PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG HUDUD DI BRUNEI DAN MALAYSIA: MASALAH YANG BERLAINAN

MUZAKARAH JENAYAH SYARIAH KEBANGSAAN
Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM
29 Mei 2014
PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG HUDUD DI BRUNEI DAN MALAYSIA: MASALAH YANG BERLAINAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad


Pendahuluan:

Walau pun akhbar telah melaporkan bahawa hudud telah dilaksanakan di Brunei, itu tidak betul. Yang dilaksanakan ialah sebahagian daripada Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 (PKHJS 2013). Perintah itu telah diwartakan pada 22 Oktober 2013. Ia mengandungi bahagian takzir, qisas dan bahagian hudud. Bahagian ta’zir mengenakan hukuman penjara dan denda mislannya bagi kesalahan-kesalahan tidak sembahayang Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadan, khalwat dan lain-lain. Undang-undang seperti itu telah pun wujud sebelum ini. Apa yang dilakukan ialah bahagian ta’zir itu dikuatkuasakan, menggantikan undang-undang yang berkuatkuasa sebelumnya. Bahagia hudud belum dikuatkuasakan.

Satu perkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah bahawa, walaupun setelah Perintah 2013 itu dilaksanakan sepenuhnya, Brunei tidak akan memansuhkan Penal Code. Penal Code akan terus berkuatkuasa seiringan dengan Printah itu. Kedua-duanya aka terus terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Perundangan di Brunei

Brunei adalah sebuah negara yang diperitah oleh seorang Raja (Sultan) yang mempunyai kuasa mutlak. Kuasa memerintah yang tertinggi bagi Brunei terletak di tangan Baginda. Baginda adalah Perdana Menteri. Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Kuasa memerintah hendaklah dijalankan oleh Baginda.

Perlembagaan Brunei memberi kuasa kepada Sultan untuk membuat pemasyhuran darurat.i Pemasyhuran darurat yang dibuat dalam tahun 1962 masih berkuatkuasa sehingga sekarang. Sepanjang pemasyhuran darurat berkuatkuasa, antara lain, Baginda “boleh membuat apa jua Perintah pun yang Baginda fikirkan dikehendaki bagi kepentingan orang ramai.” Perintah-perintah tersebut termasuklah “….. pengubahsuaian, pindaan, penggantian atau penggantungan semua atau mana-mana peruntukan sebarang undang-undang bertulis;”ii Perintah Kanun Hukuman Jeyah Syariah 2013 adalah salah satu perintah itu.

Sultan tidak boleh didakwa biar dengan apa cara juga pun, termasuk judicial review dalam kapasiti peribadi atau rasmi. Malah pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas mereka juta kebal.

Perkara 85 membolehkan Sultan, “dengan Pemasyhuran, meminda, menambah atau membatalkan sebarang peruntukan Perlembagaan ini termasuk Perkara ini; dan Perlembagaan ini tidak boleh dipinda, ditambah atau dibatalkan dengan cara lain.”

Biasanya tafsiran Perlembagaan adalah tugas Mahkamah. Tetapi, di bawah Perlembagaan Brunei tugas itu diberi kepada Tribunal Tafsiran yang mempunyai tiga orang ahli yang dilantik oleh Baginda dan memegang jawatan selama mereka diperkenankan oleh Baginda.iii

Patut diambil perhatian bahawa dalam Perlembagaan Brunei tidak ada peruntukan-peruntukan yang mengatakan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang utama negara dan mana-mana undang yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah. Juga tidak ada peruntuan mengenai kebebasan asasi, pilihanraya, Badan Kehakiman mahupun Mahkamah Syari’ah.

Brunei adalah sebuah negera unitary, bukan sebuah persekutuan dan tiada pembahagian kuasa perundangan di antara persekutuan dan negeri.

Tidak ada sekatan keperlembagaan mengenai bidangkuasa mahkamah sivil mahupun mahkamah syariah. Misalnya bidangkuasa mahkamah syariah tidak terhad kepada orang-orang yang manganut agama Islam sahaja. Tidak ada sekatan mengenai jenis kesalahan yang boleh diletak di bawah bidangkuasa mahkamah syariah (misalnya kesalahan berkenaan “precepts of Islam” (suruhan Islam) atau mengenai jenis hukuman yang boleh dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah. Jika ada apa-apa sekatan pun, Sultan boleh tidak memperdulikannya atau menindanya.

Dalam keadaan itu, tidak ada apa atau sesiapa yang boleh menghalang Sultan jika Baginda hendak membuat sesuatu undang-undang dan melaksanakannya. Dalam keadaan itulah Perintah Kanun Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dibuat.

Perundangan di Malaysia

Malaysia adalah sebuah persekutuan. Ada perkara yang terletak dalam bidangkuasa perundangan persekutuan iv, ada yang terletak di bawah bidangkuasa perundangan negeri v. Perlembagaan adalah undang-undang utama dan mana-mana undang-undang yang tidak selaras dengannya adalah tidak sah.vi Kuasa kerajaan dibahagi kepada tiga: Eksekutif Perundangan dan Kehakiman. Kuasa Executif terletak kepada Jemaah Menteri.

Kuasa perundangan (legislative power) terletak kapada Parlimen yang terdiri daripada Dewan Rakyat, Dewan Negara dan perkenan Yang diPertuan Agong. Parlimen tidak boleh membuat undang-undang bagi perkara-perkara yang terletak dalam bidangkuasa negeri.

Sayugia diambil perhatian bahawa undang-undang jenyah (criminal law) adalah terletak di bawah bidang kuasa persekutuan dan Parlimen.

Kuasa kehakiman terletak kepada Badan Kehakiman. Ini termasuk kuasa mentafsir Perlembagaan dan semakan kehakiman (judicial review). Mahkamah berkuasa mengisytihar undang-undang, sama ada yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri tidak sah jika ia tidak selaras dengan Perlembagaan. Mahkamah juga berkuasa mengisytiharkan sesuatu perinatah, arahan atau tindakan seorang Menteri itu tidak sah memalui semakan kehakiman (judicial review).

Badan Perundangan Negeri hanya boleh membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang terletak dalam Jadual Kesembilan Senarai II (Senarai Negeri). Mahkamah Syari’ah adalah mahkamah negeri. Bidangkuasanya terhad kepada orang Islam sahaja.

Dengan latar belakang itu, kita lihat apa yang dilakukan oleh Brunei.

Cara Brunei melaksanakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

Undang-undang tersebut dibuat melalui Perintah yang dikeluarkan semasa keadaan darurat. Ia dibuat oleh Sultan yang mempunyai kuasa mutlak. Tiada siapa yang boleh menyoalnya. Tiada siapa yang boleh mencabarnya termasuk di mahkamah.

Sebelum ini, kedudukan di Brunei adalah seperti di Malaysia. Kesalahan-kesalahan jenayah dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Kesalahan-kesalahan yang dikenali sebagai “jenayah syariah” diletakkan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah.

Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 membahagikan kesalahan-kesalahan seperti berikut:

Pertama, kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman hudud. Misalannya, curi (sariqah), samun (hirabah), zina (zina), rogol (zina bil-jabar), liwat (liwat), menuduh berzina (qazaf) dan meminum minuman yang memabukkan.

Kedua, kesalahan-Kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman qisas dan diyat. Misalnya, menyebabkan kematian orang lain (qatl) dan menyebabkan kecederaan.

Ketiga, kesalahan-kesalahan am seperti tidak menunaikan sembahayang Jumaat, khalwat dan perbuatan tidak sopan yang membawa hukuman penjada atau denda (ta’zir).

Perintah ini pada amnya dikuatkuasakan terhadap orang Islam dan orang bukan Islam. Misalnya menyebabkan kematian orang lain, curi, samun, rogol dan liwat.

Terdapat kesalahan-kesalahan yang boleh dilakukan oleh orang Islam sahaja seperti meminum minuman yang memabukkan dan zina.

Terdapat kesalahan yang hanya boleh di lakukan oleh orang bukan Islam seperti menghina Nabi oleh orang bukan Islam dan mempermainkan ayat Al-Qur’an atau hadith oleh orang bukan Islam.

Terdapat juga perbuatan yang tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan oleh orang bukan Islam dengan orang bukan Islam. Tetapi ia menjadi kesalahan jika orang bukan Islam melakukannya dengan orang Islam. Misalnya zina.

Kita lihat pula dari perspektif bidangkuasa. Ada kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah bidangkuasa eksklusif Mahkamah Syari’ah. Misalnya, hamil luar nikah, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadhan, khalwat, perbuatan tidak sopan, lelaki berlagak menyerupai perempuan atau sebaliknya, mengamalkan sihir, mengembangkan ugama selain ugama Islam, pemujaan dan menuduh orang Islam sebagai kafir. Kesalahan-kesalahan ini akan dibicarakan oleh Mahkamah Syari’ah sahaja. Ini adalah kesalahan-kesalahan ta’zir yang hukumannya ialah penjara dan/atau denda.

Terdapat kesalahan-kesalahan yang telah diperuntukkan dalam Penal Code semenjak ia mula diterima pakai di Brunei tetapi sekarang diperuntukkan juga dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013. Misalannya seperti mencuri, menyamun, merogol, me liwat, menyebabkan kematian orang lain dan menyebabkan kecederaan. Akibatnya, bagi kesalahan-kesalahan ini, terdapat peruntukan yang sama atau serupa dalam dua undang-undang yang berbeza dengan cara pembuktian yang berbeza, hukuman yang berbeza, pendakwa yang berbeza malah mahkamah yang berbeza!

Bagaimana kesalahan-kesalahan itu ditangani? Mengikut penjelasan yang di berikan oleh Awang Haji Mohd. Yusree Hj. Junaidi, Penolong Peguamcara Negara Brunei, kes-kes tersebut akan dilaporkan kepada dan disiasat oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dengan dibantu oleh Unit Penguatkuasa Agama dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang lain, jika berkenaan. Setelah penyiasatan selesai dijalankan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pendakwa Raya. Penilaian akan dibuat, dengan dibantu oleh Ketua Pendakwa Syar’ie jika perlu, sama ada terdapat keterangan yang mencukupi bagi pembuktian kesalahan-kesalahan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah atau jika suspek ingin membuat pengakuan salah secara iqrar menurut Perintah Keterangan Mahkamah Syariah dan Perintah Kanun Peraturan Jenayah Syariah. Dalam hal yang sedemikian, maka kes tersebut akan dipindahkan ke Mahkamah Syari’ah dengan pendakwaan di buat oleh Pendakwa Syarie dengan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya jika perlu. Jika sebaliknya, maka pendakwaan akan diteruskan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil.

Dalam kata-kata lain, walaupun terdapat peruntukan kesalahan dalam dua undang-undang yang berbeza, seseorang itu hanya akan didakwa sekali sahaja, di bawah salah satu undang-undang itu.vii Masa akan menentukan bagaimana susunan (arrangement) ini berjalan.

Bagaimanakah jika ia hendak dilaksanakan di Malaysia?

Perlu dijelaskan terlebih dahulu, bahawa saya hanya melihat isu ini dari sudud undang-undang, yakni dari sudud Perlembagaan dan undang-undang yang berkuatkuasa pada hari ini. Saya tidak melihatnya dari segi hukum. It bukan bidang saya, Saya tidak akan berkata hudud patut dilaksanakan atau tidak. Itu terserah kepada Pemerintah.

Maka soalnya, bagaimanakah jika undang-undang seperti yang dibuat di Brunei itu hendak diadakan dan dilaksanakan di Malaysia dalam kerangka perundangan di Malaysia pada masa ini?

Dalam membincangkan isu ini, terlebih dahulu kita perlu mengambil perhatian peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai pembahagian bidangkuasa di antara persekutuan dan negeri. Mengikut Senarail I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, “criminal law” (undang-undang jenayah) terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan dan Mahkamah Sivil. Sebaliknya “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri dan Mahkamah Syari’ah.

Kita lihat pula kepada kesalahan-kesalahan tersebut. Kita dapati, di antaranya ada kesalahan-kesalahan yang telah pun wujud dalam Penal Code semenjak tahun 1936 dan berkuatkuasa semasa Perlembagaan Persekutuan digubal. Misalannya ialah kesalahan menyebabkan kematian kepada orang lain, mencuri, merompak, merogol dan menyababkan kecederaan kepada orang lain. Semestinya kata-kata “criminal law” yang digunakan oleh penggubal-penggubal itu merujuk, terutama sekali, kepada kesalahan-kesalahan dalam Penal Code itu. Jika tidak apa lagi yang dipanggil “criminal law” itu? Juga, jika tidak, maka semua perbicaraan kesalahan-kesalahan di bawah Penal Code di Mahkamah Sivil semenjak Merdeka adalah tak keperlembagaan, tak sah dan batal. Itu adalah satu pandangan yang tidak munasabah. Juga sehingga ke hari ini, tidak ad sebuah negeri pun yang mengkanunkan kesalahan-kesalahan itu sebgai undang-undag Negeri.

Sebaliknya, di antara kesalahan-kesalahan itu ada juga kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat dalam Penal Code, malah telah pun diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syari’ah negeri-negeri. Misalannya ialah persetubuhan di luar nikah, menuduh seorang berzina dan kesalahan-kesalahan berkaitan dengan minuman yang memabukkan. Bolehlah dihujahkan bahawa kesalahan-kesalahan itu ia bukan “criminal law”.

Jika hukuman-hukuman hudud dan qisas hendak dikenakan bagi kesalahan-kesalahan jenayah persekutuan, ia hanya boleh dilakukan sebagai undang-undang persekutuan, ia itu, sebagai undang-undang jenayah dan bukan “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada apa-apa halangan keperlembagaan bagi melakukan sedemikian. Parliament boleh memilih apa-apa hukuman kepada apa-apa kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syari’ah. Dengan cara itu, penguatkuasaannya boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam. Sebagai undang-undang jenayah ia terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa ke atas orang Islam dan bukan Islam. Untuk Parlimen Malaysia membuat undang-undang seperti itu, tidak ada pindaan keperlembagaan yang perlu dibuat dan rang undang-undang itu hanya perlu diluluskan dengan majoriti mudah. Keadaan ini bolehlah dibandingkan dengan undang-undang mengenai perbankan dan kewangan Islam dan takaful.

Perlu ditekankan di sini, undang-undang jenayah persekutuaan itu mestilah terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam kerana ia adalah undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang peribadi dan kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Jika ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, ia akan bercanggah dengan peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana itu adalah satu diskriminasi atas alasan agama dan oleh itu tak keperlembagaan, tak sah dan batal.viii

Bagaimana dengan kesalahan-kesalahan yang tidak terdapat dalam Penal Code atau mana-mana undang-undang persekutuan, malah telah pun diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri seperti yang saya telah sebutkan tadi? Bagi kesalahan-kesalahan itu, bolehlah dihujahkan bahawa ia bukan “criminal law”. Bagi saya ia boleh dijadikan undang-undang Negeri. Tetapi, untuk memakai hukuman hudud kepadanya, ada halangannya, bukan halangan keperlembagaan tetapi halangan undang-undang persekutuanix yang menghadkan hukuman yang boleh di peruntukkan untuk dijadikan undang-undang Negeri dan diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syari’ah. Jika Kerajaan Persekutuan sanggup meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri mengenakan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan itu, Badan Perundangan Negeri bolehlah membuat undang-undang itu. Sebagai undang-undang Negeri di bawah Senarai II, Jadual Kesembilan ia hanya terpakai kepada orang-orang Islam dan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah. Tidak ada isu keperlembagaan di sini.

Jika dilakukan demikian, maka akan wujudlah suatu keadaan di mana beberpa kesalahan hudud menjadi undang-undang jenayah persekutuan yang terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil. Di samping itu akan ada pula beberapa kesalahan hudud yang menjadi undang-undang negeri yang hanya terpakai kepada orang-orang Islam dan dibicarakan oleh Mahkamah Syari’ah. Wajarkah kita mempunyai undang-undang seperti itu?

Kebanyakan orang menyangka, oleh kerana kesalahan-kesalahan itu adalah kesalahan hudud mengikut Hukum Syarak dan oleh kerana agama Islam terletak di bawah bidangkuasa negeri, maka Badan Perundangan Negrei boleh membuat undang-undang sedemikian. Paling tinggi, anggapan itu hanya separuh betul. Di Malaysia, apa-apa undang-undang yang hendak dibuat mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang saya telah sebut tadi, ada di antara kesalahan-kesalahan itu yang terletak di bawah bidangkuasa persekutuan dan Mahkamah Sivil. Jika kesalahan-kesalahan itu dijadikan kesalahan-kesalahan di bawah undang-undang Negeri ia adalah tak keperlembagaan, tak sah dan batal.

Kerapkali kita dengar orang berkata bahawa hudud hanya akan dilaksanakan kepada orang Islam sahaja. Ini pun separuh betul. Sebabnya ialah, pertama, bagi kesalahan-kesalahan jenayah persekutuan, kesalahan-kesalahan itu bukanlah undang-undang peribadi (personal law) atau kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Nagari), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah undang-undang awam. Kesalahan itu adalah kesalahan terhadap negara (di England, Raja) bukan hanya terhadap mangsanya. Sebab itulah Pendakwa Raya yang mendakwa, bagi pihak negara.

Kedua, seperti yang saya telah katakan tadi, undang-undang yang mengenakan hukuman hudud bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang terletak di bawah bidangkuasa persekutuan itu kepada orang Islam sahaja adalah bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (diskriminasi atas alasan agama sahaja) dan, oleh itu tak keperlembagaan, tak sah dan batal.

Ketiga, adilkah jika seorang Islam mencuri harta seorang bukan Islam dia dikenakan hukuman potong tangan manakala seorang bukan Islam mencuri harta seorang Islam dia hanya boleh dikenakan hukuman penjara dan denda? Sebab itulah dalam undang-undang yang dibuat di Brunei itu, kesalahan-kesalahan menyebabkan kematian orang lain, menyebabkan kecederaan, mencuri dan menyamun misalnya terpakai kepada semua orang, Islam dan bukan Islam.

Kita harus faham mengapa Perlembagaan Persekutuan digubal sedemikian pada masa itu. Tujuan penggubal perlembagaan dan juga pejuang kemerdekaan adalah untuk mewujudan sebuah negara persekutuan yang kukuh. Oleh sebab itulah, antara lain, undang-undang am yang terpakai kepada semua orang dan yang melibatkan ketenteraman negara, dijadikan undang-undang persekutuan yang tidak terhad kepada orang Islam sahaja, tidak terhad kepada sempadan sesebuah negeri sahaja. Untuk melaksanakannya dengan berkesan diwujudkan pasukan Polis, penjara dan Mahkamah Sivil yang bidangkuasanya meliputi seluruh negara. Sayugia diingati bahawa, perjanjian-perjanjian antarabangsa mengenai kerjasama membenteras jenayah seperti Interpol adalah perjanjian di antara negara dengan negara. Undang-undang antarabangsa tidak mengiktiraf negeri seperti Kelantan. Ia mengiktiraf negara seperti Malaysia untuk menjadi pihak-pihak (parties) dalam sesuatu perjanjian. Undang-undang ekstradisi juga melibatkan negara, bukan negeri.

Kuasa membuat undang-undang yang diberi kepada negeri adalah yang terkandung dalam Senarai II Jadual Kesembilan yang berkaitan dangan undang-undang peribadi orang Islam. Itu sahaja. Masalah timbul apabila negeri hendak membuat undang-undang mengenai perkara yang terletak di bawah bidangkusa persekutuan. Ada pula yang hendak menggunakan Perkara 121(1)(A) untuk meluaskan bidangkuasa Mahkamah Syari’ah termasuk dalam hal-hal yang terletak dalam bidangkuasa persekutuan. Itu bukan tujuan peruntukan itu diadakan. Tolong baca penghakiman-penghakiman Mahkamah Persekutuan yang saya tulis dalam hal ini yang boleh didapati dalam laman web saya.

RANG UNDANG-UNDANG KANUN JENAYAH SYARIAH (II) 1993 (KELANTAN)

Sekarang mari kita lihat Rang Undang-Undang berkenaan.

Rang Undang-Undang itu telah digubal lebih daripada 20 tahun dahulu. Sepanjang tempoh it, saya tidak mendengar sesiapa pun mengatakan bahawa sebahagian daripadanya tak keperlembagaan (unconstitutional) atas alasan kesalahan–kesalahan itu terletak dalam bidangkuasa Persekutuan dan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat undang-undang mengenainya.

Pada 7 Januari 2014, di wacana intelektual anjuran YADIM dan MPM yang turut didahiri oleh seorang Ahli Parlimen PAS, saya berkata sama seperti apa yang saya katakan di bawah tajuk kecil “Bagaimanakah jika ia hendak dilaksanakan di Malaysia?” yang saya baru selesai bacakan itu. Saya mengulanginya dalam Bahasa Inggeris di IAIS pada 11 Februari 2014 dan kepada Pegawai-Pegawai JAKIM pada 24 Februari 2014 dan hari ini.

Pada 2 April 2014, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan telah memutuskan untuk membawa Private Bill di Parlimen untuk mendapat kebenaran Parlimen bagi Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang terletak dalam bidangkuasa Persekutuan, seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keyataan akhbarnya Menteri Besar Kelantan, antara lain, dilaporkan berkata:

“Katanya, sebahagian besar kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code)……”

Itu serupa dengan apa yang saya katakan dalam syarahan-syarahan saya itu dan yang saya ulangi hari ini. Nampaknya, Kerajaan Negeri Kelantan telah menerima pandangan saya itu dan mencari jalan untuk mengatasinya.

Selepas itu, mengikut laporan akhbar, PAS menangguh tindakan itu kerana menunggu keputusan Jawatanuasa Teknikal yang akan ditubuh oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Memandang kepada perkembangan ini, saya fikir saya pun patut berhenti di sini, tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini.

Sekian. Terima kasih.


i Perkara 83 Perlembagaan Brunei
ii Perkara 83(4)(l) Perlembagaan Brunei
iii Perkara 86 Perlembagaan Brunei
iv Jadual Kesembilan Senarai I Perlembagaan Persekutuan
v Jadual Kesembilan Senarai II Perlembagaan Persekutuan
vi Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan
vii Seksyen 252 PKHJS 2013
viii Perkara 8(2). Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang……
ix Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965