KEBEBASAN BADAN KEHAKIMAN: PENGALAMAN PERIBADI SAYA (BM)

MAJLIS ROFESOR NEGARA
PERBINCANGAN MEJA BULAT: KEBEBASAN BADAN KEHAKIMAN
10 Jun 2015

KEBEBASAN BADAN KEHAKIMAN: PENGALAMAN PERIBADI SAYA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
(Mantan Ketua Hakim Negara)

 

Saya bercakap dari pengalaman, bukan dari persepsi atau dari buku. Saya menghabiskan 21 tahun sebagai seorang pegawai dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pendakwaan. Saya menghabiskan 18 tahun dalam Badan Kehakiman, menjadikan sejumlah 39 tahun. Saya bersidang dalam semua mahkamah di negara ini dari Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Saya juga mempengerusikan Mahkamah Khas dan bersidang sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

Sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, saya mendengar rayuan yang melibatkan Ketua Menteri Barisan Nasional di sebuah Negeri. Penghakiman majoriti yang saya tulis menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk mmegang jawatan itu. Sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, saya mempengerusikan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan kes liwat pertama Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Penghakiman majoriti yang saya tulis melepas dan membebaskan beliau yang tidak disenangi oleh parti yang berkuasa dan Kerajaan. Sebagai Ketua Hakim Negara, saya mempengerusikan Mahkamah Khas yang mendengar tuntutan sivil terhadap mantan Yang Di Pertuan Agong dan Raja sebuah Negeri yang sedang bertakhta. Penghakiman sebulat suara Mahkamah yang saya tulis memerintahkan baginda membayar US1,000,000 kepada plaintif. (Anda boleh membaca alasan penghakiman saya di laman web saya).

Ketepikan kesopanan, saya fikir saya boleh berkata saya adalah lebih layak untuk bercakap dari pengalaman daripada semua orang yang ada di dalam dewan ini, termasuk Dato’ Mohamad Ariff Mohd Yusof.

Sepanjang 21 tahun saya berada dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, termasuk sebagai Ketua Pendakwaan, tidak ada sesiapa yang pernah mengganggu saya dalam membuat keputusan saya.

Apa yang berlaku kepada saya selepas saya menyebabkan Ketua Menteri Barisan Nasional hilang kelayakannya? Dalam keadaan biasa, saya telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Apa yang berlaku selepas kes yang melibatkan bekas Yang Dipertuan Agong? Pertama, baginda mematuhi perintah itu dan membayar. Tunjukkan kepada saya sebuah negara di mana perkara seperti ini berlaku. Malah Ratu England pun mengatasi undang-undang. Saya telah menghadiri satu Persidangan Hakim-Hakim Mahkamah Perlembagaan di Manila. Seorang Hakim Mahkamah Perlembagaan dari negara jiran berkata, “Di negara saya Menteri pun mengabaikan perintah mahkamah.” Malah, pada persidangan itu, ada seorang Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan di sebuah negara yang tidak mempunyai mahkamah: mahkamahnya telah dihapuskan oleh tentera dalam suatu rampasan kuasa. Rakyat Malaysia perlu belajar untuk menghargai kedudukan dalam negara mereka sendiri.

Apakah yang berlaku kepada saya selepas saya melepas dan membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim? Saya akui, parti pemerintah tidak senang dengan saya. Saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan. Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar (Malaya) adalah kosong. Terdapat percubaan untuk memintas saya. Bagi saya iru perkara biasa. Ia berlaku di mana-mana di dunia ini. Katakanlah saya mensabitkan Dato’ Sri Anwar dan Pakatan Rakyat berkuasa selepas itu, adakah tuan-tuan fikir Kerajaan Pakatan Rakyat akan melantik saya menjadi Ketua Hakim Negara? Tekaan anda adalah sama baik atau seburuk tekaan saya.

Biar apa pun, selepas pita video VK Lingam didedahkan, diikuti oleh Suruhanjaya Siasatan, saya telah ditawarkan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan sebulan kemudian, Ketua Hakim Negara dan tarikh pelantikan saya dikebelakangankan kepada tarikh pelantikan saya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Apabila saya bersara saya telah dilantik sebagai Pengerusi dan ahli pelbagai Jawatankuasa dan Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Kerajaan. Malah dalam keadaan saya sekarang ini pun, pandangan saya masih diminta, sekali-sekala.

Dalam 39 tahun kerjaya saya, tidak pernah sekali pun saya menerima panggilan telefon atau nota daripada, dan tidak seorang pun mendekati saya bagi pihak Pentadbiran, Eksekutif atau ahli-ahli politik untuk mengarahkan, meminta, mencadangankan atau membayangkan bahawa saya patut membuat keputusan dalam sesuatu kes begitu atau begini. Ya, adalah benar bahawa sebelum saya mendengar kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ada seorang (bukan ahli politik) pernah berkata kepada saya “Jika kamu melakukannya dengan betul, salah satu jawatan itu boleh menjadi milik kamu.” Saya menjawab, “Saya tidak tahu apa keputusan saya kelak. Tetapi saya bersedia untuk bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.” Selepas itu, saya berkata “Jika ada sesiapa yang cuba untuk mempengaruhi saya, saya akan naik ke mahkamah, saya akan isytiharkan secara terbuka dan menarik diri.” Tidak ada sesiapa yang cuba untuk mempengaruhi saya selepas itu. Saya tidak tahu mengenai hakim-hakim lain.

Semuanya bergantung kepada kita sendiri. SamaIah seperti rasuah. Saya akan ceritakan satu kisah benar. Semasa saya menjadi seorang Hakim Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang, saya telah membicarakan satu kes sivil yang melibatkan seorang ahli perniagaan Singapura keturunan Cina. Dia datang ke mahkamah dengan rakannya dari Pulau Pinang. Juru bahasa Cina saya terdengar perbualan mereka. Ahli perniagaan Singapura itu bertanya rakannya dari Pulau Pinang, “Adakah kamu fikir Hakim ini boleh disogok?” Rakannya dari Pulau Pinang itu menjawab, “Yang ini, saya tidak fikir boleh.” Perhatikan, mereka membuat penilaian sendiri sama ada seseorang Hakim boleh didekati atau tidak.

Sekarang, saya merujuk kepada Dato’ Mohamad Arif. Saya tahu bahawa beliau pernah bertanding pilihan raya sebagai calun PAS dan kalah. Namun demikian, saya mengesyorkan beliau untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan ia telah dipersetujui oleh Kerajaan. Adakah tuan-tuan fikir Kerajaan Pakatan Rakyat akan melantik seorang UMNO yang menjadi calun Barisan Nasional dan kalah untuk menjadi seorang Hakim? Tekaan anda adalah sama baik atau seburuk tekaan saya. Dato’ Arif telah disahkan sebagai Hakim dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Terus terang saya katakan, saya kecewa dengan beberapa penghakiman beliau. Saya hanya boleh berharap bahawa mahkamah yang lebih tinggi akan mengubah (reverse) penghakiman beliau. Itu sistem kita. Sekarang, saya minta beliau memberitahu kita pengalamannya: sama ada mana-mana ahli politik atau sesiapa sahaja yang berkuasa ke atasnya atau yang mewakili Pentadbiran pernah mengarahkan, mencadangkan atau membayangkan kepada beliau untuk membuat keputusan kes yang memihak kepada Kerajaan atau sama ada beliau pernah menerima apa-apa ancaman, ugutan, amaran atau peringatan daripada mereka atau sama ada sesiapa yang berkuasa pernah cuba untuk campur tangan dalam membuat keputusan beliau.

Sampai kepada tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Berapa orang daripada tuan-tuan dan puan-puan yang mempunyai pengalaman peribadi di mana tuan-tuan dan puan-puan telah kalah kes di mahkamah kerana Hakim itu tidak bebas? Berapa ramai daripada tuan-tuan dan puan-puan yang membaca penghakiman sesuatu kes kontroversi sebelum berkata mahkamah tidak bebas? Saya yakin bahawa kebanyakan orang telah pun membuat pendirian bagaimana keputusan kes itu patut dibuat tidak kira keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang terpakai. Jika keputusan itu memihak kepada mereka, soal kebebasan badan kehakiman tidak timbul. Jika tidak dan jika pihak yang satu lagi adalah kerajaan, alasan yang paling mudah adalah bahawa Mahkamah tidak bebas. Ramai orang semata-mata bergantung kepada apa yang ditulis oleh akhabar online dan penulis blog. Saya akan memberitahu satu pengalaman saya. Apabila saya ditawarkan jawatan Pengerusi suatu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan, saya berkata, mereka perlu menghantar kereta untuk menjemput saya dari rumah saya ke mesyuarat dan menghantar saya balik. Sebuah akhbar online melaporkan, “Beliau meminta sebuah kereta.” (Untuk maklumat anda, saya membuat permintaan yang sama kepada UiTM untuk datang ke sini hari ini, bahkan saya juga meminta seorang pegawai untuk membantu saya. Adakah saya meminta sebuah kereta lagi dan juga seorang pembantu?)

Tidak ada sesiapa dalam sejarah perundangan Malaysia yang telah mempersoalkan kebebasan badan kehakiman lebih daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, itu pun hanya apabila keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya. Di hadapan saya, pada hari pertama rayuan beliau didengar, beliau mahu saya menarik diri daripada membicarakan kesnya, mungkin kerana saya datang Permatang Tinggi Bakar Bata yang lebih dekat dengan Permatang Bertam, kampung Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu daripada Cherok Tok Kun, kampung beliau. (Peguam-peguamnya cuba memberikan beberapa sebab lain). Apabila saya menolak permohonannya, beliau bangun dan mengkritik saya dan mendakwa bahawa mahkamah tidak bebas. Apabila, pada akhir kes itu, saya membebaskan beliau, beliau bangun dan berkata, “Terima kasih, Yang Arif. Semoga Allah memberkati Yang Arif.” Peguam beliau berdiri untuk membuat ucapan memuji saya. Saya mengarah mereka untuk duduk kerana saya tahu bahawa mereka tidak akan membuat ucapan yang sama jika penghakiman saya tidak memihak anak guam mereka.

Ketika beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes liwat kedua, beliau tidak berkata mahkamah tidak bebas. Tetapi apabila Mahkamah Persekutuan mensabitkan beliau, badan kehakiman tidak bebas semula. Kesilapan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes itu ialah mereka keluar dari mahkamah memberi gambaran bahawa mereka lari. Mereka sepatutnya meminta beliau menunjukkan sebab mengapa beliau tidak patut dihukum kerana menghina mahkamah di hadapan mahkamah.

Selalunya, orang-orang yang mengkritik kebebasan badan kehakiman itu sendiri tidak bebas. Bagi mereka mahkamah adalah “bebas” apabila ia memberi keputusan yang memihak kepada mereka tetapi “tidak bebas” apabila ia memberi keputusan yang tidak memihak kepada mereka, terutama sekali jika pihak yang menang itu Kerajaan? Apabila mahkamah melentok ke belakang atau pun menulis semula undang-undang atas alasan membuat tafsiran, mereka memanggilnya “kreativiti kehakiman.” Jika mahkamah melakukan hal yang serupa untuk memihak kepada kerajaan (saya percaya ia tidak pernah berlaku di negara ini) saya pasti mereka akan berkata bahawa mahkamah telah melebihi bidang kuasanya! Kebebasan badan kehakiman bukan jalan sehaja. “Jika pengasingan kuasa hendak mempunyai apa-apa makna, ketiga-tiga cabang kerajaan perlulah menghormati bidang kuasa masing-masing. Tidak ada gangguan, tidak ada perampasan kuasa patut berlaku di antara satu sama lain.” Itulah apa yang saya katakan dalam kes Karunairajah Rasiah v Punithambigai Ponniah (2004) 2 CLJ 321 (juga boleh didapati di laman web saya), Penghakiman Mahkamah Persekutuan.

Pelantikan Hakim-Hakim biasanya adalah prerogatif Perdana Menteri atau Presiden. Di Malaysia, terdapat pula Majlis Raja-Raja yang bukan hanya getah chop dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Saya pernah menjadi seorang anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman selama dua penggal selepas persaraan saya. Saya ktakan bahawa tidak ada politik di sana. Benar, Perdana Menteri tidak terikat untuk menagikut syor Suruhanjaya. Tetapi, sepanjang tempoh saya menjadi ali Suruhanjaya itu, setakat yang saya ingat, tidak ada kes di mana Perdana Menteri menolak syor Suruhanjaya.

Semasa lawatan saya ke Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat, saya bertanya sama ada Presiden pernah menolak nama yang dicadangkan oleh jawatankuasa yang serupa dengan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kita. Jawapannya adalah, “Nama-nama itu telah diluluskan oleh Presiden sebelum mereka di bawa ke jawatankuasa itu.” (Nampaknya Presiden Amerika Syarikat lebih bijak dalam hal ini.) Jangan fikir bahawa Hakim yang dipilih melalui pilihanraya adalah lebih baik. Dalam lawatan yang sama, sebagai jawapan kepada soalan saya, kami diberitahu bahawa kebanyakan hakim-hakim yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah adalah hakim-hakim yang dipilih melalui pilihanraya. Saya bertanya kepada hakim yang memberi taklimat kepada kami: “Jika tuan diberi tugas untuk menulis semula Perlembagaan Amerika Syarikat, adakah tuan akan mengesyorkan bahawa hakim-hakim dipilih melalui pilihanraya?” Jawabnya, “Tidak sekali-kali.”

Saya akhiri ucapan saya dengan apa yang Tun Mohd Suffian pernah berkata kepada saya dalam 1970an semasa saya menjadi Timbalan Pendaftar. Katanya, “Kamu tahu Hamid, apabila Majlis Peguam berkata kita pro-Kerajaan dan Kerajaan kata kita anti-Kerajaan, itu bermakna kita bebas.”

Isu ini bukan baru.

Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://www.tunabdulhamid.me

 

820 visits