UCAPAN PERASMIAN KONVENSYEN PENDAKWAAN SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)

Menjadi Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Badan Pencegah Rasuah (BPR) tiga puluh tahun dahulu atau di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekarang adalah satu penempatan yang mencabar. Tetapi, bentuk dan tahap cabaran itu berbeza. Dulu, cabarannya ialah seseorang TPR itu terpaksa memandu ke seluruh Semenanjung Malaysia (bagi yang bertugas di Semenanjung Malaysia) untuk menjalankan pendakwaaan. Ini kerana, pada masa itu, hanya terdapat beberapa orang TPR sahaja di BPR dan kesemua mereka ditempatkan di Kuala Lumpur. Salah seorang daripada mereka terkorban dalam kemalangan jalan raya semasa pulang dari Mahkamah Raub. Kedua, semenjak dahulu pun, kes-kes rasuah yang berprofil tinggi, memang berlarutan perbicaraannya. Biasanya hanya seorang TPR sahaja yang ditugaskan untuk sesuatu kes.

Tetapi, ada juga baiknya pada masa itu. Pada masa itu, seorang TPR itu boleh menumpukan masa, tenaga dan fikirannya terhadap kes itu tanpa gangguan luar. Pada masa itu, orang ramai, tidak kira kaum, menerima penangkapan, penyiasatan, pendakwaan dan keputusan mahkamah, sama ada tertuduh itu di sabitkan atau dilepas dan dibebaskan. Malah, orang ramai “presume” bahawa tertuduh itu memang bersalah. Maka, jika dia disabitkan, sabitan itu memang betul, Jika dia dilepas dan dibebaskan, “nasib dia baik”. Tak siapa menyalahkan sesiapa, baik pegawai BPR yang menangkap dan menyiasatnya, TPR yang mendakwanya mahupun mahkamah yang memutuskan kes itu. Jadi,sekurang-kurangnya TPR pada masa itu dapat menjalankan tugas mereka dengan tenteram.

Keadaannya amat berlainan di beberapa tahun di kebelakangan ini. Apabila seseorang itu disiasat, ditanpkap atau didakwa, reaksi segolongan masyarakat terletak kepada apa kaum dan parti politik orang yang disiasat dan didakwa itu. Terus terang saya katakan, reaksi golongan ini adalah berdasarkan perkauman dan politik kepartian. Jika orang yang disiasat, ditangkap dan didakwa itu orang Melayu dan ahli UMNO, siasatan, tangkapan dan pendakwaan itu memang betul. Sebaliknya, jika dia dari kaum mereka dan parti politik tertentu, untuk disiasat pun tak boleh. Itu adalah penyalah-gunaan kuasa, “harassment”, “selective prosecution” dan “politically motivated.”

Saya ingin mengemukakan satu soalan kepada tuan-tuan dan puan-puan. Tolong jawab kuat-kuat, saya henadak tahu pendapat tuan-tuan dan puan-puan. Katakanlah orang yang mati di Ibu Pejabat SPRM Shah Alam itu bernama “Mohd. Khir Bin Toyo” dan bukan “Teoh Beng Hock”, pada fikiran tuan-tuan dan pan-puan, adakah reaksi golongan berkenaan akan sama seperti yang berlaku? Pada pandangan saya “Tidak”. Mungkin ada di antara mereka yang akan “celebrate”. Apa ertinya semua ini? Ini bererti bahawa mereka bukan benar-benar meningini “keadilan” seperti yang mereka laung-laungkan. Sebab, jika mereka benar-benar mengingini keadilan, maka tidak kira siapa orangnya, reaksi mereka sepatutnya serupa. Apabila mereka, apatah lagi saksi pakar menuntut “justice for Teoh Beng Hock”, sebenarnya mereka telah pun membuat penghakiman bahawa SPRM bersalah dan mesti dihukum. Pada mereka, keadilan ialah menghukum orang atau orang-orang yang mereka mahu dihukum. Itulah hakikatnya.

Kedua, tidak dapat dinafikan bahawa kes-kes hari ini adalah lebih besar. Dulu, apabila Dato’ Haji Harun Idris ditudah menerima rasuah sebanyak RM140,000.00 semua orang merasa itu adalah satu amaun yang sangat besar. Sekarang perkataan “ribu” ditukar dengan juta. Modus operandinya lebih “complicated”. Maka, tidak hairanlah jika kes menjadi lebih “complicated” dan “protracted”. Lebih menyedihkan, “inquest” telah bertukar menjadi “trial”, “watching brief” telah bertukar menjadi pembelaan, malah “prosecution by the lawyers holding a watching brief”. Sepanjang yang saya tahu, “watching brief” bererti “observing without getting involved”. Semasa saya menjadi Majistret empat puluh tahun dahulu, seorang peguam yang “holding a watching brief” hanya mendengar perbicaraan, mengambil nota dan jika ada soalan yang hendak dikemukakannya, dia akan meminta kebenaran mahkamah untuk mengemukakan soalannya.

Sekarang, peguam-peguam yang datang untuk “holding a watching brief” datang ke mahkamah seolah-olah hendak berperang. Padahal prosiding itu hanya satu “inquest” oleh “coroner”. Tidak ada sesiapa yang dituduh. Tidak ada sesiapa yang dibicarakan. Peguam-peguam itu, yang sebenarnya hanya datang dari satu keluarga, membawa budaya mereka ke mahkamah. Oleh sebab tindak tanduk mereka menjadi berita yang melariskan jualan akhbar (atau itu yang disangkakan oleh pengarang-pengarang akhbar-akhbar itu), oleh sebab mereka disokong kuat oleh parti politik dan kaum-kaum tertentu, oleh sebab ada majistret dan hakim yang sama ada takut, “naive” atau kagum dengan tindak tanduk mereka, maka cara mereka dan hujah-hujah mereka kerapkali diterima. Maka mereka nampak seolah-olah juara keadilan. Yang salah adalah TPR!

Lebih buruk lagi, prosiding-prosiding mahkamah itu yang sepatutnya dijalankan dalam keadaan yang “sombre” dan “impartial” dengan tujuan semata-mata untuk mencari kebenaran dan keadilan, dipolitikkan sehabis-habisnya. Budaya yang mereka amalkan di Parlimen dibawa ke mahkamah dan ia di “tolerate” oleh majistret-majistret dan hakim-hakim yang saya sebutkan tadi. Penulis-penulis blog dan NGO-NGO yang berselindung disebalik kebebasan bersuara pula mengambil kesempatan untuk menjadi juara. I wonder who are financing them.

Di negara-negara lain, jika disebut “gangguan politik” dalam kes-kes rasuah, gangguan itu datangnya daripada pemerintah atau kerajaan, dalam konteks Malaysia, Kerajaan Persekutuan atau parti yang memerintah di peringkat Persekutuan. Tetapi, di Malaysia, lain pula halnya. Yang mengganggu, malah cuba menghalang, adalah parti politik pembangkang, jika orang yang disiasat, ditangkap dan dan/atau didakwa itu orang mereka. Sepanjang saya menjadi Pengerusi, Lembaga Penasihat SPRM, saya tidak pernah dengar sungutan bahawa terdapat gangguan daripada Kerajaan atau parti yang memerintah di peringkat Persekutuan. Terus terang saya katakan, jika saya dapati terdapat gangguan atau halangan terhadap penyiasatan, tangkapan atau pendakwaan oleh Kerajaan atau parti yang memerintah di peringkat Persekutuan, saya akan meletak jawatan sebagai Pengerusi, Lembaga Penasihat, SPRM. Saya tidak mahu terlibat dalam keadaan sedemikian.

Malangnya itulah persekitaran yang di dalamnya tuan-tuan dan puan-puan terpaksa berkerja sekarang. Saya menyebut semua ini kerana saya ingin memperingatkan tuan-tuan dan puan-puan beberapa perkara.

Pertama, mungkin ada kalanya tuan-tuan dan puan-puan merasa kecewa. Nasihat saya ialah, ketepikan perasaan itu. Jika tidak, tanpa disedari tuan-tuan dan puan-puan akan masuk perangkap mereka. Itulah yang mereka mahu. Tumpukan tenaga, fikiran dan masa kepada kes yang tuan-tuan dan puan-puan kendalikan itu. Buat sehabis baik yang tuan-tuan dan puan-puan boleh lakukan. Selepas itu, seperti yang saya pernah katakan kepada Ketua Hakim Negara sebelum saya, “apa nak jadi, jadi”. Dengan kehendak Allah s.w.t., apa yang terjadi kepada saya adalah sesuatu yang terbaik. Hari ini pun tan-tuan dan puan-puan masih menjemput saya ! Terima kasih.

Kedua, tuan-tuan dan puan hendaklah membuang sikap naïve, terlalu mengalah atau terlalu “menghormati” atau kagum dengan peguam-peguam itu. Kita berbudi orang berbahasa. Tetapi tidak guna berbudi kepada orang tidak berbahasa. Mereka akan menganggap bahwa kita lemah. “Cara Melayu”, ia itu sikap tidak “assertive”, mengguna bahasa kiasan, tidak berterus terang dan tidak mahu bersemuka, mungkin tidak sesuai dalam semua keadaan. Ia mungkin sesuai digunakan sesama orang Melayu atau dengan orang yang faham cara Melayu. Bagi orang tidak faham “cara Melayu”, cara itu dianggap satu kelemahan yang boleh diekploitasikan. Maka, apabila perlu, kita juga perlu lebih “assertive”, malah lebih “aggressive.” Cuma jangan menyerang peribadi dan jangan sampai menyalahi undang-undang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pagi ini saya telah mendengar satu perangkaan yang membrangsangkan. Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, daripada 130 kes yang di bawa ke mahkamah, sebanyak 93 kes pendakwaan memperolehi sabitan, ia itu 71.5%. Bagi saya, itu adalah satu angka yang memberangsangkan. Ini patut di maklumkan kepada orang ramai. Orang ramai hanya membaca berita-beita akhbar yang melaporkan kekalahan kes oleh SPRM dalam kes-kes “high profile”. Ini menyebabkan mereka menyangka bahawa SPRM senentiasa “kalah kes”. Kedua, oleh sebab kes-kes “high profile itu kebanyakannya melibatkan ahli-ahli politik parti yang memerintah di peringkat Persekutun, berbagai tohmahan pula ditujukan kepada SPRM. Mereka memberi gambaran seolah-olah SPRM sengaja “bagi kalah” kerana hendak menyebelahi atau menurut arahan parti yang memerintah di peringkat Persekutuan.

Kita tahu bahawa antara sebab utama kekalahan kes-kes itu ialah ialah bahawa saksi-saksi penting pendakwaan berpaling tadah. Ini kerana, kes-kes rasuah adalah berlainan daripada kes-kes jenayah lain. Dalam kes jenayah lain, ada mangsanya (victim). Mereka atau keluarga mereka yang menjadi saksi seberap boleh mahu tertuduh itu disabitkan dan dihukum. Maka mereka akan tegap dengan pendirian dan keteranga mereka. Berlainan halnya dengan kes rasuah. Pemberi dan penerima adalah “rakan sejenayah” dalam erti kata mereka sama-sama terlibat dalam perbuatan rasuah itu. Ada pula faktor-faktor lain, seperti hubungan politik, pekerjaan, malah rasuah juga.

Dalam hal ini, kita mestilah memikirkan bagaimana kita hendak “protect” saksi-saksi kita daripada dihubungi, dipujuk atau di rasuah oleh tertuduh atau agen-agennya. Mungkin, peruntukan ini telah pun dimasukkan dalam “Witness Protection Act” yang sedang dibuat itu. Saya masih ingat semasa perbincangan dengan pegawai-pegawai di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat baru-baru ini, Tan Sri Peguam Negara ada menyebut hal ini. Kita erahkan kepada beliua untuk mengambil tindakan susulan dalam perkara ini.

Di samping itu, tindakan segera yang perlu dilakukan (saya tahu ianya telah dan sedang dilakukan) ialah dengan mengheret saksi-saksi yang memberi keterangan bercanggah itu ke mahkamah. Itu diharapkan akan memberi pengajaran kepada mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Ada beberapa perkara lagi yang dibangkitkan pagi ini, khususnya berkaitan dengan mahkamah dan hakim-hakim yang membicarakan kes-kes rasuah. Saya akan cuba membangkitkannya dalam mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, yang kebetulan saya juga menjadi ahli
Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Konvensyen Pendakwaan SPRM ini dibuka dengan rasminya.

Sekian. Terima kasih.