PERIKATAN NASIONAL PERLU JAUHI DAN JAUHKAN TUN DR. MAHATHIR: BAHAGIAN KEDUA

PERIKATAN NASIONAL PERLU JAUHI DAN JAUHKAN TUN DR. MAHATHIR: BAHAGIAN KEDUA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya menulis rencana “Perikatan Nasional Perlu Jauhi dan Jauhkan Tun Dr. Mahathir” dalam bulan Mac 2020. Dalam tempoh tiga bulan selepas itu, satu perkara yang saya tidak bincang kerana saya tidak terfikir ia akan berlaku, telah berlaku.  Perkara itu ialah penyingkiran Tun Dr. Mahathir dan empat orang penyokong kuatnya, termasuk anaknya DS Mukhriz, daripada keahlian Bersatu.

(Satu perkara lagi yang telah berlaku ialah, kerajaan PH di negeri Kedah pimpinan DS Mukhriz telah tumbang.)

Akibatnya, Tun Dr. Mahathir sudah tidak ada parti. Maka pergilah beliau kepada PH untuk diterima semula. Maka berlakulah apa yang disebut sebagai PH+, sebenarnya PH+5 individu yang terdiri daripada Tun Dr. Mahathir dan emat orang penyokongnya itu.

Maka bermesyuaratlah PH+5 sehari demi sehari untuk mendapat persetujuan siapa akan menjadi Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir atau DS Anwar. Kononnya, pada mulanya DS Anwar tidak hadir. Mengikut cerita yang tersiar, Tun Dr. Mahathir mahu menjadi PM sekali lagi sehingga hujung tahun 2020. Selepas itu beliau akan menyerahkan jawatan itu kepada DS Anwar. Mengikut cerita, DS Anwar tidak bersetuju kerana beliau tidak mahu ditipu bagi kali ketiga.

Tidak sabar untuk mengambil alih kerajaan, Tun Dr. Mahathir pun memukul gendang perang bahawa kerajaan PN akan tumbang pada bila-bila masa. Tetapi, tanpa persetujuan DS Anwar untuk Tun Dr. Mahathir menjadi PM, dan tanpa sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat PKR, tidak mungkin PH+ akan dapat mengumpul majoriti bilangan ahli Dewan Rakyat untuk menumbangkan kerajaan PN.

Pada masa yang sama, menurut cerita, DAP, Amanah dan Warisan mahukan Tun Dr. Mahathir menjadi PM sedangkan PKR mahukan DS Anwar menjadi PM. Maka bergaduhlah sesama mereka dan, selama itu, kekallah kerajaan PN.

Dua perkara patut disebut di sini. Pertama, mengapa Tun Dr. Mahathir mahu sangat menjadi menjadi PM bagi kali ketiga, walaupun selama enam bulan? Adakah beliau ingin menjadi juara dunia seperti Muhammad Ali yang menjadi juara dunia (tinju) sebanyak tiga kali? Adakah beliau mahu mencatat rekod sebagai orang pertama dan satu-satunya yang menjadi PM sebanyak tiga kali? (Kalau setakat dua kali, Sir Winston Churchil telah mendahuluinya kira-kira tujuh dekad lebih awal, tidak kira apa yang dilakukan oleh Napoleon Bonaparte di awal abad ke sembilan belas). Jika demikian, beliau tidak perlu menjadi PM bagi kali ketiga selama enam bulan. Enam hari pun cukup. Lagi pula, apa yang hendak dibuatnya dalam tempoh enam bulan? Dalam tempoh 22 bulan pun beliau tidak sempat berbuat apa-apa untuk negara.

Satu kemungkinan ialah beliau hendak membalas dendam terhadap TS Muhyiddin kerana “merampas” jawatan PM daripada beliau.  Tetapi, TS Muhyiddin bukan merampas jawatan itu daripada beliau. Beliau sendiri yang meletak jawatan. Jawatan itu telah beliau sendiri kosongkan. Jika beliau mahu terus menjadi PM, mengapa meletak jawatan? Sekutunya dalam PH  telah pun bersetuju beliau menjadi PM  hingga PRU15. Apa lagi?

Mungkin apa yang saya katakan dalam bahagian pertama rencara ini yang berdasarkan perancangan penyokong-penyokong tegarnya dalam Bersatu, pada masa itu, itu betul. (Sekarang mereka pun telah tidak mengikutnya lagi kerana beliau telah menikam mereka dari belakang). Mengikut  perancangan mereka, Tun Dr. Mahathir akan meletak jawatan sebagai memenuhi janjinya kepada DS Anwar. Selepas meletakkan jawatan, beliau akan dilantik semula dan mengangkat sumpah semula sebagai PM atas alasan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat masih menyokong beliau.

Sebab itulah apabila DYMM SPB YDPA memujuknya supaya tidak meletak jawatan, beliau tidak bersetuju. Sebab, jika beliau bersetuju, ertinya beliau tidak meletak jawatan, sebaliknya terus menjadi PM dan memungkiri janjinya kepada DS Anwar.

Tetapi, beliau tidak menyangka TS Muhyiddin akan menawarkan dirinya sebagai calon PM dan dilantik oleh YDPA sebagai PM. Beliau tidak boleh menyalahkan TS Muhyiddin kerana berbuat demikian.

Kedua, DS Anwar dikatakan menolak cadangan Tun Dr. Mahathir yang terbaharu itu kerana takut ditipu bagi kali ketiga. Yang sebenarnya adalah lebih dari itu. Jawatan itu bukan kepunyaan Tun Dr. Mahathir yang boleh diberinya kepada sesiapa yang beliau suka. Beliau hanya boleh mengosongkan jawatan itu dengan meletak jawatan. Terserahlah kepada YDPA untuk melantik sesiapa yang difikirnya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, boleh jadi orang lain, atau membubarkan Dewan Rakyat dan mengadakan pilihanraya semula. Semua kemungkinan itu boleh berlaku dalam keadaan politik Malaysia hari ini, di mana tiada satu parti atau kumpulan tetap mempunyai majoriti yang kukuh.

Sekarang Tun Dr. Mahathir sudah terkeluar daripada Bersatu. Nampaknya, beliau tidak boleh mengacau Bersatu lagi selain daripada mencabar penyinkirannya, di mahkamah. Tetapi, beliau boleh terus mengacau PN dengan mencuba mendapatkan ahli-ahli Dewan Rakyat daripada parti-parti yang bergabung dalam PN untuk melompat kepada PH. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang difikir berkemungkinan boleh dipengaruhi melompat, dijemput bertemu dengan beliau sendiri. Ada yang hadir. Ada yang, selepas itu, keluar daripada Bersatu tetapi, berhenti di separuh jalan dan mengisytihar sokongan kepada PN, mungkin kerana PN masih tidak tumbang. Ada yang sudah menetapkan tarikh mengadakan sidang akhbar untuk membuat perisytiharan keluar daripada Bersatu, tetapi, setelah beberapa kali menangguh, “menekan brek emergency”, juga mungkin kerana PN masih juga belum tumbang.

Setiap hari kita membaca laporan siapa bakal membuat lompatan dan penafian, di kedua-dua belah pihak. Perhimpunan diadakan untuk menunjukkan kesetiaan kepada parti, pemimpin-pemimpin cuba meyakinkan betapa kukuhnya kedudukan parti, tetapi ada juga yang keluar. Difahamkan, banyak yang menunggu kerajaan tumbang atau menjadi lebih kuat, untuk memilih berada di pihak yang menang.

Jika dalam politik yang penting hanya menang atau berada di pihak yang menang, maka tindakan mereka itu boleh difahami. Tetapi, begitukah?

19 06 2020

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me

63 visits