BIDNGKUASA PERSEKUTUAN DAN NEGERI MENGENAI UNDANG-UNDANG JENAYAH DI MALAYSIA

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
SEMINAR “MEMPERKASAKAN UNDANG-UNDANG JENAYAH ISLAM: MENDIDIK UMMAT”
23 Disember 2014
BIDNGKUASA PERSEKUTUAN DAN NEGERI MENGENAI UNDANG-UNDANG JENAYAH DI MALAYSIA
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 


Dalam kertas ini saya akan membentangkan keadaan sebenar mengenai bidangkuasa Persekutuan dan Negeri berkenaan undang-undang jenayah di Malaysia. Saya tidak akan kata ia sepatutnya begitu atau begini. Saya juga tidak akan cuba mencadangkan jalan keluar untuk mana-mana pihak mencapai kehendaknya. Saya akan paparkan realitinya. Dari itu, padankanlah sendiri dengan apa yang dikehendaki dan cubalah mencari jalan keluarnya. Jika selepas mendengar pembentangan saya ini tuan-tuan dan puan-puan dapati tuan-tuan dan puan-puan lebih berserabut, ertinya tuan-tuan dan puan-puan telah mula faham pembentangan saya, jika tidak semua pun sebahagian!

Untuk memahami mengapa pembahagian kuasa mengenai undang-undang jenayah dan apa yang disebut sebagai “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” dibahagikan begitu rupa, kita perlu faham keadaan di Semenanjung Tanah Melayu pada masa itu.

Sepanjang sejarah Negeri-Negeri Melayu, Raja adalah Ketua Agama Islam di Negerinya dan hal-hal mengenai agama Islam senentiasa terletak di bawah kuasa Raja dan bidangkuasa Negeri. Semenjak tertubuhnya Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu, undang-undang jenayah terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.

Maka, semasa Perlembagaan hendak digubal, adalah logic bahawa undang-undang jenayah diletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan. Bukan itu sahaja, salah satu daripada Terma Rujukan yang diberi kepada Suruhanjaya Reid adalah untuk mewujudan sebuah negara persekutuan yang kukuh. Oleh sebab itulah, antara lain, undang-undang am yang terpakai kepada semua orang dan yang melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara, dijadikan undang-undang Persekutuan yang tidak terhad kepada orang Islam sahaja dan tidak terhad kepada sempadan sesebuah negeri sahaja. Pelaksanaannya disokong dengan Jabatan Polis, Jabatan Penjara dan Mahkamah Sivil yang bidangkuasanya meliputi seluruh negara. Sayugia diingati bahawa, perjanjian-perjanjian antarabangsa mengenai kerjasama membenteras jenayah seperti Interpol adalah perjanjian di antara negara dengan negara. Undang-undang antarabangsa tidak mengiktiraf negeri seperti Kelantan. Ia mengiktiraf negara seperti Malaysia untuk menjadi pihak-pihak (parties) dalam sesuatu perjanjian. Undang-undang ekstradisi juga melibatkan negara, bukan negeri.

Setakat yang saya tahu, pada masa itu tidak ada mana-mana Negeri atau kumpulan yang menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid menuntut bidangkuasa mengenai undang-undang jenayah diletak di bawah Kerajaan Negeri. Walau pun PAS telah ada, PAS pun tidak terfikir hal itu pada masa itu. Di Kelantan pula, ada kumpulan yang mahu Kelantan keluar daripada Semenenjung Tanah Melayu. Jika mereka berjaya, mungkin tidak ada masalah hari ini dan seminar ini pun tidak perlu didakan!

Pada masa itu juga, hal-hal agama yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri adalah terhad kepada undang-undang keluarga. Di kebanyakan Negeri, Mahkamah Syari’ah pun belum ada. Hampir kesemua orang Islam adalah orang Melayu. Mereka tinggal di kampung-kampung atau di pedalaman. Tidak ada pergerakan atau perpindahan penduduk ke merata-merata negeri seperti sekarang. Perkahwinan berlaku sama sekampung atau dengan pasangan dari kampung yang berdekatan. Intermarriage amat kurang berlaku. Jika berlaku pun, yang bukan Islam akan “masuk Melayu” dan selepas masuk dia tak keluar lagi, bukan macam sekarang.

Dalam keadaan itulah Perlembagaan dan peruntukan mengenai undang-undang jenayah dan kesalaan-keslah terhadap suruhan agama Islam digubal. Maka, undang-undang jenayah diletak di bawah bidangkuasa Persekutuan. Perlemagaan tidak mentakrifkan “criminal law”. Biar apa pun, undang-undang jenayah yang wujud pada masa Perlembagaan digubal seperti Penal Code, semestinyalah undang-undang jenayah. Jika tidak apa lagi?

Kata-kata “undang jenayah Islam” (Islamic criminal law) tidak langsung digunakan. Apa yang diperuntukkan ialah

“…. creation and punishment of offences by persons profesing the religion of Islam against precepts of that religion, except in regard to matters included in the Federal List;”

Terjemahannya:

“……pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;”

Perhatikan syarat-syarat yang disebut, ia itu:

  1. kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam
  2. terhadap perintah agama itu,
  3. kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Masalah tidak timbul jika Negeri dan Persekutuan, kedua-duanya membuat undang-undang masing-masing di dalam sempadan bidangkuasa masing-masing. Setakat yang saya tahu, Persekutuan belum pernah melanggar sempadan itu. (Jika sesiapa tahu ada perlanggaran seperti itu, tolong beri tahu.) Selama beberapa dekad, Negeri-Negeri juga tidak menimbulkan apa-apa masalah kerana, pada masa itu tumpuan diberi kepada penubuhan Mahkamah Syari’ah dan membuat undang-undang untuk dipakai oleh Mahkamah Syari’ah. Undang-Undang itu di buat dengan kerjasama Persekutuan dan Negeri-Negeri dan ia dibuat di dalam sempadan bidangkuasa Negeri, walau pun, mungkin ada satu dua peruntukan yang terlepas pandang. Sebenarnya banyak kejayaan yang dicapai dalam tempoh tersebut untuk membolehkan Mahkamah Syari’ah berfungsi dengan berkesan.

Saya perhatikan dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, sekurang-kurangnya terdapat dua kesalahan yang boleh dipersoalkan kesahannya. Pertama, kesalahan berjudi dan kedua, liwat1. Kedua-dua kesalahan itu sudah pun ada dalam undang-undang Persekutuan.2

Maka, apabila ada orang dihukum oleh Mahkamah Sivil kerana kesalahan “gross indecency” di bawah seksyen 377D Penal Code dia membuat permohonan habeas corpus untuk mencabarnya atas alasan dia sepatutnya dituduh di Mahkamah Syariah kerana kesalahan meliwat. Dia juga bersandar kepada peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa, Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa ke atas perkara itu.3

Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu atas beberapa alasan. Saya bersetuju dengan penolakan permohonan itu. Tetapi, untuk perbincangan hari ini saya memberi tumpuan kepada satu kenyataan sahaja, iaitu di mana mahkamah itu berkata Perkara 121(1A) tidak terpakai di mana terdapat kesalahan di bawah Enakment Jenayah Syariah dan Penal Code. Ertinya, ia hanya terpakai jika kesalahan itu hanya terdapat dalam Enakmen Jenayah Syari’ah sahaja.

Jawapan ringkas kepada kenyataan itu ialah, jika kesalahan itu hanya terdpat dalam Enakmen Jenayah Syari’ah sahaja tetapi tidak terdapat dalam Penal Code, bagaimana pertuduhan hendak dibuat di Mahkamah Sivil? Semestinya, peruntukan itu menjadi relevan dan perlu dipakai apabila terdapat kesalahan yang serupa dalam
Enakmen Jenayah Syari’ah dan Penal Code. Dalam keadaan itu, mahkamah perlulah melihat sama ada kesalahan itu terletak di bawah bidangkuasa Negeri atau Persekutuan dengan merujuk balik kepada Perlembagaan. Jika kesalahan itu termasuk di bawah kesalahan yang diperuntukkan oleh Senarai II Jadual Kesembilan, maka undang-undang Negeri itu sah dan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya. Jika kesalahan itu terletak di luar Senarai II Jadual Kesembilan, maka undang-undang Persekutuan adalah sah dan Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa ke atasnya.

Perlu ditekankan di sini bahawa sesuatu kesalahan itu hanya boleh wujud dalam undang-undang Persekutuan sebagai undang-undang jenayah atau dalam undang-undang Negeri sebagai undang-undang yang dibuat di bawah Senarai II Jadual Kesembilan. Ia tidak boleh wujud di dalam kedua-dua undang-undang Negeri dan undang-undang Persekutuan. Ingat balik tiga syarat yang saya sebut di awal tadi, trutama sekali syarat yang ketiga: kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan. Jika ia ada di dalam kedua-dua undang-undang, salah satu adalah tak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan.

Dalam kes itu, Mahkamah sepatutnya memutuskan mana satu undang-undang itu yang sah dan tak sah. (Tetapi, untuk berlaku adil kepada Mahkamah itu, kedua-dua belah pihak dalam kes itu pun tidak menghujahkan demikian. Mungkin mereka tidak nampak isu itu. Oleh sebab itu Mahkamah pun hanya menumpukan kepada hujah-hujah yang dikemukakan sahaja.)

Perlu diambil perhatian, jika persoalan seperti itu timbul dan keputuan perlu dibuat mana satu undang-undang itu yang sah, undang-undang Negeri atau Persekutuan, mahkamah yang mempunyai bidangkuasa memutuskannya adalah Mahkamah Persekutuan.4

Malah, jika isu itu timbul dalam perbicaraan di Mahkamah Syari’ah pun, isu itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Sivil, melalui satu prosiding lain. Hal seperti ini bukan perkara baru. Sebagai satu misalan, ia telah pun berlaku dalam kes Sulaiman Bin Takrib v Kerajaan Negeri Trengganu dll (2009) 2 CLJ 54 yang saya bicara di Mahkamah Persekutuan. Dalam Kes itu pemohon-pemohon yang telah dituduh di Mahkamah Syari’ah di Trengganu, memohon perisytiharan bahawa beberapa peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Trengganu) 2001 dan Enakment Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Trengganu) 2001 tak sah dan batal. Tetapi, oleh sebab penghakiman saya menolak permohonan itu dan memutuskan bahawa peruntukan-peruntukan itu adalah sah, tiada siapa pun yang yang berkata bahawa Mahkamah Sivil cuba campur tangan kes Mahkamah Syariah.

Dalam kes Muhamad Juzaili Bin Mohd Khamis v State Government of Negeri Sembilan pemohon memohon supaya Mahkamah Tinggi (Mahkamah Sivil) mengisytiharakn bahawa peruntukan seksyen 66 Enakment Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 itu tak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bidangkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Demikian juga bidangkuasa mengisytihar sesuatu undang-undang itu tak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil. Oleh itu, dari segi bidangkuasa, permohonan itu adalah betul.

Yang saya tidak bersetuju ialah alasan mengapa Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan itu atas meritnya, bukan mengenai bidangkuasa Mahkamah Rayuan. Apa yang merisaukan saya ialah alasan-alasan yang diberi untuk mengisytihar seksyen 66 itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Hakim-Hakim itu mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kesalahan terhadap perintah agama Islam. Bagi saya, jika mereka menerima bahawa kesalahan itu adalah kesalahan terhadap perintah agama Islam (sebenarnya mereka terima kedudukan itu), maka sepatutnya mereka mengesahkan bahawa peruntukan itu sah di sisi Perlembagaan. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang itu.

Sebaliknya, mereka merujuk kepada peruntukan-peruntukan lain, lebih-lebih lagi merujuk dan mengikuti penghakiman-penghakiman Supreme Court Amerika Syarikat dan India. Perlembagaan negara-negara itu tidak serupa dengan Perlembagaan kita. Perlembagaan mereka tidak ada peruntukan-peruntukan mengenai agama Islam seperti yang ada dalam Perlembagaan kita. Nilai-nilai mereka tidak sama dengan nilai-nilai kita. Hakim-hakim itu juga nampaknya sangat terpengaruh dengan tafsiran hak asasi manusia ala-Barat.

Akibatnya, mereka memberi tafsiran yang sangat liberal megenai peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan. Mereka juga memakai prinsip “reasonableness” yang diketengahkan oleh Supreme Court India yang memberi kuasa kepada Hakim-Hakim untuk mengisytiharkan undang-undang yang dibuat oleh Parliament tidak sah atas alasan ianya “unreasonable”. Itu sudah melanggar bidangkuasa Badan Perundangan (Parlimen). Mahkamah hanya boleh mengisytiharkan sesuatu undang-undang itu tak sah jika ia bercanggah dengan Perlembagaan, bukan kerana pada pandangan seseorang Hakim undang-undang itu “unreasonable”.

Alasan-alasan yang diberi oleh mahkamah itu sangat luas implikasiya. Apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah-mahkamah di negara-negara sekular itu; apabila hukum syarak diukur dengan nilai-nilai liberal hak asasi ala-Barat; apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ianya “unreasonable” kepada sesaorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan senentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkann tak sah.

Menggunakan alasan-lasan yang sama, undang-undang yang membenarkan seorang lelaki Islam berkahwin lebih dari satu; undang-undang yang menjadikan kesalahan jika seorang Islam tidak membayar zakat; kesalahan meminum minuman yang memabukkan; kesalahan zina dan liwat dan lain-lain juga boleh diisytiharkan tak sah. Malah penghakiman ini membuka jalan untuk membenarkan perkahwinan sejenis.

Nampaknya, apa yang saya khuatir akan berlaku telah mula berlaku.(Lihat kertas kerja saya “Hak Asasi Manusia: Peranan dan Fungsi Dari Perspektif Perlembagaan Malaysia.” (20 November 2013); “Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Tradisi Islam dan Perlembagaan Malaysia” (24 Januari 2014) dan “Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Tradisi Islam dan Perlembagaan Malaysia” (14 Oktober 2014), semuanya boleh didapati dalam laman web saya: www.tunabdulhamid.my

Sebenarnya, dalam kedua-dua kes itu soal sama ada Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa mendengar permohonan itu langsung tidak timbul. Peguam Negara dan Penaihat Undang-Undang Negeri pun tidak membangkitkan isu itu.

Kita perlu memahami apa tujuan Perkara 121(1A) diadakan dan skopnya. Perkara 121(1A) dibuat kerana penghakiman Mahkamah Tinggi dalam kes Myriam v. Mohamed Ariff (1971) 1 M.L.J. Itu kes jagaan anak. Sebelum adanya Mahkamah Syari’ah, Mahkamah Sivil memang membicarakan kes-kes jagaan anak. Dengan tertubuhnya Mahkamah Syari’ah, bidang kuasa mengenai jagaan anak orang Islam diberi kepada Mahkamah Syari’ah. Dalam kes itu, Mahkamah Tinggi berkata ia juga mempunyai bidangkuasa itu.

Maka dibuatkan Perkara 121(1A) yang mengatakan jika dalam sesuatu perkara, Mahkamah Syari’ah mempunyai bidangkuasa, Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa. – Lihat Latifah Mat Zin v Rosmawati Sharibun & Anor. [2007] 5 CLJ 253 yang juga boleh didapati dalam laman web saya.

Pindaan itu tidak mengubah apa-apa. Itulah keadaan sebenarnya pun. Dan demikian juga sebaliknya, jika sesuatu perkara itu terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Sivil, Mahkamah Syari’ah tidak mempunyi bidangkusasa terhadapnya. Penghakiman Mahkamah Tinggi itu adalah satu kesilapan. Malangnya tiada rayuan. Jika ada, mungkin keputusan itu diperbetulkan dan pindaan itu pun tidak perlu.

Biar apa pun, pindaan itu bukanlah untuk mebolehkan Mahkamah Syari’ah memperluaskan bidangkuasanya atau untuk mengambil bidangkuasa Mahkamah Sivil. Ia juga bukan untuk membolehkan Badan Perundanagan Negeri membuat undang-undang yang sebelumnya ia tidak boleh buat. Bidangkuasa Parliament dan Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang dan bidangkuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syari’ah tidak berubah: tetap seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dari awalnya.

Masalah yang lebih besar berbangkit apabila Kerajaan PAS di Kelantan dan Trengganu (pada masa itu) cuba untuk melaksanakan hukuman hudud. (Saya ulangi, saya tidak kata ia patut dilakukan atau tidak. Saya tidak mahu campur soal itu. Saya cuma membincangnya dari perspektif keperlembagaan.)

Saya telah membentangkan empat kertas kerja dalam hal ini. Semuanya boleh didapati dalam laman web saya. Untuk tujuan pembentangan hari ini, memadailah jika saya memberi ringkasannya sahaja.

Di antara kesalahan-kesalahan hudud, ada yang termasuk dalam undang-undang jenayah yang terlatak di bawah bidangkuasa Perekutuan. Misalnya membunuh, mencuri, merompak, merogol dan meliwat. Ada yang termasuk dalam kesalahan-kesalahan yang terletak di bawah Senarai II Jadual Kesembilan dan bidangkuasa Negeri. Misalnya, zina, menuduh orang berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad.

Parlimen Persekutuan boleh meletakkan hukuman hudud kepada kesalahan-kesalahan jenayah yang terletak di bawah bidangkuasanya hanya dengan majoriti mudah di Parlimen. Tidak ada kekangan keperlembagaan. Tetapi, ia adalah undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan dan Mahkamah Sivil dan terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Bagaimana jika Badan Perundangan Negeri hendak meletakkan hukuman hudud kepada kesalahan yang terletak di bawah bidangkuasanya? Pada masa ini terdapat satu halangan iaitu undang-undang Persekutuan yang menghadkan hukuman yang boleh ditetapkan oleh Badan Perundanagan Negeri hanya kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000, dan sebatan tidak melebihi enam kali.5 Jika Parlimen Persekutuan bersetuju meminda akta itu dan membenarkan hukuman hudud dikenakan oleh Badan Perundangan Negeri bagi kesalahan-kesalahan hudud yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri, Badan Perundangan Negeri bolehlah membuat undang-undng untuk meletakkan hukuman hudud terhadap kesalahan-kesalahan itu. Undang-undang itu adalah undang-undang Negeri yang hanya terpakai kepada orang Islam dan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah.

Ertinya, sehabis baik yang boleh dilakukan jika kedua-dua Persekutuan dan Negeri bersetuju pun, di bawah peruntukan Perlembagaan yang ada sekarang, akan ada dua undang-undang yang memakai hukuman hudud. Satu adalah undang-undang Persekutuan bagi kesalahan-kesalahan seperti membunuh, mencuri, meyamun, merogol dan meliwat. Ia adalah undang-undang jenayah yang terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam dan terletaak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil.

Satu lagi adalah undang-undang Negeri bagi kesalahan-kesalahan seperti berzina, menuduh orang berzina, meminum minuman yang memabukkan dan murtad. Ia adalah undang-undang di bawah Senarai II Jadual Kesmbilan yang hanya terpakai kepada orang Islam dan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah.

(Sebelum ini, saya berpendapat bahawa kesalahan murtad adalah bercanggah dengan peruntukan Pekara 11 Perlembagaan Persekutun (kebebasan beragama). Tetapi, selepas manulis ulasan saya mengenai kes Muhamad Juzaili Bin Mohd Khamis v State Government of Negeri Sembilan, saya berubah fikiran. Saya fikir kita boleh menghujahkan bahawa kesalahan murtad adalah satu kesalahan di bawah Senarai II, Jadual Kesembilan dan, oleh itu, peruntukan Perkara 11 tidak terpakai.)

Sekarang tuan-tuan faham mengapa saya gunakan perkataan “berserabut” awal-awal tadi.

Kita bercakap mengenai “memperkasakan undang-undang jenayah Islam”. Apakah yang dimaksudkan? Adakah yang dimaksudkan ialah untuk memansuhkan Penal Code dan semua undang-undang jenayah yang pada masa ini terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan dan memberinya kepada Negeri untuk digantikan dengan apa yang dipanggil “undang-undang jenayah Islam”? Jika itulah tujuannya, Perlembagaan akan menghalangnya.

Sayugia diambil perhatian bahawa Pakistan dan Brunei yang tidak mempunyai halangan keperlembagaan pun masih mengekalkan Penal Code masing-masing yang sama asalnya dengan Penal Code Malaysia iaitu Macaulay’s Penal Code.

Apa yang dilakukan oleh Brunei ialah mengekalkan Penal Code itu sepenuhnya yang akan terus terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil dan terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam. Tetapi, di samping itu, ia mengadakan satu lagi undang-undang jenayah ia itu Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013. Sebahaian besar isi kandungannya adalah peruntukan-peruntukan yang diambil daripada Penal Code yang dipinda untuk memakai hukuman hudud, qisas dan diyat. Ia juga terpakai kepada semua orang Islam dan bukan Islam dan terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syari’ah.

Perlu diambil perhatian bahawa sampai ke hari ini bahagian yang mengandungi hukuman hudud Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 itu masih belum berkuatkuasa. Maklumat paling akhir yang saya terima daripada Penolong Peguamcara Negara, Brunei pada 15 Disember 2014 mengesahkan bahawa undang-undang hudud belum dikuatkuasakan di Brunei. Malah, Kanun Acara Jenayah Syari’ah yang diperlukan untuk menguatkuasakan undang-undang hudud itu masih dalam perbincangan.

Dari segi teorinya, apabila dikuatkuasakan kelak, jika sesuatu kesalahan itu mempunyai bukti yang cukup untuk didakwa di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah 2013, seseorang suspect itu akan didakwa di bawah Perintah itu. Jika tidak, dia akan didakwa di bawah Penal Code, jika ada bukti untuk didakwa di bawah Penal Code.

Pakistan juga mengekalkan Penal Codenya dengan pindaan untuk memasukkan hukuman qisas dan diyat bagi kesalahan-kesalahan menyebabkan kesakitan/kecedraan kepada manusia. Di samping itu ia mewujudkan satu undang-undang lain yang diberi nama Hudood Ordinance yang mengandungi kesalahan dan hukuman hudud. Ia termauk kesalahan merogol. Tetapi, setelah berlaku kes-kes di mana perempuan yang dirogol dan mengandung tetapi tidak dapat mengemukakan empat orang saksi dihukum kerana berzina, yang menyebabkan berlakunya tunjuk perasaan yang perpanjangan, kerajaan telah mengeluarkan kesalahan merogol daripada Hudood Ordinance dan memasukkannya semula ke dalam Penal Code dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil.(Ini diceritakan sendiri kepada saya oleh Dr Anwarul Haq yang dipinjamkan oleh Kerajaan Pakistan kepada Kerajaan Brunei selama lebih daripada tiga puluh tahun untuk menggubal undang-undang hudud Brunei.)

Kembali ke Malaysia, bagaimana jika Persekutuan pula yang hendak membuat undang-undang hudud bagi kesemua kesalahan hudud. Juga ada kekangan keperlembagaan bagi kesalahan-kealahan yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri.

Saya telah membentangkan kedudukannya dari segi keperlembagaan. Terserahlah kepada tuan-tuan dan puan-puan bagaimana hendak “memperkasakan undang-undang jenayah Islam”, tertakluk kepada apa yang dimaksudkan dengannya. Biar apa pun kedudukan yang sebenar seperti yang saya telah bentangkan itu perlulah diambil kira.

Mengikut laporan akhbar, Badan Perundangan Negeri Kelantan akan bersidang dalam masa yang terdekat untuk meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan). Saya belum melihat drafnya. Tetapi, sayugia diingati bahawa dalam kertas-kertas kerja saya bermula pada 7 January 2014 saya mengatakan bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Kelantan) itu tidak sah kerana Badan Perundandangan Negeri Kelantan telah membuat ubdang-undang mengenai perkara yag terletak di bawah bidangkuasa Persekutuan.

Pada pada 2 April 2014, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan telah memutuskan untuk membawa Private Bill di Parlimen untuk mendapat kebenaran Parlimen bagi Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang terletak dalam bidangkuasa Persekutuan, seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keyataan akhbarnya Menteri Besar Kelantan, antara lain, dilaporkan berkata:

Katanya, sebahagian besar kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code)……

Saya telah memberi pandangan saya mengenai kesan Private Bill itu, jika diluluskan oleh Parliment dalam kertas kerja saya bertajuk “Penggubalan undang-Undang Hudud di Malaysia: Bolehkahkah Malaysia Menjejaki Langkah Brunei?” (25 Ogos 2014) yang boleh di dalapti dalam ln web saya.

Saya ingin melihat apakah pindaan-pindaan yang akan dibuat itu.

Sementara itu, eloklah undang-undang yang sedia ada “diperkasakan” dengan mentadbirnya dengan cekap dan berkesan.

Sekian. Terima Kasih.

1 Lihat seksyen 18 dan 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
2 Lihat Common Gaming House Act 1953 dan Penal Code seksyen 377A.
3 Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor (1999) 1 AMR 281
Perkara 128(1) Perlembagaan Persekutuan; Abdul Kahar Bin Ahmad v. Kerajaan Negeri Selangor DE, Kerajaan Malaysia & Anor (Interveners) (2008) 1 CLJ (SYA) 1; Latifah Mat Zin v Rosmawati Sharibun & Anor. [2007] 5 CLJ 253.
5 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355)

2,390 visits