PELETAKAN JAWATAN TUN RAUS SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA

PELETAKAN JAWATAN TUN RAUS SEBAGAI KETUA HAKIM NEGARA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Seawal bulan Mei 2017, ketika BN masih berkuasa, saya mempersoalkan keperlembagaan “pelanjutan” tempoh perkhidmatan Tun Raus sebagai Ketua Hakim Negara (KHN). Saya juga mencadangkan supaya beliau meletak jawatan, yang, saya berpendapat, jika dilakukannya pada masa itu, beliau boleh berbuat demikian dengan cara yang terhormat dan bermaruah dan beliau akan diingati kerana tindakannya itu.

BN kalah dalam PRU14 dan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri (PM) kerajaan PH. Kemudian, kita mendengar berita yang tidak menyenangkan ia itu Tun Raus pergi menemui Tun Dr. Mahathir. Seperti orang lain, saya menganggap bahawa Tun Raus tentulah dipanggil, diminta atau disuruh pergi menemui PM kerana, saya tidak fikir seorang KHN akan melakukannya atas inisiatifnya sendiri. Dalam artikel saya bertarikh 12 Jun 2017, saya menggunakan perkataan “minta”. Namun demikian, saya berpendapat bahawa PM tidak sepatutnya “meminta” Tun Raus pergi menemuinya dan Tun Raus pula sepatutnya menolak.

Selepas itu, terdapat berita yang lebih mengejutkan: Tuan Raus pergi menemui Tun Daim, Pengerusi Majlis Orang Kenamaan (Council of Eminent Persons) di pejabat Tun Daim. Sekali lagi, saya menggunakan perkataan “meminta”, sambil berhujah bahawa adalah tidak elok bagi Tun Daim “meminta” Tun Raus pergi menemuinya dan bagi Tun Raus berbuat demikian.

Pada 13 Jun 2018, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengeluarkan satu kenyataan. Kenyataan itu, antara lain, berkata:

1. Pada 15 Mei 2018, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah bertemu dengan YAB Perdana Menteri dan telah menyampaikan hasrat Yang Amat Arif-Yang Amat Arif untuk meletakkan jawatan.

2. Walau bagaimanapun, Yang Amat Arif-Yang Amat Arif telah memaklumkan kepada YAB Perdana Menteri bahawa peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada tarikh yang munasabah untuk membolehkan segala urusan kehakiman diselesaikan.

3. Selaras dengan pertimbangan sedemikian, Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah mengutus surat peletakan jawatan masing-masing kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018 dan peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 31 Julai 2018.

4. Peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 8 Jun 2018 dan dimaklumkan melalui surat Setiausaha Sulit, Bahagian Urusan Diraja, Istana Negara bertarikh 11 Jun 2018.”

Membaca perenggan pertama, nampak seolah-olah KHN, atas kehendaknya sendiri, tanpa dipanggil, dinta atau disuruh untuk pergi bertemu dengan PM, pergi menemuinya dan menyampaikan hasratnya untuk meletak jawatan.

Saya dapati sukar untuk menerimanya atas-atas sebab-sebab berikut:

1. Mengapa beliau patut berbuat demikian? KHN bukanlah seorang pelantikan politik yang patut meletakkan jawatan jika kerajaan pada masa beliau dilantik kalah dalam pilihan raya umum.

2. Mengapa beliau melakukannya hanya lima hari selepas keputusan pilihan raya diketahui?

3. Mengapakah Tun Raus menunggu sehingga 13 Jun untuk mendedahkannya, selepas beliau ditekan oleh ahli-ahli politik untuk meletak jawatan? Bukankah lebih baik baginya untuk menyatakannya sebelum beliau ditekan untuk meletak jawatan? Sekiranya beliau berbuat demikian, beliau akan dilihat sebagai melakukannya dengan terhormat. Sekarang, tiada siapa akan percaya bahawa beliau tidak meletakkan jawatan di bawah tekanan.

4. Kenapa Tun Raus menunggu sehingga 7 Jun (tiga minggu kemudian) untuk menulis kepada Yang di-Pertuan Agong yang meluluskannya pada hari berikutnya?

5. Ketika ahli politik PH, daripada PKR dan DAP, termasuk Lim Kit Siang, secara terbuka menuntut KHN meletak jawatan, mengapa Tun Dr. Mahathir tidak mengatakan bahawa Tun Raus telah menemuinya dan menyampaikan hasratnya untuk meletak jawatan? Itu akan menyebabkan kempen menekan Tun Raus untuk meletak jawatan dan bagi Tun Daim memanggilnya dan mendesaknya meletak jawatan itu tidak perlu. Selain daripada itu, ia akan mengelak kerajaan PH daripada dilihat sebagai menekan Tun Raus untuk meletakkan jawatan.

6. Malah, selewat 13 Jun 2018, apabila PM disoal oleh wartawan di Jepun, bukan sahaja beliau mempertahankan tindakan Tun Daim memanggil Tun Raus, tetapi juga dilaporkan berkata:

“Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Majlis itu telah menyatakan kepada hakim-hakim itu – Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin – bahawa lebih baik jika mereka meletak jawatan.

“Jika tidak, Kerajaan mungkin mengambil tindakan untuk melucutkan jawatan mereka kerana kita percaya bahawa pelanjutan jawatan mereka sebagai hakim kanan itu tidak betul,” katanya, sambil menambah bahawa pendapat itu juga dikongsi oleh Majlis Peguan Malaysia dan peguam-peguan terkemuka. “

Ini menunjukkan seolah-olah Tun Raus tidak menyampaikan hasratnya untuk meletak jawatan kepada PM.
7. Jika benar Tun Raus menyampaikan hasratnya untuk meletak jawatan seawal 15 Mei 2018, Tun Daim sepatutnya tahu dan tidak ada keperluan baginya untuk memanggil Tun Raus dan mendesaknya meletak jawatannya.

Sekarang Tun Raus telah meletak jawatan, kerajaan PH dan penyokong-penyokongnya tentu gembira. Mereka mungkin merasakan bahawa ini adalah satu lagi kemenangan mereka: mereka berkuasa, tiada apa yang boleh menghalang mereka daripada membuang sesiapa yang mereka mahu.

Peristiwa ini memihak kepada mereka kerana, pertama, oleh sebab Tun Raus telah meletak jawatan, mereka tidak perlu menunggu Mahkamah Persekutuan menyampaikan penghakimannya dalam saman oleh Persatuan Peguam-peguam Sarawak (AAS). Bukan itu sahaja, mereka juga terselamat dari risiko bahawa penghakiman itu mungkin tidak memihak kepada mereka.

Kedua, kerajaan PH tidak perlu mengambil tindakan untuk membuang Tun Raus, mengulangi episod Tun Salleh Abas. Walau bagaimanapun, saya menghujahkan bahawa walaupun tanpa tribunal, ia sudah menjadi ulangan episod itu dan ia merosakkan imej yang PH cuba mempamerkan dirinya semasa kempen PRU14.

Dalam hal ini, saya perlu menyebut seorang yang menentang Pengerusi partinya sendiri, PM dari parti gabungannya sendiri, Majlis Peguam dan lain-lain untuk menyuarakan pandangannya bahawa “pembelaan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad terhadap Majlis Orang Kenamaan (CEP) yang memanggil dua orang hakim tertinggi itu untuk mendesak mereka meletak jawatan, adalah tidak betul dan berlawanan dengan kedaulatan undang-undang.

Apabila ia (CEP) memanggil hakim-hakim itu dan menuntut peletakan jawatan mereka, ia akan dilihat sebagai kerajaan menuntut peletakan jawatan mereka yang secara menyeluruh mengabaikan prinsip pemisahan kuasa,” katanya.

“Ini adalah ciri asas mana-mana demokrasi iaitu, eksekutif tidak mengganggu hal ehwal badan kehakiman.”

Peguam itu berkata mengkritik pelantikan Ketua Hakim Negara, Raus Sharif dan presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin tidak salah, tetapi adalah satu perkara lain untuk memanggil mereka dan menuntut pengunduran diri mereka”.

Ini jelas salah. Perlembagaan Persekutuan menetapkan cara membuang hakim. Ini mesti dipatuhi sepanjang masa selaras dengan kedaulatan undang-undang.

CEP jelas telah melampaui sempadannya dalam kes ini yang tidak boleh dipatuhi.”

Pada 10 Jun, Ramkarpal berkata pengerusi CEP Daim Zainuddin tidak sepatutnya campur tangan dalam perkara yang terletak diluar bidangkuasa mereka.

Beliau merujuk kepada laporan bahawa Daim telah memanggil dua hakim untuk meminta pengunduran diri mereka.” (Freemalaysiatoday 13 06 2018). (Terjemahan saya).

Orang itu adalah Ramkarpal Singh, ahli Parlimen DAP.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan apa yang dikatakannya. Saya mengucapkan tahniah kepadanya kerana keberanian dan kejujurannya. Sesungguhnya, jika bapanya masih hidup, saya percaya beliau akan berkata demikian.

Satu perkara lagi yang dikatakan, termasuk oleh PM ialah jika Tun Raus tidak meletakkan jawatan, kerajaan akan mengambil tindakan untuk membuangnya.

Perlu diingati bahawa KHN boleh dibuang oleh tribunal yang dibentuk di bawah Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan jika dibuktikan bahawa beliau telah melakukan “pelanggaran mana-mana peruntukan kod etika yang ditetapkan di bawah Fasal (3B) atau alasan ketidakupayaan, dari kelemahan badan atau minda atau apa-apa sebab lain, dengan sewajarnya untuk menunaikan fungsi jawatannya, ….. “

Sekiranya pelanjutan perkhidmatan Tun Raus tidak sah, adakah ia termasuk di bawah peruntukan yang tersebut di atas? Adakah beliau patut dipersalahkan? Bukankah soal sah atau tidak pelantikannya satu persoalah undang-undang untuk diputuskan oleh mahkamah, bukan tribunal itu? Oleh itu, perbincangan mengenai membawanya ke tribunal adalah tidak berasas.

Terdapat pula kempen untuk melantik Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Besar (Sabah dan Sarawak) untuk menggantikan Tun Raus. Saya telah menyatakan pandangan saya mengenai ahli-ahli politik dan peguam-peguam yang menyokong parti pemerintah untuk berbuat demikian kerana ia menunjukkan bahawa Hakim itu adalah pilihan mereka. Jika apa yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini iaitu melanjutkan tempoh Tun Raus dilihat sebagai kerajaan BN meletakkan orangnya sebagai KHN, apakah bezanya dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan PH sekarang?

Saya tidak akan berhujah sama ada menyokong atau menentang pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai KHN. Saya lebih suka menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan proses yang berikutnya.

Walau bagaimanapun, kepada mereka yang memuji melangit mengenai kesesuaian Tan Sri Richard Malanjum, saya hanya ingin menarik perhatian mereka kepada satu laporan Malay Mail Online 12 Jun 2018. Tajuknya berbunyi: “Shafie mencabar Musa untuk mencabar kesahan jawatan KM Sabah …. “.

Dilaporkan:

“Shafie berkata bahawa beliau telah bercakap dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan beliau (Shafie) diyakinkan bahawa pelantikannya (sebagai Ketua Menteri Sabah) adalah sah mengikut Perlembagaan.”

Mengapa Tan Sri Richard Malanjum harus memberi nasihat undang-undang kepada Tan Sri Shafie Afdal, mengetahui bahawa perkara itu mungkin berakhir di Mahkamah Persekutuan, di mana beliau (Tan Sri Richard Malanjum) adalah seorang hakim? Adakah beliau cuba mengambil hati parti sekutu kerajaan PH dari Sabah?

Dengan peletakan jawatan Tun Raus, masalah penyingkirannya selesai tanpa mahkamah perlu memutuskan isu itu. Kerajaan PH dan penyokong-penyokongnya mendapat apa yang mereka kehendaki dan, mungkin, lebih apabila mereka berjaya meletakkan orang mereka di tempatnya. Tetapi, ia mengingatkan kita kepada pengulangan semula episod Tun Salleh Abas dan apa yang dilakukan oleh kerajaan BN diulang semula oleh kerajaan PH. Lebih dari itu, apa yang mendukacitakan ialah, nampaknya, jawatan KHN pun telah dipolitikkan.

17 06 2018

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

(NB. Rencana ini juga terpakai kepada Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar (Malaya).

526 visits