PERANAN JAKSA PENDAMAI

PERANAN JAKSA PENDAMAI

Oleh

Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamed
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang

 

Seperti banyak institusi lain di negara kita, Jaksa Pendamai (Justice of Peace) telah dibawa masuk dari England.

Di England, institusi ini telah wujud beratus-ratus tahun. Pada mulanya mereka dikenali sebagai “keepers of the peace” (penjaga keamanan). Dalam abad ke 14 mereka diberikuasa kehakiman. Pada masa ini peruntukan undang-undang berkenaan perlantikan, kelayakan, bidangkuasa dan lain-lain yang berkenaan mereka, terdapat dalam beberapa Akta Parlimen. Kuasa mereka termasuklah mengeluarkan saman, waran dan membicarakan kes. Apabila mereka membicarakan kes, mereka bersidang seramai 3, 5 atau 7 orang dengan dibantu oleh seorang “Justices’ Clerk” yang berkelulusan undang-undang. Mereka tidak dibayar gaji tetapi boleh dibayar elaun perjalanan dan perbelanjaan sebenar.

Di Malaysia peruntukan berkenaan perlantikan dan kuasa Jaksa Pendamai terdapat dalam Akta Mahkamah Rendah 1948 (Subordinate Courts Act 1948), bersama-sama dengan peruntukan berkenaan penubuhan dan bidangkuasa Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu dan perlantikan Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret.

Pada suatu masa dahulu, peruntukan berkenaan penubuhan dan bidangkuasa Supreme Court, Court of Appepal dan High Court pun terdapat dalam undang-undang yang sama, yang dikenali dengan Courts Ordinance 1948. Sekarang ini peruntukan mengenai bidangkuasa Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi terdapat dalam Akta Mahkamah Keadilan 1964 (Courts of Judicature Act 1964), manakala peruntukan mengenai penubuhan dan perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini jelas menunjukkan bahawa institusi Jaksa Pendamai adalah sebahagian daripada institusi Mahkamah. Mungkin pada mulanya pemerintah Inggeris bercadang untuk memberi peranan yang sama kepada Jaksa Pendamai di Malaya seperti di England. Tetapi entah mengapa ia tidak berlaku demikian.

Mungkin dengan tujuan supaya Jaksa Pendamai menjalankan tugas seperti di England maka kuasa yang biasanya dilakukan oleh Majistret terberi kepada Jaksa Pendamai.

Di sini eloklah disenaraikan secara ringkas kuasa Jaksa Pendamai di bawah undang-undang kita:

  1. Kuasa sebagai seorang Majistret Kelas 2 – seksyen 99 Akta Mahkamah Rendah 1948
  2. Kuasa menangkap seseorang yang melakukan kesalahan di kehadirannya (in his presence) dalam lengkongan bidangkuasa – seksyen 30 Kanun Acara Jenayah (Criminal Procedure Code).
  3. Kuasa mengeluarkan waran bongkar (search warrant) terhadap bangunan dan orang atau dengan sendirinya memasuki bangunan itu jika Jaksa Pendamai itu percaya bahawa bangunan itu digunakan rumah judi terbuka (common gamming house) – seksyen 16 Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 12 Akta Pertaruhan 1953.
  4. Kuasa-
    (a) mengakusaksi (attestation) sesuatu nota janji hutang (promissory note) jika penghutang tidak faham bahawa nota itu – seksyen 27 Ordinan Pemberi pinjam wang 1951 (Moneylenders Ordinance 1951);
    (b) mengesahkan (authentication) Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney Ordinance 1949);
    (c) mengambil sumpah wakil pilihanraya berkenaan perbelanjaan pilihanraya – seksyen 23, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Election Offences Act 1954);
    (d) pengesahan pindaan (attestation of alteration) dalam perjanjian dengan anak kapal – seksyen 107, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (Merchant Shipping Ordinance 1951).
  5. Mahkamah tidak boleh mengambil kognisasi kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda 1947 (Children and Young Persons Act 1947) tanpa sanksi (sanction) oleh Timbalan Pendakwa Raya atau atas aduan yang dibuat oleh, antara lain, seorang jaksa pendamai.
  6. Jaksa pendamai boleh melawat penjara dalam Negeri untuk memeriksa keadaan penjara dan banduan dan boleh menyoal banduan dan pegawai-pegawai penjara dan memberi pandangannya dalam Buku Lawatan – seksyen 68, Akta Penjara 1952 (Prisons Ordinance 1952).

Elok diambil perhatian di sini, kuasa-kuasa yang diberi kepada Jaksa Pendamai kesemuanya terdapat dalam undang-undang sebelum merdeka. Undang-undang yang baru dibuat selepas merdeka tidak memberi kuasa-kuasa baru kepada Jaksa Pendamai. Mungkin ini kerana pada masa ini kita mempunyai berbagai-bagai Jabatan yang mempunyai pegawai, kakitangan dan peralatan yang cukup dan sesuai untuk menjalankan tugas-tugas itu.

Berkenaan kuasa-kuasa yang masih dikekalkan pun, adalah tidak praktikal, pada masa ini, bagi seseorang Jaksa Pendamai melaksanakannya sendiri.

Majistret Kelas Satu juga pada masa ini, cuma menjalankan kerja-kerja di Mahkamah membicarakan kes-kes. Mereka tidak digalakkan membuat tangkapan dan sebagainya. Kerana, itu lebih sesuai dilakukan oleh polis, khususnya, yang mempunyai kakitangan yang terlatih dan peralatan yang perlu.

Pada pandangan saya, dalam keadaan hari ini, lebih baik tugas membuat tangkapan, atau memasuki rumah judi terbuka untuk menyiasat itu, diserahkan kepada pihak polis.

Kuasa mengeluarkan waran bongkar adalah satu kuasa yang diberikan kepada Majistret dan juga Jaksa Pendamai. Dalam perkara ini pun pada pandangan saya, lebih baik tugas ini diserahkan kepada Majistret Kelas 1 yang mempunyai kakitangan, latihan dan pengalaman.

Tidak ada halangan bagi Jaksa Pendamai melakukan tugas-tugas lain yang saya senaraikan di atas, selain daripada membicarakan kes yang saya akan bincang sekarang.

Jaksa Pendamai sebagai Majistret Kelas 2, mempunyai kuasa membicarakan kes. Di England, melainkan di London dan beberapa kawasan lagi, Justices of the Peace membicarakan kes. Malah mereka adalah Majistret.

Di negara kita, sepanjang yang saya tahu Jaksa Pendamai tidak pernah membicarakan kes.

Pada masa ini, tugas membicarakan kes dijalankan oleh Majistret Kelas 1 yang adalah Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan berkelulusan undang-undang. Pegawai-Pegawai Tadbir, Pegawai Daerah dan lain-lain, walau mereka adalah ex officio First Class Majistret, juga tidak membicarakan kes.

Majistret Kelas 2, selain daripada Pendaftar Mahkamah Rendah, dan Penghulu juga tidak membicarakan kes lagi. Mahkamah Penghulu hanya tinggal dalam buku undang-undang.

Pada pandangan saya perkembangan ini tidak dapat dielakkan. Kerana, pertama, bidangkuasa Majistret Kelas 1, adalah tinggi, $25,000.00 bagi kes sivil dan kes-kes yang boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 10 tahun.

Kedua, kes-kes pada masa ini lebih complicated. Acara (procedure) dan undang-undang yang terlibat adalah rumit. Kerapkali Tertuduh atau pihak-pihak dalam sesuatu kes diwakili oleh peguam. Kerapkali terdapat rayuan terhadap keputusan Majistret yang memerlukan alasan penghakiman ditulis. Semua ini memerlukan orang-orang yang berkelulusan undang-undang untuk membicarakan kes-kes itu.

Ketiga, beban kerja memerlukan Majistret-majistret sepenuh masa, bukan sambilan.
Keempat, oleh sebab Majistret itu adalah pegawai kerajaan dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, mereka lebih mudah dikawal.

Pernah kita mendengar hujah bahawa jika Jaksa Pendamai dibenarkan membicarakan kes, bilangan kes-kes tertunggak akan dapat dikurangkan.

Pada pandangan saya, masalah kes tunggakan tidak dapat diatasi dengan cara itu.

Di Mahkamah Majistret, kalau mengikut bilangan, yang banyak adalah kes-kes saman seperti kesalahan yang bersangkut-paut dengan memandu. Penyelesaian kes-kes ini tidak menimbulkan masalah. Setiap hari seorang Majistret menetapkan 30-40 kes seperti itu. Dalam kebanyakan kes seperti itu tertuduh mengaku salah dan diselesaikan dengan serta-merta.

Majistret-majistret tidak perlu bantuan dalam kes-kes seperti ini.

Sebaliknya kes-kes yang lambat dapat diselesaikan ialah kes-kes jenayah yang lebih berat yang tertuduh tidak mengaku salah, mereka diwakili oleh peguam dan kes-kes sivil.

Majistret Kelas 2, tidak mempunyai bidangkuasa dalam kes-kes seperti ini. Lagi pula ia adalah rumit dan melibatkan isu undang-undang. Kes-kes seperti itu memerlukan Majistret-majistret yang terlatih untuk membicarakannya.

Selain dari itu, kes-kes seperti itu biasanya tidak dapat didengar dan diselesaikan sekali gus. Ada sahaja sebab yang menghalang. Masa seorang Jaksa Pendamai akan terbuang dengan sesia sahaja jika pada sesuatu hari itu kes itu tidak dapat berjalan.

Memang betul di England Jaksa Pendamai bertugas sebagai Majistret. Sebenarnya sistem itu adalah satu peninggalan sejarah. Ia tidak murah kerana selain daripada tuntutan perjalanan mereka kena dibayar, gaji seorang Justices’ Clerk yang berkelulusan undang-undang juga kena dibayar. Mengapa tidak ditugaskan Justices’ Clerk itu menjadi Majistret? Sebab itu di London dilantik Stipendiary Majistret yang berkelulusan undang-undang. Dalam ahal ini kita lebih maju dari England.

Apakah peranan boleh dimainkan oleh Jaksa Pendamai.
Saya telah sebut sebahagian daripadanya tadi.

Selain daripada itu, pada pandangan saya Jaksa Pendamai harus memberi tumpuan terhadap pematuhan undang-undang (compliance with law) bukan penguatkuasaan undang-undang (enforcement of the law).

Mungkin, tuan-tuan, sebagai ketua masyarakat, sedikit sebanyak boleh menyedarkan anggota masyarakat kita supaya menghormati undang-undang, hidup dengan undang-undang, mematuhi undang-undang, terutama sekali undang-undang berkenaan kebersihan dan undang-undang jalanraya.

Undang-undang dibuat untuk kebaikan semua masyarakat dan individu. Memanglah undang-undang menyekat kebebasan individu dalam erti kata seorang individu tidak boleh berbuat apa sahaja yang dia suka. Tetapi di dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara itu tidak dapat dielak. Anggota masyarakat perlu difahamkan bahawa apa yang baik bagi masyarakat, akhirnya adalah baik juga untuk keluarganya dan dirinya.

Selain dari itu, kita hidup dalam satu masyarakat majmuk. Maka setiap kaum mestilah peka (sensitive) terhadap perasaan kaum yang lain. Tuan-tuan boleh memain peranan dalam bidang ini.

Akhirnya, teruslah usaha baik yang tuan-tuan lakukan selama ini sebagai ketua masyarakat, sebagai penghubung di antara satu kumpulan masyarakat dengan kumpulan lain, dan di antara masyarat dengan Kerajaan.

Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamed
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang

6,057 visits