SEMINAR PENTADBIRAN HARTA MENURUT ISLAM

SEMINAR ‘PENTADBIRAN HARTA MENURUT ISLAM’
ANJURAN
INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
16-17 NOVEMBER 1998

Nota Mengenai “Pembahagian Harta Pusaka”

Oleh

Dato’ Abdul Hamid Mohamad


 

Nota Mengenai “Pembahagian Harta Pusaka”

Jenis Harta Pusaka

Harta Pusaka terbahagi kepada dua:

  1. Pusaka kecil (small estates);
  2. Bukan pusaka kecil (non-small estates).

Pusaka Kecil

“Pusaka kecil” adalah pusaka yang terdiri daripada tanah atau sebahagiannya tanah yang nilainya tidak melebihi RM600,000.00 – Seksyen 3(2) Akta Pembahagian Pusaka Kecil 1955.

Pembahagian pusaka kecil terletak sepenuhnya dalam bidangkuasa Pentadbir Tanah, bukan Mahkamah Sivil – Fatimah Bt. Mat Akhir and Another v. Sharifah bt. Haji Ahmad & Ors. (1977) 1 MLJ 106 (Mahkamah Persekutuan).

Permohonan pembahagian harta pusaka kecil dibuat kepada, didengar dan diputuskan oleh Pentadbir Tanah. Sebelum membuat keputusan:

  1. Pentadbir Tanah akan mendapat pengesahan daripada Pendaftar Pusat (Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan) bahawa belum ada Surat Kuasa Mentadbir dikeluarkan mengenai pusaka tersebut. (Pendaftar Pusat menyimpan rekod semua Surat Kuasa Mentadbir yang telah dikeluarkan mengenai semua harta pusaka di seluruh Semenanjung Malaysia),
  2. Pentadbir Tanah akan membuat siasatan untuk menentukan waris yang sebenar,
  3. Pentadbir Tanah juga memperolehi Sijil Faraid daripada Mahkamah Syariah.

Melainkan jika dipersetujui sebaliknya, pembahagian dibuat mengikut Sijil Faraid.

Mengikut seorang Pentadbir Tanah yang saya bertanya kepadanya, persoalan Hukum Syarak tidak pernah berbangkit dihadapannya. Jika ia berbangkit, seksyen 19 Akta itu memperuntukkan bahawa Pentadbir Tanah boleh merujukkan persoalan Hukum Syarak dan Adat Melayu kepada “Ruler of the State”. Saya percaya sebelum memberi nasihatnya “Ruler” akan meminta nasihat Mufti atau Jawatankuasa Syariah.

(Pada pandangan saya, adalah lebih baik jika persoalan Hukum Syarak, jika berbangkit, dirujuk kepada Mahkamah Tinggi Syariah, sama seperti persoalan undang-undang lain, misalnya undang-undang tanah, dirujuk ke Mahkamah Tinggi.)

Jika persoalan-persoalan mengenai perkara lain berbangkit, seperti undang-undang tanah, Pentadbir Tanah dikehendaki merujuknya kepada Mahkamah Tinggi.

Terdapat peruntukan untuk rayuan terhadap perintah yang dibuat oleh Pentadbir Tanah ke Mahkamah Tinggi.

Dalam tempoh hampir sembilan tahun saya di Mahkamah Tinggi saya belum pernah menerima walau satu pun rujukan atau rayuan daripada Pentadbir Tanah.

Bukan Pusaka Kecil

Permohonan untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir atau Probate dan Perintah Perletakanhak dibuat kepada Mahkamah Tinggi. Ada dua peringkat. Pertama untuk mendapat Surat Kuasa Mentadbir atau Probate. Selepas itu perintah perletakanhak.

Sebelum memberi Surat Kuasa Mentadbir atau Probate, Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi akan mendapat pengesahan dari Pendaftar Pusat sama ada Surat Kuasa Mentadbir atau Probate pernah dikeluarkan mengenai pusaka yang sama.

Sebelum memberi Perintah Perletakanhak Sijil Faraid juga diperolehi. Melainkan jika dipersetujui sebaliknya, perintah perletakanhak dibuat menurut Sijil Faraid. Sepanjang pengalaman saya sebagai Timbalan Pendaftar selama tujuh tahun dan Hakim selama hampir sembilan tahun, saya belum pernah menemui persoalan mengenai Hukum Syarak dipertikaikan.

Memang diakui bahawa persoalan mengenai Hukum Syarak boleh timbul terutama sekali mengenai wasiat dan wakaf.

Wasiat

Orang Melayu/Islam di Malaysia amat jarang membuat wasiat bertulis. Jika ada pun ia dibuat oleh peguam-peguam sivil yang memakai peruntukan Ordinan Wasiat 1959 yang berasaskan undang-undang Inggeris, terutama sekali bentuknya (form) dan syarat-syarat keesahannya.

Jika timbul perbalahan, peruntukan Ordinan Wasiat dan prinsip-prinsip yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sivil di Malaysia, Singapura dan England dipakai, misalnya mengenai keperluan saksi, sama ada wasi (testator) berfikiran waras semasa membuat wasiat itu, sama ada wujud pengaruh tak wajar (undue influence), frod (fraud) atau/dan forgery.

Persoalan Hukum Syarak boleh juga timbul bersama-sama persoalan yang telah disebut di atas, misalnya jika harta yang diwasiatkan itu melebihi satu pertiga.

Pada masa ini, jika persoalan Hukum Syarak itu timbul di Mahkamah Sivil, Mahkamah Sivil boleh merujuk persoalan itu kepada Jawatankuasa Syariah untuk mendapat nasihatnya. Seperti dalam kes Dalip Kaur v Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor. (1992) 1 MLJ 1 nasihat itu diikuti oleh Mahkamah Sivil.

Wakaf

Mungkin Mahkamah Tinggi Pulau Pinanglah yang paling banyak mendengar kes-kes wakaf di Semenanjung Malaysia, di kebelakangan ini. Tetapi ia tidak timbul dalam proses pembahagian pusaka. Wakaf-wakaf yang dipertikaikan itu adalah wakaf-wakaf lama, ada yang melebihi 100 tahun.

Masalah tidak sepatutnya timbul mengenai wakaf baru kiranya pewakaf itu membuatnya mengikut undang-undang dan prosedur yang diamalkan sekarang. Sebab tanah yang hendak diwakafkan itu akan dipindahmilik (transferred) kepada Majlis Agama Islam. Maka apabila dia meninggal dunia harta itu tidak lagi menjadi pusakanya.

Dalam kes-kes yang saya pernah bicarakan, persoalan wakaf timbul bersama-sama persoalan undang-undang tanah lain seperti hakmilik tak boleh disangkal (indefeasibility of title), milikan bertentangan (adverse possession) dan estoppel. Dalam beberapa kes salah satu pihak yang terlibat adalah orang bukan Islam.

Sama ada pembahagian harta pusaka orang Islam patut dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah?

Nampaknya hujah bahawa pembahagian harta pusaka orang-orang Islam patut dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah ialah: Mahkamah Syariah lebih arif dalam Hukum Syarak. Jika pembahagian harta pusaka dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah, jika dalam sesuatu perbicaraan pembahagian harta pusaka timbul persoalan Harta Syarak, Mahkamah Syariah lebih arif memutuskannya. Pada prinsipnya itu memang betul.

Rasanya terdapat satu “area” di mana persoalan seperti ini lebih berkemungkinan akan timbul, iaitu jika ada wasiat. Semestinya kita ingin melihat keesahan wasiat itu baik dari segi isinya, atau rukun-rukunnya mengikut Hukum Syarak. Hakim-hakim Mahkamah Syariah tentu lebih arif dalam hal ini.

Tetapi banyak persoalan lain yang perlu dipertimbangkan, berdasarkan undang-undang sekarang:

  1. Persoalan Hukum Syarak amat jarang timbul. Jika timbul pun, pada masa ini pun ada peruntukan untuk Pentadbir Tanah merujuk persoalan itu kepada “Ruler of the State” yang semestinya akan memperolehi nasihat Mufti atau Jawatankuasa Syariah sebelum memberi nasihat. Ada juga peruntukan untuk Mahkamah Sivil mendapatkan pandangan Jawatankuasa Syariah mengenai sesuatu persoalan Hukum Syarak. Ada pula peruntukan bahawa sesuatu fatwa yang telah diwartakan itu akan mengikat semua orang Islam dalam sesebuah Negeri itu. Mungkin ini tidak cukup untuk mengikat Mahkamah Sivil (walau pun, hari ini, kemungkinan Mahkamah Sivil tidak mengikut fatwa atau pandangan Jawatankuasa Syariah yang kepadanya sesuatu persoalan Hukum Syarak itu dirujuk, amat tipis), mungkin satu peruntukan boleh diwujudkan yang mengatakan bahawa fatwa atau pandangan Jawatankuasa Syariah itu hendaklah mengikat Mahkamah Sivil.
  2. Pembahagian harta pusaka orang Islam tidak semestinya melibat pihak-pihak yang beragama Islam sahaja. Mungkin tanah itu telah dijual kepada seorang bukan Islam sebelum kematian Simati tetapi pindahmilik tidak sempat dilaksanakan dan pembeli mengkaveat tanah itu. Mungkin tanah itu digadai kepada pemberipinjam wang bukan Islam, syarikat kewangan atau bank dan dia/ia mengkaveat tanah itu. Mereka mahu mencelah dalam prosiding itu. Mereka tidak boleh berbuat demikian di Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka.
  3. Persoalan undang-undang tanah mungkin timbul. Tidak ada peruntukan untuk Mahkamah Syariah merujuk persoalan itu ke Mahkamah Sivil. Maka satu tindakan berasingan terpaksa dimulakan pula di Mahkamah Tinggi untuk mendapat perisytiharan (declaration).
  4. Harta pusaka itu boleh jadi berada di beberapa Negeri di Malaysia, sedangkan bidangkuasa Mahkamah Syariah terhad kepada sesebuah Negeri. Adakah permohonan berasingan perlu dibuat di setiap Negeri di mana terdapat pusaka Simati? Mungkin juga ada sebahagian pusaka Simati di luar Negara. Mahkamah Syariah tidak ada bidangkuasa terhadapnya. Perintah Mahkamah Syariah tidak boleh didaftarkan untuk dilaksanakan di luar Negara. Surat Kuasa Mentadbir atau Probate yang dikeluarkan oleh Mahkamah luar Negara juga tidak boleh dimeterai semula di Mahkamah Syariah.
  5. Pendaftar Pusat yang menyimpan rekod Suratkuasa Mentadbir dan Probate di Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan sekarang adalah Pendaftar Pusat untuk seluruh Semenanjung Malaysia. Jika bidangkuasa mengeluarkan Suratkuasa mentadbir dan probate pesaka orang-orang Islam dipindahkan ke Mahkamah Syariah, satu Pendaftar Pusat lagi perlu diwujudkan. Di tiap-tiap buah Negeri? Jika demikian, bagi setiap permohonan Suratkuasa Mentadbir, Probate atau Pembahagian Pusaka Kecil carian perlu dibuat di setiap Negeri.
  6. Undang-undang mengenai Suratkuasa Mentadbir dan Probate itu sebenarnya undang-undang prosedur yang berasal dari England. Sebahagiannya dikanunkan dalam Probate and Administration Act 1959, Probate and Administration Rules 1961 dan Rules of the High Court 1980. Cabang undang-undang ini telah berkembang sekian lama melalui penghakiman-penghakiman Mahkamah di England, Malaysia, Singapura dan lain-lain. Prosedur mana yang akan dipakai oleh Mahkamah Syariah? Kalau prosedur yang sama, mampukah Hakim-Hakim Mahkamah Syariah menguasainya dalam masa yang singkat? Kalau prosedur lain, ia perlu digubal. Hingga ke hari ini pun Mahkamah Syariah di banyak Negeri masih belum mempunyai undang-undang prosedur sivil, walaupun untuk kes-kes umum.

Jika betul-betul hendak mengatasi masalah, termasuk masalah bidangkuasa Mahkamah Syariah, mungkin syor saya dalam kes Lim Chan Seng v Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 kes yang lain (1996) 3 CLJ 231 wajar dipertimbangkan iaitu:

  1. Jika dalam sesuatu kes di Mahkamah Sivil terdapat persoalan Hukum Syarak, seorang Hakim Syarie hendaklah duduk bersama-sama Hakim Mahkamah Sivil membicarakan kes itu. Hakim Syarie memutuskan persoalan Hukum Syarak. Keputusannya mengikut Hakim Mahkamah Sivil. Hakim Mahkamah Sivil memutuskan persoalan-persoalan fakta dan Undang-Undang Sivil. Hakim Mahkamah Sivil itu membuat keputusan bagi keseluruhan kes itu, mengambil kira keputusan mengenai persoalan Hukum Syarak oleh Hakim Syarie; atau
  2. Gabungkan kedua-dua sistem Mahkamah menjadi satu. Hakim yang berlatarbelakang Undang-undang Sivil membicarakan kes-kes yang melibatkan Undang-Undang Sivil. Hakim yang berlatarbelakang Hukum Syarak membicarakan kes-kes yang melibatkan Hukum Syarak. Kalau dalam sesuatu kes terdapat persoalan Undang-Undang Sivil dan Hukum Syarak, kedua-duanya membicarakan kes itu bersama, seperti (a). Masalah bidangkuasa, pelaksanaan hukuman, perbezaan taraf dan gaji dan lain-lain tidak akan timbul lagi.

Disediakan oleh:
Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad,
Hakim,
Mahkamah Tinggi,
Pulau Pinang.

132 visits