PERLUKAH PROSEDUR PELANTIKAN KETUA HAKIM NEGARA, PEGUAM NEGARA DAN MENTERI UNDANG-UNDANG DIPINDA?
PERLUKAH PROSEDUR PELANTIKAN KETUA HAKIM NEGARA, PEGUAM NEGARA DAN MENTERI UNDANG-UNDANG DIPINDA?
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad
Berikutan peletakan jawatan Tun Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara, pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai penggantinya, penyingkiran Tan Sri Mohd Apandi Ali sebagai Peguam Negara dan pelantikan Tommy Thomas sebagai penggantinya dan pelantikan Datuk Liew Vui Keong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), soalan telah dikemukakan kepada saya sama ada prosedur pelantikan ke jawatan-jawatan itu perlu dipinda. Jawapan saya: tidak. Berikut adalah alasannya.
Ketua Hakim Negara
Mengikut Perlembagaan dan undang-undang, prosedur pelantikan Ketua Hakim Negara (KHN) adalah seperti berikuat:
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) akan mencadangkan nama calon untuk jawatan KHN kepada Perdana Menteri (PM). PM boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan cadangan itu. PM menasihatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melantik calon yang dipilihnya. Jika YDPA bersetuju, perkara itu dirujuk kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR). MRR hanya perlu dirunding (consulted). Selepas itu YDPA membuat pelantikan.
Cara pelantikan ke jawatan-jawatan itu adalah serupa dengan apa yang terdapat di negara-negara Commonwealth dan juga Amerika Syarikat, malah saya percaya, serupa juga dengan negera-negara demokrasi lain, dengan sedikit sebanyak penyesuain.
Peruntukan yang sama juga yang dipakai semasa Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussain dan Tun Hussain Onn menjadi PM. Segalanya berjalan dengan baik.
Ambil perhatian bahawa ketiga-tiga PM yang pertama itu adalah peguam. Bukan itu sahaja, mereka dan juga KHN-KHN berkenan bersama-sama menuntut undang-undang di England, malah mengenali satu sama lain samasa di sana. Mereka mempelajari, melihat dan menghormati cara sistem itu berjalan di England dan mereka cuba mengikutinya. Jika, bagi tempoh itu, sistem itu berjalan dengan baiknya, itulah rahsianya.
Dalam tahun 1981, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengganti Tun Hussain Onn sebagai PM keempat. Dalam tahun 1988, beliau menyingkir Tun Salleh Abas, KHN pada masa itu, dan melantik Tun Abdul Hamid Omar sebagai penggantinya.
Semasa Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussain Onn menjadi PM, kenaikan pangkat KHN dan hakim-hakim lain dibuat mengikut kekananan (seniority).
Tetapi, Tun Dr Mahathirlah PM pertama yang tidak mengikuti amalan itu. Ini berlaku dengan pelantikan Tun Eusoff Chin sebagai Hakim Besar (Malaya) (HB(M)) dan selepas itu sebagai KHN melangkau Tan Sri Mohd Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Harun Hashim.
Sayugia diingati Tan Sri Mohd Azmi adalah seorang daripada lima orang hakim yang bersidang di Mahkamah Agong dan mengeluarkan perintah yang menyebkan mereka digantung tugas oleh Yang di-Pertuan Agong, semestinya atas nasihat Tun Dr. Mahathir. Dosa Tan Sri Harun Hashim adalah kerana beliau, yang, pada masa itu menjadi Hakim di Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, kerap mengeluarkan perintah certiriori bagi membatalkan tindakan eksekutif dalam kes-kes semakan semula kehakiman (judicial review).
Tan Sri Mohd Azmi dan Tan Sri Harun Hashim, kedua-duanya hakim Mahkamah Persekutuan, dilangkau sekali lagi apabila Tun Dr. Mahathir membuat kejutan melantik Tan Sri Anuar Zainal Abidin, yang pada masa itu hanya Hakim Mahkamah Tinggi, menjadi HB(M).
,
Tan Sri Mohd Azmi dan Tan Sri Harun Hashim dilangkau sekali lagi apabila Mahkamah Rayuan ditubuh dan Tan Sri Lamin Mohd Yunus dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan (PMR) yang pertama.
Semasa Tun Abdullah Badawi menjadi PM, cubaan dibuat untuk melangkau saya yang pada masa itu Hakim Mahkamah Persekutuan (HMP) yang paling kanan. Dosa saya adalah kerana saya telah membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya yang pertama. Tetapi, kehendak Allah mengatasi kehendak PM dan UMNO. Maka, saya menjadi juga KHN.
Dalam tahun 2017, Dato’ Seri Najib telah melanjutkan tempoh perkhidmatan Tun Md Raus Sharif sebagai KHN dengan melantik beliau sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan dan terus menjalankan tugas-tugas KHN. Saya telah mempersoalkan keperlembagaan pelanjutkan perkhidmatan Tun Raus sebagai KHN itu.- Lihat Keperlembagaan Pelantikan Semula KHN Selepas Mencapai Umur 66 Tahun Enam Bulan (06 05 2017); Keperlembagaan Pelantikan Semula KHN Selepas Mencapai Umur 66 Tahun Enam Bulan: Satu Jawapan (11 07 2017); Kedudukan Ketua hakim Negara: Biar Mahkamah Memutuskannya (12 05 2018); Peletakan Jawatan Tun Raus Sebagai KHN (17 06 2017)
Apabila PH memenangi PRU 14, Tun Dr. Mahathir yang menjadi PM kerajaan PH dan Tun Daim Zainuddin selaku Pengerusi, Counsil of Elders (CE) mendesak Tun Raus meletak jawatan. Beliau mengalah dan meletak jawatan. Episod Tun Salleh Abas berulang semula.
Tan Sri Richard Malanjum, seorang Kristian pertama, dilantik menjadi KHN. – Lihat Pelantikan Tan Sri Richard Malanjum Sebagai KHN (13 07 2018) The Issue of Two Chief Justice (21 07 2018). Di sini saya memetik apa yang saya telah katakan dalam artikel yang terakhir disebut itu: “But, never in the Malaysian legal history had the appointment of Chief Justice been more politised than as in the case of Tan Sri Richard Malanjum. That is not something that the PH government can be proud of.”
Dari sini kita dapat melihat bahawa semasa Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussain Onn menjadi PM, kesemuanya peguam, Badan Eksekutif tidak mengganggu perjalanan Badan Kehakiman.
Hanya apabila Tun Dr. Mahathir, bukan peguam, menjadi PM mula berlaku penyingkiran KHN dan pelangkauan dalam kenaikan pangkat hakim-hakim. Beliau melakukan semula penyingkiran KHN apabila menjadi PM kerajaan PH. Pada masa yang sama, pelantikan Tan Sri Richard Malanjum telah dipolitikkan sehabis-habisnya.
Memanglah peranan PM dalam pelantikan adalah besar. Jika baliau seorang yang ketegar beliau boleh memilih orang yang dikehendakinya. Tetapi, sebagai ketua kerajaan yang dipilih rakyat, sepatutnyalah beliau dibolehkan memilih calon KHN yang akan berkerja dengan kerajaannya.
Tetapi, semua pihak yang terlibat dalam pelantikan hakim, baik ahli-ahli SPK yang kebanyakannya terdiri daripada hakim-hakim dan mantan-mantan hakim, PM, raja-raja yang menjadi ahli MRR dan YDPA diharapkan sebagai orang yang fair and reasonable. Jika tidak, mereka tidak sepatutnya berada di tempat mereka berada.
Biar apa pun, jika PM faham prinsip pengasingan kuasa, setelah dilantik, beliau tidak sepatutnya campur tangan dalam hal kehakiman lagi. Jika KHN hendak disingkirkan, ia mestilah atas sebab-sebab yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Prosedurnya juga mestilah mengikut seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Mamanggil dan memaksa KHN meletak jawatan bukanlah caranya.
Dalam kes Tun Raus, beliau mengalah dan meletak jawatan. Dalam kes Tun Salleh Abas, mula-mula beliau bersetuju meletak jawatan. Kemudian beliau menarik balik persetujuannya. Maka beliau dihadapkan ke tribunal. Silapnya beliau tidak hadir di tribunal itu untuk membela diri. Maka tribunal itu membuat keputan tanpa kehadiran (in default).
Daripada dua pengalaman itu, patutkah peruntukan mengenai pelantikan dipinda? Saya fikir, tidak. Kedua-dua kes mengenai Tun Salleh Abas dan Tun Raus itu adalah kes penyingkiran, bukan pelantikan. Saya juga telah memberi sebab mengapa PM patut mempunyai kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Lagi pula, semenjak tahun 2009, SPK telah ditubuhkan. Tujuannya adalah untuk memilih nama-nama pegawai-pegawai PKDP dan peguam-peguam untuk dikemukakan kepada PM untuk dilantik menjadi hakim dan untuk mencadangkan hakim-hakim untuk dinaikkan pangkat, termasuk KHN.
SPK mempunyai maklumat yang diperlukan mengenai setiap pagawai PKDP, peguam dan hakim untuk memilih calon yang sesuai untuk dicadangkan kepada PM untuk dilantik atau untuk naik pangkat.
Semasa saya menjadi ahlinya, PM pada masa berkenaan, iaitu Tun Abdullah Badawi dan Dato Seri Najib menghormati cadangan-cadangan SPK.
Patutkah peruntukan mengenai penamatan perkhidmatan dipinda? Saya fikir tidak. Peruntukan yang ada sudah elok. Jika ia tidak dilaksanakan dengan baik, biarlah pengundi menghakimkannya.
Peguam Negara
Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
“145. (1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.”
Beri perhatian kepada perkataan “hendaklah” dan “nasihat”. “hendaklah” di sini bererti mestilah.
Perkataan “nasihat” di sini bererti nasihat yang mesti diikuti. Ertinya, apabila Perdana Menteri menasihatkan YDPA supaya melantik seseorang sebagai PN, jika jawatan itu kosong, maka YDPA mestilah melantiknya. YDPA tidak mempunyai budibicara dalam perkara ini. – Lihat Pelantikan Tommy Thomas Sebagai Peguam Negara: Salah Siapa? ( 07 06 2018)
Sepanjang pemerintahan BN, tidak pernah berlaku masalah dalam pelantikan PN. Semua PN dilantik daripada PKDP atau hakim melainkan Tan Sri Abdul Kadir Yusuf seorang ahli politik, tetapi beliau juga bekas pegawai PKDP. Beliau tahu bidang tugasnya dan tidak melanggarnya. Lagi satu faktor, di sepanjang tempoh itu kesemuanya adalah Melayu/Islam.
Pertikaian mula timbul dengan pelantikan Tommy Thomas. Beliau seorang peguam dan menjadi peguam kepada Lim Guan Eng dalam kes rasuah terhadapnya yang masih belum selesai. Kes itu ditangguh untuk meminta PN menimbang semula sama ada hendak meneruskannya atau menarik balik. Siapa PN itu? Tommy Thomas. Tidakkah terdapat percanggahan kepentingan (conflick of interest) di situ?
Beliau juga beragama Kristian. Masyarakat Islam resah akan akibatnya terutama sekali dalam kes-kes yang melibatkan hukum syarak. Orang-orang bukan Islam lantas mengecap mereka sebagai rasis, manakala pemimpin Melayu/Islam dalam PH cuba menolak kebimbangan masyarakat Islam dengan berkata pelatikan itu tidak akan memberi kesan kepada kes-kes yang melibatkan hukum syarak.
Apatah lagi apabila, selepas itu, Tan Sri Richard Malanjum, juga seorng Kristian, dilantik menjadi KHN. Tidak cukup dengan itu, Datuk Liew Vui Keong, yang juga dikatakan seorang Kristian, dilantik menjadi MUU.
Biar apa pun, adakah kerana pelantikan Tommy Thomas sebagai PN, peruntukan mengenai pelantikan PN perlu dipinda? Pada pandangan saya, tidak. Jika kita tidak bersetuju dengan pelantikan itu, kita patut salahkan PM dan kerajaan PH. Remedinya di PRU15.
Jika Tun Dr. Mahathir adalah PM pertama yang menyingkir KHN, Dato’ Seri Najib adalah PM pertama yang menyingkir PN, iaitu Tan Sri Gani Patail dan melantik PN pilihannya iaitu Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Apabila Tun Dr. Mahathir menjadi PM, beliau menyingkir pula Tan Sri Apandi dan melantik PN pilihan PH, terutama sekali DAP, Tommy Thomas.
Seorang PM berhak berbuat demikian. Jika tidak bersetuju, remedinya terletak di peti undi.
Ambil perhatian bahawa tiada prosedur diperuntukkan mengenai penamatan perkhidmatan PN. PN “memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya”. – Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan. Mengikut amalam kerajaan raja berperlembagaan, apabila dinasihati oleh PM, YDPA akan menamatkan perkhidmatannya.
Menteri Undang-Undang
MUU, sama seperti menteri-menteri lain, adalah pelantikan politik. Tugas MUU adalah lebih kepada pentadbiran seperti mendapatkan kakitangan, peralatan dan perbekalan yang mencukupi bagi JPN dan mahkamah. Saya tidak fikir beliau memain peranan perundangan dan kehakiman. Tidak ada sebab mengapa prosedur pelantikannya perlu dipinda.
Kesimpulan
Kesimpulannya, tidak ada masalah sistem dalam pelantikan KHN, PN dan MUU. Maka, tidak ada sebab mengapa reformasi sistem perlu dilakukan mengenainya.
Sekian.
12 08 2018
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me