KELESTARIAN INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA: ISU DAN CABARAN

AKADEMI LATIHAN PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
SEMINAR INTEGRITI
16 June 2015

KELESTARIAN INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA: ISU DAN CABARAN
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad


Saya terpaksa mengaku bahawa saya sudah ketinggalan zaman. Pertama, apabila saya membaca tajuk yang diberi, saya tidak tahu apa makna “kelestarian”, malah itulah kali pertama saya menemui perkataan itu. Nasib baik ada Prof. Dr Nik Ahmad Kamal untuk memberi pencerahan, itu pun satu perkataan yang saya baru belajar. Sepanjang lebih kurang tujuh puluh tahun, saya cuma tahu perkataan, “menjelaskan” dan “menerangkan”.

Kedua, apabila saya terbaca bahawa ada kursus bertauliah mengenai integriti, saya terkejut. Saya faham, melalui kursus perubatan kita boleh melahirkan doktor. Tetapi, bagaimana melalui kursus integriti, kita boleh melahirkan orang yang berintegriti? Selepas itu baharu saya terfikir bahawa, melalui kursus itu kita mengajar ilmu integriti. Graduan yang kita keluarkan adalah graduan yang tahu ilmu integriti, tidak semestinya orang yang berintegriti. Keadaannya samalah dengan kursus syari’ah. Kursus itu hanya mengeluarkan orang yang tahu syari’ah, tidak semestinya seorang yang patuh syari’ah. Dia mungkin tahu hukum, tetapi tidak semestinya seorang yang waraq.

Biar apa pun, ini adalah satu perkara yang kita perlu ambil perhatian. Ini kerana, setelah mendapat sijil, pegawai berkenaan akan ditempatkan dalam unit integriti yang ditugaskan untuk mengawas governan dan integriti jabatan tersebut. Beliau akan bertanggungjawab dalam hal ehwal integriti dan program-program yang berkaitan dengannya di jabatan tersebut. Untuk itu, ilmu mengenai integriti sahaja tidak memadai. Dia juga mestilah seorang yang berintegriti dan dihormati. Jika tidak dia hanya akan menjadi bahan ketawa dan unitnya tidak akan dihormati. Maka, dalam memilih pegawai-pegawai untuk ditempatkan dalam unit seperti itu untuk menjalankan tugas seperti itu, satu syarat lagi perlulah dipeuhi: seseorang pegawai itu mestilah seorang yang berintegriti dan dihormati.

Selain daripada ketinggalan zaman, ada satu perkara lagi kekurangan saya untuk bercakap dalam majlis ini. Saya tidak pernah menghadiri apa-apa kursus, belajar atau mengajar atau membuat kajian mengenai integriti. Tetapi, kali pertama saya dijemput bercakap mengenai integriti di UNITEN dalam tahun 2012, saya menceritakan kisah seorang yang amat dihormati kerana integritinya walaupun orang itu sendiri tidak tahu perkataan integriti. Tetapi dia faham makna kejujuran walaupun dia tidak pernah menggunakan perkataan itu, termasuk dalam mendidik anak-anaknya. Apa yang penting ialah beliau tahu apa yang “baik” apa yang “tak baik” (dalam kata-kata lain, “what is right and what is wrong”) dan beliau lakukan apa yang baik dan menjauhi apa yang tak baik. Ertinya, melalui fitrah yang diberikan oleh Alllah s.w.t., ditambah dengan didikan agama, manusia tahu “what is right and what is wrong”, apa erti kejujuran dan melalui pengalaman dan pemerhatiannya, manusia tahu apa itu integrity. Maka, hari ini saya bercakap kepada tuan-tuan dan puan-puan dari pengalaman dan pemerhatian saya.

Sebelum kita boleh bercakap mengenai kelestarian (sustainability) integriti, integriti perlu ada dahulu. Bagaimana sesuatu yang tidak ada akan kekal adanya? (Ini kita belajar dalam sifat 20). Sifat ada itu mesti ada dahulu. Baru yang lain boleh ikut.

Peringkat individu

Kita perlu mula dari peringkat individu. Seseorang kanak-kanak itu perlu ditanam dengan sifat jujur. Untuk berbuat demikian, ibu bapanya juga perlu jujur.

Bagi saya, kejujuran adalah asas integriti. Seorang yang jujur adalah seorang yang berintegriti. Sebelum Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi rasul, beliau telah pun dikenali dengan gelaran “Al-Amin”, ertinya “yang jujur”. Ertinya, baginda telah pun dihormati kerana kejujurannya, baginda telah pun membina integritinya. Maka apabila baginda dilantik menjadi Rasul, mudahlah orang mengikutinya. Hinggakan apabila Abu Suffian, ketua Quraisy Musyrikin pada masa itu, ditanya oleh Raja Habsyah sama ada Muhammah pernah berbohong, Abu Suffian terpaksa menjawab, “Setakat ini, belum.” Ertinya, untuk menjadi pemimpin yang berintegriti, seseorang itu mestilah membina integritinya terlebih dahulu diperingkat individu. Orang seperti itulah yang layak menjadi pemimpin sesuatu organisasi yang menekankan integriti di peringkat organisasi.

Mengapa “kemimpinan melalui teladan” dilupai tidak lama selepas ia dilancarkan? Mengapa kempen-kempen anti-rasuah yang dilancar oleh ahli-ahli politik tidak pernah dipandang serius, apatah lagi memberi apa-apa kesan? Jawabnya ialah orang-orang yang hendak diyakinkan itu sendiri tidak yakin dengan orang yang hendak meyakinkan mereka. Seorang itu boleh memberi ucapan yang berapi-api. Tetapi, soalnya adakah orang yang mendengarnya percaya apa yang dikatakannya? Yang menentukannya ialah sama ada di mata pendengar, orang itu berintegriti, bukan siapa dia.

Maka, untuk membina integriti di peringkat organisasi, pemimpin-pemimpin orgnisasi itu mestilah terlebih dahulu membina integriti di peringkat indivudu.

Peringkat organisasi

Di peringkat organisasi mestilah ada dasar, peraturan dan governan yang jelas yang dipatuhi oleh semua peringkat dalam organisasi itu.

Dalam ucapan saya di UNITEN, saya menceritakan pengalaman saya di The Hague. Saya masuk ke sebuah kedai menjual pakaian sukan. Saya hendak membeli sepasang kasut yang bertanda “discount 25%”. Apabila jurujual itu pergi mengambil sebelah lagi, beliau datang semula kepada saya, tunjuk ke tepi kasut itu dan bertanya saya, “Kamu nampak tidak lobang ini. (Sebenarnya itu bahagian yang digam dan ada sedikit yang tidak rapat. Pada saya itu perkara biasa.) Sebab ada kecacatan ini, saya tidak boleh jual dengan 25% diskaun. Saya akan berikan kamu 50% diskaun. Jika kamu tidak mahu, kamu boleh pergi ke cawangan kami (beliau sebut alamatnya) dan ambil yang lain.

Adalah jelas bahawa jurujual itu melaksanakan dasar dan peraturan syarikat itu.

Di pringkat ini, ilmu yang tuan-tuan pelajari akan menjadi relevan: apa peraturan yang perlu dibuat, bagaimana ia perlu dipantau dan seterusnya. Biar apa pun, pelaksanaannya hanya akan berjaya jika ada kepimpinan melalui teladan.

Tetapi masalahnya tidak terhenti setakat itu. Ia juga ada kaitan dengan orang politik kerana orang politik juga mencampuri hal pentadbiran. Jika mereka campur tangan untuk memastikan bahawa dasar dan peraturan yang mereka tetapkan dipatuhi, tidak mengapa. Tetapi, apabila mereka campur tangan kerana kepentingan diri, penyokong atau parti, maka ia akan menyebabkan pelaksanaannya menyimpang daripada dasar yang telah ditetapkan. Ini akan memberi kesan negatif kepada integriti organisasi itu.

Di sini kita sebenarnya bercakap mengenai rasuah, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa dan projek-projek yang boleh dipersoalkan (questionable projects). Adakah orang politik mempunyai “political will” untuk mengelak daripada terlibat dalam perkara-perkara itu? Itulah soalannya yang sebenar.

Daripada pemerhatian saya, secara keseluruhannya, perkhidmatan awam kita adalah lebih efficient dan lebih telus daripada 40 tahun dahulu. Kita boleh tahu kedudukan bil tanah dan cukai pintu kita hanya dengan melayari internet dan membayar melalui internet. Jika kita talipon pun, kita terus akan diberitahu kedudukannya. Berapa orang yang ada dalam dewan ini yang pernah diminta wang rasuah unuk mendapat sesuatu perkhidmatan di Jabtan Kerajaan? Di peringkat perkhikmatan awam, yang lebih bermasalah ialah jabatan-jabatan penguatkuasaan.

Tetapi, yang benar-benar bermasalah adalan orang politik, di peringkat atas. Persepsi buruk di peringkat itulah yang mempengaruhi semua peringkat dan memberi persepsi buruk kepada semua peringkat. Merekalah yang perlu membuat perubahan kepada diri mereka untuk memperbaiki persepsi buruk itu, bukan dengan ucapan tetapi dengan menjauhkan diri daripada terlibat dalam rasuah, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa dan projek-projek yang boleh dipersoalkan (questionable projects). Jika mereka bersih, persepsi terhadap mereka, kerajaan dan perkhidmatan awam juga akan bertambah baik.

Dalam hal ini, saya perhatikan, di Malaysia ini, ada satu perkara yang menyukarkan orang politik untuk menolak perkara-perkara yang saya sebutkan itu. Ianya adalah bentuk politik yang kita telah bina, sama ada dengan sengaja atau tidak. Kita telah mewujudkan “politik suapan dan pembaziran”. Semua peringkat perlu “disuap” untuk mendapat undi, daripada kain pelikat, kopiah putih, minyak ‘atar, majlis-majlis jamuan, rombongan melancung hinggalah kepada pemberian projek dan pembinaan prasarana di kawasan pilihanraya. Ini bukan hanya terhad kepada UMNO. Di samping itu, terdapat pula pembaziran yang melampau di musim pilihan raya. Lihatlah kepada banyaknya bendera dan banting yang diregang di merata tempat. Ia hanya pembaziran tanpa faedah. Orang tidak mengundi mengikut banyaknya bendera dan banting yang dinaikkan oleh sesuatu parti. Saya pernah berada di negeri Belanda pada hari pilihan raya umum dan dua kali di Amerika Syarikat pada hari Pilihan Raya Presiden. Saya tidak lihat satu bendera atau banting pun.

“Politik suapan” ini telah menjadi sebahagian daripada budaya kita. Hinggakan orang-orang di peringkat bawahan pun mengharapkannya. Seorang penyokong parti di peringkat bawah pernah berkata kepada saya. Beliau merujuk kepada dua orang pemimpinnya. Katanya, “Yang dulu raub. Bila dia raub, kita pun dapat juga syoru. Yang sekarang tak raub. Kita pun tak syoru”.

Politik suapan dan pembaziran itu memerlukan wang. Maka parti-parti yang bertanding perlu mencari wang. Itu adalah antara sebab berlakunya rasuah, faktor pertama yang merosakkan integriti pemimpin-pemimpin politik.

Oleh itu, saya ingin mengulangi cadangan saya yang saya buat di sini tahun lepas. Sebagai langkah permulaan, saya minta semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya supaya bersetuju untuk mengurangkan pembaziran yang tidak bermanfaat itu.

Sebenarnya, orang politik juga tahu apa yang betul dan apa yang salah (what is right and what is wrong). Mungkin faktor-faktor yang menarik mereka ke arah yang salah terlalu kuat. Biar apa pun, hanya mereka yang boleh menentukan pendirian mereka. Adakah mereka cukup kuat untuk melakukannya?

Terima kasih.

996 visits