SATU PENJELASAN: TUN HAMID
SATU PENJELASAN: TUN HAMID
Berbangkit daripada kenyataan saya berkaitan dengan keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar dan reaksi yang saya terima, khususnya mengenai “nasihat” saya kepada Tun Dr. Mahathir, saya fikir adalah perlu bagi saya membuat satu penjelasan.
Saya bercakap mengenai “kapal”, bukan “nakhoda”. Jangan bakar kapal kerana marahkan nakhoda. Juga, jangan bersekongkol dengan “nakhoda-nakhoda kapal musuh” untuk menghumban nakhoda kapal sendiri ke laut. Saya khuatir nakhoda-nakhoda kapal musuh itu akan mengambil kesempatan untuk menenggelamkan kapal kita sendiri. Siapa untung? Biarlah anak kapal sendiri menentukan kedudukan nakhoda mereka.
Terus terang, saya tidak kisah jika Tun Dr Mahathir berkempen di kalangan ahli-ahli UMNO untuk “memaksa” Dato’ Seri Najib melepaskan jawatan Presiden UMNO dan sekaligus jawatan Perdana Menteri Malaysia. Malah, saya juga tidak kisah jika beliau berkempen untuk mendapatkan Parlimen meluluskan undi tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib (bukan terhadap Kerajaan BN) dan, dengan itu, “memaksa” beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Tetapi, saya tidak bersetuju Tun Dr. Mahathir bersekongkol dengan DAP dan PAN (yang boleh disifatkan sebagai “anak syarikat DAP”) untuk mengalahkan calo-calon UMNO/BN, kerana MUDARATNYA LEBIH BESAR.
Janganlah kerana tidak mahu Dato Seri Najib terus manjadi Perdana Menteri hingga sanggup menyerahkan kerajaan kepada pembangkang yang diterajui oleh DAP. Sekali orang Melayu terlepas tampuk pemerintahan, harapan untuk memperolehinya semula, amat tipis sekali.
Saya juga merasa sedih melihat Tun Dr. Mahathir, di masa tua dan uzur, bersama-sama musuh politiknya yang berdekad-dekad, berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang dipertahankannya sekian lama. Apa jadi kepada pengorbananya selama ini? Walau pun ada perkara yang saya tidak bersetuju dengan beliau, tetapi, di samping itu, saya ingin terus menghormati beliau di atas pencapaian beliau dalam perkara-perkara lain yang saya kagumi itu.
Akhir sekali, jangan salah faham pula, saya tidak berkata Dato’ Seri Najib patut kekal sebagai Perdana Menteri atau tidak. Saya cuma mengatakan jika tidak mahu beliau beliau terus menjadi Perdana Menteri pun, janganlah sampai hendak menjatuhkan kerajaan UMNO/BN dan menyerahkannya kepada DAP/PR kerana mudaratnya lebih besar kepada orang Melayu dan umat Islam di Malaysia.
Ini adalah pendirian saya, sehingga saya mendengar hujah-hujah yang lebih baik.
Tun Abdul Hamid Mohamad
21 Jun 2016
[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me