DARURAT ATAU GENTLEMEN’S AGREEMENT: MANA LEBIH BAIK?

DARURAT ATAU GENTLEMEN’S AGREEMENT: MANA LEBIH BAIK?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Minggu lepas, kita dengar cakap-cakap mengenai kemungkinan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA) akan melantik seorang Perdana Menteri Interim untuk mangatasi kemelut politik negara sekarang. Pada 22 10 2020 saya menerbitkan rencana “Tidak Ada Perdana Menteri Interim Dalam Perlembagaan”.

Pada 23 10 2020 kita dengar pula mengenai kemungkinan YDPA mengisytiharkan darurat untuk menangani masalah yang sama berikutan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada hari yang sama dan, selepas itu, TS Muhyiddin bergegas ke Kuantan untuk menyembahkan keputusan mesyuarat itu kepada YDPA.

Pada 24 10 2020, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan media yang mengesahkan majlis menghadap tersebut. Kenyataan itu, antara lain, menyebut:

“Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.”

Selanjutnya kenyataan itu menyebut bahawa YDPA “telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Cadangan TS Muhyiddin itu tidak disebut. Rata-rata media dan orang ramai menelah bahawa ia adalah perisytiharan darurat. Rencana ini ditulis atas anggapan yang sama.

Peruntukan Perlembagaan yang membolehkan YDPA mengisytiharkan darurat ialah Perkara 150.

“150. (1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”

Soalan 1: Adakah satu darurat besar telah berlaku? Saya serahkan kepada pembaca untuk menjawabnya. Bagi mereka yang mengalami peristiwa Mei 13, mungkin mereka akan membandingkan dengannya.

Soalan 2(a): Katakan darurat besar telah berlaku, adakah ia menyebabkan keselamatan di dalam Malaysia atau mana-mana bahagiannya, terancam?

Saya tidak fikir saorang yang reasonable boleh menjawab “ya” kepada soalan itu. Rakyat hidup dalam keadaan aman tenteram. Memang perjalanan mereka di kawasan-kawasan tertentu sisekat. Sekatan itu dilakukan menurut undang-undang untuk mengawal merebaknya wabak Cobid-19.

Katakanlah Kerajaan berkata ia mempunyai maklumat rahsia mengenai ancaman keselamatan. Saya hujahkan jika ada ancaman keselamatan, rakyatlah yang terlebih dahulu mengetahuinya, seperti pendaratan askar payung terjun tentera udara Indonesia semasa Konfrantasi Indonesia dalam tahun 1963 dahulu.

Soalan 2(b): Jika darurat besar telah berlaku, adakah ia menyebabkan kehidupan ekonomi di dalam Malaysia atau mana-mana bahagiannya, terancam?

Tidak boleh dinafikan bahawa ekonomi Malaysia, seperti ekonomi semua negara di dunia mengecut akibat wabak Covid-19. Soalnya adakah ia telah sampai ke tahap mengancam kehidupan ekonomi negara?

Soalan 2(c): Jika darurat besar telah berlaku, adakah ia menyebabkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, terancam? Saya juga tidak fikir soalan ini boleh dijawab dengan “Ya”.

Jika jawapan kepada soalan 1 adalah “Ya” dan jawapan kepada salah satu daripada tiga soalan yang berikutnya (Soalan 2(a), 2(b) atau 2(c)) juga “Ya”, barulah syarat untuk mengisytiharkan darurat itu dipenuhi.

Kembali kepada Kenyataan Media Istana Negara. Kenyataan itu hanya merujuk kepada masalah yang disebabkan oleh wabak Covid-19. Ia tidak langsung menyebut masalah politik akibat ahli-ahli politik berebut kuasa. Ertinya, jika darurat akan diisytihar pun, ia adalah kerana wabak Covid-19.

Tetapi, dalam keadaan sekarang, adalah sukar untuk meyakinkan orang ramai bahawa darurat diisytiharkan, jika ia diisytiharkan, kerana Wabak Covid-19. Walaupun jumlah bilangan jangkitan bertambah, kita dimaklumkan keadaan masih terkawal. Mereka lebih percaya bahawa tujuan perisytiharan darurat itu adalah untuk menyelamatkan Kerajaan PN daripada digulingkan melalui undi tidak percaya atau bajet 2021 tidak diluluskan. Isu ini tidak timbul dalam tahun 1969 kerana pada masa itu kerajaan mempunyai majoriti yang selamat.

Oleh itu, dalam keadaan sekarang, betapa jujur sekalipun Kerajaan PN dalam hal ini, adalah sukar untuk meyakinkan orang ramai bahawa perisytiharan darurat itu adalah disebabkan oleh wabak Covid-19. Bagi mereka, ia adalah semata-mata helah untuk mengelak Kerajaan PN digulingkan. Yang lebih mendukacitakan ialah, jika YDPA

membuat perisytiharan darurat, Baginda (dan juga Raja-Raja Melayu lainnya) akan dituduh bersekongkol dengan Kerajaan PN. Ini tidak baik bagi imej Institusi Raja-Raja.

Maka untuk menyelamatkan keadaan dan imej Institusi Raja-Raja, saya mengemukakan satu cadangan. Sudah terlalu lama, ahli-ahli politik menyusahkan Raja-Raja dan rakyat kerana berebut kuasa. Sekarang sudah tiba masanya untuk Raja-Raja dan rakyat “to turn the table against them”. Sekarang Raja-Raja dan rakyat meminta ahli-ahli politik menyelasaikan masalah yang mereka wujudkan dengan bersetuju sesama mereka untuk mengadakan satu gentlemen’s agreement seperti berikut:

1. Sehingga suatu tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRU 15 atau paling lewat enam bulan, Ahli-Ahli Parlimen tidak akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap TS Muhyiddin.

2. Dalam tempoh itu Kerajaan PN akan menjalankan pentadbiran seolah-olah ia sebuah caretaker government.

3. Semua Ahli-Ahli Parlimen, kerajaan dan pembangkang, akan menumpukan tenaga untuk menangani wabak Covid-19.

4. Apabila keadaan menjadi sesuai untuk didakan PRU 15 atau paling lewat selepas enam bulan, TS Muhyiddin selaku Perdana Menteri akan menasihatkan YDPA untuk membubarkan Parlimen dan YDPA akan memperkenankannya.

(Ini hanya pokoknya. Yang lainya hendaklah dibincang dan dipersetujui oleh mereka).

Raja-Raja dan rakyat akan memerhati, di antara mereka, siapa negarawan dan siapa politikus.

25 10 2020

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

58 visits