MENGAPA AKTA HASUTAN PERLU DIKEKAL DAN DIPERKEMASKAN?

UNIVERSITI TEKOLOGI MARA (UiTM)
PUSAT PENGAJIAN PERANG SARAF MEDIA DAN INFORMASI (CMIWS)
SEMINAR AKTA HASUTAN DAN KESELAMATAN NEGARA: ANTARA HAK DAN TANGGUNGJAWAB KEBEBASAN
10 Disember 2014
MENGAPA AKTA HASUTAN PERLU DIKEKAL DAN DIPERKEMASKAN?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad


 

Semenjak 14 Mac 2014, ini kali ke enam saya membentangkan kertas kerja atau berucap atas perkara yang sama. Dalam masa lebih kurang sembilan bulan itu saya melihat perkembangan yang berlaku dan saya mengemaskini kertas saya ini sesuai dengan perkembangan itu.

Akta Hasutan tidak patut dilihat hanya sebagai kata-kata atas kertas. Kita mesti tahu sejarah negara kita dan mengapa ia diwujudkan. Sama ada ia patut dikekalkan atau tidak hendaklah dilihat dari sudut sama ada keadaan itu masih ada atau tidak kerana keadaan itulah yang menjadi asas pengwujudannya.

Akta Hasutan asalnya dibuat oleh British dalam tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentabiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, megembangkan perasaan permusuhan antara kaum.

Akibat peristiwa 13 Mei Akta Hasutan 1948 telah dipinda dengan memasukkan seksyen 3(1)(f) yang menjadikan satu kesalahan bagi sesiapa yang mempersoalkan isu kerakyatan, kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak-hak terntentu yang diberi kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Perlu diambil perhatian bahawa ini dilakukan oleh Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa.

Sekarang, terdapat gerakan untuk memansuhkan Akta Hasutan. Siapakah mereka? Yang nampak di hadapan ialah Majlis Peguam dan NGO-NGO Cina. Parti-parti politik yang majority ahlinya orang Cina, tak kira pembangkang atau dalam BN juga sepakat dalam hal ini. PKR juga menyokong pemansuhan Akta Hasutan. Timbalan Yang Dipertua PAS dengan keras mengatakan PAS menuntut Akta Hasutan dimansuhkan. Saya ingin bertanya Yang Dipertua PAS, apakah pendirian rasmi parti itu?

Siapakah Majlis Peguam? Majlis Peguam samalah dengan majlis-majlis professional lain yang diperbadankan oleh undang-undang, terutama sekali, untuk menjaga disiplin anggota-anggotnya seperti Majlis Perubatan Malaysia dan Lembaga Arkitek Malaysia. Manakala badan-badan yang lain itu menjalankan tugas mereka seperti yang ditetapkan, Majlis Peguam bertindak seperti sebuah parti politik pembangkang dan mengambil peranan untuk mengajar Kerajaan dalam melaksanakan tugasnya. Ia bersekongkol dengan parti-parti pembangkang yang juga menuntut perkara-perkara yang sama.

Selain daripada itu terdapat juga NGO-NGO lain seperti KOMANGO. Kumpulan-kumpulan ekstremis ini dan juga individu mula membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, meyerang hak-hak orang Melayu, menghina lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi Raja-Raja dan menghina agama Islam. Ketiadaan tindakan tegas terhadap mereka dilihat oleh mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka menuntut lebih lagi.

Apa sebab mereka mahu Akta Hasutan dimansuhkan? Bagi NGO-NGO, parti-parti pollitik dan individu bukan Melayu/Islam sebabnya ialah karana mereka hendak menyoal perkara yang dilarang itu, selain daripada berkenaan kerakyatan kerana itu memihak kepada mereka. Ertinya, mereka tidak puas hati dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu. Merka mahu hak-hak yang disebut dalam Perlembagaan itu di mansuhkan juga. Akta Hasutan menjadi penghalang. Maka Akta Hasutan perlulah dimansuhkan dulu. Itulah sebabnya. Bagi PKR, semata-mata untuk mengambil hati pengundi-pengundi bukan Melayu/Islam dan DAP. Bagaimana dengan PAS? Hanya satu alasan yang boleh diberi: ia cuma mengikut cakap sekutunya.

Mereka kata Akta Hasutan itu peninggalan penjajah. Bagaimana dengan Penal Code, Evidence Act, Contracts Act dan lain-lain? Mengapa tidak hendak dimansuhkan? Perlu dingati, seksyen 3(1)(f) bukan peninggalan penjajah. Ia diwujudkan seleps peirstiwa 13 Mei tahun 1969.

Mereka kata Akta itu boleh disalahgunakan. Semua undang-undang, semua kuasa dan semua kedudukan boleh disalahgunakan, jika hendak disalahgunakan. Bukankah kita mengamalkan sistem berparlimen untuk mengawalselia penyalahgunaan kuasa? Mamansuhkan undang-undang kerana takut ia disalahgunakan samalah dengan seorang yang menjual kereta mewahnya kerana takut memandunya dengan laju!

Mereka kata, pemansuhannya tidak menjejaskan hak-hak yang tersebut itu. Saya kata, jika tidak, mengapa mereka hendak memasuhkannya? Sebenarnaya, memansuhkan Akta Hasutan adalah langkah pertama untuk membolehkan mereka menyoal hak-hak yang dilindungi itu. Selepas itu bolehlah mereka berkempen untuk menghapuskannya.

Mereka kata, Akta Hasutan menghlang perpaduan. Oleh itu ia perlu dimansuhkan. Dalam kata-kata lain, mengikut hujah mereka, berikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, mempersoalkan kedudukn Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik seorang yang berkata “Kalau mahu tebuan berada di dalam sarangnya, joloklah sarangnya kuat-kuat.” Cubalah!

Alasan bahawa Akta Hasutan perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas lansung. Ia hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak sukakannya. Yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Perhatilah betapa serupanya isi kandungan RUU Harmoni dengan tuntutan COMANGO yang dibuat di Geneva dalam tahun 2013. Sebenarnya di antara orang-orang yang membuat tuntutan COMANGO dan yang menggubal RUU Harmoni yang hendak memansuhkan Akta Hasutan adalah orang-orang yang sama atau mempunyai pendirian yang sama. Anihnya, mereka dilantik oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk duduk dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang melantik mereka menganggotai Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU&D) yang menggubal RUU Harmoni. Ketawalah mereka.

Dalam hal ini tiga “highjacking” telah berlaku. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhhkannya, hendaklah datangnya dari kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai mahklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai kententeraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya. Bagaimana Menteri di Jabatan Perpaduan Negara, boleh mengambil alih bidangkuasa ke atas Akta Hasutan itu dan menyerahkan kepada Majlis Peguam untuk menggubal undang-undang untuk memansuhkannya?

Kedua, mengikut procedure biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan (dalam hal ini, KDN) sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang-kurangnya di pringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Encik Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Mengapa lantik pembangkang untuk menentukan dasar, walau pun di peringkat awal?

Ketiga, mengikut procedure biasa, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, gubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, gubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Mengapa?

Mendapat peluang itu, Majlis Peguam terus menggubal apa yang dikenali sebagai Rang Undang-Undang Harmoni. Isi kandungannya mirip tuntutan KOMANGO dan pemansuhan Akta Hasutan.

Selepas itu mereka terus mengadakan “Townhall Meetings” untuk menerangkan cadangan mereka. Siapa yang menghadiri “Townhall meetings” itu? Adakah “Townhall Meetings” diadakan di kampung-kampung, di rumah-rumah panjng dan di kawasan pedalaman. Tak cukup degan itu, dari apa yang yang boleh dilihat dari laman web The Malaysian Bar dan laporan The Malaysian Insider, persatuan-persatuan peguam dari merata dunia memberi sokongan kepada Majlis Peguam dalam hal ini. Mengapa mereka harus campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia? Siapa yang meminta sokongan mereka? Tuan-tuan boleh teka sendiri. Singapura masih mempunyai Akta Hasutan (Sedition Act). Singapura tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang di bawah akta itu. Tiada pula sesiapa mengeritiknya. Mengapa persatuan-persatuan peguam itu tidak menuntut supaya ia dimansuhkan?

Singapura tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang. Daripada kes-kes yang saya temui, semua orang yang dituduh dan dihukum adalah orang bukan Islam kerana kesalahan terhadap orang Islam. Sebagai misalan, sepasang suami isteri Cina beragama Kristian dihukum penjara 4 minggu masing-maing kerana mengedar bahan cetak yang menghasut (distributing seditious publications) kepada dua orang perempuan Islam.

Seorang lagi dituduh kerana membuat kenyataan yang mengandungi kata-kata yang lucah dan menghina (insulting) terhadap orang Melayu dan agama mereka, Islam. Dia dikenakan sebulan penjara. Semasa menjatuhkan hukuman bagi kedua-dua kes itu, pada 7 Oktober 2005, Hakim Kanan Mahkamah Daerah Richard Magnus berkata adalah penting untuk menjatuhkan hukuman yang mencegah (deterrent) supaya perbuatan yang menyakitkan hati (offending) itu boleh ditangani dari awal dan dikawal. Beliau mengingatkan peistiwa rusuhan kaum dalam tahun 1964 di Singapura dan bahawa kenyataan yang tak bertanggungjawab mengenai bangsa dan agama boleh menggugat ketenteraman awam.

Tindakan itu diambil walaupun Perlembagaan Republik Singapura tidak mempunyai peruntukan bahawa Islam adalah agama Republik itu dan juga tidak ada peruntukan yang membolehkan undang-undang dibuat untuk melarang orang bukan Islam daripada menyebar agama bukan Islam kepada orang Islam. Tindakan itu diambil atas alasan ia boleh menggugat ketenteraman awam. Malaysia patut belajar daripada Singapura.

Soalannya ialah adakah keadaan yang menyebabkan undang-undang itu diwujudkan sudah tidak ada? Saya kata, ia masih ada malah lebih serius.

Maka Akta Hasutan hendaklah dikekalkan. Seterusnya saya mencadangkan supaya Akta Hasutan dipinda untuk memasukkan Perkara 3 (agama Islam sebagai agama Persekutuan), Perkara 8(4)(c) (perlindungan, kesentosaan dan pemajuan orang asli), Perkara 8(4)(f) (menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu) dan Perkara 89 (tanah simpanan Melayu) ke dalam seksyen 3(1)(f). Ini saya telah ulang beberapa kali. Kali terakhir sebelum hari ini ialah dalam ucapan saya di Konvensyen Perpaduan Nasional pada 23 November 2014.

Kerajaan telah membuat kesilapan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya boleh faham mengapa Deklarasi Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan. Untuk mengatakan selepas tahun 2,000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari segi undang-undangn ia adalah sah.

Tetapi saya dapati sukar untuk memahami mengapa ISA juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA dibuat di bawah Perkara 149 untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa 13 Mei? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, kominis, militant Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Guantanamo? (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Guantanamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam lman web saya: http://www.tunabdulhamid.my)

Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.

Adalah mendukacitakan bahawa pemansuhan ISA dibuat tanpa memberi peluang kepada orang ramai, terutama sekali orang Melayu dan NGO Malayu, malah UMNO juga, untuk menyuarakan bantahan mereka. Pembangkang, Majlis Peguam dan Ngo-Ngo bukan Melayu memang dari awal lagi menentang ISA. Ertinya, hanya merekalah yang didengar.

Sekarang mari kita lihat perkembangan yang berlaku mengenai Akta Hasutan.

Pada 23 November 2014, hari Konvensyen Perpaduan Nasional anjuran NGO-NGO Melayu/Islam diadakan, Mingguan Malaysia menyiarkan wawancara YAB Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Abdul Razak di mana beliau berkata, saya petik:

“Tetapi kita tahu bahawa Majlis Peguam ini memang tidak menyokong kita selama ini. Jadi kenapa kita hendak pakai draf daripada Majlis Peguam. Akhirnya kita akan pakai draf daripada Peguam Negara.”

Pada 26 Novmber 2014 Utusan Malaysia melaporkan bahawa YAB Tan Sri Mahyidin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, dlam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO, berkata:

“Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya Akta ini wajib dikekalkan degan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak mempersoalkan jaminan Perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayan agama masing-masing. Bagitu juga dengan kedudukan Tanah Rezab Melayu dan Regiment Askar Malayu Diraja yang merupakan sebagai sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu, perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut.”

Mengikut laporan Utusan Malaysia bertarikh 27 November 2014, ketiga-tiga sayap UMNO mengambil pendirian menentang pemansuhan Akta Hasutan.

Pada hari yang sama, YAB Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Akta Hasutan tidak akan dimansuhkan. Sebaliknya, ia akan diperkuat dan diperkukuhkan sekurang-kurangnya dalam dua perkara. Dua perkara itu ialah, pertama, peruntukan untuk malindungi kesucian agama Islam dan tidak boleh menghina agama-agama lain. Kedua, tindakankeras ke atas sesiapa yang menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia – Utusan Malaysia 28 November 2014.

Saya berani berkata bahawa semua ini adalah hasil daripada bantahan Ngo-Ngo dan orang Melayu.

Adakah itu bererti bahawa saya atau kita patut berhenti di sini? Tidak. Jangan terlalu cepat gembira dan bersorak. Kita perlu memastikan bahawa apa yang dikatakan itu akan dilaksanakan seperti yang ia sepatutnya dilaksanakan. Maka kita mesti memerhati dan memberi perhatian kepada peruntukan-peruntukan yang akan dimasukkan dan seterusnya bagaimana ia dilaksanakan.

Masalah kita bukan hanya setakat itu. Kita perlu pertahankan hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam dan lain-lain hak kita yang diperuntukkan dalam Perlembagaan sambil kita menghormti hak-hak orang lain.

Pelajar-pelajar UiTM patut ingat bahawa semasa peristiwa 13 Mei 1969, ada pihak yang datang ke kampus ini dan menjerit, “Melayu balik kampung.” Hari ini pun ada pihak yang sedang menuntut supaya UiTM dibuka kepada semua bangsa. Tanyalah diri sendiri, “Tanpa MARA di mana aku?” “Jika UiTM dibuka kepada semua bangsa, di mana aku?” Juga ingatlah bahawa kebanyakan saudara saudari, seperti saya juga, adalah genarasi pertama yang baru keluar dari kampung atau kawasan pedalaman. Jangan sudah lupa daratan. Jalan yang saudara saudari baru hendak lalui itu telah lumat dilalui orang lain sebelumnya. Ambillah sedikit iktibar daripada pengalaman mereka. Akhir sekali, manfaatkanlah peluang dan kemudahan yang diberi dan belajarlah berterima kasih dan bersyukur.

Sekian. Terima kasih

1,397 visits