KUASA PENGAMPUNAN

KUASA PENGAMPUNAN

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bertajuk “Kuasa Pengampunan”. Ia adalah satu peruntukan yang panjang. Untuk tujuan rencana ini, saya menumpukan kepada peruntukan yang berkenaan pengampunan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut itu.

Ringkasny, setakat yang berkenaan, Yang diPertuan Agong berkuasa memberi ampun berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan hukuman mengenainya telah dijatuhkan oleh mahkamah sivil. Kuasa itu tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Ia dilakukan atas nasihat Lembaga Pengampuan yang dutubuhkan untuk tujuan itu.

Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ahli-ahlinya terdiri daripada Yang diPertuan Agong sebagai Pengerusi, Peguam Negara Persekutuan, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain yang dilantik oleh Yang diPertuan Agong.

Klausa (9) memperuntukkan:

“Sebelum memberikan nasihatnya mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.”

Ringkasnya, kuasa pengampunan itu bukanlah boleh dilakukan secara bersendirian oleh Yang diPertuan Agong. Kuasa itu hanya boleh dilakukan atas nasihat Lembaga Pengampunan yang perlu bermesyuarat terlebih dahulu sebelum memberi nasihatnya.

Merujuk kepada berita yang memetik Dato’ Seri Wan Azizah bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim akan diampun dalam masa yang terdekat, malah dalam masa seminggu lagi, kita perlu faham bahawa pangampunan itu hanya boleh dilakukan mengikut prosedur yang disebut di atas.

Tun Abdul Hamid Mohamad

13 05 2018

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

189 visits