KEWANGAN ISLAM: PERKEMBANGAN DAN KESANNYA

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)
MAJLIS KONVOKESYEN KESEMBILAN
3 Disember 2011
UCAPAN BALAS PENERIMAAN IJAZAH KEHORMAT DOKTOR FALSAFAH SYARI’AH DAN KEHAKIMAN

Kewangan Islam: Perkembangan dan Kesannya
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sudi menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Syari’ah dan Kehakiman kepada saya. Kepada semua graduan, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayan mereka memperolehi ijazah masing-masing.

Hari ini saya memilih “Kewangan Islam: Perkembangan dan Kesannya” sebagai tajuk ucapan balas saya.

Perbankan Islam, pasaran modal Islam dan takaful dalam bentuk yang ada hari ini lahir di penghujung abad ke-20. (Dalam ucapan ini, saya akan gunakan kata-kata “kewangan Islam” untuk meliputi ketiga-tiganya). Ia bermula sebagai satu usaha orang-orang Islam yang hendak mengelak daripada terlibat dengan riba’ dalam transaksi kewangan mereka. Ia telah berkembang dengan begitu pesat sehingga dijangkakan bahawa dalam beberapa tahun lagi nilai aset kewangan Islam di peringkat global akan mencapai sebanyak US4 trillion berbanding dengan nilainya sekarang sebanyak US1.2 trillion. Bilangan institusi kewangan Islam telah melebihi 600 buah di 75 buah negara di dunia.

Dari semua sudut, Malaysia berada di hadapan dalam kewangan Islam. Sekadar memberi sedikit gambaran, pasaran modal Islam telah menyumbang begitu ketara sekali kepada keseluruhan pasaran modal negara ini. Sehingga akhir tahun 2010, jumlah pasaran modal Islam negara ini telah mencapai RM1.05 trillion, ia itu kira-kira 52% daripada jumlah keseluruhan pasaran modal negara berbanding dengan RM294 billion dalam tahun 2000.

Aset perbankan Islam telah mencapai RM389.3 billion, iaitu 21.6% daripada jumlah keseluruhan aset perbankan di Malaysia. Simpanan (deposit) berjumlah RM296.8 billion atau 22.79% daripada jumlah keseluruhan deposit di Malaysia. Pembiaan (financing) secara Islam berjumlah RM240.6 billion atau 23.08% daripada jumlah keseluruhan pinjaman di Malaysia.

Perkembangan ini telah membawa kesan-kesan sampingan berikut:

Pertama, ia memerlukan pengkajian yang lebih mendalam dalam bidang mu’amalat Islam untuk membolehkan produk-produk baru diwujudkan. Maka tertubuhlah pusat-pusat pengajian tinggi untuk tujuan itu. Berikutnya, wujudlah satu kumpulan “ulama kontemporari” dalam bidang itu, yang kebanyakannya berumur dalam lingkungan empat puluhan, yang fasih berbahasa Arab dan Inggeris dan beroperasi di setiap benua dengan imbuhan yang lumayan.

Kedua, ia mewujudkan pakar dalam pelbagai bidang kewangan Islam termasuk pematuhan Syari’ah, pengurusan risiko patuh Syari’ah, perundangan kewangan Islam dan perakaunan kewangan Islam. Mereka ini ada yang beragama Islam, ada yang baru memeluk agama Islam malah ada yang bukan beragama Islam dan dari berbagai-bagai bangsa dan negara.

Ketiga, Bahasa Inggeris diguna dengan meluas dalam persidangan, perbincangan, dokumentasi, penyelesaian perbalahan (settlement of disputes) dan penulisan mengenai kewangan Islam.

Keempat, ia menarik minat pelajar-pelajar, terutama sekali pelajar-pelajar peringkat sarjana, untuk mendalami bidang-bidang kewangan Islam yang saya sebutkan tadi.

Kelima, ia merapatkan hubungan antara undang-undang sivil dengan Syari’ah dan pakar-pakar undang-undang sivil dengan pakar-pakar Syari’ah. Syari’ah dipakai untuk memastikan sesuatu produk itu patuh Syari’ah manakala undang-undang sivil dipakai dalam pelaksanaan, dokumentasi dan penyelesaian perbalahan. Kedua-duanya saling lengkap-melengkapi.

Keenam, ia membawa kepada perkembangan, penerimaan dan pemakaian mu’malat Islam secara global, bukan sahaja di negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, malah termasuk negara-negara yang kebanyakan penduduknya tidak selesa dengan perkataan Islam itu sendiri. Apabila sesuatu produk kewangan Islam hendak dikeluarkan sama ada di Kuala Lumpur, Bahrain, London, Hong Kong, Abuja, Mauritius, Australia atau di mana juga, rujukan akan dibuat kepada penasihat-penasihat Syari’ah untuk mendapat perakuan mereka bahawa produk itu adalah patuh Syari’ah. Peguam-peguam yang hendak menyediakan dokumentasinya perlu tahu bagaimana hendak melakukannya supaya ia patuh Syari’ah. Apabila berlaku perbalahan, tribunal yang menyelesaikanya juga perlu faham mekanisme produk itu dan prinsip-prinsip Syari’ah yang terlibat.

Di Malaysia, kita sedang melangkah beberapa langkah ke hadapan dengan usaha kita untuk memberi kesan perundangan kepada prinsip-prinsip Syari’ah yang digunapakai dalam amalan-amalan, perkhidmatan dan produk-produk kewangan Islam dalam pasaran serta memberi kepastian (certainty) dari sudut perundangan supaya undang-undang yang terpakai untuk tujuan tersebut semuanya konsisten dengan kehendak Syari’ah.

Ketujuh, ia memberi kesan mengurangkan perbezaan pendapat di kalangan mazhab dalam bidang mu’amalat. Ini kerana:

a. Dalam membuat sesuatu penetapan hukum, jawatankuasa penasihat Syari’ah tidak hanya melihat kepada pendapat sesuatu mazhab tertentu sahaja kerana ia sudah tidak praktikal lagi.
b. Sesuatu jawatankuasa penasihat Syari’ah terdiri daripada ahli-ahli yang datang daripada berbagai-bagai negara dan mazhab. Malah orang yang sama duduk dalam beberapa jawatankuasa di seluruh dunia.
c. Keputusan sesuatu jawatankuasa penasihat Syari’ah dapat diketahui dengan kadar yang cepat oleh jawatankuasa yang lain dan menjadi bahan rujukan.
d. Terdapat keinginan untuk menyelaras keputusan-keputusan jawatankuasa-jawatankuasa Syari’ah, seberapa yang boleh, kerana perniagaan hari ini melintasi sempadan negara dan bidangkuasa.

Kelapan, ia membawa kepada penglibatan orang-orang bukan Islam dan orang-orang Eropah, sama ada yang baru memeluk agama Islam atau yang bukan Islam, dalam bidang ini. Jika kita menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa berkenaan kewangan Islam, kita akan dapati bahawa banyak daripada peserta, malah pembentang kertas kerja juga, terdiri daripada golongan mereka. Demikian juga dengan pengarang-pengarang buku mengenai kewangan Islam.
Perkembangan ini amat memberangsangkan. Rasanya tidaklah keterlaluan jika saya katakan bahawa akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 adalah titik permulaan penerimaan sistem dan aplikasi prinsip mu’malat Islam di dalam sistem kewangan, sama ada dari sudut produk atau perkhidmatannya, secara global, suatu perkara yang belum pernah berlaku dalam sejarah, tanpa penaklukan dan tanpa pengislaman penerimanya.
Tetapi, di sebalik kegembiraan itu, ada pula perkara yang merisaukan. Di mana dan ke mana kita? Adakah kita akan (atau pun sudah) menjadi “ummat yang terlepas peluang?” ( “an ummah of lost opportunity”) memetik kata-kata Sheikh Nizam Yaqubi, seorang penasihat Syari’ah kewangan Islam yang terkenal.
Itu adalah cabaran kepada umat Islam, terutama sekali universiti-universiti dan kolej-kolej Islam dan juga fakulti-fakulti Syari’ah serta graduan-graduannya. Itu juga adalah cabaran kepada USIM, pengajar-pengajarnya, graduan-graduannya dan pelajar-pelajarnya.

Universiti-universiti dan kolej-kolej Islam dan juga fakulti-fakulti Syari’ah perlu mengeluarkan graduan-graduan yang boleh ke tengah. Memang kita memerlukan graduan-graduan yang berkualiti untuk menceburi bidang agama, tetapi mereka tidak seharusnya hanya sesuai untuk menjadi pegawai-pegawai agama sahaja. Mereka juga sepatutnya boleh memegang apa-apa jawatan kerajaan atau swasta yang graduan-graduan lain boleh. Mereka sepatutnya boleh menceburkan diri dalam kewangan Islam, bukan sahaja sebagai penasihat Syari’ah, tetapi sebagai eksekutif syarikat kewangan Islam.

Untuk memasuki bidang kewangan Islam, graduan-graduan USIM sepatutnya setanding, jika tidak melebihi graduan-graduan universiti-universiti lain. Bagi mereka yang mempelajari undang-undang dan Syari’ah atau ekonomi dan mu’malat, mereka didedahkan kepada kedua-dua system berkenaan. Mereka juga sepatutnya dapat menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Ini akan memberi kelebihan kepada mereka jika mereka menceburi bidang kewangan Islam. Harapan saya ialah mereka tidak akan termasuk ke dalam golongan “di sana tidak, di sini pun tidak”.

Adalah penting bagi universiti-universiti mengeluarkan graduan-graduan yang luas pembacaannya, luas pergaulannya, boleh berfikir, menganalisa, dan menyampaikan pendapat mereka dengan cara yang berkesan, sama ada secara lisan atau tulisan dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling semasa berkerja. Ini akan meletakkan mereka di kedudukan yang baik untuk membantu menangani isu-isu semasa berkaitan kewangan Islam dengan lebih dinamik, proaktif dan berkesan.

Saya ingin melihat kesan praktikal daripada pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan prinsip-prinsip Islam di semua fakulti di USIM, tidak kira dari fakulti mana. Jika USIM berjaya mewujudkan graduan-graduan yang berilmu, rajin berusaha berakhlak tinggi dan seimbang hidupnya dari segi rohani dan jasmani, maka, secara umum, mereka sepatutnya akan lebih terserlah daripada graduan-graduan lain, baik dalam bidang apa pun yang mereka ceburi. Kesannya sepatutnya boleh dilihat daripada mutu kerja mereka dan budaya kerja mereka yang terpuji. Itulah harapan saya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada semua ahli akademik yang berada di dalam dewan ini bahawa Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Penyesuaian Undang-Undang dan saya telah diamanahkan menjadi Pengerusinya. Secara ringkas, tugas jawatankuasa ini ialah mengenal pasti undang-undang negara yang berkaitan dengan kewangan Islam yang tidak selaras dengan hukum Syarak dan menggantinya dengan peruntukan-peruntukan yang patuh Syari’ah. Tujuannya ialah supaya bukan sahaja produk kewangan Islam di Malaysia patuh Syari’ah, tetapi semua undang-undang yang akan dipakai dalam dokumentasinya dan penyelesaian perbalahan juga patuh Syari’ah.

Jawatankuasa ini juga ditugaskan untuk mencadangkan bagaimana kesan perundangan boleh diberi kepada prinsip-prinsip Syari’ah yang digunapakai dalam amalan-amalan, perkhidmatan dan produk-produk kewangan Islam bagi menjamin pelindungan undang-undang yang sama tara dengan amalan-amalan, perkhidmatan dan produk-produk kewangan konvensional. Setahu saya, Malaysia adalah Negara pertama dalam dunia ini yang mengambil langkah seperti ini.

Saya percaya ada di antara tuan-tuan dan puan-puan, sama ada semasa malakukan pengkajian atau mengajar, yang telah menemui peruntukan-peruntukan seperti yang saya sebutkan itu. Jika ada, silalah kemukakan kepada saya atau kepada Sekretariat, Jawatankuasa Penyelarasan Undang-Undang, Bank Negara Malaysia, berserta dengan kedudukan Syari’ahnya supaya kami boleh mengambil tidakan selanjutnya. Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan sangatlah dihargai. Untuk memudahkan tuan-tuan dan puan-puan menghantarnya kepada saya, saya telah menyediakan satu alamat email khas: [email protected]

Saya ucapkan selamat berjaya kepada semua graduan. Terima kasih.

177 visits