HAK ASASI MANUSIA PERSPEKTIF TRADISI ISLAM DAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA

KONVENSYEN EKSEKUTIF MABIMS: HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF ISLAM
18 September 2017

Ucaputama
HAK ASASI MANUSIA: PERSPEKTIF TRADISI ISLAM DAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

Dalam ucapan ini, mula-mula saya akan merujuk kepada Universal Declaration of Human Rights ( UDHR). Kemudian, saya akan merujuk kapada The Cairo Declaration on Human Rights in Islam (“Deklarasi Kaherah”). Selepas itu saya akan melihat peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) mengenai hak asasi manusia. Kemudian, saya akan cuba bincang mengenai peranan dan kesan peruntukan-peruntukan itu kepada undang-undang negara dan kedudukan hak asasi manusia khususnya di Malaysia.

UDHR diterima oleh United Nations General Assembly pada 10 Disember 1948 dengan 48 buah negara menyokong, termasuk Afghanistan, Iran, Pakistan dan Turki. Tetapi 8 buah negara yang terdiri daripada Blok USSR dan Saudi Arabia menentang. Yemen tidak hadir untuk mengundi. Pakistan tidak bersetuju dengan pendirian Saudi Arabia dan mengkeritik pendirian Saudi Arabia. UDHR disifatkan sebagai statement pertama hak asasi manusia secara global.

Pada 30 Jun 2000, negara-negara Islam yang menjadi ahli Organisation of Islamic Countries (OIC) bersetuju menyokong Deklarasi Kaherah. Deklarasi itu memberi gambaran menyeluruh perspektif Islam mengenai hak asasi manusia dan mengesahkan Syari’ah sebagai sumbernya yang tunggal. Ia mengisytiharkan tujuannya sebagai garispanduan umum bagi anggota-anggta OIC dalam bidang hak asasi manusia. Deklarasi Kaherah biasanya dilihat sebagai response negara-negara Islam kepada UDHR.

Deklarasi Kaherah melihat persoalan hak asasi manusia daripada sudut hubungan manusia dengan Allah s.w.t. manakala UDHR mengambil pendekatan keduniaan dan sekular. Ini kerana, mengikut Islam sovereignty adalah milik Allah s.w.t. Sebaliknya, mengikut fahaman demokrasi sekular moden Barat, the people adalah dianggap sebagai pemerintah agung (supreme ruler). Mengikut Islam hak asasi adalah kurniaan Allah s.w.t. dan ia adalah suatu yang sacret, tidak boleh dipertikaikan, universal dan kekal. Sebaliknya, orang-orang Barat menganggap bahawa mereka telah memperolehi hak-hak mereka daripada pemerintah mereka setelah perjuangan yang panjang.

UDHR mempunyai 30 Perkara (Article). Saya hanya akan menyebut sebahagian daripadanya dengan ringkas.

Perkara 1: Semua manusia dilahirkan bebas dan dengan martabat dan hak yang sama…..

Perkara 2: Setiap orang berhak menerima semua hak dan kebebasan yang dinyatakan dalam Perisytiharan ini, tanpa apa-apa perbezaan, seperti bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, pendapat politik atau lain-lain,….

Perkara 3: Hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri.

Perkara 4. Hak bebas daripada perhambaan.

Perkara 5. Hak bebas daripada dikenakan seksaan atau layanan kejam atau tidak berperikemanusiaan.

Perkara 6: Hak diiktiraf sebagai seorang di sisi undang-undang.

Perkara 7: Hak persamaan di sisi undang-undang.

Perkara 8: Hak mendapat remedi terhadap pelanggaran hak asasi yang diberi kepadanya oleh perlembagaan dan undang-undang.

Perkara 9: Hak tidak boleh dikenakan tangkapan, penahanan atau buangan sewenang-wenangnya.

Perkara 10. Hak mendapat pembicaraan yang adil dan terbuka oleh tribunal bebas dan saksama.

Perkara 11: Hak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah mengikut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka dan hak tidak boleh disabitkan atas suatu kesalahan kerana sebarang tindakan atau ketinggalan yang tidak merupakan suatu kesalahan jenayah pada masa ianya dilakukan atau dikenakan penalti lebih berat daripada yang terpakai ketika kesalahan itu dilakukan.

Perkara 12. Kebebasan daripada gangguan sewenang-wenangnya dalam hal-hal pribadi, keluarga, rumahtangga atau surat-menyuratnya, atau percerobohan ke atas maruah dan nama baiknya.

Perkara 13. Kebebasan bergerak dan bermastautin di sesebuah negara.

Perkara 14. Kebebasan menikmati perlindungan dari penganiayaan di negara-negara lain.
.
Perkara 15. Hak kewarganegaraan dan ianya tidak boleh dilucut sewenang-wenangnya.

Perkara 16. Lelaki dan perempuan berhak berkahwin dan mempunyai keluarga……

Perkara 17. Hak memiliki harta dan tiada sesiapa pun boleh dilucutkan hartabendanya sewenang-wenangnya.

Perkara 18. Kebebasan berfikir, conscience dan beragama termasuk kebebasan menukar agama atau kepercayaannya, dan kebebasan menganuti agama atau kepercayaannya.

Perkara 19. Hak kebebasan mengeluarkan buah fikiran.

Perkara 20: Hak kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan.

Perkara 21. Hak untuk mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya; peluang samarata dalam perkhidmatan awam di negaranya; pilihanraya hendaklah diadakan.

Perkara 22. Hak kepada keselamatan sosial (social security).

Perkara 23. Hak kepada pekerjaan, hak kepada penggajian yang sama bagi kerja yang sama dan hak menubuh dan menjadi ahli kesatuan sekerja bagi memperlindungi kepentingan-kepentingannya.

Perkara 24 . Hak mempunyai masa dan masa lapang, termasuk had masa kerja yang munasabah dan cuti bergaji yang berkala.

Perkara 25. Hak mendapat taraf hidup yang sesuai bagi kesihatan dan kebajikan diri dan keluarganya…..
……….

Kebanyakan peruntukan dalam UDHR itu terdapat dalam Deklarasi Kaherah dan Perlembagaan Persekutuan. Tetapi, jika ada peruntukan mengenai perkara yang sama pun, peruntukannya tidaklah semestinya betul-betul sama. Ada pula perkara yang terdapat dalam satu dokumen, tetapi tidak terdapat dalam yang lainnya, dan sebaliknya.

Sebagai misalan, UDHR mempunyai peruntukan mengenai hak mendapat keselamatan sosial dan waktu rehat dan masa lapang termasuk cuti bergaji. Deklarasi Kaherah dan Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut hak itu secara spesifik. Tetapi di Malaysia, ia diperuntukkan dalam undang-undang. Kita ada sekim pencen, KWSP, SOCSO dan lain-lain. Dari segi cuti, tidak ada negara dalam dunia ini yang mempunyai lebih banyak cuti awam daripada Malaysia, termasuklah pada hari perayaan setiap agama yang ada di Malaysia.

UDHR tidak menyebut berkenaan penjajahan. Tetapi Deklarasi Kaherah dengan tegas menyatakan:

“Colonialism of all types being one of the most evil forms of enslavement is totally prohibited……” – Perkara 11(b).

“Semua jenis kolonialisme, salah satu bentuk pengadbian yang paling jahat, dilarang sama sekali….” – Article 11(b). (Terjemahan saya)

Ini pengaruh sejarah. Negara-negara Barat yang mempelopori UDHR adalah negara-negara yang terlibat dalam penjajahan yang berleluasa di beberapa abad di kebelakangan ini. Malah, hingga ke hari ini pun ia masih berlaku, walaupun dalam bentuk dan atas alasan yang berlainan, termasuk yang sengaja diada-adakan.

Perkara 14 Deklarasi Kaherah adalah menarik. Ia, antara lain, memperuntukkan:

“Usury (riba) is absolutely prohibited.”

“Riba adalah di tegah sama sekali.” (Terjemahan saya)

Tidak ada peruntukan seperti itu dalam UDHR mahu pun Perlembagaan Persekutuan. Sebabnya boleh difahami. Asas perbankan dan kewangan Barat adalah riba. Jika peruntukan seperti itu dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dalam tahun 1957, semua bank terpaksa ditutup sebab pada masa itu belum pun ada institusi-institusi kewangan Islam. Demikian juga di negara-negara Islam lain. Namun demikian, pada hari ini, Malaysia berada di hadapan sekali dalam pembangunan kewangan Islam walaupun kewangan konvensional masih juga diamalkan. Buat masa ini, itu adalah suatu keadaan yang tidak dapat dielak.

Untuk tujuan konvensyen ini, rumusan berikut bolehlah dibuat mengenai dokumen-dokumen itu:

• UDHR melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan Barat, selepas Perang Dunia Kedua, semasa kuasa-kuasa Barat menjadi penjajah di seluruh dunia. Penyertaan negara-negara Asia dan Afrika amat terbatas kerana kebanyakannya sama ada masih dijajah dan tidak berpeluang mengambil bahagian atau terlalu lemah untuk memberi apa-apa impak.

• Deklarasi Kaherah melihat hak asasi manusia dari sudut pandangan negara-negara Islam yang kebanyakannya baru terlepas daripada belenggu penjajahan, sedang mencari identiti sendiri dan cuba berdiri di atas kaki sendiri.

• Perlembagaan Persekutuan melihat hak asasi manusia dari sudut sebuah negara yang baru terlepas daripada belenggu penjajahan selama lebih daripada empat abad (dikira daripada kejatuhan Melaka) yang menyebabkan kebanjiran orang-orang yang, pada masa itu, dikenali sebagai, pendatang. Sebab itulah Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan seperti Perkara 153, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dan pemakaian Syari’ah dalam undang-undang keluarga bagi orang-orang Islam. Tetapi, hampir semua hak-hak asasi utama yang disebut dalam UDHR terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun dengan pengecualian-pengecualian dan pengubah-suaian yang perlu. Ini tidak dapat dielakkan. Perlembagaan Malaysia mestilah sesuai dengan keadaan, keperluan dan aspirasi Malaysia. Hal yang sama terdapat dalam Perlembagaan mana-mana negara pun.

Saya tidak mempunyai masalah dengan peruntukan UDHR dengan syarat ia dipakai tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan ditafsirkan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Di peringkat antarabangsa, masalahnya ialah tafsiran yang diberi oleh negara-negara maju dan sikap double standard mereka dalam penggunaan hak asasi manusia terhadap negera-negara yang mereka sukai dan tidak sukai. Pernahkah Malaysia mengebom, menyerang atau menghancurkan mana-mana bandar dan penduduknya di mana-mana negara dalam sejarahnya? Bandingkan dengan Israel. Tetapi, pernahkah rekod hak asasi manusia Israel, dikritik oleh mana-mana negara blok Amerika atau badan-badan hak asasi manusia antarabangsa, berbanding dengan Malaysia?

Tunjuk kepada saya sebuah negara, semenjak tahun 1948, tahun perisytiharan UDHR, yang lebih banyak melancar peperangan ke atas negara-negara kecil, membunuh dan mencederakan orang awam dan memusnahkan harta benda lebih daripada Amerika Syarikat. Bukan sahaja rekod hak asasi manusianya tidak dipersoalkan, sebaliknya ia menekan negara-negara yang tidak disukainya, dengan menggunakan hak asasi manusia sebagai alasan.

Apakah salah kita? Diskriminasi atas asas bangsa kerana adanya Perkara 153. Ketiadaan kebebasan beragama kerana gereja Kristian tidak boleh berdakwah kepada orang Islam; kerana orang Islam tidak dibenarkan menukar agama; kerana mengamalkan poligami; kerana undang-undang pembahagian pusaka mendiskriminasikan waris perempuan; kerana melaksanakan hukum syarak yang tidak adil dan melanggar hak asasi manusia; kerana undang-undang kita menjadikan liwat, zina dan khalwat satu kesaladan; kerana kita tidak membenarkan perkahwinan sejenis dan lain-lain lagi. Itulah salah kita, mengikut mereka.

Yang mendukacitakan ialah adanya rakyat Malaysia yang hidup mewah di sini tetapi masih tidak puas hati kerana mereka mahu lebih lagi yang mengemukakan laporan-laporan memburukkan rekod hak asasi manusia Malaysia untuk kepentingan mereka sindiri.

Ada pula akhbar harian online yang memberi ruang kepada wartawannya untuk menulis rencana-rencana yang mengkritik Malaysia atas alasan diskriminasi kaum, tiada kesamarataan, tiada kebebasan bercakap dan bersuara dan lain-lain.

Sekarang wartawan tersebut sedang menyemarakkan kemarahan orang bukan Islam mengenai penggunaan cukai yang dibayar oleh orang bukan Islam untuk membiayai institusi-intitusi Islam seperti JAKIM, Jabatan Keadilan Syariah, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam, university-universiti Islam, IKIM, YADIM, Institut Wasatiah, Institut Islam Hadhari, IAIS, ISTAC, dan lain-lain lagi.

Sebagai alasan, dia menggunakan Perkara 11(2) yang berbunyi: (Saya membaca terjemahannya):

“(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.”

Sila baca betul-betul fasal (2) itu. Yang dilarang ialah cukai “the proceeds of which are specially allocated …..for the purposes of a religion other than his own”, dalam Bahasa Melayunya “yang hasilnya diuntukkan khas…..bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.”

Misalnya, jika Parlimen membuat undang-undang untuk mengutip cukai daripada semua orang dengan tujuan khas untuk membina masjid. Itu dilarang.

Cukai pendapatan, cukai GST, cukai setem, cukai impot dan ekspot, cukai kenderaan, cukai tanah dan cukai-cukai lain yang dikutip itu adalah cukai am untuk perbelanjaan am negara, bukan untuk sesuatu tujuan tertentu. Ia bukanlah cukai seperti yang dimaksudkan oleh Fasal (2) itu.

Kemudian, bacalah pula Perkara 12(4) yang, antara lain, memperuntukkan, (terjemahannya)

“…..tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”

Penulisan-penulisan seperti itu sangat merbahaya. Ia terang-terang menyalah-tafsirkan peruntukan Perlembagaan untuk membangkitkan kemarahan dan kebencian orang bukan Islam terhadap agama Islam, orang Islam, Kerajaan dan negara. Ia boleh menyebabkan permusuhan antara orang bukan Islam dengan orang Islam dan menggugat ketenteraman negara.

Sudahlah wartawan itu dibiarkan bebas berbuat demikian, SUHAKAM pula mengisytiharkannya sebagai Tokoh SUHAKAM tahun 2016 “for extraordinary reporting on human rights issues”! (“kerana laporan luarbiasa mengenai isu-isu hak asasi manusia”).

Apakah yang “luarbiasanya”? Mungkin ini. Wartawan tersebut, seorang wanita, antara lain, menulis “What is so immoral about being a porn star?” (Apakah yang tidak bermoral sangat menjadi bintang filem lucah?”). Mungkin itulah keluarbiasaannya yang melayakkannya menjadi Tokoh SUHAKAM.

Ada pula beberapa orang aktivis perempuan Melayu yang bersuara senada dengan kumpulan ini dalam isu-isu hak asasi manusia.

Orang Melayu dan Islam hendaklah memberi perhatian terhadap gerakan-gerakan seperti itu dan mempertahankan hak mereka seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Kembali kepada Perlembagaan Persekutuan. Di sini eloklah saya sebut secara sepintas lalu peruntukan Bahagian II (Kebebasan Asasi). Oleh sebab kesuntukan masa, saya hanya akan menyentuh peruntukan-peruntukan yang mungkin menimbulkan persoalan.

Perkara 5. Kebebasan diri (Liberty of the person).

Perkara 6. Keabdian dan kerja paksa dilarang (Slavery and forced labour prohibited).

Saya menghujahkan bahawa pengharaman pengabdian (perhambaan) oleh Perlembagaan Persekutuan tidak bercanggah dengan Syariah, malah ia boleh dianggap sebagai pembangunan fiqh (development of fiqh), yang tidak boleh berlaku di zaman silam disebabkan keadaan pada masa itu tidak mengizinkan.

Pembangunan fiqh itu adalah menepati maqasid al-Syariah. Bagi saya, maqasid al-Syariah mengenai nyawa (nafs, life) tidak akan tercapai selagi ada umat Islam yang menjadi hamba abdi dalam sebuah negara yang diperintah oleh orang Islam.

Saya juga menghujahkan bahawa adanya pengabdian bukanlah satu syarat kenegaraan Islam. Ia hanya dibolehkan dalam keadaan pada masa berkenaan, bukan diwajibkan sampai bila-bila.

Sekarang kita telah berada di satu tahap di mana pengabdian telah boleh diharamkan (outlawed), maka dengan mengharamkannya, kita telah menepati kehendak Syariah yang sebenar. Dengan berbuat demikin, dalam hal itu, kita telah membawa fiqh Islam ke tahap yang lebih developed.

Saya ingin bertanya, adakah untuk menjadikan sebuah negara itu negara Islam atau negara patuh Syariah, kita perlu mewujudkan pengabdian (slavery) semula? Adakah tujuan Syariah untuk memerangkap orang-orang yang beriman supaya menjalani penghidupan mereka sama seperti pada masa al-Quran diturunkan, untuk sepanjang zaman?

Saya menghujahkan, selain daripada ibadat, untuk terus relevan hingga ke akhir zaman, fiqh Islam juga perlu berubah bersesuaian dengan keadaan semasa, dalam lingkungan prinsip-prinsip yang di benarkan.

Perlu diingati, ini adalah satu kenyataan umum. Detailnya kenalah diteliti satu per satu.

Perkara 7. Perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang (Protection against retrospective criminal laws and repeated trials.)

Perkara 8. Kesamarataan (Equality). Fasal (1) memperuntukkan:

“(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.”

Itu fasal (1). Kita juga perlu baca peruntukan-peruntukan berikutnya dan lain-lain peruntukan yang memperuntukkan pengecualian kepadanya, yang terlalu panjang untuk saya bincang dalam ucapan ini. Tetapi, saya hanya akan menyebut satu sahaja, ia itu Fasal (5) (a), (terjemahannya):

“(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang—

(a) apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri;”

Dalam bahassa Inggeris:

“(5) This Article does not invalidate or prohibit—

(a) any provision regulating personal law;”

Perhatikan bahawa peruntukan ini mengecualikan pemakaian Perkara 8 kepada undang-undang yang dibuat di bawah Senarai II, Jadual Kesembilan. Maka hujah bahawa hukum Syarak yang dijadikan undang-undang menurut Senarai II, Jadual Kesembilan itu bercanggah dengan Perkara 8, gugur dengan sendirinya.

Perkara 9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak. (Prohibition of banishment and freedom of movement).

Perkara 10. Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. (Freedom of speech, assembly and association.)

Perkara 10 (1) memperuntukkan (terjemahannya):

“Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—

(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;”

Sekali lagi, janganlah hanya membaca perenggan (a) tanpa membaca permulaan Fasal itu yang mengatakan “Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4” dan seterusnya membaca fasal-fasal yang berikut itu.

Kebebasan mesti ada hadnya. Hak mesti ada tanggungjawabnya. Bangsa Melayu, penduduk beraja di Semenjung Tanah Melayu, adalah satu bangsa yang beradat, beradab dan beragama. Ketamadunan bukan bererti membuang segala-segalanya dan kembali ke alam kehaiwanan atas nama hak asasi manusia. Jika demikian, gantikanlah sahaja dengan hak asasi kehaiwanan.

Tetapi, semut pun ada peraturan. Bacalah Surah Al-Naml dan perhatikanlah bagaimana semut berjalan dalam satu barisan dan apa yang dilakukannya apabila ia bertemu dengan setiap ekor semut yang serupa dengannya yang datang dari arah yang bertentangan.

Maka, manusia lebih lagi perlu ada undang-undang untuk menjaga ketenteraman dan moral awam.

Perkara 11. Kebebasan beragama. (Freedom of religion). Fasal (1), terjemahannya,

“(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.”

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mengatakan bahawa tidak ada kebebasan beragama di Malaysia kerana, antara lain, orang Islam tidak dibenarkan keluar daripada agama Islam dan memeluk agama lain.

Sebenarnya, dalam undang-undang kita pun tidak ada kesalahan murtad. Yang ada ialah pemujaan salah, doktrin palsu, dakwaan palsu dan sebagainya.

Ini kerana kita tidak boleh membuat satu undang-undang yang mengatakan sesesorang Islam yang murtad itu melakukan satu kesalahan dan boleh dihukum….(dan seterusnya). Sebabnya, jika kita katakan dia murtad, dia bukan lagi seorang Islam. Oleh itu, kesalahan di bawah Senarai II, Jadual Kesembilan tidak terpakai lagi kepadanya. Dia tidak boleh dituduh, disabitkan dan dihukum mengikut undang-undang itu kerana dia bukan lagi seorang Islam. Selain daripada itu, mahkamah syari’ah juga tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

Saya telah pun membaca Fasal (2) yang digunakan untuk menentang penggunaan cukai awam untuk membiayai istitusi-institusi Islam.

Satu perkara lagi yang perlu ditekankan ialah bahawa Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan yang khusus yang membolehkan Dewan Undangan Negeri membuat undang-undang untuk menubuhkan mahkamah syariah, “pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; ……” dan lain-lain – lihat Senarai II, Jadual Kesemilan.

Peruntukan itu adalah satu pengecualian daripada peruntukan-peruntukan am lain dalam Perlembagaan. Sesuatu undang-undang yang dibuat di bawah Senarai II itu sah:

1. jika ia hanya terpakai kepada orang Islam;

2. jika kesalahan-kesaahan itu adalah kesalahan-kesalahan terhadap perintah agama Islam (precepts of Islam); dan

3. jika kesalahan-kesalahan itu tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Itu sahaja ujiannya, bukan sama ada ia selaras dengan Perkara 11 atau lain-lain peruntukan Bahagian II (Kebebasan Asasi). Peruntukan-peruntukan itu tidak berkenaan untuk kesalahan-kesalahan itu. Jika tidak, hampir semua kesalahan itu tidak sah sebab ia menyekat kebebasan beragama seseorang, apatah lagi mengikut tafsiran yang diberi kepada Perkara 18 UDHR. Misalnya, kesalahan pemujaan salah, doktrin palsu, dakwaan palsu, menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, mempersendakan ayat Al-Quran atau Hadith, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak membayar zakat atau fitrah dan lain-lain semuanya tidak sah sebab ia tidak selaras dengan kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11. Habis, apa tujuan Senarai II?

Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan. (Rights in respect of education).

Peruntukan ini agak panjang untuk saya membincangnya di sini. Sebahagian daripada fasal (2) saya telah baca tadi, mengenai pembiayaan institusi pengajian Islam dan dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam.

Perkara 13. Hak terhadap harta. (Rights to property).

Dalam hal ini pun ada kumpulan yang tidak puas hati, kerana Perlembagaan mengekalkan Tanah Rizab Melayu.

Dalam tahun 1999, Parliament Malaysia telah membuat Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta 597). Seksyen 2(2) antara lain, memperuntukkan:

‘2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“hak asasi manusia” merujuk kepada kebebasan asasi sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan;”

Ini diikuti oleh seksyen 4 (4) yang memperuntukkan:

“(4) Bagi maksud Akta ini, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR – ditambah) setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jika Akta itu tidak dibuat pun, kedudukannya sama juga. Akta itu menekankan lagi kedudukan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, bukan menyuruh kita membuang Perlembagaan dan mengambil UDHR sebagai ganti, apatah lagi menerima pakai tafsiran yang diberi oleh negara-negara maju dan mahkamah-mahkamah negara-negera asing. Ini perlu difahami.

Saya ulangi bahawa UDHR, mahupun Deklarasi Kaherah, bukanlah undang-undang utama Malaysia. Undang-undang utama Malaysia adalah Perlembagaan Persekutuan. UDHR hanya dikehendaki diberi perhatian setakat yang ia tidak tak selaras dengan (not inconsistent with) Perlembagaan Persekutuan.

Maka sesuatu isu itu mestilah dilihat daripada perspektif Perlembagaan Persekutuan: apa peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenainya dan membuat keputusan mengikutnya. Merujuk kepada UDHR tidak salah asalkan kita senentiasa ingat, di mana UDHR tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Persekutuanlah yang mesti diikuti.

Merujuk kepada penghakiman-penghakiman mahkamah-mahkamah di negara-negara lain adalah merbahaya kerana penghakiman-penghakiman itu dibuat berdasarkan peruntukan perlembagaan negara-negara berkenaan yang mungkin berlainan daripada peruntukan Perlembagaan kita. Misalnya, Perlembagaan India bermula dengan perisytiharan bahawa India adalah sebuah negara sekular. Amerika Syarikat tidak mempunyai agama negaranya.

Sebaliknya, Malaysia mempunyai agama negaranya. Setiap negeri mempunyai Ketua Agama Islam. Terdapat peruntukan khusus yang mengiktiraf pemakaian Hukum Syarak, pengwujudan kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam (precepts of Islam), penubuhan mahkamah syariah dan lain-lain.

Maka, oleh sebab Mahkamah Agung India memutuskan bahawa penubuhan mahkamah syariah di India adalah tidak sah di sisi Perlembagaan India, adakah kita juga akan mengikutinya? Oleh sebab Mahkamah Agung Amerika Syarikat mengisytiharkan undang-undang yang tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis tidak sah mengikut Perlembagaan Amerika Syarikat, adakah kita juga akan mengikutinya?

Mengambil ingatan bahawa perhatian, saya ulangi, perhatian, (regard) hendaklah diberi kepada UDHR “setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan (not inconsistent with) Perlembagaan Persekutuan”, saya tidak nampak UDHR akan memberi apa-apa masalah kepada kita. Demikian juga, saya tidak nampak adanya peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak asasi manusia yang tak selaras dengan Syariah.

Akhir kata, memetik kata-kata Imam Abu Hanifah, “Ini hanyalah pendapat saya. Jika ada hujah yang lebih baik, ikutlah”. Saya berkata, “Ini hanyalah pendapat saya. Jika ada hujah yang lebih baik, saya juga akan mengikutinya.”

Sekian. Terima kasih.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

 

800 visits