PANCING DAN UNDANG-UNDANG: GAMBARAN UMUM (BM)

PANCING DAN UNDANG-UNDANG: GAMBARAN UMUM
(Dipadankan daripada kertas kerja yang dibentangkan di Seminar
Pancing Malaysia 1999 di Bukit Merah Lake Town Resort
Pada 13 & 14 November 1999)
Oleh
Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad

Ada nelayan dan pemancing sebab ada ikan. Jika tidak mereka tidak ada.

Allah S.W.T. membuat ikan, dan seperti lain-lain makhlukNya, untuk rezeki dan kenikmatan manusia. Allah S.W.T. juga mengingatkan manusia supaya tidak membazir, tidak membuat kerosakan di darat atau di laut.

Allah S.W.T. tidak hanya menjadikan ikan tetapi juga mewujudkan sistem untuk memastikan ia tidak pupus. Selama manusia “hidup bersama” (co-exist) dengan sistem itu, seperti yang dilakukan oleh orang asli, bahaya kemusnahan dan kepupusan tidak berlaku. Tetapi, apabila manusia menjadi tamak, cuma memikirkan kepentingan jangka pendek, tidak menghargai ciptaan Tuhan, tidak menghormati pemberian Tuhan maka bahaya kemusnahan dan kepupusan akan menjadi kenyataan.

Mungkin, sehingga seratus tahun dulu, penangkapan ikan masih belum perlu dikawal dan peraturan mengenainya belum perlu diadakan kerana bilangan penduduk dunia masih kecil, cara menangkap ikan masih “eco-friendly” dan kebanyakan orang menangkap ikan hanya untuk makanan pada hari itu sahaja.

Mungkin peraturan mengenai penangkapan ikan yang paling awal ialah apa yang kita baca dalam Al-Quran. Hanya satu peraturan yang dikenakan oleh Allah S.W.T. terhadap Bani Israel, bukan dengan tujuan pemuliharaan (conservation) tetapi sebagai satu larangan agama. Bani Israel dilarang menangkap ikan pada hari Sabtu kerana hari Sabtu adalah hari Sabbath. Tetapi larangan itu pun mereka tidak patuhi.

Hari ini, disebabkan bilangan manusia yang hidup di bumi ini lebih banyak, cara menangkap (atau memusnahkan) ikan lebih canggih, habitat ikan semakin diceroboh (ada kalanya tidak dapat dielakkan), kita tidak mempunyai pilihan lain: peraturan perlu diadakan untuk mengawal penangkapan ikan dan memastikan jenis ikan yang masih ada tidak pupus.

Prioriti

Walau bagaimana pun, prioriti kita mestilah betul. Jika tidak bukan sahaja peraturan-peraturan itu tidak akan memberi kesan yang dikehendaki, malah ia akan menjadi suatu pengacau (nuisance) pula. Ia tidak akan dihormati. Malah pihak berkuasa yang membuatnya pun akan keberatan menguatkuasakannya, seperti apa yang berlaku kepada peraturan tidak boleh menggunakan lebih dari dua mata kail untuk satu tali. Masalah tidak akan diatasi juga.

Prioriti kita hendaklah ditujukan terutama sekali kepada cara menangkap ikan yang paling teruk menyebabkan kerosakan atau kemusnahan kepada ikan dan habitatnya. Cara yang paling teruk menyebabkan kemusnahan hendaklah dikawal dengan peraturan-peraturan yang paling ketat.

Masalah di laut

Bagi saya, mengebom ikan adalah satu cara menangkap ikan yang paling merosakkan dan tidak boleh diterima langsung. Masalah ini lebih serius di Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun mengebom ikan adalah diharamkan.

Pukat tunda menyebabkan kerosakan yang lebih besar daripada mengebom ikan. Sebabnya ialah kerana banyaknya bot-bot pukat tunda dan luasnya kawasan yang boleh dilaluinya. Memanglah terdapat peraturan-peraturan yang ketat. Tetapi masalahnya ialah penguatkuasaan. Laut luas. Nelayan-nelayan pukat tunda mempunyai alat perhubungan yang canggih untuk memberitahu rakan-rakan mereka kedatangan pegawai-pegawai penguatkuasa. Untuk meronda pula memerlukan kakitangan yang banyak, masa yang banyak dan belanja yang banyak dan tidak selesa, malah merbahaya. Maka masalahnya menjadi lebih serius sehari demi sehari.

Soalannya, jika nelayan-nelayan pukat harimau itu tidak menunjuk sikap menghormati peraturan-peraturan yang ada dan jika pihak berkuasa jelas tidak mampu melakukan penguatkuasaan dengan berkesan, mengapa tidak timbang sama ada pukat tunda patut diharamkan sama sekali: membuat, mengimpot, menyimpan, menjual, membeli, mengguna dan seterusnya. Untuk itu eloklah kajian dibuat oleh orang-orang yang mempunyai kepakaran dan pengalaman, yang tidak mempunyai kepentingan peribadi, yang tidak pula menjadi boneka mana-mana kumpulan atau kepentingan mengenai baik-buruknya, jangka panjang dan jangka pendek, dan memberi syor-syor yang objektif . Dan pihak berkuasa pula perlulah berani membuat keputusan yang betul walaupun tidak popular.

Pancing

Pancing adalah satu cara menangkap ikan yang paling kurang menyebabkan kerosakan dan kemusnahan. Pancing menjanakan pendapatan yang berkali-kali lebih besar daripada nilai sebenar ikan yang ditangkap. Maka ia patut digalakkan, bukan dihalang.

Saya bersetuju bahawa peraturan perlu ada seperti melarang pengambilan jenis-jenis ikan yang hampir pupus. Yang terlalu kecil bagi sesuatu jenis. Tetapi, melesenkan pemancing bukanlah satu tindakan yang betul. Malah saya tidak nampak apa faedahnya mengenakan lesen tahunan untuk memancing. Tetapi, mengenakan bayaran untuk memancing di tempat-tempat tertentu seperti di tukun-tukun tiruan yang dibuat dan diselenggarakan oleh Kerajaan atau orang awam adalah perkara lain.

Pihak berkuasa patutlah mengambil perhatian tentang popularnya pancing di beberapa tahun kebelakangan ini. Ia patutlah mengemukakan peraturan-peraturan yang akan membantu perkembangannya, bukan menyekatnya, kerana pulangan ekonominya amat besar. (Ini telah disebut beberapa kali dan tidak perlulah diulangi.)

Sudah beberapa tahun pemancing-pemancing mencadangkan supaya bot-bot diberi lesen untuk membawa pemancing-pemancing memancing. Sebab, sama ada kita “menghalalkannya” atau tidak, pemancing-pemancing akan terus terpaksa menyewa bot-bot untuk pergi memancing. Beberapa orang pemancing yang mampu memiliki bot sendiri, terutama sekali berbagai-bagai saiz untuk tujuan pancing dan keadaan yang berlainan dan meletakkannya di pangkalan yang berlainan? (Pemancing tidak pergi memancing di satu tempat sahaja sepanjang masa). Malangnya, hingga sekarang ia belum dilakukan, dan setiap hari mereka terus menyewa bot-bot untuk pergi memancing, secara “haram”.

Sekali lagi saya mengambil kesempatan ini menyeru pihak berkuasa untuk melesenkan bot-bot nelayan dan bot-bot persendirian untuk tujuan itu. Dengan berbuat demikian kita sebenarnya menolong nelayan-nelayan, kita mengurangkan aktiviti pukat tunda di kawasan larangan, kita akan membantu banyak lagi orang lain, kita akan dapat mengawal pengusaha-pengusaha bot itu dengan mengenakan syarat-syarat, terutama sekali melalui mengenai keselamatan. Tetapi, syarat-syarat itu mestilah berpatutan (reasonable).

Satu perkara lagi yang saya ingin menarik perhatian semua pihak, terutama sekali pihak berkuasa perikanan ialah, dalam bulan Ogos tahun 1999, salah seorang ahli Jawatankuasa Persatuan Memancing Pulau Pinang memaklumkan bahawa dalam masa dua hari, nelayan-nelayan pukat tunda mengaut bertan-tan ikan jenahak di perairan Pulau Pinang. Beliau tidak dapat berkata dengan pasti sama ada penangkapan itu dilakukan dalama kawasan larangan atau tidak. Yang pentingnya semua ikan-ikan itu mengandungi telur.

Katakanlah bahawa penangkapan itu dilakukan di luar kawasan larangan dan oleh itu, tidak melanggar undang-undang. Saya masih berpendapat bahawa kita patut beri perhatian kepada peristiwa itu. Apakah ertinya? Ertinya, bahawa pada suatu musim dalam setahun ikan jenahak datang bertelur di kawasan perairan Pulau Pinang, mungkin di Pulau Kendi, kita tidak/belum tahu dengan pasti. (Tetapi harus diingat bahawa hampir kesemua ikan tenggiri yang ditangkap di persisir Pulau Kendi mempunyai telur dan nelayan-nelayan di kawasan itu telah lama berkata ikan tenggiri datang bertelur di Pulau Kendi pada musim tertentu. Kita patut dengar kenyataan mereka itu, yang berdasarkan pengalaman yang bertahun-tahun). Satu kajian patut dibuat oleh pakar-pakar perikanan mengenai penghijrahan ikan-ikan itu. Semasa ikan-ikan itu dalam perjalanan untuk bertelur, penangkapannya hendaklah dilarang sama sekali. Selepas ia bertelur, tangkaplah. Saya tidak fikir penguatkuasaannya amat sukar kerana jalan yang dilaluinya akan diketahui dan musimnya juga agak pendek.

Air Tawar

Masalah mengenai penangkapan ikan di air tawar adalah lebih serius. Musuh yang paling besar ialah pencemaran. Cara menangkap ikan berada di tempat kedua.

Pencemaran sungai, tasik dan kolam di negara kita telah sampai ke tahap yang amat membimbangkan. Sebab-sebab utama adalah aktiviti-aktiviti pembalakan, pemeliharaan babi, pembuangan bahan-bahan toksik dan lain-lain oleh kilang-kilang, kerja-kerja tanah dan pembuangan bahan-bahan binaan oleh kontraktor dan pemaju.

Sebenarnya tidak ada kekurangan undang-undang, kempen, papan-papan tanda dan kenyataan akhbar. Apa yang kurang ialah penguatkuasaan. Pencemar yang paling besar bukanlah dilakukan oleh orang-orang yang paling tidak tahu bahaya pencemaran. Mereka tahu apa yang mereka tidak harus buat. Mereka tahu bahawa mereka tidak patut lakukan apa yang mereka lakukan. Tetapi mereka lakukan untuk mengurangkan kos dan mendapat untung yang lebih. Tamak. Oleh itu kita tidak perlu menghabiskan lebih banyak wang pembayar cukai mengadakan papan-papan tanda. Ia cuma akan menguntungkan kontraktor-kontraktornya yang mungkin juga adalah orang-orang yang melakukan pencemaran itu dan akhirnya papan-papan tanda itu sendiri akan menyebabkan pencemaran apabila ia telah reput dan dibiar bergelimpangan merata-rata. Apa yang perlu dilakukan hanya satu: kutip wang daripada mereka melalui denda.

Mengenai cara menangkap ikan, memanglah penggunaan racun, termasuk tuba, adalah dilarang di kebanyakan Negeri yang telah membuat undang-undang mengenai panangkapan ikan di air tawar. Malangnya, ada Negeri yang masih belum membuat undang-undang sedemikian. Di Negeri-Negeri yang telah membuatnya pun, penguatkuasaannya amat kurang. Kita lebih kerap membaca mengenai kematian beribu-ribu ekor ikan di kolam-kolam daripada penangkapan orang-orang yang melanggar undang-undang itu.

Perlu diingati bahawa membuat undang-undang dan kenyataan akhbar sahaja tidaklah memadai. Apa yang lebih penting ialah menguatkuasakannya. Mestilah ada pegawai-pegawai yang cukup untuk meronda dan menangkap dan mendakwa orang-orang yang melanggarnya.

Saya berpendapat bahawa kita patut mengambil langkah untuk mengharamkan penggunaan pukat (tidak termasuk jala dan tangkul) di perairan air tawar. Pada masa yang sama kita patut mengambil langkah untuk menukarkan nelayan-nelayan air tawar kepada pengusaha-pengusaha pancing, menyewa bot-bot mereka kepada pemancing dan membawa pemancing-pemancing untuk memancing. Ini lebih menguntungkan. Mereka patut “menangkap” pemancing bukan menangkap ikan.

Pada masa ini, di Negeri-Negeri yang telah membuat undang-undang mengenai penangkapan ikan di kawasan air tawar, terdapat peruntukan-peruntukan yang membolehkan pihak berkuasa perikanan menggezet kawasan-kawasan tertentu, untuk tempoh tertentu atau melarang penangkapan ikan-ikan daripada jenis-jenis tertentu. Peruntukan ini patutlah digunakan. Lakukan dan kita lihat kesannya. Saya juga meminta kepada semua pemancing untuk memberi kerjasama sepenuhnya jika ia dilakukan.

Kolam Air Masin di Darat

Suatu masa dulu orang “gila” dengan snooker. Ia diikuti dengan karaoke. Sekarang kolam pancing pula. Ia tumbuh seperti cendawan, sehingga di tengah-tengah bandaraya. Memang ada kebaikannya. Tetapi saya khuatir tamak sekali lagi akan merosakkan sukan memancing dan alam sekitar. Pertama, daripada hadiah-hadiah yang ditawarkan ia lebih mirip kepada loteri daripada hobi atau sukan. Kedua, apabila kolam air tawar dibina di darat, jauh dari laut, saya percaya, akan tiba masanya, sesuatu yang tidak betul atau tidak diingini akan berlaku. Saya difahamkan bahawa garam perlu ditambah selalu untuk mengekalkan tahap air itu. Soalnya, kemana perginya garam yang sebelum itu dimasukkan ke dalam kolam itu? Jika air ditukar atau ditambah, ke mana perginya yang dibuang atau hilang itu. Juga, selagi perniagaan itu masih menguntungkan, mungkin pihak pengurusannya akan memantaunya. Tetapi, apabila perniagaan mula rugi, saya khuatir ia akan ditinggalkan begitu sahaja. Saya tidak ingin lihat satu pengalaman seperti wabak J-E berulang.

Apa Pemancing Boleh Buat?

Pemancing cuma ingin memancing. Untuk boleh menangkap beberapa ekor ikan, mesti ada ikan. Pemancing bukan cari makan dengan menangkap ikan. Mereka berbelanja berpuluh-puluh kali ganda lebih daripada nilai ikan yang mereka tangkap, jika dapat. Mereka bersedia melakukannya kerana hobi.

Pemancing-pemancing hendaklah menunjukkan teladan yang baik. Jangan membazir, jangan merosak, jangan membuat kotor dan bantu pihak berkuasa dengan memberi maklumat perlanggaran undang-undang oleh sesiapa sahaja berkenaan perikanan dan pencemaran. Pihakberkuasa-pihakberkuasa yang berkenaan juga patutlah mengambil tindakan apabila diberi maklumat-maklumat itu. Saya difahamkan di England, pihakberkuasa air menggunakan pemancing untuk memberi maklumbalas mengenai keadaan air di tasik-tasik takungan air minum.

Kedua-dua pihak boleh dan patut berkerjasama. Harapan saya ialah bahawa ikan akan masih ada, malah bertambah, di perairan kita untuk kita dan anak cucu kita menikmati hobi/sukan memancing.

66 visits