PERPADUAN UMMAH: ADA SEBAB UNTUK SENYUM

PERPADUAN UMMAH: ADA SEBAB UNTUK SENYUM

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

Semenjak tahun 2013, lebih-lebih lagi dalam tahun 2014, berulang kali saya menyeru supaya orang Melayu bersatu dan UMNO dan PAS bekerjasama, untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan agama Islam. Akibatnya, saya dikritik, dicerca, dikutuk, dimaki hamun, dipanggil rasis, pelampau dan ekstremis oleh, terutama sekali, orang-orang bukan bukan Melayu (ada juga yang Melayu). Oleh kerana tulisan-tulisan saya itu, mereka mempersoalkan kesesuaian saya dilantik menjadi hakim dan akhirnya Ketua Hakim Negara, walau pun saya menulisnya selepas saya bersara. Sebaliknya, hakim-hakim bersara yang memegang jawatan dalam kerajaan PH, malah parti komponennya, tidak diperrsoalkan.

Malangnya, dalam PRU 14, UMNO dan PAS, kerana angkuh dengan kekuatan masing-masing dan lebih mementingkan untung-rugi masing-masing daripada isu-isu yang lebih besar itu, masing-masing telah meletakkan calon, menyebabkan pertandingan tiga penjuru dengan Pakatan Harapan. Akibatnya, di Pantai Barat Semenanjung Malaysia (PBSM), banyak kerusi yang dimenangi oleh PH. Padahal, jika dicampurkan bilangan undi yang diperolehi BN dan PAS, ia melebihi bilangan undi yang diperolehi PH. Ertinya, jika UMNO dan PAS mengelak pertandingan tiga penjuru, banyak kerusi di PBSM boleh dimenangi UMNO atau PAS, dengan itu, besar kemungkinan, dapat menafikan kemenangan PH.

Nasi telah menjadi bubur. Kita patut mengambil pengajaran daripadanya. Sedikit demi sedikit kita perhatikan kedua-dua parti itu semakin rapat. PRK Sungai Kandis tidak menunjukkan apa-apa kesan. Tetapi, PRK Cameron Highlands menunjukkan akibat yang jelas. PAS memberi laluan kepada UMNO, membantu kempen UMNO dan, lebih penting lagi, ahli-ahlinya mengundi calon BN, walau pun ada yang sebak semasa hendak melakukannya buat kali pertama dalam setengah abad, apatah lagi mengundi calon parti yang pernah dilabel oleh Tok-Tok Guru mereka sebagai “tak Islam” itu.

Biar apa pun, dengan sokongan mereka dan pengundi-pengundi yang telah berpatah balik daripada PH kepada BN, BN telah menang dengan majoriti besar.

Tiba-tiba semua orang, Melayu dan bukan Melayu tersentak. Orang bukan Melayu dan bukan Melayu yang menyokong PH tekejut dan sedih kerana orang Melayu kembali semula kepada BN. Dianggarkan 90% orang Melayu telah mengundi calon BN. Dan, rata-rata, orang Melayu merasa lega melihat permulaan perpaduan Melayu dan umat Islam. Ini dikuatkan lagi oleh perhimpunan menentang ratifikasi ICERD yang dilabelkan sebagai perhimpunan menentang “Malayan Union 2” oleh orang-orang Melayu dan rasis oleh orang-orang bukan Melayu dan penyokong PH.

Dengan semangat 812 itu masih terasa, kedatangan PRK Semenyih disambut dengan gembira oleh orang Melayu keseluruhannya, melainkan penyokong tegar PH. Kumpulan yang pertama disebut itu merasakan bahawa inilah peluang untuk menunjukkan ketidakpuashatian mereka terhadap PH yang telah mengecewakan mereka. Tindakan PAS memberi laluan kepada UMNO disambut baik oleh mereka.

Pada 14 Mei 2019. Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, mengeluarkan surat “Arahan hadir memberi sokongan pada calon Narisan Nasional sempena penamaan calon pilihan raya kecil N 24 Semenyih” kepada Setiusaha Dewan-dewan PAS Negeri dan Setiausaha Pas Kawasan. Surat itu mengarahkan:

1. Setiap kawasan di Negeri Selangor menghantar 50 orang jentera pilihanraya PAS;

2. Kawasan Ulu Langat menghantar 400 orang jentera pilihanraya PAS;

3. Kawasan Serdang menghantar 300 orang jentera pilihanraya PAS.

Esoknya, pada 15 Februari 2019, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, President PAS, besama-sama Dato’ Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS dan Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu bertemu dengan Tun Dr Mahathir di pejabat beliau di Yayasan al-Bukhari di Kuala Lumpur.

Esoknya, pada 16 Februari 2019, adalah hari penamaan calon. Pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PAS bersama-sama pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong UMNO memberi sokongan kepada calon BN. Pemimpin-pemimpin PAS yang hadir termasuklah Dato’ Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS. Penyokong-penyokong PAS itu, termasuk yang datang dari negeri-negeri lain, dengan perasaan persaudaraan Islam baru, melupai permusuhan politik berpuluh-puluh tahun dengan tujuan yang satu, untuk mengalahkan calon PH. Mereka menyusun jadual kerja bersama untuk meneruskan kempen calon BN.

Tiba-tiba, pada petang itu juga, Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan. Malaysiakini melaporkan (Laporan akhbar-akhbar lain juga lebih kurang serupa.):

“Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjanji kepadanya untuk tidak menyokong Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, kali ini.

Pengerusi PPBM itu berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Hadi semalam.

“Saya bincang berkenaan dengan politik, tentang PAS yang tidak akan menyokong Umno pada PRK Semenyih.

“Dia beritahu tapi ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani olehnya,” kata Dr Mahathir.

Hati saya remuk. Setelah kerjasama di antara kedua buah parti itu mula menampakkan hasilnya, ia dihancurkan oleh PAS. Saya sungguh kecewa dengan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS itu. Itu reaksi awal saya.

Tetapi, nampaknya reaksi pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong UMNO dan PAS berlainan: mereka tidak percaya berita itu. Bagaimana perasaan pekerja-pekerja PAS yang datang dari negeri-negeri lain yang sedang berkampung di Semenyih dan akan memulakan kempen sepenuhnya, malam itu? Semua tertunggu-tunggu penjelasan Presiden PAS itu.

Esoknya, pada 17 Februari 2019, Pas Pusat mengeluarkan kenyataan media bertajuk “Kunjungan hormat kepada YAB Perdana Menteri”. Kenyataan itu mengatakan:

“Setelah mendapat penjelasan daripada YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Preiden PAS di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang bersidang pada 17 Februari 2019 di Marang, maka saya dengan ini ingin memaklumkan bahawa:

1. PAS menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan memberi laluan kepada wakil pembangkang, iaitu Barisan Nasional, dengan tahap komitmen serta kadar penglibatan yang berbeza keadaannya pada PRK Cameron Highlands.

Ini selaras dengan pendirian konsisten PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya di samping PAS mengekalkan hubungan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidarity pembangkang.

2. Perakuan bertulis yang berbentuk contoh (sample) diberikan sebagai komitmen sokongan PAS terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, di atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga PRY 15 dan….”

Kenyataan itu ditandatangani oleh Takiyuddin Hassan, Setiausaha agung PAS.

Perhatikan:

1. Kenyataan itu tidak langsung menyebut bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO pada PRK Semenyih.

2. Mengikut kenyataan itu, contoh perakuan bertulis yang diberikan kepada Tun Dr Mahathir itu juga tidak menyatakan bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO pada PRK Semenyih.

Pada hari yang sama, selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat itu, Dato’ Takiyuddin mengadakan siadang akhbar. Ini laporannya:

“MARANG: PAS hari ini menafikan tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti didakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS tetap menyokong UMNO, namun tahap komitmen serta kadar pembabitan parti itu berbeza keadaannya dengan yang dilakukan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.
…….
“Tidak ada apa-apa perakuan atau surat bertulis berkaitan PAS tidak akan menyokong UMNO pada PRK Semenyih, namun ada perbincangan secara lisan antara Dr Mahathir dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.” (BH Online 17 Februari 2019.

“Secara lisannya, PAS menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan tahap penyertaan serta komitmen diberikan berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands,” katanya.”

Mengenai kandungan surat contoh itu, UMNO Online melaporkan:

“….bukti surat yang dikatakan oleh Tun itu sebenarnya adalah draft sokongan Pas kepada Tun sekiranya berlaku pengkhianatan dalam PH terhadap Perdana Menteri.

“Perlu diingat sidang Parlimen akan berlangsung pada 11 Mac ini dan dalam draft surat itu adalah berkaitan sokongan Pas kepada Perdana Menteri sekiranya berlaku apa-apa… kalau ada pengkhianatan maka Pas akan bersama beliau. Tun sendiri sebut sesuatu yang tidak betul mungkin berlaku dalam PH…

“Surat itu tidak langsung menyebut berkaitan kerjasama dengan UMNO di PRK ini. Tidak ada sebut langsung pasal pilihan raya,” ujar beliau.

(Perhatikan usaha UMNO untuk memperbaiki keadaan untuk memastikan kerjasama UMNO-PAS tidak tergugat)

Pada hari yang sama, 17 Februari, Malaysiakini melaporkan:

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini bertegas Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah memberitahunya parti itu tidak akan menyokong Umno dalam pilihan raya kecil DUN Semenyih.
………

“Saya terpaksa kata yang benar. Hadi, Takiyuddin dan Samsuri mengaku bahawa mereka tak akan sokong Umno pada (PRK Semenyih) kali ini kerana yang lawan dengan Umno kali ini bukanlah dari DAP.

“Mereka sokong Umno dulu sebab calon lawan datang dari DAP. Kali ini Umno bukan lawan dengan DAP,” kata Mahathir pada sidang akhbar di Puchong….

Mahathir juga berkata memiliki perjanjian bertulis yang telah dimeterai tandatangan Takiyuddin.”

Beberapa persoalan berbangkit di sini. Pertama, ada tidak Presiden PAS itu memberi pengakuan lisan bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih? Dalam hal ini, hanya Tun Dr. Mahathir dan Dato’ Seri Haji Hadi sahaja yang tahu. Tun Dr. Mahathir mengulangi kenyataannya bahawa Dato’ Seri Haji Hadi memberi pengakuan lisan kepadanya bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO dalan PRK Semenyih. Mengapa Dato’ Seri Haji Hadi tidak bersuara menafikannya?

Kedua, apa isi kandungan surat itu? Tun Dr. Mahathir ada surat itu. Mengapa tidak ditunjuk isi kandungannya? Surat itu ditandatangi oleh Dato’ Takiyuddin. Tidakkah beliau menyimpan satu salinan? Mengapa tidak ditunjukkannya?

Apa sebab pihak PAS memberi surat itu? Adakah ia diminta oleh Tun Dr Mahathir sebagai balasan kepada apa yang diminta oleh PAS daripadanya? Nampaknya seperti PAS telah kena pulas tangan oleh Tun Dr Mahathir.

Jika surat itu mengandungi “komitmen sokongan PAS terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,… sehingga PRU 15” sekalipun, pada pandangan saya, ia adalah satu tindakan yang kurang bijak oleh Presiden PAS itu. Mengapa memberi pengakuan umum (blanket) sedangkan kita tidak tahu apa yang akan dilakukannya? PAS telah menentang tindakan kerajaan PH untuk meratifikasi ICERD. Jika didesak DAP dan Tun Dr Mahathir bersetuju meratifikasinya semula, adakah PAS terikat dengan pengakuannya dan, oleh itu, akan menyokongnya? Bukankah lebih baik bagi PAS untuk menimbang sesuatu isu yang dibanglitkan oleh, atau yang berkenaan dengan, Tun Dr. Mahathir apabila ia berbangkit, sama ada hendak menyokong atau menentangnya?

Biar apa pun, selagi isi surat surat itu tidak ditunjuk, kita tidak tahu sama ada isi kandungannya menyatakan :

i. PAS tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih; atau

ii. sokongan Pas kepada Tun Dr. Mahathir sekiranya berlaku pengkhianatan dalam PH terhadap Perdana Menteri itu; atau

Kesimpulannya, sehingga isi surat itu ditunjukkan, kita masih tidak tahu sama ada sebenarnya Presiden PAS itu memberi pengakuan bahawa PAS tidak menyokong UMNO pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Biar apa pun, PAS Pusat, nampaknya, mencuba bersungguh-sungguh untuk menafi kenyataan Tun Dr Mahathir itu dan memastikan sokongan dan penglibatan yang diberi oleh jentera pilihanrayanya berjalan terus.

Pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin, ahli-ahli PAS (dan juga UMNO) dan orang Melayu yang bukan penyokong PH mengharapkan kenyataan Tun Dr. Mahathir itu tidak benar. Mereka mahu kerjasama kedua-dua buah parti Melayu/Islam itu diteruskan. Jika maklumat yang saya terima benar bahawa, in spite of kenyataan Tun Dr Mahathir itu, jentera pilihanraya PAS yang pergi ke Semenyih untuk membantu kempen calon UMNO itu, tetap berjalan terus, ia adalah satu petanda baik bagi kerjasama UMNO-PAS di akar umbi dan perpadun ummah. Jika demikian, maka ia adalah satu perkembangan baru yang membuktikan betapa kuatnya semangat perpaduan ummah khususnya antara penyokong-penyokong UMNO dan PAS yang tidak pernah berlaku dalam sejarah melainkan pada masa PAS menjadi sebuah parti komponan BN dahulu. Pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS perlu mengambil maklum perkembangan ini dan ummah juga boleh bergembira.

Saya juga boleh tersenyum sambil menunggu keputusan PRK itu pada 2 Mac 2019.

20 02 2019

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

114 visits