PENGAMPUNAN DATO SERI ANWAR DAN KEADILAN KEPADA SAIFUL

PENGAMPUNAN DATO’ SERI ANWAR DAN KEADILAN KEPADA SAIFUL
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Saya perlu ulangi bahawa dalam tahun 2004, sayalah yang menulis alasan penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan yang membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) daripada sabitan kes liwatnya yang pertama. Itu saya lakukan semata-mata berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang berkenaan.

Demikian juga, apa yang saya akan katakan dalam rencana ini adalah semata-mata berdasarkan prinsip, bukan sama ada DSAI patut diampun atau tidak.

Pertama, kita perlu bezakan kes liwat DSAI yang pertama dengan yang kedua.

Dalam kes pertama, Azizan tidak terus membuat laporan polis bahawa dia telah diliwat oleh DSAI selepas kejadian berlaku. Mungkin dia berbuat demikian beberapa tahun kemudian (saya tidak ingat), setelah siasatan bermula untuk membuktikan DSAI telah melakukan kesalahan itu untuk menjadi alasan kepada tindakan Tun Dr. Mahathir (Tun Dr M) menyingkir DSAI sebagai Timbalan Perdana Menteri. Itulah yang menimbulkan tuduhan konspirasi dan sebagainya.

Walaupun secara peribadi saya percaya kejadian itu berlaku, tetapi, sebagai seorang hakim, saya hanya boleh mensabitkan kesalahan berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang berkenaan. Atas alasan itulah saya membebaskan beliau.

Kes yang kedua berlianan. Beberapa hari selepas kejadian, Saiful membuat laporan polis di susuli dengan sumpah laknat, manakala DSAI tidak membuat sumpah itu. Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, kesemuanya lapan orang hakim, sebulat suara menerima keterangan bahawa DNA DSAI ditemui dalam dubur Asrul dan berpuashati bahawa pertuduhan itu telah terbukti mengikut undang-undang.

Itu perbezaan antara kedua-duanya.

Apabila Tun Dr M meminta maaf kepada DSAI (jika beliau berbuat demikian), kebanyakan orang beranggapan bahawa ia melibatkan kedua-dua kes itu. Sebenarnya tidak.

Tun Dr M hanya boleh meminta maaf mengenai kes pertama kerana beliaulah yang menggerakkan polis untuk menyiasat DSAI untuk menjadi alasan penyingkiran DSAI olehnya. Dalam kes kedua, beliau tidak terlibat langsung. Beliau telah pun bersara. Lagi pula, beliau tidak boleh meminta maaf bagi pihak Saiful.

Sekarang, oleh sebab Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) telah menang PRU 14 dan DSAI hendak dijadikan Perdana Menteri (PM), maka beliau hendak diampunkan. Sekali lagi saya tekankan saya tidak mempersoalkan sama ada beliau patut diampunkan atau tidak. Tetapi, ada beberapa isu yang saya ingin bangkitkan.

Pertama, atas asas apa pengampunan itu hendak diberi? Adalah jelas bahawa sebabnya ialah kerana parti DSAI telah menang, untuk membolehkan beliau bertanding dalam pilihanraya kecil untuk menjadi ahli parlimen dan dilantik menjadi perdana menteri. Untuk membolehkan semua itu, kesalahan jenayahnya kepada seorang individu hendak diampun. Ertinya, oleh sebeb beliau berkuasa, kesalahannya diampunkan.

Dalam kemeriahan menyambut kemenangan, semua perhatian tertumpu kepada DSAI dan Tun Dr M: parti DSAI telah menang pilihanraya dan Tun Dr M telah meminta maaf kepadanya, maka beliau hendaklah diampunkan. Itulah tuntutan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PKR dan PH. Dilaporkan juga bahawa Yang diPertuan Agong telah bersetuju.

Tidak sesiapa menyebut mengenai Saiful. Nampaknya dia telah dilupakan langsung. Adakah dia tidak relevan semata-mata kerana dia seorang individu sedangkan di sebelah lagi adalah sebuah parti yang telah mendapat berjuta-juta undi dan telah pun membetuk kerajaan?

Jika itulah pendirian mereka, saya khuatir mereka telah bermula dengan satu kesilapan ia itu “might is right” (kekuatan adalah kebenaran).

Adalah diharapkan Lembaga Pengampunan tidak akan terikut-ikut dengan keghairahan pihak yang berkuasa hingga melupai langsung keadilan kepada individu yang lemah. Maka, dalam membuat pertimbangan dan keputusan, sekurang-kurangnya, Lambaga Penganpunan hendaklah mengambil ingatan mengenai keadilan terhadap Saiful.

Kedua, mengenai laporan bahawa Yang diPertuan Agong telah bersetuju. Jika laporan itu benar, ia tidak sepatutnya berlaku. Yang diPertuan Agong tidak boleh mengampun sesuka hati atau atas budibicara baginda sendiri. Ada prosedur yang perlu diikuti.
Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat terlebih dahulu. Ia perlu mendengar apa-apa laporan Peguam Negara. Mengikut amalan, laporan hakim / mahkamah yang mensabitkannya juga diminta. Setelah menimbang semua laporan-laporan mengenainya, barulah mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan olah Yang DiPertuan Agong itu membuat keputusannya.

Jika, sebelum Lembaga Pengampunan membuat keputusannya, Yang diPertuan Agong telah pun bersetuju atau berjanji pengampunan akan diberi, ianya samalah seperti Ketua Hakim Negara menyatakan atau berjanji akan membebaskan seseorang sebelum Mahkamah Persekutuan bersidang dan membuat keputusan!

Mungkin dihujahkan bahawa itu adalah pandangan peribadi baginda. Walau pun itu pandangan peribadi baginda, baginda tidak boleh menyatakannya. Bagaimana hendak dikatakan baginda tidak berat sebelah, atau, sekurang-kurangnya, tidak nampak seperti  berat sebelah? Bagaimana hendak dikatakan baginda tidak telah pun membuat keputusan sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan? Bagaimana hendak dikatakan baginda telah tidak mempengaruhi ahli-ahli lain sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan berlangsung?

Jika perkara seperti itu dilakukan oleh seorang hakim, paling kurang, beliau perlu menarik diri daripada membicarakan kes berkenaan atau, jika hakim itu telah membuat keputusan, keputusan itu semestinya akan diketepikan oleh mahkamah yang lebih tinggi. Demikian juga jika perkara seperti itu dilakukan oleh Pengerusi sebuah tribunal. Jika keputusan telah dibuat, semestinya ia akan dipadam (quashed) melalui semakan semula kehakimam (judicial review). (Saya tidak mahu berkata apa-apa mengenai semakan semula terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.)

14 05 2018

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

2,343 visits