WAJARKAH RUKUN NEGARA DIJADIKAN SATU AKTA?

WAJARKAH RUKUN NEGARA DIJADIKAN SATU AKTA?

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

 

Di akhir tahun 2016, timbul satu kumpulan yang memperjuangkan supaya Rukun Negara dijadikan muqadimah Perlembagaan Persekutuan. Saya telah menulis satu artikel memberi sebab-sebab mengapa saya menentangnya.

Ekoran dari itu, satu Persidangan Meja Bulat telah dianjurkan oleh Perkasa pada 5 Mac 2017 yang mengeluarkan resolusi menolak cadangan kumpulan itu.

Dalam perbahasan persidangan itu, timbul pula cadangan supaya satu akta diadakan untuk memperkasakan Rukun Negara. Mengikut laporan akhbar, tidak disebut apa yang hendak dijadikan isi kandungan akta itu.

Di Malaysia ini, orang cukup suka mencadangkan supaya dibuat akta sebagai jalan mencapai sesuatu tujuan. Tetapi, kebanyakan mereka tidak tahu pun apa yang hendak dijadikan isi kandungan akta yang dicadangkannya itu. Mereka juga tidak memberi cukup perhatian kepada pelaksanaannya. Saya percaya, dalam hal ini juga serupa.

Biarlah saya katakan dengan tegas bahawa Rukun Negara tidak sesuai untuk dijadikan undang-undang sivil (mal) atau jenayah. Ia, seperti yang selalu di sebut, adalah satu falsafah negara.

Sekarang, mari kita lihat apakah kemungkinan isi kandungan akta itu, jika hendak dibuat.

Sebelum itu, saya perturunkan dahulu teks Rukun Negara:

“Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya
  • Memelihara cara hidup demokratik
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden

Maka kami rakyat Malaysia berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan”.

Kita tumpukan perhatian kepada “Cita-cita Malaysia” dahulu. Ia adalah satu perisytiharan. Adakah kita akan membuat undang-undang yang mengatakan: Sesiapa yang menentang cita-cita negara Malaysia itu, melakukan satu kesalahan?

Atau, adakah kita akan mengadakan undang-undang yang mengatakan: Sesiapa yang berbuat sesuatu yang menghalang atau yang akan menyebabkan Malaysia gagal mencapai cita-cita itu, mlakukan satu kesalahan?

Kita lihat pula kepada ikrar rakyat Malaysia. Adakah kita akan membuat satu undang-undang yang mewajibkan setiap rakyat Malaysia membuat ikrar Rukun Negara, dan barang siapa yang melanggar ikrar itu melakukan satu kesalahan? Soalannya, bagaimana hendak dibuktikan bahawa seseorang itu tidak menumpukan seluruh tenaga dan usahanya untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan lima prinsip itu?

Selain daripada itu, undang-undang seperti adalah tidak wajar kerana ianya arbitrari, tidak pasti, terlalu umum, akan menyebabkan ketidakadilan, malah hanya akan menjadi bahan ketawa di kalangan warga perundangan antarabangsa.

Biarlah Rukun Negara kekal sebagai Rukun Negara. Ia tidak sesuai dijadikan satu akta. Sebagai falsafah negara, saya akui, ia lebih sesuai untuk dijadikan satu muqadimah perlembagaan. Tetapi, meqadimah digubal bersama dengan gubalan perlembagaan itu sendiri dan dijadikan sebahagian daripada perlembagaan itu mulai tarikh yang sama. Tunjukkan kepada saya, di antara beratus perlembagaan yang mempunyai muqadimah di dunia ini, satu perlembagaan yang muqadimahnya digubal dan dijadikan sebahagian daripada perlembagaan selepas perlembagaan itu berkuatkuasa, apatah lagi selepas 60 tahun! Berbuat demikian akan membangkitkkan berbagai-bagai masalah tafsiran yang mungkin tidak selaras dengan peruntukan-peruntukan yang sedia ada. (Sila baca artikel saya yang boleh didapati dalam laman web saya.)

8 Mac 2017

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

361 visits