JANGAN GANGGU PEMBAHAGIAN BIDANG KUASA MAHKAMAH SIVIL DAN MAHKAMAH SYARIAH

JANGAN GANGGU PEMBAHAGIAN BIDANG KUASA MAHKAMAH SIVIL DAN MAHKAMAH SYARIAH
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Saya menulis artikel ini berdasarkan fakta seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2016. Akhbar itu telah melaporkan bahawa berbangkit daripada cadangan meminda Akta 355, satu “Jawatankuasa Pemilihan yang terdiri daripada ahli Parlimen Islam dan bukan Islam daripada pihak kerajaan dan pembangkang akan dibentuk bagi memperhalusi perkara yang tidak jelas mengenai pembahagian kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

“Jawatankuasa Pemilihan ini diharap dapat menghalusi semua aspek yang menjadi kebimbangan kepada ahli Parlimen bukan Islam sama ada dalam Barisan Nasional (BN) atau pembangkang agar kedua-dua pihak dapat berbahas dan berbincang.”

Adalah jelas bahawa Jawatankuasa Pemilihan ini hendak ditubuh kerana:

1. Pindaan itu akan menyentuh pembahagian bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah;

2. Ia membangkitkan kebimbangan orang bukan Islam.

Sebenarnya, kedua-dua anggapan itu adalah tidak betul dan tidak berasas. Ia timbul daripada salah faham mengenai kesan pindaan itu.

Pindaan itu tidak ada kena mengena dengan pembahagian bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Pindaan itu hanya untuk membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang:

a. Untuk menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah mengenai hukuman bagi kealahan-kesalahan jenayah yang terletak dalam bidang kuasa Negeri (Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.)

b. Untuk menambah hukuman kepada kesalahan-kesalahan jenayah yang terletak dalam bidang kuasa Negeri (Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Ia hanya akan melibatkan kesalahan-kesalahan yang terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Bidang kuasa Mahkamah Sivil tidak tersentuh langsung. Soal pembahagian bidang kuasa antara kedua-dua mahkamah itu tidak berbangkit langsung. Mengapa pembahagian bidang kuasa kedua-dua mahkamah itu hendak “diperhaluskan”?

Mengenai kebimbangan orang bukan Islam, ini juga tidak berasas. Jika pindaan itu diluluskan dan selepas itu DUN membuat undang-undang seperti (a) dan (b) di atas pun, undang-undang itu hanya akan melibatkan orang bukan Islam. Apa yang orang bukan Islam hendak bimbang?
Perlembagaan kita telah digubal oleh Hakim-Hakim yang berpengalaman daripada empat buah negara. Sebagai seorang Hakim yang banyak menulis (penghakiman, kertas kerja, artikel dan ucapan) mengenainya, saya amat kagum dengan kepakaran dan kebijaksanaan mereka. Mereka faham mengenai pembahagian kuasa di antara Persekutuan dan Negeri, yang mereka gubal, dan menggubal bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah sesuai dengannya.

Dua misalan ialah:

1. Pembahagian bidang kuasa mengenai “undang-undang jenayah” (yang diberikan kepada Mahkamah Sivil) dan kesalahan-kesalahan mengenai “suruhan agama Islam” (precepts of Islam) (yang diberikan kepada Mahkamah Syariah);

2. Pembahagian bidang kuasa untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir (Letters of Administration) dan Probet (Probate) (yang diberikan kepada Mahkamah Sivil) dan untuk menentukan undang-undang Islam (hukum syarak) dalam pembahagian pesaka, iaitu menentukan waris dan bahagian masing-masing mengikut faraid (yang diberikan kepada Mahkamah Syariah.)

Apa yang menyebabkan masalah ialah salah faham, tidak faham mengenainya atau senghaja mahu mengambil alih bidang kuasa Persekutuan dan Mahkamah Sivil.

Pembahagian bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah adalah soal undang-undang, bukan politik. Kebanyakan ahli Parlimen tidak mempunyai kepakaran dalam hal penggubalan Perlembagaan atau undang-undang. Mereka juga terikat dengan kepada pendirian parti masing-masing. Perbincangan atau perbahasan mereka mengenainya tentu sekali mengikut pendirian parti masing-masing.

Soal mentafsir Perlembagaan terletak dalam bidang kuasa Hakim Mahkamah Sivil, bukan ahli Parlimen. Tugas in telah dilaksanakan oleh Hakim-Hakim. Saya sendiri telah melakukannya dalam beberapa kes daripada Mahkamah Tinggi hingga ke Mahkamah Persekutuan. Ahli Parlimen tidak patut cuba mengambil alih tugas ini.

Sebenarnya, tidak ada masalah dalam mentafsirkan peruntukan Jadual Kesembilan. Jangan buat masalah.

Kerajaan dan Parlimen sepatutnya menumpukan perhatian kepada cadangan yang saya buat 20 tahun dahulu untuk mengatasi masalah bidang kuasa yang berbangkit kerana:

1. Salah satu pihak dalam kes mal yang terlek dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah orang bukan Islam;

2. Dalam sesuatu kes di mahkamah Sivil di mana terdapat isu Hukum Syarak;

3. Dalam sesuatu kes di Mahkamah Syariah di mana terdapat isu undang-undang sivil.

(Jika ingin tahu lebih lanjut sila hubungi saya.)

Saya harap YB Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan meneruskan dengan cadangannya itu. Jangan tembak sasaran yang salah. Nanti banyak masalah lain akan timbul.

2 11 2016

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tuabdulhamid.me