PEMBAHAGIAN PUSAKA: MASALAH SERIUS KESAN FARAID PERLU DITANGANI

PEMBAHAGIAN PUSAKA: MASALAH SERIUS KESAN FARAID PERLU DITANGANI
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Masalah paling serius mengenai tanah milikan orang Melayu/Islam di Malaysia, ialah kesan faraid yang menjadikan sebidang tanah yang kecil, diwarisi oleh waris-waris yang terlalu banyak. Tanah kampung tapak rumah peneroka pertama empat atau lima generasi dahalu, hari ini, jika hendak dicari semuanya, mungkin diwarisi oleh lebih dari seratus orang.

Oleh sebab hendak mengambil kuasa dan pindah milik melibatkan wang, hendah mencari semua waris melibatkan wang, bahagian yang akan diperolehi oleh seseorang terlalu sedikit, yang menunggu untuk menuntut hak masing-masing tanpa mengeluarkan wang pula banyak, masing-masing menunggu. Yang duduk di atas tanah itu atau yang keras kepala menjadi “tuan tanah” tanpa pindah milik.

Hal yang sama terjadi kepada sawah, kebun getah dan dusun asal, yang mula-mula dipugar oleh datuk nenek empat atau lima generasi dahulu. Sekarang mungkin telah diwarisi oleh beratus orang. Akhirnya tanah itu terbiar.

Saya tidak ada statistik. Tetapi, bayangkan beraba luasnya jumlah tanah seperti itu. Saya belum pernah dengar sesiapa mengemukakan cadangan untuk mengatasi masalah ini. Ini mungkin kerana masing-masing takut atau takut dituduh mempertikai “hukum Allah”. Soalnya, sampai bila kita akan membiarkan hal ini berlarutan?

Hari ini, saya akan membuat satu cadangan yang saya akan hujahkan, tidak melanggar syari’ah. (Hujah selanjutnya saya akan serahkan kepada pakar syari’ah dan Majlis-majlis fatwa.)

Saya cadangkan, kerajaan sebagai pihakberkuasa, membuat satu undang-undang yang menghadkan bilangan pemilik. Pandangan awal saya, seelok-eloknya ia hendaklah dibuat dalam Kanun Tanah Negara. Ia akan memperuntukkan, misalnya, tanah pertanian satu ekar ke bawah tidak boleh dimiliki oleh lebih daripada seorang. Jika lebih:
a. Jika semua waris bersetuju menjual, sama ada kepada waris atau bukan, (tidak lebih daripada seorang) mereka boleh menjualnya dan membahagikan hasilnya mengikut faraid.
b. Jika waris tidak bersetuju atau tidak ada pembeli, tanah itu akan dipindah milik kepada Baitul Mal atau satu perbadanan yang ditubuhkan oleh kerajaan (Persekutuan atau Negeri). Baitul Mal atau perbadanan itu akan membayar harga pasaran yang akan ditentukan oleh Pentadbir Tanah (saya percaya kes seperti itu tidak akan pergi ke Mahkamah Tinggi (Sivil) kerana ia semestinya Pusaka Kecil) dan dibahagi-bahagikan di antara waris-waris, mengikut faraid. Selepas itu, terserahlah kepada Baitul Mal atau Perbadanan itu untuk menyewakannya semula atau membangunnya dan lain-lain.

Saya berpendapat, cadangan saya ini tidak menyalahi syarak kerana, pertama ia di lakukan oleh pemerintah atas asas maslahah. Ia samalah dengan arahan yang dibuat oleh Bank Negara ke atas Institut Kewangan Islam mengenai ibra’ (Sila rujuk “Application and Development of Ibra’ in Islamic Banking in Malaysia” karangan saya dan Dr. Adnan Trakic yang boleh didapati dalam laman web saya).

Kedua, kita tidak menafikan hak waris. Sebaliknya, kita membolehkan mereka mendapat nilai bahagian masing-masing. Jika tidak, besar kemungkinan mereka tidak mendapat apa-apa faedah daripada pesaka itu.

Perlu diingati, bahawa cadangan saya ini masih di peringkat lontaran idea awal. Ia perlu dihalusi bukan sahaja dari segi hukum, tetapi juga dari segi undang-undang, ekonomi dan pentadbiran.

6 Mac 2016

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

103 visits