RESOLUSI MULTAQA PERPADUAN UMMAH: SATU ULASAN

RESOLUSI MULTAQA PERPADUAN UMMAH: SATU ULASAN

Oleh

Tun Abdul Hamid Mohamad

Dengan kerjasama penganjur yang menyediakan ambulans untuk membawa saya ke ILIM, saya dapat menghadiri multaqa tersebut untuk seketika. (Mengapa penganjur memilih namanya dalam Bahasa Arab saya tidak tahu, dan saya juga tidak nampak apa perlunya.) Saya juga telah diberi peluang untuk menjadi orang yang pertama menyampaikan pandangan saya. (Saya telah menaikmuatkannya ke laman web saya, dan sebahagian daripadanya telah disiarkan oleh akhbar-akhbar Melayu.)

Oleh sebab saya menulis pandangan saya itu sebelum saya melihat resolusi yang hendak dibincangkan hari itu, saya tidak membincangkan resolusi itu dalam pandangan saya itu.

Seperti dijangka, keadaan kesihatan saya memaksa saya pulang awal. Setakat yang saya sempat dengar, saya perhatikan bahawa, pertama kebanyakan perserta adalah terdiri daripada mereka yang berumur 50 tahun ke atas dan pesara. Kebanyakan mereka adalah bekas pegawai-pegawai kanan Kerajaan, ahli-ahli akademik, ahli politik, NGO dan lain-lain. Terdapat juga ahli Parlimen dan DUN daripada UMNO dan PAS.

Kedua, peserta-peserta yang bukan ahli politik mempunyai kesungguhan untuk melihat orang Melayu/ummah bersatu padu tanpa mengambil kira latar belakang politik mereka, malah tanpa berfikir apakah bentuk “perpaduan” itu. Mereka seolah-olah mengharapkan orang-orang politik menanggalkan kulit politik mereka dan bersatu padu demi agama dan bangsa. Terus terang saya katakan, ini tidak akan berlaku. Bagi orang politik, politik adalah darah daging dan periuk nasi mereka.

Peserta-peserta yang terdiri daripada orang politik pula, sambil menunjukkan bahawa mereka tidak menentang usaha perpaduan itu, masing-masing memerhati kelibat “musuh politik” mereka; takut kiranya “musuh politik” mereka akan untung dan mereka akan rugi akibat daripada perpaduan itu. Kepentingan diri tetap menjadi isu utama mereka. Seperti yang saya sebut di multaqa itu, itu adalah penghalang utama perpaduan atau kerjasama di antara parti-parti politik itu.

Ketiga, terdapat kecenderungan yang sangat kuat di kalangan semua perserta yang bercakap semasa saya berada dalam majlis itu untuk memohon bantuan Raja-Raja untuk mengatasi masalah perpecahan orang Melayu dan menyatupadukan mereka semula. Resolusi multaqa itu sendiri merakamkan sentimen itu.

Dalam hal ini, saya telah menulis satu rencana pendek, menghujahkan bahawa, ada dua sebab mengapa adalah “tidak salah” bagi orang Melayu menghadap Raja untuk meminta mereka campur tangan dalam hal itu. (Malangnya, sepanjang pengetahuan saya, entah mengapa ia tidak disiarkan oleh akhbar-akhbar. Walau bagaimanapun ia boleh dibaca di laman web saya). Pertama, sepanjang sejarah hubungan orang Melayu dengan Raja-Raja Melayu, Raja adalah “payung negara”, tempat rakyat berlindung dan mengadu nasib, sambil memberi taat setia mereka. Kedua, Perlembagaan Persekutuan mempertanggungjawabkan Yang DiPertuan Agung sebagai pelindung hak-hak keistimewaan orang Melayu (dan anak negeri Sabah dan Sarawak) dan Ketua bagi agama Islam bagi negeri-negeri tanpa Raja. Terdapat peruntukan yang sama dalam Perlembagaan-Perlembagaan negeri-negeri beraja berkenaan tanggungjawab Raja-Raja terhadap orang Melayu dan agama Islam di negeri masing-masing. Tetapi, kedudukan Raja-Raja Melayu bukanlah seperi Khalifah yang mempunyai kuasa sepenuhnya dalam segala hal (absolute power). Raja-raja kita adalah Raja berperlembagaan, mempunyai kuasa seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Maka, kecenderungan memohon Raja-Raja campur tangan dan menyelesaikan masalah itu hendaklah tertakluk dalam konteks Perlembagaan kita.

Lagi pula, masalah ini bukanlah disebabkan oleh Raja-Raja, misalnya Raja-Raja bertelingkah sesama sendiri menyebabkan rakyat mereka berpecah belah disebabkan oleh taat setia mereka kepada Raja mereka masing-masing. Masalah ini disebabkan oleh ahli-ahli politik (rakyat).

Maka, dalam konteks Raja berperlembagaan di Malaysia, saya tidak nampak peranan Raja sebagai lebih daripada menyatakan pandangan (mungkin murka) mereka dan meminta pemimpin-pemimpin politik itu mengetepikan persengketaan mereka. Setakat mana ia akan berkesan, terserahlah kepada pemimpin-pemimpin politik itu sendiri, khususnya sejauh mana mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri mereka, di mana diperlukan.

Perlu ditekankan bahawa perpecahan orang Melayu hanyalah perpecahan politik, yang disebabkan oleh politik dan pemimpin-pemimpin politik. Maka, itulah yang patut diberi tumpuan.

(Saya kurang faham mengapa resolusi multaqa itu begitu sekali menekankan isu perpecahan aqidah. Adakah kerana menyertai parti-parti politik yang berlainan, aqidah orang Melayu berpecah? Saya tidak berfikir begitu walaupun pada suatu masa PAS mengatakan aqidah ahli UMNO telah terpesong. PAS pun sudah tidak suka diingatkan hal itu lagi, sekarang. Ada juga peserta yang bercakap mengenai isu ekonomi dan lain-lain. Saya juga kurang faham bagaimana faktor ekonomi, misalnya, menyebabkan perpecahan orang Melayu sekarang.)

Kembali kepada isu asasnya: politik. Sebab itu dalam pendapat ringkas saya di multaqa itu, saya terus “menembak” isu ini. Dalam isu ini, dua pemain utamanya dan yang lebih penting dan lebih mudah dibawa duduk bersama dan berbincang, adalah UMNO dan PAS. Sebab itulah saya menjuruskan kepada kedua-dua kumpulan itu.

Saya tidak mengatakan kita patut pinggirkan PKR dan PAN. Cuma, pada masa ini, usaha kita akan menjadi lebih sukar jika kita hendak membawa kedua-dua kumpulan itu bersama untuk bersatu atau bekerjasama. Sebagai langkah segera, khususnya sebelum PRU 14, kita patut tumpukan kepada UMNO dan PAS (parti politik) dan Perkasa (NGO). Tujuan utama dan segera kita ialah untuk mempertahan Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang sebagai langkah untuk menyelamatkan kedudukan orang Melayu (dan anak Negeri Sabah dan Sarawak) dan agama Islam. Untuk itu, jika UMNO, PAS dan PERKASA dapat disatukan atau berkerjasama (dengan sokongan parti-parti anak-anak negeri Sabah da Sarawak yang kedudukan mereka adalah sama dengan kedudukan orang Melayu), saya percaya matlamat kita akan tercapai.

Untuk itu, pandangan saya ialah, cadangan untuk menemui pemimpin-pemimpin, termasuk pemimpin-pemimpin PKR dan PAN eloklah diteruskan, tetapi tekanan hendaklah diberi kepada UMNO dan PAS terlebih dahulu, diikuti dengan PERKASA.

Kepada pemimpin-pemimpin UMNO patut dimaklumkan:

1. Bahawa kita percaya bahawa hak dan kedudukan orang Melayu dan agama Islam telah dapat kekal berada dalam keadaan yang ia berada sekarang semenjak Merdeka, hasil daripada pemerintahan BN yang diterajui oleh UMNO.

2. Tetapi, kemungkinan Kerajaan Persekutuan BN akan kalah dalam PRU 14 adalah amat serius.

3. Untuk mempertahankan kedudukan hak dan kedudukan orang Melayu (dan anak negeri Sabah dan Sarawak) dan agama Islam, Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh UMNO, tidak dapat tidak, hendaklah dipertahankan. Kita sedang berusaha untuk memastikan kerajaan itu tidak tumbang.

4. Dukacita, pada masa ini sebilangan besar orang Melayu bencikan UMNO, kerana pemimpin-pemimpinnya. Isu utama ialah rasuah. Maka, pemimpin-pemimpin UMNO perlulah membersihkan diri dan parti mereka.

5. Untuk menyelamatkan Kerajaan Persekutuan BN, UMNO perlulah bekerjasama dengan PAS. Bentuknya bolehlah dibincang antara keduanya. Cara yang lebih mudah, ialah dalam PRU 14, UMNO dan PAS boleh bertanding seperti biasa. (Jika mereka boleh bersetuju tidak akan menentang satu sama lain, terutama sekali bagi kerusi Parlimen, lagi baik). Jika nampak Kerajaan Persekutuan BN akan tumbang, PAS dengan segera menyertai Kerajaan BN. (Jika hal yang sama dilakukan juga di peringkat negeri untuk menggagalkan DAP, PKR dan PAN menubuhkan kerajaan, lagi baik. UMNO boleh kekal sebagai UMNO dan PAS boleh kekal sebagai PAS.)

Kepada pemimpin-pemipin PAS perlu ditarik perhatian bahawa (selain daripada apa yang dimaklumkan kepada pemimpin-pemimpin UMNO seperti yang tersebut di atas):

1. Jika Pakatan Pembangkang berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan selepas PRU 14, dan jika PAS bersama-sama mereka pun, parti yang menjadi dominan adalah DAP dan harapan PAS untuk melaksanakan hudud akan terkubur. Di samping itu, hak dan kedudukan orang Melayu (dan anak negeri Sabah dan Sarawak) dan agama Islam akan terhakis kerana orang bukan Melayu (terutama sekali orang Cina) menyokong Pakatan Pembangkang kerana mereka mahu lebih daripada apa yang perolehi melalui MCA dan Gerakan. Dari mana “yang lebih” itu akan datang jika tidak daripada orang Melayu/Islam? Harapan PAS untuk melaksanakan hudud (jika itulah matlamat PAS) akan terkubur.

2. Walaupun untuk menunjukkan perbezaan di antara PAS dengan UMNO, PAS akan terus berkata bahawa mereka berjuang untuk Islam dan UMNO berjuang untuk bangsa (Melayu), hakikatnya tidak ada perbezaan di antara keduanya. Dalam konteks Malaysia, Melayu dan Islam adalah sinonim. Dulu PAS menuduh UMNO kafir, sekarang tidak lagi. Dulu Kelantan tidak membenarkan qariahnya mengambil bahagian dalam Tilawah al-Quran, sekarang sudah boleh.(Dalam tempoh ketidaksertaan qariah Kelantan, qariah negeri-negeri lain telah mengambil alih kedudukan qariah-qariah negeri Kelantan dan sekarang berada di hadapan.) Selama 40 tahun PAS memerintah Kelantan, apa bezanya Kelantan dengan negeri-negeri lain? Jika PAS lebih Islamik dan orang Kelantan lebih suka tinggal di “negara Islam”, mengapa orang Kelantan yang paling banya berhijrah ke negeri-negeri lain, untuk mencari makan?

3. Dengan bekerjasama dengan UMNO, PAS mempunyai peluang terbaik untuk menyertai Kerajaan Persekutuan untuk mencapai lebih banyak cita-cita PAS.

4. Undang-undang acara jenayah dan mal syariah yang mula-mula dibuat untuk dipakai di Mahkamah Syariah Kelantan dalam tahun 1981, dibuat oleh kerajaan BN Kelantan. Undang-undang Syariah lain adalah digubal di peringkat kebangsaan untuk dipakai oleh semua negeri. Kelantan ikut memakainya.

5. Kebanyakan pegawai-pegawai di Jabatan-Jabatan Agama Persekutuan, Institusi-institusi, ahli-ahli akademik, di universiti-universiti, terutama sekali yang berkaitan dengan Syariah, adalah orang Kelantan. Dalam kata-kata lain Kerajaan Persekutuan bukanlah “tak-Islamik”.

6. Hudud bukanlah satu-satunya ukuran “keIslaman” sesebuah negara. Hudud hanyalah satu jenis hukuman terhadap penjenayah. (Demikian juga qisas). Sebuah negara yang aman, tenteram, makmur, yang kerajaannya mengambil berat tentang kesihatan, pelajaran, kesejahteraan rakyatnya, yang melaksanakan berbagai rancangan untuk meningkatkan kedudukan agama Islam dan umat Islam, yang menjalankan pemerintahan dengan telus, demokratik dan adil tanpa melaksanakan hudud, saya percaya, adalah lebih “Islamic” daripada sebuah negara yang melaksanakan hudud dengan cara yang tidak adil dan kerajaannya yang zalim dan kuku besi, yang keadaannya tidak aman dan tenteram dan rakyatnya menderita. Biar apa pun, UMNO adalah gandingan terbaik bagi PAS dalam melaksanakan hudud jika PAS masih berhasrat demikian.

7. PAS boleh terus kekal sebagai PAS dan terus memerintah Kelantan jika pengundi Kelantan menghendaki demikian.

Selepas itu eloklah perbincangan dibuat dengan PERKASA. Apa rancangan PERKASA sebenarnya? Apa yang PERKASA mahu? Adakah ia akan terus menjadi “pembangkang” tanpa haluan? Bukankah lebih baik PERKASA bekerjasama dengan UMNO dan PAS dalam hal ini? PERKASA tidak boleh mengharapkan untuk mencapai hasratnya (itu pun tidak jelas) secara bersendirian. Sebaliknya ia mungkin menyebabkan perpecahan orang Melayu yang lebih serius.

Pendekatan yang memberi keutamaan kepada ketiga-tiga kumpulan ini perlu dilakukan dengan segera, malah perlu dimeterai sebelum PRU 14. Yang lain-lainnya yang tersebut dalam Resolusi itu bolehlah menjadi pelan jangka panjang. Saya khuatir jika kesemuanya hendak dilaksanakan serentak, tiada apa yang kecapaian sebelum PRU 14. Pada masa itu, mungkin nasi telah menjadi bubur.

10 06 2016

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://www.tunabdulhamid.me

103 visits