SUHAKAM SUDAH BESAR KEPALA

SUHAKAM SUDAH BESAR KEPALA

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya merujuk kepada laporan Malaysiakini 18 Disember 2018 bertajuk “SUHAKAM mahu cadangan dijadikan mandatori”, yang berbunyi seperti berikut:

“Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan mengajukan usul kepada Pejabat Peguam Negara dan menteri undang-undang untuk meminda Akta Suhakam bagi memastikan kerajaan mengambil tindakan pada setiap cadangan yang diberikan suruhanjaya itu.

Jelas Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph (gambar), ketika ini Suhakam hanya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan berhubung isu hak asasi manusia.

“Kita mahu memastikan agar nasihat yang kami berikan dapat dijadikan tindakan, di mana kerajaan diwajibkan mengambil tindakan (berdasarkan cadangan yang diberikan).

“Jika kerajaan tidak dapat melakukannya, mereka perlu memberikan sebab yang munasabah. Itu kuasa yang sepatutnya diberikan kepada sebuah suruhanjaya,” katanya pada sidang media di majlis pelancaran laporan tahunan Suhakam 2017 di Kuala Lumpur hari ini.” Ia diakhiri dengan kenyataan, “Berita lanjut menyusul”.

Pertama sekali, saya ingin tahu sama ada kenyataan itu kenyataan peribadi Jerald Joseph atau kenyataan SUHAKAM. Dengan menggunakan kata-kata “ Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) akan mengajukan usul….” Jerald Joseph seolah-olah bercakap bagi pihak SUHAKAM.

Tetapi, beliau adalah salah seorang Pesuruhjaya SUHAKAM. Saya tidak pasti terdapat berapa orang Pesuruhjaya SUHAKAM sekarang. Carian di internet menunjukkan hanya lapan orang termasuk Pengerusinya. Seksyen 5(1) Akta SUHAKAM memperuntukkan bilangan Pesuruhjaya tidak melebihi 20 orang.

Biar berapa orang pun Pesuruhjaya SUHAKAM, kita hairan mengapa Jerald Joseph sahaja yang kerapkali mengeluarkan kenyataan media. Pesuruhjaya-Pesuruhjaya lain tidak pula kedengaran suara mereka. Mungkin mereka tahu peranan mereka. Jika demikian, mengapa Pengerusi SUHAKAM membiarkan Pesuruhjaya yang tidak tahu peranannya atau sengaja mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengenai SUHAKAM?

Walau pun perkataan Pesuruhjaya itu hebat bunyinya, ia tidak lebih daripada seorang ahli sebuah jawatankuasa. Dia tidak boleh membuat keputusan bagi pihak SUHAKAM dan bercakap bagi  pihak suruhanjaya itu, melainkan jika dia dilantik oleh suruhanjaya itu sebagai jurucakapnya. Jika ada sesuatu kenyataan yang hendak dikeluarkan untuk makluman orang ramai, sepatutnya Pengerusinyalah yang membuat kenyataan itu.

Jika kenyataan itu bukan kenyataan SUHAKAM, pertama sekali, Malaysiakini perlulah lebih berhati-hati dalam membuat laporan.

Pengerusi SUHAKAM pula perlu menafikan atau menjelaskannya. Bukan itu sahaja, Jerald Joseph perlu ditegur dan diarahkan supaya tidak mengulanginya di masa hadapan.

Jika Pengerusi SUHAKAM tidak mengambil tindakan-tindakan yang saya sebutkan itu, saya khuatir beliau akan dilihat sebagai lemah dan hanya mengikut apa yang dikatakan oleh ahli atau ahli-ahlinya.

Oleh sebab kenyataan itu menyebut bahawa “Suhakam akan mengajukan usul…”, saya akan berhujah berdasarkan ia adalah satu kenyataan SUHAKAM. Jika kenyataan itu adalah kenyataan peribadi Jerald Joseph, maka apa yang saya katakan ini, terpakai kepadanya sahaja.

SUHAKAM adalah satu suruhanjaya. Perlembagaan menubuhkan beberapa suruhanjaya, seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

Perhatikan bahawa SUHAKAM bukanlah satu suruhanjaya yang ditubuh oleh Perlembagaan. SUHAKAM  ditubuh oleh undang-undang yang bernama Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) 1999 (Akta 597), sama seperti penubuhan suruhanjaya-suruhanjaya di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950; Akta Suruhanjaya Perkhidmatan 1957 [Akta 393]; Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998; Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 [Akta 614]; Akta Suruhanjaya Tenaga 2001; Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 [Akta 665], Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694); Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695); Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700); Akta Pengangkutan  Awam Darat 2010; Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] dan lain-lain.

Selain daripada dua kategori itu, terdapat pula suruhanjaya siasatan yang ditubuh apabila perlu untuk menyiasat sesuatu perkara seperti suruhanjaya menyiasat video V.K. Lingam dan kematian Teoh Beng Hock.

Semua suruhanjaya-suruhanjaya itu menjalankan tugas masing-masing dalam lingkungan bidangkuasa yang diberi kepadanya dan di dalam sistem (within the system) kenegaraan Malaysia yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Melaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Kerajaan terbahagi kepada Badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

Dasar negara terletak dalam bidangkuasa Eksekutif (Kerajaan) yang diputuskan oleh Masyuarat Jemaah Menteri (Kabinet). Badan Kehakiman (mahkamah) tidak boleh mengambil alih tugas menentukan dasar negara. Malah Majlis Raja-Raja pun tidak boleh menentukan dasar negara atau mengarah Kerajaan (Eksekutif) mengenai sesuatu dasar negara. Majlis Raja-Raja cuma “…..boleh  menimbang  teliti  soal-soal  mengenai  dasar  negara…” (Perkara 38 Fasal (2)(c)).

Demikian juga Badan Perundangan (Parlimen). Ia tidak boleh menentukan soal-soal dasar bagi pihak Eksekutif melainkan jika penentuan atau pindaan dasar itu memerlukan pindaan Perlembagaan atau undang-undang dibuat atau dipinda. Dalam keadaan yang baru disebut itu, Parlimen boleh menolak sesuatu cadangan kerajaan (Eksekutif).

Elok kita peringatkan bidangkuasa SUHAKAM seperti yang diperuntukkan oleh Akta 597.

Seksyen 4(1) memperuntukkan:

“4. (1) Bagi membantu melindungi dan memajukan hak asasi manusia di Malaysia, fungsi Suruhanjaya adalah—

  • ……

  • untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah perlu yang hendaklah diambil;

  • untuk mengesyorkan kepada Kerajaan berkenaan dengan penandatanganan atau penyertaan dalam triti dan surat cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia; dan

Seksyen 4(4) memperuntukkan:

“(4) Bagi maksud Akta ini, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”

Ambil perhatian, bukan sahaja SUHAKAM, seperti suruhanjaya-suruhanjaya lain juga, dikehendaki bekerja dalam sistem (work within the system), walaupun ia dikehendaki memberi perhatian (regard shall be had) kepadaperuntukan Universal Declaration of Human Rights 1948, itu pun setakat ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ini Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM  perlu ingat. Jangan kerana SUHAKAM dikehendaki memberi perhatian kepada peruntukan-peruntukan Universal Declaration of Human Rights, maka ia tidak  tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan lagi.

Jika Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM mengetahui sedikit mengenai sistem kenegaraan di mana-mana sahaja di dunia ini dan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, tentu sekali mereka tidak akan tergamak membuat cadangan seperti itu, melainkam jika mereka sudah besar kepala, merasakan kedudukan mereka lebih tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja, Badan Kehakiman dan Parlimen (tertakluk kepada apa yang saya katakan sebelum ini.

Saya berkata demikian kerana:

  1. Yang di-Pertuan Agong pun, melainkan dalam berberapa perkara tertentu, bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan, mengikut konvensyen, nasihat itu mestilah diikuti. Penentuan dasar negara ditentukan oleh Eksekutif sepenuhnya.

  1. Majlis Raja-Raja juga pun boleh membuat keputusan sendiri hanya dalam perkara-perkara yang terhad sahaja. Mengenai dasar negara, Majlis Raja-Raja hanya boleh menimbang teliti (deliberate).

  1. Badan Kehakiman, walau pun full bench Mahkamah Persekutuan, tidak boleh campur tangan soal-soal dasar negara yad kerapkali disebut sebagai “dasar awam” (public policy).

  1. Parlimen hanya boleh campur tangan hal-hal dasar awam jika perkara itu di bawa kepadanya melalui Rang Undang-Undang atau usul. Ini boleh difahami kerana ahli-ahli Parlimen adalah dipilih melalui pilihan raya. Itulah yang dipanggil demokrasi berparlimen. Ahli-ahli Kabinet hanya sebahagian daripada mereka. Hakim-hakim dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya kesemuanya hanya dilantik. Bahawa mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tidak meletakkan kedudukan mereka lebih tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong.

  1. Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM bukanla lebih utama daripada Pesuruhjaya-Pesuruhjaya suruhanjaya-suruhanjaya lain, apatah lagi institusi-institusi 1 hingga 4.

Nampaknya SUHAKAM hendak mengubah structure pemerintahan Malaysia dengan meletakkan SUHAKAM yang ahli-ahlinya dilantik lebih berkuasa daripada Kabinet dan Parliament yang ahli-ahlinya dipilih dalam pilihan raya umum.

Memandangkan kenyataan berkenaan dibuat tidak lama selepas kekecewaan SUHAKAM dalam isu ratifikasi ICERD, saya percaya ia ada kaitan dengannya. Kita tahu SUHAKAM memang memperjuangkan ratifikasi ICERD. Ternyata SUHAKAM dikecewakan oleh Tun Dr Mahathir sebanyak tiga kali dalam bilangan hari yang sama.

Pertama, Perhimpunan Hari Hak Asasi Manusia anjuran SUHAKAM yang dijadualkan pada 8 Disember 2018 (sama sehari dengan perhimpunan 812) dan akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir itu ditangguh atas nasihat Polis dan Perdana Menteri.

Kedua, Perdana Menteri menyatakan beliau tidak akan menghadiri perhimpunan anjuran SUHAKAM itu.

Ketiga, alasan beliau adalah “Kerajaan telah memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD. SUHAKAM masih hendak meneruskannya. Bagaimana saya hendak hadir?”

Tiga pukulan oleh Perdana Menteri dalam masa tiga hari memang cukup berat untuk diterima oleh SUHAKAM. Maka, selepas mengadakan perhimpunan itu, Pengerusi SUHAKAM dengan nada sinis dilaporkan berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir kerana tidak hadir. Ketidak hadirannya membolehkan mereka melakukan apa yang mereka hendak lakukan tanpa gangguan, katanya. Nampaknya Pengerusi SUHAKAM pun sudah berani “perli” Perdana Menteri.

Carian dalam internet menunjukkan terdapat dua orang wanita comel Melayu/Islam, ahli akademik yang menjadi Pesuruhjaya SUHAKAM. Kita tidak pernah mendengar mereka bercakap mengenai SUHAKAM. Mungkin sebagai ahli akademik berlatarbelakangkan undang-undang, mereka tahu peranan mereka.

Biar apa pun, datang dari kampus di mana mereka digeruni (kerana kelulusan mereka) dan ditakuti (tidak lulus) oleh pelajar-pelajar, saya harap mereka dapat menyesuaikan diri dengan dunia luar yang lebih mencabar dan lebih kasar dengan meninggikan suara mereka, bersikap lebih assertif dan aggressif supaya mereka tidak dibuli atau dipinggirkan.

Kita ingin tahu apa pendirian mereka, sebagai professor dan ilmuan undang-undang, mengenai cadangan itu. Jika mereka menyokongnya, apa hujah-hujah mereka terhadap hujah-hujah yang telah saya kemukakan itu. Jika tidak, adakah mereka menentangnya dalam mesyuarat SUHAKAM dan adakah mereka menerima keputusan majoriti? Atau, adakah mereka hanya mengikut arus?

20 12 2018

[email protected]

http://www.tunabdulhamid.my

https://tunabdulhamid.me o-ansi-languag

130 visits