peruntukan Akta Kerajaan Tempatan, Akta Jalan Parit dan Bangunan, Akta Air, Akta Perikanan, Akta Penyiasatan Kajibumi dan beribu-ribu lagi yang perlu dipinda?

Saya fikir eloklah dibuat kajian secara terperinci kepada undang-undang di negara ini dan tunjukkan satu persatu mana yang bercanggah dengan Hukum Syarak supaya kita dapat tahu hakikat yang sebenar. Setakat ini kita Cuma mendengar ceramah-ceramah di tahap umum dan di tahap permukaan sahaja. Tunjukkan juga pendapat-pendapat yang berlainan antara mazhab dan ulamak mengenai sesuatu perkara supaya orang dapat tahu bahawa bukan apa yang dikatakan oleh ustaznya sahaja yang merupakan hukum syarak dan tidak ada pendapat yang berlainan mengenai perkara yang sama. Hari ini gambaran yang diberi ialah semua yang mereka panggil “Hukum Allah” itu telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. secara terperinci, satu masalah satu hukum yang tetap, pasti, khusus, sama ada hitam atau putih, yang tidak akan berubah sehingga hari Kiamat. Dan hukum itu adalah seperti apa yang dikatakan oleh ustaznya. Saya berpendapat, mungkin pendapat saya tidak betul, gambaran seperti inilah yang menyebabkan ketaksuban dan extremism.

BAHAGIAN KEDUA
Pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah di Mahkamah Sivil

Akta/Enakman Tatacara Mal Mahkamah-Mahkamah Syariah adalah diasaskan dengan pengubahsuaian yang perlu daripada Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 (KMR 1980).

Saya akan sentuh cara-cara pelaksanaan yang kerap dipakai di Mahkamah-Mahkamah Rendah Sivil. Selepas itu saya akan sebut secara ringkas kuasa-kuasa tambahan yang diberi kepada Mahkamah Tinggi Sivil, untuk makluman.

Pelaksanaan di Mahkamah-Mahkamah Rendah Sivil

Aturan 31 KMR 1980 adalah mengenai Writ Pelaksanaan secara umum. Writ Pelaksanaan ditakrifkan sebagai termasuk writ penyitaan dan penjualan, writ pemilikan dan writ penghantarserahan. Jika penghakiman telah diperolehi lebih daripada enam tahun, misalnya, pemiutang penghakiman perlulah memohon untuk mendapat kebenaran. Permohonan minta kebenaran seperti Borang 81. Selepas dapat kebenaran barulah membuat permintaan mendapatkan writ pelaksanaan – seperti Borang 82. Writ itu sah selama 12 bulan. Ia boleh dilanjutkan.

Jika yang dipohon dan dibenarkan itu writ penyitaan dan penjualan, ia dikeluarkan seperti Borang 78. Ia ditujukan kepada Bailif untuk menyita harta alih penghutang penghakiman itu. Pemiutang penghakiman dikehendaki membayar deposit untuk perbelanjaan menyita dan menjual. Selepas deposit dibayar tarikh akan ditetapkan untuk membuat penyitaan. Wakil penghutang penghakiman akan menemani Bailif untuk tunjuk tempat penyitaan hendak dilakukan dan barang yang hendak disita. Setelah menyita Bailif dikehendaki menyediakan nota penyitaan (Borang 85). Notis itu mengandungi senarai barang-barang yang disita. Satu salinan notis itu perlu diberi kepada penghutang penghakiman dan satu salinan dimasukkan ke dalam fail. Kalau ada barang-barang yang dipindahkan daripada premis itu, Bailif kena juga berikan kepada penghutang itu senarai barang-barang yang dipindahkan. Bailif perlu menyimpan rekod segala wang yang diterima dan menyediakan penyata akaun – butiran-butirannya diperuntukkan dalam kaedah 18.

Mana-mana pihak ketiga yang menuntut bahawa barang-barang yang disita itu adalah haknya (bukan hak penghutang) boleh membuat tuntutan. Mahkamah akan mendengar tuntutan itu dan memutuskan siapakah tuan punya sebenar barang-barang itu. Jika ia kepunyaan pihak ketiga penyitaan dibatalkan. Jika kepunyaan penghutang penjualan boleh diteruskan.

Jika nilai barang-barang yang di sita itu melebihi RM10,000 pelelong awam akan dilantik. Dia akan menyediakan notis lelongan dan perisytiharan lelongan dengan syarat-syaratnya dan mengiklankannya, biasanya dengan menampalnya di premis berkenaan dan di papan tanda Mahkamah. Pada tarikh yang ditetapkan lelongan akan dijalankan. Jika penghutang membayar hutang itu sebelum lelongan dijalankan, lelongan akan dibatalkan dan writ penyitaan dan penjualan akan ditarik balik dan dibatalkan. Jika tiada pembeli, tarikh lelongan baru akan ditetapkan. Selepas lelongan selesai, Bailaif kena membuat penyata akaun mengenai wang yang diterima dan perbelanjaan jurulelong dan komisyen Mahkamah. Baki deposit akan dipulangkan kepada pemiutang penghakiman. Fee jurulelong dibayar. Baki hasil jualan dibayar kepada pemiutang penghakiman. Bakinya, jika ada dibayar balik kepada penghutang.

Jika nilai barang-barang yang disita itu kurang daripada RM10,000 Bailif sendiri yang mengendalikan penjualan itu.

Saya perhatikan bahawa seksyen 159 ATMMS juga memperuntukkan aturcara menyita dan menjual harta alih. Caranya diperuntukkan dalam seksyen 160. Saya perhatikan juga bahawa Borang MS 36 “Perintah Bagi Pelaksanaan Melalui Penyitaan dan Penjualan” hanya menyebut berkenaan “syer/saham/debentur/bon”. Saya kurang faham mengapa ia dihadkan sedemikian sedangkan sekksyen 159(1)(a) menyebut “harta alih” yang lebih luas. Kedua ia (Borang MS 36) ditujukan kepada penghutang penghakiman bukan bailif.

Writ Penghantarserahan

Jika yang dipohon dan dikeluarkan itu writ penghantarserahan ia adalah seperti dalam borang 79. Ia juga ditujukan kepada Bailif untuk menyita dan menghantarserahkan harta alih itu kepada Plaintiff.

Writ Pemilikan

Jika yang dipohon dan dikeluarkan adalah writ pemilikan ia adalah seperti Borang 80. Ia juga ditujukan kepada Bailif untuk memasuki harta takalih tersebut dan menyebabkan Plaintif mendapat milikan ke atasnya.

Pembayaran secara ansuran

Mengikut Aturan 32 kaedah 2, Mahkamah Rendah Sivil diberi kuasa membuat perintah bagi pembayaran secara ansuran. Perintah itu boleh mengarahkannya membayar ke dalam Mahkamah atau kepada orang yang berhak menguatkuasakan penghakiman atau perintah itu. Arahan itu mestilah dibuat dalam penghakiman atau perintah itu.

Prosiding Garnismen

Melalui prosedur ini, pemiutang penghakiman boleh mendapat perintah supaya orang ketiga (garnisi) yang berhutang kepada penghutang penghakiman membayar kepada pemiutang penghakiman untuk menjelaskan hutang penghutang penghakiman. Penghakiman yang diperolehi oleh pemiutang penghakiman terhadap penghutang penghakiman hendaklah penghakiman untuk pembayaran wang, dan bukan untuk pembayaran wang ke dalam Mahkamah. Harta yang boleh ditahan dan diperintahkan dibayar kepada pemiutang penghakiman adalah hutang garnisi kepada penghutang penghakiman. Permohonan minta perintah dibuat melalui notis (ex-parte) yang disokong oleh afidavit. Setelah mendengarnya Mahkamah membuat perintah seperti borang 89. Perintah itu mengarahkan bahawa hutang garnisi kepada penghutang penghakiman itu ditahan sementara dan garnisi dikehendaki hadir untuk tunjuk sebab mengapa dia tidak patut diperintahkan membayar kepada pemiutang penghakiman. Mahkamah membuat perintah garnismen selepas mendengar garnisi.

Prosedur ini serupa dengan Hiwalah. Tetapi Hiwalah nampaknya lebih luas.

Distres

Akta yang berkenaan ialah Akta Distres 1951. Ia untuk tuan tanah/rumah mendapat tunggakan sewa premis yang disewa kepada penyewa. Tuan tanah/rumah boleh mendapatkan perintah distres mengarahkan Bailif menyita barang-barang penyewa itu yang ada dalam rumah itu untuk dijual bagi mendapatkan sewa yang tertunggak itu. Prosedurnya dalah seperti dalam writ penyitaan dan penjualan.

Akta Penghutang 1957
Penangkapan sebelum penghakiman

Mengikut seksyen 15 Akta Penghutang 1957, Mahkamah berkuatkuasa mengeluarkan perintah menangkap seorang defendant dan di bawa ke Mahkamah pada mana-mana peringkat suatu tindakan atau guaman itu. Ertinya perintah itu boleh dikeluarkan walau pun sebelum perbicaraan selesai, dan sebelum plaintif mendapat penghakiman. Syarat-syaratnya ialah-

(1) Tindakan itu bukan tindakan untuk mendapat milikan harta takalih;
(2) Defendan biasanya berniaga atau tinggal dalam bidangkuasa Mahkamah;
(3) Plaintif memuaskan Mahkamah melalui keterangan bersumpah bahawa dia mempunyai suatu kes yang kukuh terhadap defendan;
(4) Defendan, dengan tujuan untuk memprejudis plaintif atau mengelak proses Mahkamah atau menghalang atau melengah-lengahkan pelaksanaan penghakiman yang dibuat terhadapnya –
a) telah melarikan diri keluar dari negeri itu;
b) hendak melarikan diri dari negeri itu; atau
c) telah melupuskan atau memindahkan hartanya dari negeri itu.

Defendan tidak akan ditangkap jika ia membayar jumlah yang ditetapkan untuk menjelaskan tuntutan plaintif. Jumlah yang dibayar itu akan dipegang oleh Mahkamah sebagai deposit sehingga kes itu selesai, atau perintah selanjutnya.

Apabila defendan ditangkap dan dibawa ke Mahkamah dia dikehendaki menunjuk sebab mengapa dia tidak patut diperintahkan untuk memberi jaminan untuk kehadirannya dalam perbicaraan tuntutan plaintif itu. Jika dia tidak dapat menunjuk sebab, Mahkamah akan memerintahkannya untuk mendeposit ke dalam Mahkamah wang atau lain-lain harta yang cukup untuk menjelaskan tuntutan plaintif, atau memberi jaminan untuk kehadirannya apabila diarahkan hadir. Penjamin juga diperlukan.

Prosedur ini jarang dipakai di Mahkamah Rendah. Peguam-peguam lebih gemar menggunakan prosedur “Mareva Injunction” di Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan mengeluar wang daripada akaun-akaun bank, melupuskan atau memindahkan harta lain. Prosedur itu lebih mudah. Ia boleh dibuat secara ex-parte. Tidak perlu cari defendan untuk ditangkap.

Saman Penghutang Penghakiman

Prosedur ini cuma untuk penghakiman pembayaran wang. Tujuannya untuk mengarahkan penghutang hadir untuk diperiksa mengenai keupayaannya membayar hutang penghakiman. Mahkamah akan menetapkan kadar ansuran dan tarikh ia bermula.

Kalau dia gagal membayar seperti yang diperintah, bagi setiap ansuran, pemiutang penghakiman boleh memohon dan mendapatkan Notis Penghakiman. Di peringkat ini dia dikehendaki menunjuk sebab mengapa dia tidak patut dipenjarakan kerana mengingkari perintah itu. Mahkamah boleh memenjarakannya atau memberi peluang kepadanya untuk membayar hutang itu. Kos pemenjaraan dibayar oleh pemiutang penghakiman.

Pada fikiran saya tuan-tuan pun sudah biasa dengan prosedur ini.

Pengkomitan

Prosedur komitan dipakai apabila seseorang itu melanggar atau mengingkari sesuatu penghakiman atau perintah Mahkamah. Dia dihukum kerana menghina Mahkamah. Perlu diingati ini adalah satu prosedur mal. Penghinaan Mahkamah itu adalah penghinaan mal (civil contempt) bukan penghinaan jenayah. Misalan penghinaan jenayah ialah jika seseorang itu menumbuk hakim atau membaling selipar kepada hakim dalam Mahkamah. Itu misalan yang paling jelas. Dalam penghinaan jenayah, besar kemungkinan Hakim itu sendiri akan mengambil tindakan serta merta, meminta penghina itu tunjuk sebab mengapa dia tidak patut dipenjarakan sehingga dia “purge his contempt”. Perkataan “purge” itu, makna biasanya ialah “cirit”. Ertinya sampai keluar habis. Istilah undang-undang Dewan Bahasa menterjemahkannya sebagai “meyingkirkan”. Dalam kata-kata lain “sampai dia seriklah”.

Kembali kepada penghinaan Mahkamah ini, walaupun Mahkamah mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sendiri biasanya Mahkamah tidak mengambil inisiatif sendiri untuk memulakan prosiding ini. Pihak plaintif yang akan memulakan prosiding itu. Pertama plaintif perlu memohon mendapat kebenaran, secara ex-parte, melalui notis yang disokong dengan suatu afidavit yang mengandungi butiran-butiran (Aturan 34 Kaedah 2) dan alasan-alasan yang berdasarkannya pengkomitan diminta. Perlu disebut bahawa penghakiman yang menjadi asas permohonan itu perlu jelas mengenai apa yang penghina yang dicadangkan itu dikehendaki melakukan dan dalam tempoh yang ditetapkan. Perintah itu perlu mengandungi “penal clause” yang mengatakan jika tidak melakukannya dalam tempoh yang ditetapkan itu, prosiding pengkomitan mungkin dimulakan terhadapnya. Penghakiman itu mesti telah diserah kepadanya.

Jika Makamah puas hati semua itu telah dilakukan, barulah Mahkamah memberi kebenaran untuk memohon perintah pengkomitan.

Setelah mendapat kebenaran, dalam masa 14 hari, pemohon akan memfail permohonan untuk mendapatkan perintah pengkomitan. Permohonan mengikut Borang 94. Permohonan itu perlu diserah ke diri penghina yang dicadangkan. Dia boleh memfail afidavit untuk menjawab. Pendengaran juga boleh dilakukan secara keterangan lisan. Jika fakta dipertikaikan, pendengaran juga boleh dilakukan secara keterangan lisan. Jika fakta dipertikaikan, pendengaran secara keterangan lisan perlu diadakan. Mahkamah akan membuat keputusan sama ada dia “bersalah” atau tidak. Beban bukti ialah “melampaui keraguan yang munasabah” seperti kes jenayah.

Mahkamah cuma akan membuat perintah pengkomitan jika Mahkamah dapati bahawa semua prosedur dipatuhi oleh pemohon, memang menghina itu telah melanggar atau tidak mematuhi perintah itu dan tidak dapat menunjuk sebab mengapa dia tidak patut dihukum. Mengenai hukuman, Mahkamah boleh menghukum penjara atau denda atau mengikat jamin untuk berkelakuan baik. Mahkamah boleh juga cuma memberi amaran, atau mengarahkan dia mematuhinya dalam tempoh tertentu dan supaya dia hadir semula pada tarikh yang ditetapkan untuk melaporkan sama ada dia telah melakukannya. Kalau sudah, dia dimaafkan. Kalau tidak dia boleh dipenjara atau didenda.

Penguatkuasaan Perintah Nafkah

Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Nafkah) 1950 memberi kuasa kepada Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen untuk membuat perintah nafkah perempuan bersuami dan kanak-kanak. Jika tidak dibayar, amaun itu boleh dilevi, melalui waran, sama seperti denda dalam kes jenayah. Mahkamah juga boleh mengenakan hukuman penjara tidak melebihi satu bulan bagi nafkah setiap bulan yang tertunggak. Perintah itu boleh dilaksanakan oleh mana-mana Mahkamah di Malaysia di mana orang yang diperintah membayar itu dijumpai.

Apabila berlaku perceraian, perintah nafkah dibuat oleh Mahkamah Tinggi di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Ia boleh dilaksanakan seperti perintah-perintah Mahkamah Tinggi yang lain. Selain daripada itu seksyen 86 Akta itu memperuntukkan bahawa amaun itu boleh diperolehi seperti satu hutang. Jika ia kena dibayar sebelum orang kena bayar itu menjadi bankrap, ia menjadi hutang yang boleh dibuktikan terhadap si bankrap. Kalau ia kena dibayar sebelum orang itu mati, ia menjadi hutang kepada pesakanya.

Penguatkuasaan Perintah Nafkah Bersalingan

Akta Perintah Nafkah (Kemudahan bagi Penguatkuasaan) 1949 adalah khusus untuk menguatkuasakan perintah nafkah mahkamah di Malaysia di luar negara dan sebaliknya. Negeri-negeri bersaling adalah seperti Lampiran B. Perhatikan bahawa negara-negara berkenaan adalah England dan negara-negara yang pada suatu masa berada di bawah naungan British. Ini tidak menghairankan kerana undang-undang ini dibuat dalam tahun 1949. Perhatikan bahawa negara-negara ASEAN pun tidak termasuk, melainkan Singapura dan Brunei. Dalam keadaan sekarang, pada pandangan saya, pindaan perlu dibuat sekurang-kurangnya untuk memasukkan negara-negara ASEAN lain, dan juga Bangladesh. Bidangkuasa mengesahkan perintah mahkamah luar negara itu diberi kepada Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen. Perintah Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen juga boleh malalui prosedur ini dikuatkuasakan oleh mahkamah luar negara berkenaan.

Ini satu ruang yang patut diberi perhatian. Undang-undang yang serupa patut diadakan mengenai perintah nafkah Mahkamah Syariah. Jika tidak orang-orang Islam di Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan yang merugikan.

Pelaksanaan di Mahkamah Tinggi

Undang-undang tatacara mal yang berkenaan adalah Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980). Cara-cara yang diperuntukkan adalah serupa dengan di Mahkamah Rendah. Cuma selain daripada apa yang saya telah sebutkan tadi, ada prosedur-prosedur lain.

Perlantikan Penerima: Pelaksanaan Berekuiti

Prosedurnya diperuntukan dalam Aturan 51 KMT 1980. Penerima boleh dilantik untuk menerima sewa, keuntungan dan wang yang boleh diterima berkenaan dengan kepentingan defendan untuk menjelaskan hutang defendan. Ia dilakukan di mana pelaksanaan secara lain tidak boleh dilakukan. Apabila seorang penerima dilantik penghutang penghakiman terhalang daripada menerima atau menguruskan (“dealing”) wang yang jika tidak kerana perintah itu dia berhak kepadanya.

Prosedur ini jarang dipakai.

Tindakan Gadaian

Di bawah Aturan 83, tindakan yang paling kerap diambil ialah bagi pemegang gadaian untuk mendapat perintah jualan tanah yang dicagarkan untuk menjelaskan hutang yang tertunggak. Jumlahnya beribu-ribu setahun, kerapkali diambil oleh bank-bank dan institusi kewangan. Kuasa ini diberi oleh Kanun Tanah Negara. Pemegang gadaian tidak perlu memfail tuntutan sivil dahulu dan mendapat penghakiman. Malah permohonan ini, kerapkali melalui Saman Pemula (inter parte) untuk mendapat perintah jualan, boleh dibuat serentak dengan tuntutan sivil, sama ada terhadap penghutang dan/atau penjamin. Jika difail melalui Saman Pemula, keterangan adalah melalui affidavit. Beban bukti terletak di atas defendan untuk menunjuk sebab mengapa cagaran itu tidak patut dijual untuk menjelaskan hutangnya. Jika penghutang tidak berjaya menunjuk sebab, Mahkamah akan membuat perintah jualan. Selepas itu pemegang gadaian akan memfail Saman Dalam Kamar meminta arahan, seperti menetapkan tarikh lelongan, menetapkan harga rizab dan pengiklanan. Prosedurnya diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara dan Aturan 83 KMT 1980. Tidak perlulah dibincang satu persatu. Ringkasnya tanah itu akan dilelong melalui lelongan awam.

Prosedur Kebangkrapan (Muflis)

Prosedur ini diperuntukan dalam Akta dan Kaedah yang khusus, iaitu Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969. Prosedurnya agak rumit. Tidaklah perlu dibincang dengan terperinci. Memadailah dikatakan tindakan itu adalah terhadap individu dan hutangnya tidak kurang daripada RM10,000. Jika perintah dibuat haknya sebagai individu di sisi undang-undang, misalnya untuk memulakan tindakan undang-undang (tindakan sivil) atau membela tindakan (sivil) terhadapnya hilang. Hak itu dan hak ke atas asetnya terletak kepada Pegawai Pemegang Harta yang akan menjadi Pegawai Penerima. Malah dia juga akan hilang kelayakan menjadi pengarah syarikat, ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri dan lain-lain. Semua pemiutangnya akan membuat tuntutan masing-masing kepada Pegawai Penerima. Pegawai Penerima akan menguruskan pembayaran kesemua hutang si bankrap itu daripada asetnya.

Penggulungan Syarikat

Ini juga satu prosedur yang diperuntukkan dalam undang-undang yang khusus iaitu, akta Syarikat 1965 dan Kaedah-Kaedah (Penggulungan) Syarikat 1972. Ringkasnya ia adalah seperti kebankrapan, tetapi ia terhadap syarikat.

Kedua-dua prosedur kebankrapan dan penggulungan syarikat amat popular, apatahlagi apabila berlaku kegawatan ekonomi.

Penguatkuasaan Penghakiman Bersalingan

Mahkamah Tinggi diberi kuasa untuk mendaftarkan penghakiman negara luar untuk dilaksanakan di sini. Kuasa ini diberi oleh Reciprocal Enforcement of Judgments Act 1958 (Akta Penguatkuasa Salingan Hukuman 1958). Kuasa ini Cuma berkenaan penghakiman-penghakiman Mahkamah Tinggi di Malaysia dan di negara-negara yang disebut dalam Jadual kepada Akta itu, iaitu United Kingdom, Hong Kong, Singapura, New Zealand, Sri Lanka, India (tidak termasuk beberapa negeri). Australia telah dikeluarkan dari senarai itu dalam tahun 1993. Dari senarai negara-negara itu dapat diperhatikan bahawa ia adalah negara-negara bekas jajahan British. Ini tidaklah menghairankan kerana undang-undang itu dibuat hanya setahun selepas Merdeka. Jika diperhatikan, negara-negara Asean pun (melainkan Singapura) tidak termasuk dalam senarai Jadual itu.

Penghakiman-penghakiman yang boleh didaftarkan ialah penghakiman Mahkamah-Mahkamah negara-negara itu yang setaraf dengan Mahkamah Tinggi di Malaysia dalam –

(a) prosiding mal;
(b) prosiding jenayah untuk pembayaran wang sebagai pampasan atau gantirugi kepada pihak yang cedera; dan
(c) (bagi penghakiman-penghakiman negara-negara Komanwel sahaja) awad timbangtara.

Syarat-syarat dan prosedurnya diperuntukkan dengan detail. Selama lebih 10 tahun saya di Mahkamah Tinggi saya baru dengar dua kes, kedua-duanya penghakiman Mahkamah Singapura. Sama ada penghakiman-penghakiman Mahkamah Malaysia ada didaftarkan untuk dilaksanakan di negara-negara salingan itu saya tidak tahu.

Penutup

Saya berpendapat, biar apa pun yang diperuntukkan oleh undang-undang, sama ada sesuatu penghakiman itu berkesan atau tidak, terletak kepada pelaksanaannya. Jika ia dilaksanakan dengan jujur, cekap dan cepat ia akan berkesan. Jika tidak, tidaklah.

Sebagai Hakim, kita membicarakan kes, meneliti keterangan dan undang-undang, membuat keputusan, menulis alasan penghakiman. Tetapi, yang memberi kesan kepadanya, atau tidak, ialah apa yang berlaku selepas itu. Penghakiman akan menjadi “penghakiman kertas” (paper judgement) jika pelaksanaannya tidak dilakukan dengan cara yang berkesan. Oleh itu kita perlu memantau apa yang dilakukan oleh kakitangan kita, dalam menjalankan tugas mereka mengenai pelaksanaan. Janganlah penghakiman yang “learned” itu dikecewakan oleh seorang kakitangan bawahan di peringkat pelaksanaan.

Akhir sekali, mungkin pada masa ini di Mahkamah tuan-tuan tidak ada kakitangan seperti Pendaftar dan Bailif yang berpengalaman. Pada pandangan saya eloklah mereka ditempatkan seminggu dua di Mahkamah-Mahkamah Sivil untuk melihat sendiri apa dan bagaimana kerja-kerja pelaksanaan dilakukan. Apa yang baik jadikanlah teladan, yang tidak baik jadikan pengajaran.

19 Ogos, 2000.

LAMPIRAN A
Kajian Kes (1)
No.Kes J76-1201-96
(Saman Penghutang Penghakiman)

13/12/93 – Penghakiman diberi

4/4/96 – Pemiuting penghakiman memfail Permintaan untuk mengeluarkan Saman Penghutang Penghakiman.

28/5/96 – Affidavit penyampaian difail

10/7/96 – Perintah pembayaran RM300 sebulan mulai Ogos 1996

8/9/97 – Pemiutang penghakiman memfail Notis Permohonan bagi mendapatkan Notis Penghakiman.

3/10/97 – Affidavit penyampaian difail.

9/4/98 – Perintah pemenjaraan 21 hari (Perintah difail pada 9/3/99).

5/4/99 – Penghutang penghakiman ditangkap dan dibawa ke penjara.

8/4/99 – Semua hutang dijelaskan, Penghutang dibebaskan.

Kajian Kes (2)
No. Kes 25-411-99
(Writ Penyitaan dan Penjualan)

7/7/98 – Penghakiman diberi

7/4/99 – Permintaan mendapatkan writ pelaksanaan difail.

15/4/99 – Writ penyitaan dan penjualan dikeluarkan.

2/7/99 – Pemiutang penghakiman membayar deposit RM1000.

28/7/99 – Penyitaan dilakukan.

11/8/99 – Tarikh jualan (yang ditetapkan)
(Ditangguhkan atas permintaan pemiutang penghakiman)

25/8/99 – Pemiutang penghakiman menarik balik writ penyitaan dan penjualan (hutang telah dijelaskan).

Kajian Kes (3A)
Kes No. 17-54-78-99
(Writ Distres)

16/4/99 – Permohonan Pemula ex-parte difail

28/4/99 – Perintah mengeluarkan writ distres diberi.

3/5/99 – Deposit RM1,500 dibayar.

5/5/99 – Writ distres dikeluarkan.

19/5/99 – Penyitaan dilakukan.

2/6/99 – Lelongan dijalankan.

Kajian Kes (3B)
No. Kes 24-148-99
(Writ Distres)

20/4/99 – Permohonan Pemula ex-parte difail

4/5/99 – Perintah mengeluarkan writ distres diberi.

18/5/99 – Perintah dan writ distres dikeluarkan

22/5/99 – Deposit RM1000 dibayar.

17/6/99 – Penyitaan dilakukan.

24/6/99 – Notis jualan dikeluarkan. Tarikh lelong 1.7.99.

30/6/99 – Pemohon menarik balik lelongan (hutang telah dijelaskan).

LAMPIRAN B
SCHEDULE
(Section 2,11and 12)
RECIPROCATING COUNTRIES
Australia-
State of New South Wales;
State of Queensland;
State of South Australia;
State of Tasmania;
State of Victoria;
State of Western Australia;
Capital Territory of Australia;
Territory of Norfolk Island;
Northern Territory of Australia;
Territory of Papua;
Cocos (Keeling Island); New Zealand;
Cook Islands (including Niue);
Western Samoa, Trust Territory of
Northern Ireland;
Norfolk Island;
Pakistan, Republic of;
Singapore,Republic of;
South Africa, union lf;
Wales
Brunei, State of;
Ceylon, Dominion of;
England;
Guernsey, Bailiwick of the Island of;
Hong Kong, Colony of;
India (excluding Jammu and Kashmir), Republic of;
Jersey, Island of;
Man, Isle of;

7,507 visits