PENGAMPUNAN DS NAJIB: LEMBAGA PENGAMPUNAN PATUT BERI ALASAN

PENGAMPUNAN DS NAJIB: LEMBAGA PENGAMPUNAN PATUT BERI ALASAN

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Pada 7 September 2022, saya telah  memuatnaikkan rencana saya bertajuk “Patutkah DS Najib Diberi Pengampunan?” .

Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan telah mengadakan mesyuaratnya. Kenyataan rasmi lembaga itu telah dikeluarkan pada 2 Februari 2024. Antara lain ia menyatakan:

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar. Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00.

 Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.”

Mari kita cuba faham keputusan itu dahulu. Lembaga itu memberi “pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.” Ertinya pengurangan 50 peratuas diberikan kepada hukuman penjara dan denda. Maka, hukuman penjara  dua belas tahun dikurangkan kepada enam tahun dan hukuman denda RM210,000,000.00 sepatutnya dikurangkan kepada RM105,000,000.00. Saya tidak faham bagaimana ia boleh menjadi RM50,000,000.00.

Perhatikan, kenyataan media itu dikeluarkan selepas lembaga  itu bersidang. Sebelum itu tiada anggota lembaga itu atau Perdana Menteri membuat kenyataan DS Najib akan dibebaskan. Ini adalah procedure yang betul. Bandingkan dengan kes pengampunan DS Anwar Ibrahim dahulu di mana Perdana Menteri pada masa itu, setelah menghadap DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA), membuat kenyataan bahawa Baginda bersetuju untuk mengampunkan DS Anwar Ibrahim.

Selepas itu, YDPA pada masa itu telah menerima menghadap DS Anwar Ibrahim, seorang banduan pada masa itu, sebelum lembaga itu bersidang dan memaklumkan beliau bahawa beliau akan diampun atas alasan ketidakadilan telah dilakukan keatas beliau. Lihat “Patutkah DS Najib Diberi Pengampunan?”

Kedua, kenyataan media itu atau anggota lembaga itu atau jurucakap Istana Negara langsung tidak menyatakan alasan keputusan itu dibuat. Pihak yang menunggu untuk mendengar alasan-alasan mengapa  keputusan itu dibuat tentu kecewa.

Memang betul, Perlembagaan tidak menghendaki lembaga itu memberi alasan bagi keputusannya. Perlembagaan juga tidak menghendaki mahkamah berbuat demikian. Tetapi, tidak dapat dapat dinafikan bahawa, hari ini, setiap tribunal yang membuat sesuatu keputusan dalam menjalankan tugas keperlembagaan diharap akan memberi alasan kepada keputusan-keputusan yang dibuatnya. Ini akan menunjukkan ketelusannya, bahawa alasan mengapa ia membuat keputusan itu adalah patuh undang-undang dan reasonable, atau sebaliknya. Ia akan menjadi ikutan di masa hadapan dan menambah integriti lembaga itu.

Bayangkan keputusan mahkamah tertinggi  yang dibuat setelah mengkaji beratus-ratus jika tidak beribu muka surat dokumen, setelah mendengar hujah berhari-hari, disokong oleh berpuluh-puluh, jika tidak beratus muka surat alasan penghakiman, diubah tanpa memberi sebarang alasan! Apakah yang dibincangkan dalam mesyuarat itu?

Jika YDPA tidak terikat dengan nasihat lembaga itu sekalipun, dalam kes ini, kenyataan yang dikeluarkan itu menunjukkan bahawa keputusan itu adalah keputusan  lembaga itu di mana YDPA adalah sebahagian daripadanya dan bersetuju dengannya. Soalan: Apakah alasan yang dipersetujui mereka yang menjadi alasan keputusan itu?

Saya masih ingat Lembaga Pengampunan diberikan permohonan pengampunan banduan, rekod perbicaraan, alasan penghakiman mahkamah, pandangan Hakim yang mempengerusikan persidangan Mahkamah Persekutuan dan pandangan Peguam Negara. Jika lembaga itu membuat keputusannya selepas membincang dan menimbang semua dokumen itu, tentu sekali ada alasan baginya membuat keputusan itu.

Saya khuatir keputusan tanpa alasan itu akan dikaitkan oleh sesetengah pihak dengan fakta-fakta bahawa lembaga itu bersidang tiga hari sebelum tamat tempoh perkhidmatan YDPA ke-16 yang menimbulkan pertanyaan adakah ia dilakukan kerana takut YDPA ke-17 tidak akan bersimpati dengan permohonan itu? Ini ditambah dengan faktor senegeri YDPA dan DS Najib.

Boleh dihujahkan bahawa YDPA ke-16 hendak menyelesaikan permohonan itu kerana ia difailkan semasa pemerintahan Baginda. Jika itu hujahnya, maka hujah sebaliknya ialah, adakah semua permohonan yang dibuat semasa pemerintahan Baginda ikut diselesaikan kesemuanya?

Semua itu menimbulkan persepsi yang kurang menyenangkan, walau ia bukan sebab sebenar sekalipun. Walau bagaimana sekali pun, semua itu tidak boleh menjadi alasan untuk mencabar keputusan lembaga itu.

 Kita ingin melihat apa lembaga itu yang akan dipengerusikan oleh YDPA ke-17 akan lakukan dalam kes-kes lain terhadap DS Najib dan lain-lain pemimpin politik  yang sedang menghadapi pertuduhan kiranya mereka disabitkan dan dihukum dan apa alasannya pula, atau tanpa alasan juga.

Soalan juga berbangkit, adakah lembaga itu akan juga memberi pengurangan hukuman terhadap pegawai-pegawai awam dan swasta yang disabitkan atas kesalahan yang serupa? Jika ya atau tidak pun, atas alasan apa atau tanpa alasan juga?

Kembali kepada rencana saya bertarikh 7 September 2022. Rencana itu ditulis atas dasar pengampunan penuh diberikan dan parti pemimpin berkenaan menang pilihan raya. Ini yang saya katakan:

“Katakanlah dalam masa terdekat Lembaga Pengampunan bersidang dan memberi pengampunan kepada beliau, ia akan menjadikan sistem perundangan dan kehakiman di negara ini bahan ketawa di dunia: SPRM menghabiskan bertahun-tahun menyiasat; Pendakwa Raya menghabiskan berbulan-bulan mengkaji kertas siasatan; bertahun-tahun Hakim-Hakim membicara dan mendengar rayuan lepas rayuan, merekod, menyemak dan mengkaji beribu-ribu halaman keterangan dan dokumen, mendengar berpuluh-puluh orang saksi dan menulis beratus-ratus halaman alasan penghakiman, satu dua bulan selepas tertuduh disabitkan dan dihukum penjara berpuluh-puluh tahun dan didenda beratus-ratus juta atau berbilion, tanpa terpaksa melakukan apa yang disebut itu semua, ahli-ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu ayat mengampun sabitan dan hukuman itu! Perlukah saya berkata apa-apa lagi? Bayangkanlah sendiri.”

 Saya juga ingin “mengelak pemimpin-pemimpin yang korup menyalahguna kuasa dan menyeleweng wang negara dan penjenayah daripada berkuasa atau berkuasa semula dan mengelak hukumam. Ia juga untuk mengelak ahli-ahli politik daripada memperalatkan Raja Berperlembagaan dan Lembaga Pengampunan untuk membolehkan pemimpin seperti itu berkuasa atau berkuasa semula. Itu bukanlah tujuan Lembaga Pengampunan diadakan.”

 Adakah apa yang saya katakan itu masih terpakai dalam kes ini?

14 Februari 2024

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

NOTA: Dipinda pada 15 Februari 2024

8 visits